King Ghaz selamat dikebumi di Makam Pahlawan

CG Sponsors




eboss

CG Hardcore
Platinum Member
Joined
Nov 29, 2007
Messages
85,652
Reaction score
1,894
Points
591
KUALA LUMPUR 25 Jan. - Jenazah bekas Menteri Dalam Negeri, Tun Ghazali Shafie yang juga dikenali sebagai King Ghaz, selamat dikebumikan di Makam Pahlawan Masjid Negara di sini, kira-kira pukul 2.30 petang ini.

Cuaca panas di sekitar ibu kota tidak menghalang para pembesar negara serta orang ramai untuk hadir bagi memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham.

Antara yang kelihatan di pekarangan Masjid Negara ialah Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah; Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah dan Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Khalil Yaakob.

Kenamaan lain termasuk Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar; Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob; Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim; Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan timbalannya, Tan Sri Ismail Omar.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak; timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan terdahulu melawat jenazah Allahyarham di rumah adik perempuannya, Datin Yuhani Shafie di Damansara Utama, dekat sini pagi ini.

Jenazah Ghazali dimandi dan disembahyangkan di Masjid Al-Mujahideen, Damansara Utama sebelum dibawa ke Masjid Negara pukul 11.30 pagi.

Solat jenazah di Masjid Negara pula diimamkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom sementara bacaan talkin disempurnakan oleh Imam Besar Masjid Negara, Tan Sri Syaikh Ismail Muhammad.

Sementara itu, anak saudara Allahyarham, Datuk Amin Rafie Othman ketika ditemui berkata, beliau dan seluruh ahli keluarga mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Perdana Menteri serta kerajaan di atas penghormatan negara yang diberikan kepada Allahyarham.

"Kami juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada Sultan Pahang serta semua orang ramai yang hadir hari ini,'' jelasnya.

Jenazah Ghazali dikebumikan mengikut istiadat pengkebumian negara.
 
Top
Log in Register