balqis07
CG Top Poster Club

- Messages
- 30,953
Paid Membership
- Joined
- Jan 27, 2010
- Messages
- 30,953
- Reaction score
- 294
- Points
- 136
Norshida (dua, kiri) menyampaikan sumbangan kepada Munah (duduk) sambil diperhatikan Ibrahim (kanan) di rumahnya di Kampung Lubok Lanjut
< 1 / 1 >
SEGAMAT - Seorang warga emas di Kampung Lubok Lanjut, di sini, hidup dalam ketakutan selepas beberapa kera daripada kawasan hutan berhampiran sering datang dan membuat kacau ganggu di rumahnya.
Munah Abdul Latif, 80, berkata, akibat gangguan haiwan terbabit, beberapa keping zink rumahnya rosak dan berlubang, selain terpaksa berwaspada dengan keselamatan dirinya.
“Kera tersebut kalau datang secara berkumpulan, seperti ‘berpesta’ atas bumbung rumah mak cik. Ia terjun dari pokok ke atas zink hingga mengganggu ketenteraman.
“Akibatnya, bumbung rumah rosak dan berlubang, bila hujan terpaksa pula susun baldi dan besen tadah air hujan, ini sudah jadi rutin mak cik,” katanya ketika menerima kunjungan Adun Buloh Kasap, Norshida Ibrahim, kelmarin.
Turut hadir, ketua kampung Kampung Lubok Lanjut, Minhat Ibrahim.
Ibu dua anak ini berkata, dia duduk di rumah usang itu seorang diri kerana enggan menyusahkan sesiapa, selain ia menyimpan banyak kenangan.
“Anak mak cik tinggal berhampiran kampung ini juga, mereka pernah pelawa makcik tinggal bersama tetapi makcik tolak kerana tidak mahu membebankan anak dan cucu.
“Mereka selalu juga datang melawat serta menghantar makanan,” katanya.
Tambahnya, dia jarang menyimpan barangan makanan di dapur dan peti ais kerana bimbang diambil kera liar berkenaan dan berharap masalah itu segera berakhir.
Sementara itu, Norshida memberitahu, warga emas berkenaan pernah menerima bantuan 1MDB (Malaysia Development Berhad) pada Jun 2011 untuk memperbaiki keadaan rumahnya sebelum rosak kembali.
“Saya telah berbincang dengan pegawai Majlis Agama Islam Johor sama ada untuk memperbaiki rumah makcik Munah atau mendirikan sebuah rumah satu bilik di kawasan rumah sedia ada, memandangkan tanah rumah ini memang tanah miliknya sendiri.
“Saya bersimpati dengan nasib yang dihadapi makcik Munah kerana kita tidak tahu risiko yang dihadapinya.
"Tambahan pula dia tinggal seorang diri dan tidak terdaya jika berlaku apa-apa,” katanya.
sumber:http://www.sinarharian.com.my/edisi/johor/kera-berpesta-atas-bumbung-1.286767