BTC USD 50,808.4 Gold USD 1,782.90
Time now: Jun 1, 12:00 AM

Hospital nafi 6 doktor, kakitangan terbabit sindiket jual bayi

alisha_qistina

Super Active Member
Messages
6,412
Joined
Jun 27, 2008
Messages
6,412
Reaction score
257
Points
81
KLANG: Setelah nama Hospital Metro Maternity di Jalan Pasar di sini dikaitkan dengan kes sindiket penjualan bayi yang ditumpas polis baru-baru ini, hospital itu hari ini tampil memberi penjelasan dan menafikan doktor dan kakitangannya terlibat dalam kes itu.

Ketua Jabatan Perbidanan dan Sakit Puan hospital itu, Dr Tee Swi Peng, berkata siasatan yang dilakukan pihaknya selepas nama hospital itu tersiar dalam akhbar tempatan baru-baru ini menunjukkan enam doktor dan kakitangannya tidak terlibat dalam kes itu.

"Pihak hospital memang menerima ramai pesakit yang ingin bersalin di hospital ini sama ada rakyat tempatan atau asing tetapi kami tidak tahu bayi yang dilahirkan di hospital kami adalah untuk dijual atau sebaliknya malah wanita yang disebut sebagai ''auntie'' itu pun kami tidak pernah nampak di hospital kami," katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Beliau berkata faktor kos bersalin yang agak murah dan rawatan terbaru iaitu kaedah IVF (In Vitro Fertilization) yang dilakukan hospital itu mungkin menjadi pilihan orang awam namun tidak bermakna hospital terbabit terlibat dalam kes sedemikian.

Ketika ditanya mungkin ada di kalangan doktor separuh masa di hospital itu yang terlibat, Dr Tee berkata pihaknya sedang menyiasat.

Beliau berkata pihaknya sedia memberi kerjasama penuh kepada polis dalam menjalankan siasatan.

Hospital itu yang mempunyai sebuah lagi cawangan di Banting, Selangor difahamkan mengenakan bayaran yang agak rendah untuk kos bersalin iaitu antara RM1,000 ke RM1,200.

"Buat masa sekarang kami tidak akan mengambil sebarang tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak sehingga siasatan polis selesai," katanya.

Beliau berkata selepas kes itu terbongkar, pihaknya kini memperketat pendaftaran masuk pesakit.

"Jika sebelum ini kami terima semua pesakit kecemasan tetapi selepas kejadian ini kami akan memperketat pendaftaran masuk pesakit," katanya.

Ditanya sama ada pihaknya ada menerima wanita bersalin tanpa suami, Tee berkata pihaknya menerima semua pesakit tetapi kes sebegini akan diserah kepada polis selepas wanita itu selamat melahirkan anak.

"Keutamaan kami adalah menyelamatkan bayi dan ibu tetapi bagi kes sebegini kami akan serahkan segala butiran ibu dan bayi kepada polis untuk siasatan," katanya.

Sindiket itu ditumpaskan selepas sembilan orang termasuk dalang dan empat pembeli ditahan di Banting, Klang dan Kajang pada 4 dan 11 Disember lalu.

Lima bayi berusia lingkungan dua minggu hingga sembilan bulan dan seorang kanak-kanak diselamatkan bersama dua wanita rakyat Indonesia yang sarat mengandung.

Pada 15 Disember lalu, seorang wanita dan dua anak perempuannya dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Klang kerana dituduh memperdagangkan tiga bayi perempuan.
 

CG Sponsors




Top
Log in Register