BTC USD 27,563.7 Gold USD 1,978.78
Time now: Jun 1, 12:00 AM

Kenapa Yasmin?

angryzombie11

Freshie
Messages
1
Joined
Aug 26, 2022
Messages
1
Reaction score
0
Points
3
November 2015

Fasa Bulan Madu adalah fasa yang paling indah bagi semua pengantin baru. Begitu juga yang dirasakan oleh Suria dan Hamzah. Mereka baru sahaja mendirikan rumah tangga pada 2 minggu lepas dan dalam perjalanan pulang dari berbulan madu di Pulau Redang.

Terpancar sinar kebahagiaan di wajah masing-masing. Senyuman tidak pernah lekang di bibir Suria yang sentiasa menjadi peneman setia suaminya berbual. Takut mengantuk katanya. Namun, akibat keletihan, Suria terlelap juga akhirnya. Hamzah juga kadangkala menguap sambil menggosok matanya.

Tiba-tiba sahaja Hamzah tersedar yang dia telah termasuk ke lorong bertentangan dan hampir melanggar kereta di hadapannya. Mujur dia sempat mengelak dan terbabas ke bahu jalan. Suria terkejut dan menjerit kecil. Istighfar tidak berhenti keluar dari bibir mulusnya. Alhamdulillah kedua mereka tidak mengalami sebarang kecederaan. Kereta dari arah bertentangan tadi pun sempat mengelak dan berhenti di bahu jalan arah bertentangan.

Suria menjenguk dari jauh ke arah kereta tersebut dan kelihatan pemandunya dalam keadaan sedar dan tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda kecederaan. Suria dan Hamzah pula tidak berani untuk keluar dari kereta atas sebab-sebab keselamatan. Setelah memastikan keadaan sekeliling dan pemandu kereta tersebut semuanya selamat, Hamzah mangambil keputusan untuk meneruskan perjalanan balik ke rumah mereka.

November 2016 (Setahun kemudian)

Suria dan Hamzah telah pun berpindah ke rumah baru mereka dan kini Suria sedang mengandung 5 bulan. Dalam mereka mensyukuri nikmat yang diberi, Hamzah telah dinaikkan pangkat dan terpaksa bekerja jauh dari rumah selama beberapa bulan. Suria berbelah bahagi untuk melepaskan Hamzah pergi kerana sedang sarat mengandung, namun demi masa depan mereka, dia terpaksa merelakan.

Hamzah juga turut khuatir untuk meninggalkan Suria sendirian di rumah. Oleh sebab itu Hamzah telah meminta tolong daripada jiran mereka, Yasmin untuk tengok-tengokkan Suria sepanjang ketiadaannya.

Yasmin seorang jiran yang baik hati dan rapat dengan Suria sejak Yasmin mula berpindah di lorong hadapan rumah mereka. Dari hari pertama lagi Yasmin lah yang banyak membantu Suria berkemas dan menyiapkan landskap rumah Suria. Yasmin sebenarnya kesunyian kerana tinggal sendirian di rumah tersebut. Dia masih belum berkahwin biarpun umurnya sudah agak berusia dan hanya menguruskan bisnes dalam talian dari rumah sahaja. Kebanyakkan urusan dilakukan oleh pekerja Yasmin dan Yasmin hanya akan keluar untuk menghadiri mesyuarat yang penting sahaja.

Pada Yasmin, kehadiran Suria dan Hamzah dapat juga mengubati kesunyiannya. Malahan, Suria juga dianggap sebagai adik dan mereka amat rapat dan kadangkala Yasmin tidur di rumah Suria untuk menemaninya.

Suatu hari, Suria mendapat berita yang suaminya, Hamzah kemalangan dan meninggal dunia ketika di dalam perjalanan ke tempat kerja. Disebabkan kematian suaminya, Suria menjadi amat tertekan dan hampir putus asa untuk hidup. Yasmin lah yang banyak memberi kata-kata semangat dan dorongan demi bayi yang bakal lahir itu. Makin lama Suria semakin berubah dan kembali ceria serta redha sepenuhnya dengan pemergian arwah suaminya. Sekarang ini dia perlu hidup untuk anak mereka, satu-satunya harta peninggalan arwah dan dia perlu menjaga kandungan ini sebaiknya.

Yasmin juga banyak mengeluarkan duit belanja untuk Suria dan bayinya. Antaranya ubat dan vitamin dari luar negara yang dikatakan sangat bagus untuk ibu dan bayi di dalam kandungan. Yasmin menyediakan segalanya kerana kasihankan Suria. Semua kelengkapan bersalin telah disediakan oleh Yasmin. Dia begitu sayang kepada Suria dan bayinya.

Masuk bulan ke lapan kandungan Suria, Suria mula rasa sakit-sakit badan dan pinggang sehingga susah untuk bergerak. Yasmin lah yang menguruskan semuanya dengan senang hati sehingga Suria berasa amat terhutang budi dengan Yasmin.

Sakit Suria berlarutan sehingga satu malam, selepas makan ubat dan vitamin, perut Suria mengeras dan mula turun darah. Suria menjerit memanggil Yasmin. Kebetulan pula pada malam tersebut Yasmin tiada di rumah kerana ada mesyuarat penting. Jeritan Suria mengejutkan jiran-jiran yang lain dan bergegas ke rumah Suria. Salah seorang jiran Suria, Osman dan isterinya, Rusnah telah menawarkan diri untuk menghantar Suria ke hospital.

Sesampainya di hospital, doktor mengesahkan bayi Suria telah meninggal dunia dan perlu dikeluarkan segera. Setelah selesai semua prosedur, doktor datang semula ke katil Suria dengan wajah yang amat marah. Doktor tersebut marah kerana ujian darah Suria menunjukkan kandungan racun yang amat tinggi kesan daripada pengambilan pil gugur dan alkohol. Doktor bertanyakan adakah disebabkan tekanan kehilangan suami, Suria telah berniat untuk membunuh anaknya sehingga sanggup memakan pil gugur dengan dos yang sangat tinggi?

Suria begitu terkejut dan menafikan sekerasnya perkara tersebut. Dia amat menyayangi bayinya dan telah berjanji pada arwah akan menjaga bayinya. Dalam fikiran Suria hanya seorang sahaja yang difikirkan iaitu Yasmin. Ya, dimanakah Yasmin ketika ini? Sejak semalam Yasmin tidak kelihatan. Telefon bimbitnya pun tidah dapat dihubungi sejak semalam. Hatinya sangat yakin bahawa semua ini angkara Yasmin. Tapi kenapa? Apa salah dia pada Ysamin?

Keesokkan harinya Yasmin datang ke hospital untuk melawat Suria sambil tersenyum lebar. Senyumannya amat sinis ketika matanya memandang perut Suria yang telah kempis.

Suria hendak menjerit tetapi dihalang oleh Yasmin. Suria hanya perlukan penjelasan. Kenapa? Yasmin hanya tersenyum sambil mengeluarkan telefon bimbitnya. Dia membuka aplikasi Whatsapp dan mencari perbualan dia dan pembantunya yang bertarikh 5 Januari 2017 dan meminta Suria membaca mesej tersebut. Suria tidak berminat hendak membaca namun matanya terpaku memandang imej yang ada di dalam mesej tersebut. Itu adalah gambar kereta suaminya yang telah remuk dan baru dia perasan tarikh tersebut adalah tarikh kematian suaminya. Kelihatan mesej di bawahnya yang berbunyi ‘Sudah selesai Puan. Hamzah dah K.O’.

Terasa seperti dihempap batu besar. “Apa semua ini?” Jerit Suria. Yasmin hanya berdiam diri dan kali ini dia menunjukkan kandungan ubat dan vitamin yang telah dimakan oleh Suria. Rupanya, vitamin tersebut adalah racun yang digunakan untuk menggugurkan bayi. Bukan sahaja kesan kepada bayi malah kesannya turut akan dirasai oleh si pemakan jika terlebih dos.

Suria menangis semahunya. kenapa Yasmin? Kenapa? Yasmin pantas menyuapkan pil-pil ubat tadi kedalam mulut Suria hingga berbuih-buih mulut Suria. Yasmin berpura-pura menjerit memanggil nurse dan mengatakan Suria cuba bunuh diri ketika dia sedang berada di dalam bilik air. Akhirnya Suria tewas dan doctor mengesahkan Suria meninggal dunia akibat tekanan perasaan dan membunuh diri.

Imbas Kembali

November 2015

Yasmin memandu sendirian menuju ke rumahnya selepas menghadiri mesyuarat petang tadi. Pemanduannya amat berhemah memandangkan dia sedang mengandung 7 bulan dan perlu berhati-hati. Suaminya tidak dapat menemaninya kerana perlu menjaga ibu mentuanya yang sakit. Yasmin tidak kisah pun kerana dia sudah biasa memandu jauh sebegitu untuk menghadiri mesyuarat.

Tiba-tiba sebuah kereta dari arah bertentangan memandu masuk ke lorong nya dan hampir melanggar kereta Yasmin, mujur Yasmin sempat mengelak dan masuk ke lorong kecemasan dangan pantas. Malang bagi Yasmin, perutnya yang besar itu telah terhentak kuat ke stereng kereta dan mengalami pendarahan yang banyak. Yasmin tidak berasa sakit ketika itu, mungkin kerana terkejut yang teramat. Dia sempat memandang ke arah kereta yang hampir melanggarnya dan cuba untuk meminta tolong tetapi tidak berupaya untuk menjerit.

Namun, wanita dan suami wanita yang berada di dalam kereta itu hanya memandang dan meneruskan perjalanan mereka tanpa menghulurkan bantuan kepadanya. Semakin lama, kepala Yasmin berasa sangat pening lalu pengsan. Kira-kira setengah jam kemudian, baru la ada kereta yang berhenti memberikan bantuan kepada Yasmin.

Sedar-sedar Yasmin telah berada di hospital, suaminya ada di situ tetapi seakan menjauhkan diri daripadanya. Dia meraba perutnya yang telah kempis. Mana bayinya? Suaminya yang dari tadi diam akhirnya memberitahu bahawa bayi mereka telah meninggal akibat lemas dan rahim Yasmin perlu dibuang ketika pembedahan kecemasan semalam kerana rahim telah pecah dan akan memudaratkan kesihatan Yasmin. Berita itu amat mengecewakan Yasmin.

Doktor yang merawat Yasmin menyatakan sekiranya Yasmin dibawa segera ke hospital, kemungkinan besar bayinya masih dapat diselamatkan. Dan yang paling menyedihkan Yasmin, suaminya turut mengutarakan untuk menceraikannya atas alasan Yasmin sudah mandul dan tidak dapat memberikan zuriat kepadanya.

Yasmin mengalami tekanan perasaan yang sangat teruk selama berbulan- bulan dan hampir membunuh diri.

Oktober 2016

Ketika ingin keluar dari parking kereta untuk membeli barangan keperluan, Yasmin ternampak dengan kereta yang hampir melanggarnya hampir setahun yang lalu di parking hadapan sebuah kedai makan. Dia amat mengenali kereta tersebut kerana di belakang kereta tersebut tertampal sticker bertulis SURIA_HAMZAH yang agak besar dan mudah dibaca walaupun pada jarak jauh. Ketika itu dendamnya tiba-tiba muncul kembali dan tekad untuk memusnahkan keluarga tersebut. “Kalau la mereka datang selamatkan aku lebih awal, mungkin sekarang aku sedang bahagia bersama anak dan suamiku.” Bisik hati Yasmin. Air matanya mengalir tanpa sedar.

Yasmin menunggu ketibaan tuan empunya kereta tersebut sehingga mereka sampai dan masuk ke dalam kereta. Apa yang lebih menyakitkan, wanita empunya kereta tersebut sedang mengandung dan kelihatan amat bahagia disamping suaminya. Sang suami tidak lepaskan tangannya memimpin tangan si isteri sehingga masuk ke dalam kereta. Senyum dan gelak ketawa mengiringi kedua pasangan tersebut. Namun pada Yasmin, semua senyuman itu seolah-olah memerli dirinya. Sakit sangat hati Yasmin melihat semua itu.

Yasmin mengekori kereta Suria dan Hamzah hingga tiba ke rumah mereka. Setelah pasti alamat tempat tinggal mereka, Yasmin terus mencari rumah untuk disewa di kawasan tersebut. Kebetulan pula terdapat iklan rumah untuk di sewa di lorong hadapan rumah Suria dan Hamzah. Yasmin terus menghubungi tuan rumah tersebut dan menjadi jiran yang ‘baik’ kepada suami isteri itu.

TAMAT
 
Sponsored Post

Sponsored Post

Top
Log in Register