Dera budak sampai mati: Jurujual, amah sambung reman
JOHOR BAHRU: Perintah tahanan reman terhadap dua suspek yang dipercayai terlibat dalam kes penderaan seorang kanak-kanak berusia tiga tahun sehingga maut disambung enam hari lagi.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, lanjutan tempoh reman itu bagi membantu polis menjalankan dan melengkapkan siasatan dengan lebih terperinci.
“Orang ramai dinasihatkan tidak membuat spekulasi tentang kes berkenaan kerana siasatan masih dijalankan.
“Polis komited melaksanakan tugas dan tanggungjawab berlandaskan peruntukan undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Pada 4 Oktober lalu, jurujual berusia 28 tahun dan amah warga Indonesia berusia 40 tahun itu ditahan reman tujuh hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Mereka ditahan ekoran disyaki mendera seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun sembilan bulan sehingga maut dengan beberapa kecederaan di badannya, antaranya lebam dan luka kecil.
Bapa mangsa membuat laporan polis setelah dia berkunjung ke kediaman suspek yang juga rakannya yang telah diamanahkan untuk menjaga dua anaknya dengan bayaran RM2,800 sebulan.
Bapa mangsa bekerja di Singapura, manakala isterinya bertugas di Yong Peng.