Keluarga derma lima organ

CG Sponsors




glyceraldehyde

Active Member
Joined
Oct 19, 2008
Messages
1,597
Reaction score
113
Points
33
MUAR: Keluarga seorang wanita yang maut selepas terbabit dalam kejadian langgar lari, mendermakan lima organ mangsa - jantung, paru-paru, buah pinggang, hati dan kornea, dalam pembedahan bersejarah di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di sini, semalam.

Pembedahan itu dijalankan oleh pakar Institut Jantung Negara (IJN), Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan HPSF sejurus selepas Chiew Fong Neo, 43, disahkan meninggal dunia, kira-kira jam 1 petang.

Jantung dan paru-paru wanita itu kemudian dipindahkan ke IJN menerusi penerbangan ihsan helikopter Skuadron Pasukan Udara Tentera Darat Kem Mahkota Kluang, kira-kira jam 5.30 petang, manakala organ lain akan dipindahkan melalui jalan darat.

Chiew yang berasal dari Taman Tangkak Jaya di sini dan mempunyai tiga anak berusia lima tahun, 10 tahun serta 13 tahun, cedera parah di kepala selepas motosikal yang ditunggangnya dirempuh daripada belakang oleh sebuah kereta, kira-kira jam 4 petang, Ahad lalu.

Mangsa dihantar ke Hospital Tangkak sebelum dipindahkan ke HPSF untuk rawatan lanjut, tetapi disahkan meninggal dunia, kira-kira jam 1 petang semalam.

Kakak mangsa, Chiew Fong Kiaw, 45, berkata keluarganya membuat keputusan untuk mendermakan organ adiknya kerana mangsa gemar membantu orang lain dan banyak terbabit dalam kegiatan kemasyarakatan.
Chiew Fong Neo

"Semasa hidup, adik saya aktif dalam kegiatan kemasyarakatan dan pendermaan organ itu diharap dapat menunaikan hasratnya untuk membantu orang lain kerana beliau memang sentiasa suka berbuat baik," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata, keluarganya juga berharap pemandu kereta yang melanggar adiknya dapat dikesan dan dihadapkan ke muka pengadilan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ledang, Superintendan Harun Idris, berkata motosikal mangsa dilaporkan dirempuh Proton Wira di hadapan sebuah kedai serbaneka 24 jam di Tangkak.

"Kes itu diklasifikasi sebagai langgar lari apabila sehingga kini pemandu Proton Wira putih itu masih belum membuat laporan polis. Kita juga masih mengesan pemandu terbabit," katanya.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kemalangan itu supaya menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Sayuti Mohammad di 06-9781222 atau balai polis berhampiran.
 
Sponsored Post
Sponsored Post
Top
Log in Register