Megat Al Fateh
Active Member
- Messages
- 1,807
- Joined
- May 6, 2019
- Messages
- 1,807
- Reaction score
- 960
- Points
- 81
Khasiat dan Kesan Buruk Air Ketum Kepada Badan
Ketum ialah sejenis tumbuhan yang banyak terdapat di Semenanjung Malaysia terutamanya di utara dan tengah Malaysia. Ketum juga terdapat di beberapa negara lain seperti di Afrika dan juga Selatan Thai.
Ketum dikenali sebagai kratom di dalam bahasa Inggeris dan dikenali dengan pelbagai nama di Selatan Thai seperti Kakuam, Ithang atau Thom.
Apakah khasiatnya dan bagaimana memprosesnya?
Sebelum kisah ketum ini viral pada tahun 2003 kerana kes ketagihan ketum, orang-orang dahulu menggunakan daun ketum sebagai ubat tradisional bagi memulihkan tenaga contohnya untuk wanita lepas bersalin.
Cara untuk menyediakannya adalah dengan merebus daunnya dan airnya diminum sebagai pemulih tenaga, membuang angin di dalam badan dan merawat sakit belakang. Kebiasaannya, air ketum disimpan selama 2 hari sahaja kerana khasiatnya itu akan hilang selepas itu.
Daun ketum secara tradisinya dikunyah namun kesannya agak perlahan jika dibandingkan dengan air ketum. Ada juga sumber mengatakan, ketum digunakan sebagai ubat cirit-birit untuk bagi rawatan gangguan opioid dan ejakulasi pramatang ketika melakukan hubungan seks.
Apakah kesan sampingannya?
Oleh kerana kelebihannya ini, air ketum telah dijual secara meluas kepada pengguna biasa. Penggunaan air ketum yang tidak dikawal ini telah menyebabkan ketagihan terutamanya golongan remaja. Terdapat banyak berita di televisyen dan di dada-dada akhbar di mana pihak berkuasa juga telah acap kali melakukan operasi membasmi kegiatan ini.
Antara kesan sampingan akibat penggunaan air ketum adalah hilang selera makan dan berat badan, ejakulasi lambat, gelap kulit muka dan masalah usus. Ada di kalangan pengguna air ketum tegar melaporkan gejala seperti panas baran dan cepat marah, hidung berair dan cirit-birit.
Terdapat kajian lain di Malaysia untuk pengguna air ketum tegar dimana mereka akan mengalami kejang otot dan sakit, sukar untuk tidur, demam, tiada selera makan dan mengalami masalah psikologi atau mental.
Kenyataan Pakar ketagihan dan Saintis Penyelidikan Bersekutu ,Yale University School of Medicine, Amerika Syarikat iaitu Dr. Mahmud Mazlan, kandungan alkaloid di dalam daun ketum yang memberi rangsangan akan hilang sekiranya air rebusan itu tidak lagi segar.
Bagaimanakah dengan tindakan undang-undang?
Terdapat usaha untuk meletakkan ketum di bawah Rang Undang-undang Dadah Berbahaya 1952 (Pindaan) 2014 oleh Timbalan Menteri Kesihatan(2015), Datuk Seri Hilmi Yahaya kerana Akta Racun 1952 yang ketika ini digunakan bagi mengawal penyalahgunaan daun ketum tidak cukup kuat untuk membasmi masalah penagihan dan pengedaran ketum ini.
Apakah pandangan Islam terhadap air ketum?
Di dalam Islam, meminum air ketum adalah tidak najis kerana ia adalah tumbuhan, sama seperti ganja.
Hukum meminum air ketum adalah HARAM kerana ia memberi peminum khayal dan menutup pemikiran waras akal manusia, sama seperti meminum arak dan segala jenis benda yang menghilangkan kewarasan manusia.
Melainkan, atas nasihat doktor, air ketum diperlukan bagi menyembuhkan penyakit, hukumnya jatuh kepada HARUS.
Sebagai manusia yang beriman dan waras akal fikiran, dinasihatkan kita mengelak daripada terjebak ke arah perkara yang merosakkan akal fikiran dan tubuh badan kerana menurut Hadis Riwayat Bukhari, “Sesungguhnya kamu mempunyai tanggungjawab untuk menunaikan hak terhadap tubuh badan kamu.”
Sumber Asal
p/s - aku ade pengalaman sendiri tengok org kaki ketum ni, mmg dia akan jadi cepat marah tak tentu pasal, selalu mengelamun dan pelupa, susah tidur malam, lepas tu siang dia cepat pening sebab tak cukup tidur dan selalu hilang selera makan.. hubungan dengan keluarga sendiri tak berapa elok sebab selalu bergaduh marah tak tentu pasal..
p/s 2 - konon nak tambah ubat batuk bagai pasal nak hilang rasa pahit.. benda tu sebenarnya alasan nak buat khayal je.. baik korang tambah gula ke madu kalau betul nak hilangkan pahit, takde sebab pun nak mabuk ni kalau konon nak ubat sakit diabetis pun
p/s 3 - aku tulis ni sebagai kesedaran pada semua, benda ni akan menyusahkan mangsa lebih dari konon khasiat dia, geng ketum ni ada yg akan terlibat dgn dadah yg lebih berat lagi sbb pengaruh rakan berdengung...