Galakan Taubat daripada Rasulullah s.a.w.

CG Sponsors




maggi

Freshie
Joined
Jan 20, 2010
Messages
5
Reaction score
1
Points
8
Allah s.w.t. menjadikan seluruh hidup ini, sebagai ujian bagi para hambaNya, bagi membezakan dalam kalangan para hambaNya, antara yang jujur denganNya dan yang mendustaiNya.

Di antara ujian tersebut, Allah s.w.t. meletakkan syariat sebagai ukuran bagi mendidik manusia, agar mengutamakan perintahNya daripada kehendak nafsu diri mereka. Sesiapa yang berjaya mengutamakan perintah Allah s.w.t. daripada kehendak nafsu dirinya dengan mengutamakan syariat, maka dia ialah orang yang berjaya, begitulah juga sebaliknya.


Adapun sesiapa yang mengutamakan kehendak nafsuNya daripada perintah Allah s.w.t., dengan melanggar syariatNya, maka dia telahpun menderhakaiNya dengan kemaksiatan. Maka, orang-orang tersebut merupakan orang yang malang terutamanya di Akhirat kelak.


Namun, bagi orang-orang yang melakukan kesalahan, kerana dikuasai oleh nafsu, dan lemah imannya, maka Allah s.w.t. sentiasa bersedia untuk menerima kepulangan para hambaNya kembali bersimpuh di bawah kebersamaan rahmatNya dengan taubat kepadaNya.


Allah s.w.t. sentiasa menanti kembalinya sang hamba yang berjauhan denganNya dan gembira dengan kepulangan sang hambaNya daripada kemaksiatan kepada ketaatan, lebih daripada gembiranya seorang perantau yang bertemu semula dengan tunggangan dan bekalan musafirnya, setelah kehilangannya.


Nah, sang musafir yang gembira dengan kepulangan haiwan tunggangannya sewajarnya bergembira, kerana dia sememangnya memerlukan kepada haiwan tunggangannya tersebut, agar dapat meneruskan perjalanannya. Oleh yang demikian, kegembiraan sang musafir tersebut bukan kerana mencintai haiwan tunggangannya kerana haiwan tersebut, tetapi kerana ada kepentingan daripada haiwan tunggangannya tersebut.


Adapun Allah s.w.t., yang tidak pernah memerlukan para hambaNya, tidak pernah berhajat kepada para hambaNya, malah terlebih gembira akan kepulangan para hambaNya kembali kepada ketaatan kepadaNya, dan bersimpuh dalam kebersamaanNya, bukan kerana kepentingan diriNya, tetapi kerana cintaNya kepada para hambaNya setulusnya. Inilah nilai cinta teragung daripada Allah s.w.t. yang Maha Agung.


Dia yang sentiasa memberi peluang dan terus memberi peluang kepada para hambaNya, sehinggakan Nabi s.a.w. sendiri yang pernah ditanya, sampai bilakah Allah s.w.t. akan terus memaafkan para hambaNya yang sentiasa bertaubat namun masih mengulangi kesalahannya, lalu bertaubat semula begitulah seterusnya, dengan jawapan: "Allah s.w.t. tidak akan pernah jemu memaafkan para hambaNya yang (jujur) bertaubat kepadaNya sehinggalah hamba itu sendiri yang jemu (daripada bertaubat kepadaNya)".


Rasulullah s.a.w. sentiasa menggalakkan umat Baginda s.a.w. agar bertaubat, kerana fitrah manusia yang serba lemah dan kekurangan, sentiasa tewas dengan hasutan syaitan dan dorongan nafsu yang mengajak kepad kederhakaan terhadapNya.

Oleh yang demikian, Rasulullah s.w.t. juga bersabda yang bermaksud: "Setiap anak Adam itu melakukan kesalahan, dan sebaik-baik orang-orang yang melakukan kesalahan adalah orang-orang yang bertaubat" (Hadis riwayat Ahmad dan At-Tirmizi)


Rasulullah s.a.w. bersabda lagi yang bermaksud: "Wahai manusia, bertaubatlah kepada Allah s.w.t. dan minta ampunlah daripadaNya, Sesungguhnya aku sendiri bertaubat kepada Allah s.w.t. setiap hari sebanyak seratus kali" (hadis riwayat Imam Muslim)


Bahkan, Rasulullah s.a.w. sentiasa memberi dorongan dan semangat kepada para umat Baginda s.a.w. yang sentiasa putus asa terhadap keampunanNya, dengan meyakini keampunan Allah s.w.t. yang Maha Luas. Pintu taubat sentiasa terbuka, bagi para hambaNya yang ingin kembali kepadaNya, keranaNya, dan dengan bantuanNya.


Rasulullah s.a.w. juga pernah bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah s.w.t. melebarkan tangan (sifat Maha PemurahNya) di malam hari untuk mengampunkan orang-orang yang membuat kemaksiatan di siang hari, dan Allah s.w.t. juga melebarkan tangan keampunanNya untuk mengampuni orang-orang yang membuat kemaksiatan di malam hari, sehinggalah matahari terbit dari sebelah barat (datangnya hari Kiamat)". (Hadis riwayat Imam Muslim)


Pada hakikatnya, Allah s.w.t. tidak pernah memerlukan para hambaNya, bahkan tidak pernah memerlukan taubat para hambaNya, tetapi para hamba tersebutlah yang justeru memerlukan taubat kepadaNya dan kembali ke pangkuan rahmatNya, kerana tiada nilai kehidupan mereka melainkan hanya dengan kebersamaan Allah s.w.t. dan keredhaanNya.


Rasulullah s.a.w. bersabda bahawasanya Allah s.w.t. telahpun berfirman (dalam hadis Qudsi): "Wahai hamba-hambaKu, sesungguhnya Aku telah mengharamkan kezaliman ke atas diriKu, dan Aku jadikan kezaliman itu haram sesama kamu jua, maka janganlah kamu semua melakukan kezaliman.


"Wahai para hambaKu. Kamu semua sebenarnya sesat, kecuali sesiapa yang Aku memberi hidayah kepadanya, maka pohonlah hidayah daripadaKu nescaya Aku akan memberi hidayah kepadamu.


"Wahai para hambaKu. Kamu semua dalam kelaparan melainkan sesiapa yang Aku beri makan kepadanya, maka mintalah makanan daripadaKu, nescaya Aku akan memberi makan kepadaNya.


"Wahai para hambaKu. Kamu semua asalnya bertelanjang (tanpa pakaian dan penjagaan), melainkan sesiapa yang Aku beri pakaian kepadaNya. Oleh itu, mintalah agar Aku memberi pakaian kepadamu, nescaya Aku akan memberi pakaian kepadamu.


"Wahai para hambaKu. Sesungguhnya kamu semua melakukan kesalahan pada malam dan siang sedangkan Aku Maha Mengampuni sekalian dosa, maka mintalah ampun daripadaKu, nescaya Aku akan ampuni kamu semua.


Wahai para hambaKu. Kamu semua tidak dapat mencapai akan sebarang kemudaratan bagi memudaratkanKu. Kamu semua juga tidak akan dapat mencapai suatu kemanfaatan bagi memanfaatkanKu.


"Wahai para hambaKu. Kalaulah seluruh makhluk daripada yang paling awal, sehinggalah yang paling akhir wujud, manusia dan jin, seluruhnya, bertaqwa dengan taqwa orang yang paling bertaqwa dalam kalangan kamu, nescaya tidak akan bertambah akan kerajaanKu lagi.


"Wahai para hambaKu. Kalau seluruh makhluk daripada yang paling awal sehinggalah yang paling akhir wujud, samada jin ataupun manusia, seluruhnya, derhaka kepadaKu dengan sejahat-jahat penderhakaan dalam kalangan kamu, nescaya ianya tidak sedikitpun mengurangkan akan kerajaanKu sama sekali.


"Wahai para hambaKu. Kalau seluruh makhluk daripada yang paling awal sehinggalah yang paling akhir wujud, samada jin ataupun manusia, seluruhnya, berhimpun dan meminta daripadaKu, nescaya Aku akan memberikan setiap daripada kamu, akan perimntaan-permintaan mereka, dan ia tidak mengurangkan sedikitpun daripada apa yang Akum miliki, melainkan seumpama berkurangnya lautan apabila masuk ke dalam laut.


"Wahai para hambaKu. Hakikatnya (dalam seluruh kehidupan ini), hanyalah apa yang berkaitan dengan amalan kamu semua, yang Aku perhitungkan ke atas kamu, kemudian Aku memberi ganjaran terhadap amalan-amalan tersebut. Sesiapa yang mendapati akan kebaikan daripada amalannya, maka hendaklah dia memujiKu (bersyukur kepadaKu). Sesiapa yang mendapati akan keburukan daripada amalannya, maka tiada yang dipersalahkan melainkan dirinya sendiri." (Hadis riwayat Imam Muslim)


Oleh yang demikian, seseorang hamba yang jujur dalam kehambaan kepadaNya, sentiasa merasakan dirinya hina di hadapanNya, dan sentiasa bersegera untuk kembali kepadaNya dengan bertaubat kepadaNya, dan meminta bantuan daripada Allah s.w.t. agar Allah s.w.t. terus membantunya dalam ketaatan kepadaNya.


Apa yang penting, seseorang hamba yang ingin mengorak langkah baru setelah lemas dalam lautan kejauhanNya dengan maksiat dan dosa, hendaklah memulakan perjalanan pulang menujuNya dengan penuh kejujuran dan keikhlasan.


Seseorang perlulah memulakan perjalanan pulang menujuNya, dengan rasa bersalah kepadaNya, dan rasa hanya memerlukanNya dalam segenap kehidupan, lalu berjalan menujuNya dan masuk ke gerbang taubat dengan penuh keikhlasan, dengan niat, ingin bertaubat hanya kerana mencari redhaNya, bukan sebarang kepentingan yang lain, samda duniawi dan sebagainya.


Seseorang hamba yang ingin kembali kepadaNya, perlulah sentiasa meminta bantuan daripadaNya agar Dia sentiasa membantuNya untuk sampai kepadaNya, kerana tiada siapa yang mampu pulang dan sampai kepadaNya melainkan dengan bantuanNya. Oleh yang demikian, rasalah diri semakin hina di hadapanNya, di sepanjang jalan menujuNya, serta mintalah bantuan daripadaNya. Seseorang hanya sampai kepadaNya dengan bantuanNya, kerana tiada daya untuk melakukan ketaatan dan tiada upaya untuk menolak memaksiatan melainkan dengan bantuan Allah s.w.t..




Syarat-syarat Taubat


Imam An-Nawawi r.a. berkata: Telah berkata para ulama', bahawasanya, taubat itu wajib bagi setiap orang yang berdosa, samada maksiat dan dosa tersebut antara hamba dengan Tuhannya, yang tiada kaitan dengan hak-hak manusia, dan bagi taubat tersebut, ada tiga syarat:


Pertama: Meninggalkan maksiat tersebut.


Kedua: Menyesal dengan perbuatannya.


Ketiga: Berazam untuk tidak kembali kepaa maksiat tersebut.


Jika seseorang hamba yang ingin bertaubat, tidak mencukupi salah satu daripada syarat-syarat ini, maka tidak sahlah taubatnya.


Jika maksiat tersebut berkaitan dengan hak manusia, maka syaratnya ada empat. Tiga syaratnya adalah syarat yang sebelum ini, dan yang keempat, iaitu dengan meminta halal dan ampun daripada orang yang dilakukan kesalahan kepadanya tersebut. Kalau maksiat itu berkaitan harta, maka kembalikanlah kepada tuannya. Jika berkaitan dengan had qazaf, maka dia dapat menemui tuan hak tersebut, maka hendaklah dia meminta maaf daripadanya, dan jika berkaitan dengan umpatan, maka mintalah halal daripadanya.
 
Sponsored Post

maggi

Freshie
Joined
Jan 20, 2010
Messages
5
Reaction score
1
Points
8
Sambungan

Kisah Taubat Seorang Bani Israel dan Pengampunan Allah s.w.t.


Diriwayatkan bahawasanya, di zaman Nabi Musa a.s., ada suatu zaman, dimana berlakunya kemarau. Lalu Nabi Musa a.s. menghimpunkan seluruh Bani Isreal, seramai lebih tujuh puluh ribu orang, untuk solat memohon hujan daripada Allah s.w.t..


Nabi Musa a.s. lalu berdoa: "Wahai Tuhanku. Berilah kami minum, dan limpahilah rahmatMu ke atas kami, kasihanilah kami yang mana, ada dalam kalangan kami, bayi yang masih menyusu, haiwan ternakan yang masih meragut tanaman dan orang-orang tua yang masih ruku' menyembahMu."


Namun, langit masih kering dan kemarau makin panas. Lalu Nabi Musa a.s. berdoa lagi: "Wahai Tuhanku, kalau dengan sebab kedudukanku yang rendah di sisiMu (menyebabkan doaku tidak diperkenan), maka (perkenankanlah) dengan kedudukan Nabi Muhammad s.a.w. yang akan diutuskan di akhir zaman kelak.


Lalu Allah s.w.t. berfirman: "Bukanlah kerana rendahnya kedudukanmu disisiKu, bahkan kedudukanmu di sisiKu tinggi. Akan tetapi, ada dalam kalangan kamu (Bani Israel), menderhakaiKu selama empat puluh tahun dengan maksiat. Oleh yang demikian, engkau serulah dia agar keluar daripada jemaah yang berdoa ini, kerana dengan sebabnyalah, Aku menegah perkenanmu.


Nabi Musa a.s. berkata kepada Allah s.w.t.: "Wahai Tuhank. Aku ini hamba yang lemah, begitu jugalah dengan suaraku. Bagaimana dapat sampai suaraku kepada seluruh manusia yang seramai tujuh puluh ribu orang lebih ini?"


Lalu Allah s.w.t. mewahyukan kepadanya: "Kamu hanya wajib menyeru mereka, sedangkan Akulah yang akan meyampaikan seruanmu kepada mereka".


Lalu Nabi Musa a.s. berucap: "Wahai hamba yang melakukan maksiat kepada Allah s.w.t. selama empat puluh tahun, keluarlah kamu daripada jemaah ini. Sesungguhnya, dengan sebab kamulah Allah s.w.t. menegah kita semua daripada hujan."


Lalu, hamba maksiat yang berkenaan terasa, lalu melihat di sekeliling, namun tiada yang keluar daripada jemaah tersebut. Lalu, dia malu untuk keluar. Jika dia keluar, maka semua orang akan tahu tentang kehinaannya dengan dosa. Jika dia tidak keluar, maka Allah s.w.t. tetap akan menegah mereka daripada air hujan.


Maka, hamba tersebut menyembunyikan wajahnya dalam pakaiannya, menyesali akan perbuatan maksiatnya (selama empat puluh tahun tersebut). Lalu, dia merintih dan bertaubat kepada Allah s.w.t. dengan berkata: "Wahai Tuhanku. Aku membuat maksiat kepadaMu selama empat puluh tahun sedangkan Engkau masih membiarkanku. Kini, aku datang kepadaMu untuk mentaatiMu, maka terimalah aku."


Belumpun sempat selesai ucapan doa taubat tersebut, tiba-tiba hujan pun mula membasahi pelusuk bumi.


Nabi Musa a.s. pun bertanya: "Wahai Tuhan. Engkau menurunkan hujan juga walaupun tiada siapa yang keluar dari kalangan kami?"


Allah s.w.t. berfirman: "Wahai Musa. Aku memberi turun hujan dengan sebab dia yang pernah Aku tahankan hujan dengan sebabnya juga."


Nabi Musa a.s. lalu berkata: "Wahai Tuhan, Tunjukilah aku siapakah hambamu itu?"

Allah s.w.t. lalu berfirman: "Wahai Musa! Sesunggunya Aku tidak membongkar kemaksiatannya takkala dia bermaksiat kepadaKu, bagaimana Aku akan membuka keaibannya (dengan menunjukkan kepadamu siapakah hamba tersebut) sedangkan dia kini telah mentaatiKu? Wahai Musa! Sesungguhnya Aku membenci orang-orang yang mengadu domba (suka membuka aib orang lain kepada sesama manusia), jadi, bagaimana mungkin Aku sendiri menjadi pengadu domba?!" (Dinukilkan dari buku Kitab At-Tawwabin karangan Imam Al-Maqdisi)


Fasal: Sekilas Pengajaran daripada Kisah Tersebut


Allah s.w.t. Maha Penyayang kepada para hambaNya. Biarpun selama empat puluh tahun, si hamba tersebut menderhakaiNya, namun Allah s.w.t. sentiasa menanti kepulangannya dengan taubatnya kepadaNya dengan setulusnya.

Selama tempoh empat puluh tahun tersebut, Allah s.w.t. sentiasa membiarkan hambaNya tesebut, untuk merenungi dan menginsafi kesalahan diri, dengan terus memberi peluang kepada hambaNya agar akhirnya dia kembali bertaubat kepadaNya dan keluar daripada maksiat kepada ketaatan kepadaNya.


Di antara tanda Allah s.w.t. menyayangi para hambaNya, walaupun sudah sekian lama terjerumus dalam makisat kepdaNya, ialah, dengan menyembunyikan keaiban dan maksiatnya daripada para makhlukNya yang lain, demi menjaga kemuliaan diri hamba tersebut, sesuai dengan sifatNya yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.


Bahkan, Allah s.w.t. melarang para makhlukNya yang mendapati keaiban daripada hambaNya yang lain, untuk membuka keaiban hambaNya tersebut, kepada makhuk-makhlukNya yang lain, kerana sifat An-Namimah (mengadu domba) itu suatu sifat yang dimurkai oleh Allah s.w.t, termasuklah sifat-sifat yag seumpamanya seperti sifat mengumpat, mencela dan memfitnah sesama manusia.


Dalam kisah tersebut, menunjukkan betapa kecintaan Allah s.w.t. terhadap hamba yang bertaubat setulusnya, bahkan, kedudukan Nabi Musa a.s. di sisiNya yang lebih tinggi daripada kedudukan hamba yang bertaubat tersebut, tidak dijadikan sebab untuk turunnya hujan, tetapi dengan sebab kedudukan si hambaNya yang baru bertaubat itulah, Allah s.w.t. menurunkan hujan.


Ini menunjukkan bukti cinta Allah s.w.t. kepada hambaNya yang bertaubat, sehingga sanggup menjadikan taubat hamba tersebut, menjadi asbab bagi turunnya rahmatNya kepada makhluk-makhlukNya, walaupun masih ada lagi asbab lain, yang lebih mulia untuk dijadikan asbab turunnya rahmat Allah s.w.t..


Ini suatu pengajaran dan dorongan yang bermakna bagi para hambaNya, agar bertaubat kepadaNya, kerana kasih sayang Allah s.w.t. itu meliputi seluruh para hambaNya. Oleh yang demikian, Allah s.w.t. melarang para hambaNya daripada berputus asa terhadap keampunanNya.

Wallahu a'lam...


Sumber : Raja Ahmad Mukhlis bin Raja Jamaludin
 
Sponsored Post
Top
Log in Register