BTC USD 54,375.9 Gold USD 2,497.31
Time now: Jun 1, 12:00 AM

Jabatan Agama Islam Perak mengunjungi kuil Hindu

Sponsored Post

'Isu lawatan ke kuil' - ini jawapan Jabatan Agama Islam Negeri Perak​

Jabatan Agama Islam Negeri Perak (JAIPk)
Jabatan Agama Islam Negeri Perak (JAIPk)


IPOH: Jabatan Agama Islam Negeri Perak (JAIPk) tampil memohon maaf, terutamanya kepada umat Islam atas kontroversi yang timbul susulan kemelut isu tular berhubung klip video mengenai kursus lawatan anjuran jabatan itu ke sebuah rumah ibadat bukan Islam baru-baru ini.

JAIPk dalam kenyataannya, berkata sebagai di antara jabatan yang diberi amanah mengurus hal ehwal dan kepentingan agama Islam, ia tidak sesekali mengendurkan pegangan terhadap prinsip-prinsip maqasid syariah yang selama ini mendasari perjalanan pentadbiran kerajaan negeri Perak.

"Jabatan ini memohon maaf kepada semua pihak terutamanya umat Islam atas kontroversi yang timbul susulan penganjuran kursus serta kenyataan peserta berkenaan sehingga menimbulkan salah faham selain menjejaskan nama baik kerajaan negeri dan pihak berkuasa agama," katanya.

JAIPk-tular-video-viral.jpeg
Tangkap layar video mengenai satu program lawatan di sebuah rumah ibadat bukan Islam baru-baru ini.

Menjelaskan lebih lanjut, JAIPk berkata, wanita yang dikaitkan dengan kemelut isu yang tular itu bagaimanapun bukan pegawai atau kakitangan jabatan itu seperti didakwa, sebaliknya seorang peserta yang mengikuti kursus berkenaan secara sukarela.

JAIPk berkata, pihaknya kesal dengan polemik yang timbul berikutan penyebaran klip video mengenai program lawatan terbabit yang diadakan di kuil berkenaan pada 30 Julai lalu.

Katanya, lawatan yang dikendalikan Global Unity Network (UNITY) dengan kerjasama JAIPk itu diadakan secara tertutup membabitkan 32 orang peserta terpilih dari seluruh Perak.

Menurutnya, semua peserta itu sedang mengikuti lima kursus dakwah di bawah JAIPk yang bertujuan meningkatkan kefahaman mereka mengenai hal ehwal aktiviti dakwah dan lawatan itu adalah antara satu daripada modul kursus terbabit.

"Lawatan berkenaan adalah sebahagian daripada pengisian kursus untuk melatih dan meningkatkan keyakinan pesertanya dalam menyampaikan dakwah, terutamanya bagi membetulkan banyak salah faham mengenai Islam termasuk kebencian akibat sentimen Islamphobia.

"Bagaimanapun, lawatan itu bertukar menjadi polemik apabila sebuah akhbar menyiarkan klip video kenyataan salah seorang peserta wanita yang kemudiannya menimbulkan salah faham sehingga mengundang perdebatan hangat di laman media sosial.

"Jabatan ini terpanggil untuk menjelaskan bahawa wanita berkenaan bukan pegawai atau kakitangan JAIPk seperti yang didakwa, sebaliknya seorang peserta yang mengikuti kursus berkenaan secara sukarela," kata kenyataan itu.

JAIPk mengambil maklum mengenai arahan dan beberapa ketetapan yang dibuat kerajaan Perak selepas mendapat titah nasihat Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, supaya isu itu ditangani segera bagi mengelakkan ia terus menimbulkan keresahan dalam masyarakat.

Kata kenyataan itu, bagi mencegah kontroversi seumpamanya berulang, JAIPk akan mengkaji semula modul dan kaedah pelaksanaan kursus berkenaan, selain menetapkan garis panduan khusus kepada peserta yang menyertai program dakwah yang dianjurkan jabatan itu pada masa hadapan.

"JAIPk juga akan berbincang dengan pemegang taruh serta pihak berkuasa agama Islam lain termasuk Jabatan Mufti Negeri Perak (JMNPk) dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) untuk memikirkan kaedah atau pendekatan kursus dakwah yang lebih sesuai," katanya.

Terdahulu, isu itu tular menerusi klip video berdurasi 6.35 minit dipercayai dari media berbahasa Tamil, memaparkan kunjungan delegasi dari JAIPk ke sebuah kuil dekat Kg Kasipillay, Kuala Lumpur.





-------

Isu lawat kuil: Umat Islam hati-hati buat kenyataan, rujuk Mufti - MAIS​




Abdul Aziz (tengah) pada sidang media selepas Majlis Ijtima Riqab dan Pelancaran Kempen Bulan Pembebasan Riqab 2024 di Hotel KSL Esplanade, Klang. - Foto NSTP/Faiz Anuar
Abdul Aziz (tengah) pada sidang media selepas Majlis Ijtima Riqab dan Pelancaran Kempen Bulan Pembebasan Riqab 2024 di Hotel KSL Esplanade, Klang. - Foto NSTP/Faiz Anuar


KLANG: Umat Islam perlu merujuk pihak berkuasa agama Islam negeri terutamanya Jabatan Mufti dan berhati-hati membuat sebarang kenyataan berhubung isu agama.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, berkata perkara ini penting bagi mengelakkan kekeliruan dan salah faham dalam kalangan umat Islam.

Menurut beliau, kenyataan yang dibuat (peserta kursus) sangat tidak sesuai dengan mengatakan bahawa ada ajaran agama Hindu itu sama dengan ajaran Islam.

"Kalau ilmu kurang, jangan keluarkan kenyataan salah. Kena berhati-hati supaya orang tidak keliru..apa-apa yang berkaitan agama Islam elok merujuk kepada Jabatan Mufti negeri.

"Setiap negeri ada Jabatan Mufti, mereka yang menjaga hukum syarak terus di bawah Tuanku Sultan.. (di Selangor) bukan di bawah MAIS tetapi terus di bawah Tuanku Sultan.

"Hal berkaitan seperti itu elok kita mendapatkan pandangan rasmi daripada Jabatan Mufti supaya (perkara itu) dikaji dengan dengan teliti," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Kempen Bulan Pembebasan Riqab 2024 di Hotel KSL Esplanade di sini, hari ini.

Semalam, kerajaan Perak meletakkan empat ketetapan bagi menyelesaikan dan menangani kemelut berhubung isu penularan penyebaran klip video lawatan kursus anjuran Jabatan Agama Islam Negeri Perak (JAIPk) di sebuah rumah ibadat bukan Islam baru-baru ini.

Pejabat Menteri Besar Perak dalam kenyataan berkata, perkara itu diputuskan menerusi satu mesyuarat khas dengan ketetapan itu diputuskan selepas mendapat titah nasihat Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah selepas baginda disembah maklum mengenainya.

Terdahulu, JAIPk tampil memohon maaf, terutamanya kepada umat Islam atas kontroversi yang timbul susulan kemelut isu tular berhubung klip video mengenai kursus lawatan anjuran jabatan itu ke sebuah rumah ibadat bukan Islam baru-baru ini.

JAIPk berkata, sebagai di antara jabatan yang diberi amanah mengurus hal ehwal dan kepentingan agama Islam, ia tidak sesekali mengendurkan pegangan terhadap prinsip-prinsip maqasid syariah yang selama ini mendasari perjalanan pentadbiran kerajaan negeri Perak.
 
Last edited:

Dr. Rozaimi Ramle


[Hukum Memasuki Rumah Ibadat Bukan Islam Untuk Dakwah]
1. Saya diberikan beberapa gambar berkaitan ulamak besar dari Mesir yang menyandang jawatan Syaikhul Azhar dan juga Maulana Salman al- Nadwi dari India serta One Centre Malaysia berada dalam rumah ibadah orang kafir.
Selain itu, terdapat juga gambar Habib Umar dari Yaman, Habib Ali al-Jifri bergambar di luar berhampiran rumah ibadah orang kafir. Jika gambar ini benar, apakah hukum memasuki rumah ibadah orang kafir. Saya ingin memberi komentar rignkas berkaitan isu memasuki rumah ibadah orang kafir adakah ia dibolehkan ataupun sebaliknya.
Jika tiada hajat dan keperluan, elakkanlah daripada memasukinya. Para fuqaha mengharamkan untuk memasuki rumah ibadah orang kafir yang terdapat berhala dan patung yang di ibadahi mereka.
2. Demikian pandangan daripada ulamak Mazhab Syafie.
Khatib al-Syirbini berkata:
لا يجوز للمسلم دخول كنائس أَهل الذّمّة إِلّا بِإِذنهم. ومقتضى ذلك الْجواز بالإِذن وهو محْموْل على ما إِذا لم تكن فيها صورة
" Tidak boleh bagi Muslim untuk masuk ke dalam gereja-gereja (rumah ibadat) ahli zimmah melainkan dengan izin mereka. Berdasarkan hal ini dibenarkan memasuki gereja atas izin mereka jika gereja tersebut tidak mempunyai berhala/gambar/patung"
[Khatib al-Syarbini, Syamsuddin Muhammad bin Ahmad al-Khathib. Mughni al-Muhtaj ila Ma’rifah Ma’ani Alfaz al-Minhaj. jil 4, hal 337]
Al-Qalyubi berkata:
لا يجوز لنا دخولها أي الكنيسة إلا بإذنهم ، وإن كان فيها تصوير حرم مطلقاً.
"Tiada harus bagi kita memasukinya seperti masuk ke dalam gereja (tempat ibadah orang kafir) melainkan dengan izin mereka. Dan sekiranya ada di dalamnya patung/gambar/lakaran yang disembah (oleh orang kafir) maka haram secara mutlak (memasukinya)"
Ulamak Syafieyah agak tegas dalam masalah ini.
3. Ketika kita membahaskan perbahasan berkaitan isu masuk gereja boleh atau tidak, ulamak salaf mereka lebih jauh membahaskan isu bolehkah solat di dalam gereja ataupun tidak.
Imam Bukhari ada meletakkan bab dalam sahihnya:
بَابُ الصَّلاَةِ فِي البِيعَةِ وَقَالَ عُمَرُ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ: «إِنَّا لاَ نَدْخُلُ كَنَائِسَكُمْ مِنْ أَجْلِ التَّمَاثِيلِ الَّتِي فِيهَا الصُّوَر» وَكَانَ ابْنُ عَبَّاسٍ: «يُصَلِّي فِي البِيعَةِ إِلَّا بِيعَةً فِيهَا تَمَاثِيلُ
"Bab Solat di dalam gereja/biara. Umar telah berkata: Kami tidak mahu masuk ke dalam gereja-gereja kamu yang ada patung-patung. Ibn Abbas bersolat pada (biara/gereja) kecuali pada (gereja/biara) yang mempunyai berhala"
Ini merupakan turjamatul bab oleh Imam Bukhari dan pada nuskah cetakan yang lain terdapat tajuk yang agak berbeza dengan lafaz di atas.
Dalam Al-Mausu'ah Al-Fiqhiyyah Al-Kuwaitiyyah:
قال الحنابلة : للمسلم دخول الكنيسة والبيعة , والصلاة فيهما من غير كراهة على الصحيح من المذهب . وفي قول آخر للحنابلة , وهو قول الحنفية : يكره دخولها لأنها مأوى الشياطين
"Ulamak mazhab Hanbali berkata: Dibenarkan bagi orang Muslim untuk memasuki gereja dan tempat ibadah orang Yahudi (biara), mendirikan solat di dalam tempat tersebut dan hukumnya tidak makruh menurut pandangan yang sahih di sisi mazhab. Menurut satu pandangan yang lain dalam kalangan hanabilah dan pandangan ini bersamaan dengan ahli ilmu dalam mazhab hanafi: di makruhkan memasukinya kerana ia adalah tempat tinggal syaitan-syaitan"
Ini salah satu daripada pandangan dinukilkan dalam Al-Mausu'ah Al-Fiqhiyyah Al-Kuwaitiyyah. Ada kepelbagaian pandangan lagi
disebutkan di situ. Bagi yang berkemampuan berbahasa Arab boleh untuk rujuk di situ kerana dinukilkan banyak pandangan di sana termasuk pandangan Syafieyah yang mengharamkan. Zahir teks di atas tidak makruh untuk solat dalam rumah ibadah orang kafir.
Namun dalam nukilan teks yang lain, ada juga yang membezakan antara rumah ibadah yang terdapat patung berhala ataupun sebaliknya.
Hakikatnya jika kita merujuk terus kepada kitab asal mazhab Hanbali dan Hanafi, masih ada perbahasan yang panjang dan terdapat ikhtilaf sesama ahli ilmu dalam mazhab tersebut. Ini ada dinukilkan oleh Ibn Muflih dan Ibn Qudamah dalam Hanabilah. Demikian juga dalam mazhab Hanafi oleh Ibn Abidin.
Tidak berpada sekadar kita melihat dari sumber sekunder. Untuk lebih cermat perlu terus melihat terus kepada kitab mazhab tersebut.
4. Ada juga ulamak mazhab Hanafi tegas melarang memasuki gereja. Apabila membaca teks mazhab hanafi, perkataan 'makruh tahrim' di sisi mereka berbeza dengan takrif jumhur pada keadaan tertentu.
Dalam Syarh Kanz al-Daqaiq sebuah karya Fiqh dalam mazhab Hanafi, disebutkan bahawa:
يكره للمسلم الدّخول في البيعة والكنيسة. وَالظّاهر أنّها تحريميّةٌ
"Makruh tidak disukai untuk seorang Muslim masuk ke dalam tempat ibadah orang Yahudi (biara) dan Gereja. Secara Zahirnya sesungguhnya perkara ini adalah diharamkan (makruh tahrim)"
[Ibn Nujaim, Zainuddin bin Ibrahim bin Muhammad. al-Baḥr al-Ra’iq sharḥ kanz al-Daqāʼiq. jil 8, hal 374]
Dalam mazhab Hanafi juga mempunyai kepelbagaian pandangan dalam isu ini. Ibn Abidin juga ada menukilkan pandangan yang mengatakan makruh dan selainnya.
5. Salah satu pandangan yang disandarkan kepada Imam Malik, beliau tidak melarang pergi berjual beli pada perayaan yang disambut oleh pihak gereja. Dinukilkan dalam Syarah kepada Mukhtasar Khalil dan al-Bayan wa al-Tahsil:
وروى ابن القاسم أَنّ مالكا سئل عن أَعْياد الكنائس فيجتمعُ المسلمون يحملون إليْها الثّياب والْأَمتعة وغيْر ذلك يبيعونَ يبتغون الفضل فيها. قال: لا بَأْس بذلكَ
Diriwayatkan oleh Ibn al-Qasim bahawasanya Imam Malik ditanya berkaitan perayaan-perayaan disambut oleh gereja, maka terdapat kaum muslimin berhimpun pergi ke tempat tersebut dengan membawa baju, perhiasan dan selainnya untuk berjual mengambil keuntungan daripadanya.
Imam Malik menjawab: Tidak mengapa dengan perkara tersebut.
[Ibn Rushd, Muḥammad ibn Aḥmad. al-Bayān wa al-taḥṣīl. jil 4, hal 169]
Dari teks yang dihikayatkan di atas, dikatakan bahawa Imam Malik tidak melarang perbuatan tersebut. Hakikatnya dalam mazhab Maliki terdapat perbahasan yang lebih mendalam dalam kalangan Malikiah dan terdapat perbezaan pandangan dalam hal ini.
Saya lebih cenderung bahawa tidak boleh untuk bersama kuffar dalam perayaan mereka. Jika pergi ke tempat ibadah mereka seperti kuil, gereja, biara untuk dakwah ataupun berdialog menyampaikan risalah tauhid ia dibenarkan.
[Kesimpulan]
- Harus masuk ke rumah orang kafir yang tidak mempunyai berhala/gambar sembahan mereka ketika memiliki hajat dan keperluan.
- Haram memasuki rumah ibadah orang kafir yang mempunyai berhala tanpa sebarang keperluan
- Solat di masjid lebih baik daripada solat di gereja.
- Lajnah Da'imah membenarkan bagi orang alim yang berkemampuan untuk berdialog dan berdakwah memasuki gereja dengan syarat tertentu.
- Elakkan bersuka ria dan "enjoy" selfie bergembira di tempat peribadatan orang kafir.
Dr Rozaimi Ramle

 
KEPUTUSAN MESYUARAT

JAWATANKUASA FATWA NEGERI PERLIS KALI KE - 65 / 2023

16-17 OKTOBER 2023 / 1-2 RABIUL AKHIR 1445


Bil.3/65 Tahun 2023

HUKUM ORANG ISLAM MEMASUKI RUMAH IBADAH BUKAN ISLAM

Islam agama yang menyuruh penganutnya hidup harmoni dengan penganut agama lain dengan tidak mengiktiraf perkara syirik, kufur dan maksiat. Ulama berbeza pendapat tentang hukum orang Islam memasuki rumah ibadah orang bukan Islam kepada beberapa pendapat.

Pendapat pertama menyatakan hukumnya adalah haram. Ia merupakan pendapat ulama Mazhab Hanafi dan al-Syafi’i. Cuma ulama Mazhab al-Syafi’i mengikatkan pengharaman tersebut dengan kewujudan patung di dalam rumah ibadah bukan Islam itu. Ulama Mazhab Hanafi menghukumkan haram secara mutlak atas alasan rumah ibadah bukan Islam adalah tempat tinggal syaitan.

Pendapat kedua menyatakan hukumnya adalah makruh. Ia merupakan pendapat ulama Mazhab Hanbali. Cuma sebahagian mereka juga mengikatkan hukum makruh tersebut dengan kewujudan patung dalam rumah ibadah tersebut.

Pendapat ketiga hukumnya harus secara mutlak. Ia merupakan pendapat yang dipegang dalam Mazhab Hanbali, sebagaimana yang disebutkan dalam al-Mughni dan pendapat Ibn Hazm seperti yang dinyatakan dalam al-Muhalla.

Setelah meneliti pandangan-pandangan tersebut, Jawatankuasa Fatwa memutuskan hukum memasuki rumah ibadat agama lain adalah dibolehkan dengan syarat berikut:

  1. Tidak bertujuan mengagungkan, mengiktiraf, berbangga, bergembira atau menyertai unsur syirik, kufur atau maksiat yang ada di dalamnya.
  2. Tidak meredhai kekufuran dan maksiat yang dilihat kerana redha dengan kekufuran membawa kepada kufur dan redha dengan maksiat adalah dosa.
  3. Tidak dengan sengaja menyebabkan pihak lain melihat atau menganggap ia sebagai satu pengiktirafan atau pengagungan kepada ajaran yang salah dengan adanya unsur tasyabbuh atau boleh menimbulkan persepsi buruk terhadap diri yang terlibat.
  4. Diizinkan oleh pemilik atau pihak agama tersebut dan bukan satu pencerobohan sedangkan semua pihak berada dalam keadaan aman dan harmoni.
Jika syarat-syarat ini tidak dipatuhi, maka hukumnya adalah haram bahkan boleh membawa kepada syirik atau kufur. Bagi yang bimbang tidak dapat memenuhi syarat-syarat di atas hendaklah menjauhi daripada memasuki rumah ibadah bukan Islam.

Adapun jika memasuki rumah ibadah bukan Islam itu boleh membantu penganut agama lain memahami Islam, maka itu satu usaha dakwah yang digalakkan.

- Tamat –

Kehadiran Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis:

  1. Sahibus Samahah Profesor Dato’ Arif Perkasa Dr Mohd Asri Bin Zainul Abidin
  2. Sahibul Fadhilah Ustaz Tajul Urus bin Abdul Halim
  3. Sahibul Fadhilah Dato’ Dr. Johari bin Mat
  4. Sahibul Fadhilah Profesor Dr. Muhamad Rozaimi bin Ramle
  5. Sahibul Fadhilah Profesor Dr. Basri bin Ibrahim
  6. Sahibul Fadhilah Dr. Hj Zaharuddin Bin Hj Abdul Rahman
  7. Sahibul Fadhilah Profesor Dr. Azman Bin Mohd Noor
  8. Sahibul Fadhilah Prof Madya Dr. Mohd Akram Bin Dato’ Dahaman @ Dahlan
  9. Sahibul Fadhilah Dr. Ahmad Sufian bin Che Abdullah
  10. Sahibul Fadhilah Prof Madya Dr Ahmad Wifaq Bin Mokhtar
  11. Sahibul Fadhilah Ustaz Syed Abu Bakar Bin Syed Kamal Bharin
  12. Sahibul Fadhilah Dr. Muhammad Lukman Bin Mat Sin
  13. Al-Fadhil Ustaz Muhammad Khidhir Bin Abdul Ghani - Setiausaha
DIPERAKUKAN dalam Persidangan Mesyuarat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis Bil 6 / 2023 pada 4 Disember 2023.
 
Sponsored Post

Back
Top
Log in Register