- Joined
- Feb 15, 2007
- Messages
- 10,380
- Reaction score
- 61
- Points
- 120

ZAKI yang cedera ditikam semasa menyertai 'Ops Tapis' di Selangor Mansion, Jalan Masjid India kelmarin.
KUALA LUMPUR - "Saya tak perasan badan saya terkena tikaman sebab kesakitannya macam kena tumbuk saja.
"Tak lama lepas itu saya rasa badan saya lemah dan terkejut bila nampak banyak darah melekat di baju."
Demikian cerita Lans Koperal Zaki Daud, 46, mengenai kecederaan dialaminya ketika bergelut dengan seorang pengedar dadah di sebuah flat di Selangor Mansion, Jalan Masjid India di sini malam kelmarin.
Dalam kejadian pukul 10.30 malam itu, mangsa bersama sembilan lagi anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi sedang menjalankan 'Ops Tapis'.
Menurut Zaki, semasa mahu melakukan serbuan di tingkat empat flat tersebut, pasukannya berpecah kepada beberapa kumpulan.
"Saya dan seorang lagi anggota, Sarjan Yusof Mohd. diarah naik melalui tangga ke lokasi yang menjadi sasaran.
"Sampai di tingkat empat, kami terserempak dengan seorang suspek yang sedang berurusan dengan tiga lagi rakannya.
"Ketiga-tiga rakannya berjaya melarikan diri dan saya sempat memegang baju suspek," katanya.
Katanya, suspek yang terdesak untuk melarikan diri terus bertindak agresif sehingga berlaku pergelutan sebelum suspek yang bersenjatakan gunting menikam rusuk kirinya.
Suspek kemudiannya dapat melarikan diri dengan turun melalui tangga. Bagaimanapun, suspek itu kemudiannya ditahan di bawah bangunan flat itu oleh anggota polis yang menunggu di situ.