BTC USD 61,407.8 Gold USD 1,766.76
Time now: Jun 1, 12:00 AM

Kepala pecah dipijak gajah

rasyid9449

Active+ Member
Joined
Jul 10, 2009
Messages
3,469
Reaction score
73
Points
30
GUA MUSANG: “Sayu hati saya melihat kepala arwah pecah dan dadanya remuk. Kami terpaksa mengusung mayatnya sejauh hampir satu kilometer sebelum boleh dibawa pulang ke rumah dengan kenderaan kami,” kata Mohd Asri Shafie, 30.

Dalam kejadian 4.50 petang kelmarin, rakannya, Muhamad Adnan Iberahim, 26, menemui ajal selepas dipijak sekumpulan gajah liar di Hutan Bering, dekat Pos Pasik.

Sebelum kejadian, mangsa yang mencari buah keranji bersama empat rakannya di hutan itu berdepan saat getir apabila dikejar sekumpulan gajah liar.

Bagaimanapun, empat daripada mereka bernasib baik kerana terselamat manakala mangsa gagal berbuat demikian apabila dipijak kumpulan gajah yang dianggarkan berjumlah enam atau tujuh ekor itu menyebabkan dia cedera parah.


Menceritakan kejadian itu, Mohd Asri berkata, mereka berlima ke hutan itu kira-kira jam 8 pagi untuk mencari buah keranji untuk dijual.


“Setibanya di hutan itu, kami meletakkan kenderaan pacuan empat roda dan berjalan kaki beramai-ramai. Bagaimanapun ketika dalam perjalanan, kami terserempak sekumpulan gajah liar dan haiwan itu menjerit sambil mengejar kami.

“Situasi itu menyebabkan saya bersama arwah dan tiga rakan bertempiaran melarikan diri ke pelbagai arah bagi mengelak dikejar kumpulan gajah liar yang seperti naik minyak,” katanya ketika ditemui semalam.

Katanya, selepas kumpulan gajah terbabit lesap daripada pandangan, mereka berkumpul di satu tempat di hutan itu namun gagal menemui Muhamad Adnan yang turut lari menyelamatkan diri.

“Melihat dia tiada dan keadaan kembali seperti biasa, kami mengambil tindakan segera mencarinya dengan berpatah balik ke laluan gajah terbabit sebelum menemui rakan kami itu dalam keadaan parah,” katanya.

Menurutnya, dia bersama rakan terpaksa mengusung mayat arwah hampir satu kilometer untuk dibawa balik dengan menaiki kenderaan pacuan empat roda kerana tidak sanggup tinggal di situ untuk menunggu polis tiba.

“Kami berempat mengusung mayat arwah untuk dibawa pulang ke rumah dan membuat laporan di Balai Polis Bertam sebelum polis membawa mayat itu ke Hospital Gua Musang untuk bedah siasat.

“Kalau kami terus berada di hutan itu, kemungkinan akan mengambil masa lebih lama sementara menunggu polis tiba,” katanya.

Bapa arwah, Iberahim Omar, 57, pula berkata, dia tinggal di Kampung Lata Rek, Kuala Krai manakala anak sulung daripada enam beradik itu tinggal bersama bapa saudara di Kampung Bertam Lama dan bekerja mengambil upah menebas ladang.

“Saya tidak tahu dia masuk hutan mencari buah keranji dan hanya mengetahui kejadian itu jam 6.30 petang sebaik menerima panggilan telefon daripada adik, Ismail Mohamad, 42, dan terus bergegas ke HGM,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Saiful Bahri Abdullah ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan mayat mangsa dihantar ke HGM untuk bedah siasat.
 

CG Sponsors




Top
Log in Register