BTC USD 43,324.8 Gold USD 1,764.37
Time now: Jun 1, 12:00 AM

Fortifikasi Zat Besi & Asid Folik Ke Dalam Tepung Gandum Kegunaan Am

Xploit Machine

CG Top Poster Club
Joined
Nov 23, 2012
Messages
31,421
Reaction score
4,153
Points
236
Kenyataan Akhbar KPK 26 Julai 2021 - Pelaksanaan Fortifikasi Zat Besi Dan Asid Folik Ke Dalam Tepung Gandum Kegunaan Am (Tepung Gandum Bersubsidi);

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyambut baik inisiatif pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bagi melaksanakan fortifikasi tepung gandum dengan zat besi dan asid folik di bawah Program Subsidi Tepung Gandum Kegunaan Am (PSTG) pek 1 kilogram. Pihak KKM juga mengambil maklum bahawa semua pengilang tepung gandum yang terlibat telah melaksanakannya sejak 1 Julai 2021.
tepung-gandum.jpeg

Pelaksanaan inisiatif ini oleh KPDNHEP adalah sejajar dengan saranan KKM di mana inisiatif ini merupakan salah satu intervensi kesihatan awam yang berkesan dan menyeluruh untuk meningkatkan pengambilan zat besi dan asid folik dalam kalangan rakyat Malaysia. Ini kerana, kekurangan zat besi dan asid folik boleh menyebabkan masalah anemia dan kecacatan kekal dalam kalangan bayi seperti Neural Tube Defect (NTD). NTD adalah masalah pembentukan dan tumbesaran saraf bayi semasa di dalam kandungan yang boleh menyebabkan bayi dilahirkan dengan tempurung kepala yang tidak lengkap (anencephaly), tumbesaran otak yang terencat dan pembentukan tulang belakang yang tidak sempurna (spina bifida). Masalah ini seterusnya meningkatkan kos rehabilitasi dan pengurusan pesakit, mengurangkan kualiti kehidupan dan boleh menyebabkan kematian.

Anemia pula adalah keadaan di mana kepekatan hemoglobin (Hb) dalam sel darah merah adalah rendah. Anemia boleh mengakibatkan kelahiran pra-matang dan menjejaskan perkembangan mental, fizikal dan kognitif yang seterusnya akan menyebabkan masalah kurang berat lahir dan terbantut. Berdasarkan Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2019, 1 daripada 5 (21.3%) rakyat Malaysia mengalami masalah anemia dan secara khususnya 3 daripada 10 (30.0%) wanita usia reproduktif (15-49 tahun) mengalami masalah anemia.

Selain itu, pelaksanaan fortifikasi zat besi dan asid folik ke dalam tepung gandum bersubsidi juga dilihat dapat membantu rakyat Malaysia terutama golongan berpendapatan rendah untuk mendapatkan akses makanan berkhasiat bagi meningkatkan status pemakanan dan kesihatan mereka dalam keadaan negara dilanda pandemik COVID-19.

Pelaksanaan fortifikasi tepung gandum oleh pihak KPNDHEP ini juga telah mendapat kerjasama yang baik dari pihak pengilang tepung gandum dan diharapkan mendapat sokongan berterusan dalam usaha KKM untuk melaksanakan fortifikasi zat besi dan asid folik ke atas semua tepung gandum dalam pasaran di Malaysia secara mandatori.

TAN SRI DATO’ SERI DR NOOR HISHAM BIN ABDULLAH
KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA
26 JULAI 2021


Sumber asal https://kpkesihatan.com/2021/07/26/...-gandum-kegunaan-am-tepung-gandum-bersubsidi/
 

CG Sponsors




Top
Log in Register