BTC USD 53,889.8 Gold USD 2,497.39
Time now: Jun 1, 12:00 AM

Keluarga Lelaki Maut Di Dakwa Di Serang Anggota Polis Mahu Keadilan

Sponsored Post

Kes kematian suspek di Langkawi diklasifikasi semula sebagai kes bunuh

Alor Setar: Polis mengklasifikasikan semula siasatan kes kematian suspek di Langkawi, Khamis lalu daripada laporan kematian mengejut kepada menyebabkan kematian dan pembunuhan.

Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, beliau sudah mengarahkan siasatan diklasifikasikan semula mengikut Seksyen 304 dan Seksyen 302 Kanun Keseksaan selepas keputusan bedah siasat awal mendapati individu itu meninggal dunia akibat kecederaan tumpul di kepala.

"Saya sudah mengarahkan supaya pegawai dari kontinjen polis negeri mengambil alih siasatan daripada polis Langkawi bagi mengelak sikap berat sebelah.

"Kami sedang menyiasat dari semua sudut yang mungkin termasuk unsur daya yang berlebihan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Kedah, Senior Asisten Komisioner Adzli Abu Shah, pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Azhar dan ketua polis Langkawi Asisten Komisioner Shariman Ashari.

Fisol berkata, sehingga kini, polis sudah merekodkan keterangan daripada enam anggota polis yang terbabit dalam penahanan itu dan tujuh saksi.

Mengulas lanjut, Fisol berkata, suspek ditahan sewaktu 'Ops Tapis Khas' oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi, 29 Januari lalu.

Fisol berkata, polis cuba menahan suspek berusia 31 tahun itu selepas dia dikesan berkelakuan mencurigakan.

"Ketika proses penahanan, berlaku pergelutan dan suspek mengalami kecederaan di kening kanan dan telinga, leher kiri, lutut dan lengan manakala tiga anggota polis yang terlibat dalam tangkapan itu turut mengalami cedera ringan.

"Polis menemui satu straw mengandungi heroin seberat kira-kira 0.21gm pada suspek.

"Dia kemudiannya dibawa IPD Langkawi di mana ujian saringan awal air kencing mendapati dia positif morfin," katanya.

Fisol berkata, pada 8 malam hari sama, polis membawanya ke Klinik Kesihatan Kuah untuk merawat kecederaannya tetapi dia tiba-tiba rebah dan tidak sedarkan diri ketika berada di klinik.

"Dia dikejarkan ke Hospital Sultanah Maliha (HSM) dan dimasukkan ke zon merah wad kecemasan namun 12.40 tengah hari pada 1 Februari lalu, kami dimaklumkan beliau sudah meninggal dunia," katanya.

Fisol berkata, hasil bedah siasat yang dijalankan di HSB Alor Setar keesokan harinya mengesahkan lelaki itu meninggal dunia akibat kecederaan tumpul di kepala.

Beliau berkata, pihaknya kemudian menghubungi keluarga secara peribadi untuk memberi taklimat mengenai kes itu dan memaklumkan bahawa polis sedang menyiasat kes itu.

Ahad lalu, media melaporkan bahawa keluarga suspek menuntut keadilan berhubung kematiannya selepas dia didakwa diserang anggota polis semasa ditahan di sebuah stesen minyak di Ayer Hangat Isnin lalu.


Kredit: Harian Metro

4440.jpeg
4443.jpeg
 
Sponsored Post

Back
Top
Log in Register