BTC USD 97,318.6 Gold USD 2,670.60
Time now: Jun 1, 12:00 AM

Durian Segar Malaysia Dijual Di China Mulai Hari Ini

Md Hanif

Fun Poster
Messages
788
Joined
Jun 13, 2023
Messages
788
Reaction score
58
Points
25
7a6eee98b820cfce67c16bfc1b443c5866cc8f5131bda


Durian segar pertama Malaysia ke China mula dijual di outlet peruncitan terpilih di enam wilayah negara Tembok Besar itu mulai hari ini.

Wilayah tersebut ialah Beijing, Zhengzhou, Shanghai, Guanzhou, Shengzen dan Nanning.

Duta Besar Malaysia ke China Datuk Norman Muhamad berkata proses eksport durian segar itu dilaksanakan selepas mendapat kelulusan daripada Pentadbiran Am Kastam China (GACC) pada 19 Jun lepas.

“Saya juga berbesar hati untuk mengumumkan bahawa durian segar boleh didapati di pasaran China mulai hari ini.

“Durian segar yang dieksport ini telah mematuhi langkah fitosanitari ketat yang ditetapkan GACC bagi memastikan raja buah tersebut kekal segar, selain rasanya tidak menjejaskan standard keperluan keselamatan makanan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis pelancaran program “Taste Of Malaysia 2024” di sebuah pasar raya di sini yang turut dihadiri Timbalan Ketua Perwakilan Malaysia di Beijing Norfarina Mohd Azmee.

Norman berkata sebelum ini Malaysia hanya mengeksport durian dalam bentuk biji (whole fruit) dan ulas (pulp) sejuk beku, pes serta produk agromakanan.

Semalam, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam kenyataan memaklumkan prestasi eksport durian negara dalam tempoh lima tahun iaitu dari 2018 hingga 2022 menggalakkan dengan nilai eksport melonjak 256.3 peratus atau peningkatan sebanyak RM822.8 juta.

Pada 2022, eksport durian Malaysia ke seluruh dunia mencatat nilai RM1.14 bilion iaitu yang tertinggi dalam sejarah.

Mengulas mengenai program Taste Of Malaysia 2024, Norman berkata acara yang berlangsung dari 23 Ogos hingga 1 Sept itu bertujuan menonjolkan dan mempromosikan produk Malaysia yang berkualiti tinggi serta lazat di pasaran China.

“Sepanjang program ini pelbagai produk Malaysia diketengahkan antaranya durian, Old Town White Coffee, snek tradisional Sabah seperti amplang serta makanan ringan dan pes masakan,” katanya kepada media selepas program tersebut.

Selain itu, beliau berkata pihaknya berharap agar dapat membawa lebih banyak lagi produk Malaysia ke negara itu antaranya makanan pek dan berasaskan asas tani seperti tongkat ali serta minyak kelapa sawit.

“Daripada pihak kedutaan, kami masih membuat perancangan bersama agensi yang ada terutamanya, pertanian (Pejabat Penasihat Pertanian Kedutaan) dan MATRADE (Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia) di sini. Insya-Allah kita akan tengok lagi apa yang kita akan bawa (ke China).

“China ini mempunyai satu pasaran besar dan ia agak canggih sekarang, kita akan terus lihat produk yang sesuai,” katanya.

 
Sponsored Post

Durian segar Malaysia di China habis dijual tidak sampai 24 jam

A view of the sea
Gambar hiasan. FOTO BERNAMA
Beijing: Tidak sampai 24 jam, hampir 40 tan durian segar pertama Malaysia ke China yang dipasarkan pada 26 Ogos lepas di outlet peruncitan terpilih di enam wilayah negara Tembok Besar itu habis terjual.

Duta Besar Malaysia ke China Datuk Norman Muhamad berkata faktor durian yang masih segar dan kualiti yang tinggi menyebabkan raja buah itu mendapat sambutan menggalakkan daripada rakyat China di setiap outlet yang dijual.

"Memang semua durian itu habis (terjual) pada hari pertama lagi, iaitu semasa majlis pelancaran (penjualan durian) berkenaan pada 26 Ogos lalu. Sebelum saya tinggalkan majlis lagi durian yang dibawa ke situ semua telah habis dijual," katanya ketika ditemui Bernama.

Pada Ogos lalu, Malaysia mengeksport sebanyak 40 tan metrik durian segar daripada kualiti premium seperti Musang King, Black Thorn, D24 untuk dipasarkan di enam wilayah di republik tersebut iaitu Beijing, Zhengzhou, Shanghai, Guangzhou, Shengzhen dan Nanning.

Norman berkata pihaknya akan mewujudkan lebih banyak penerbangan kargo antara Malaysia dan China agar durian segar dapat dibawa masuk dengan kuantiti yang besar ke negara itu pada masa hadapan.

"Kita memang ada (cadangan untuk menambah), pengusaha kita memang akan ambil peluang pasarkan durian segar, tetapi durian (segar) ini agak rumit sedikit sebab jualannya perlu dilakukan dalam masa kurang 36 jam sebab (khuatir) ia akan rosak (jika mengambil masa lebih lama)," katanya.

Sementara itu, rata-rata warga tempatan mengakui tekstur isi durian yang tebal dan rasa lemak berkrim menyebabkan durian Malaysia memberikan pengalaman yang begitu mengasyikkan setiap kali menikmati raja buah berkenaan.

Chen Jingyi, 26, berkata usaha kerajaan Malaysia mengeksport durian segar ke negara itu mengembalikan nostalgia ketika kali pertama mencuba durian tersebut semasa bercuti bersama keluarganya di Malaysia beberapa tahun lepas.

"Semasa saya pergi melancong bersama keluarga (di Kuala Lumpur, Malaysia), kami cuba makan (durian segar) Musang King, rasanya memang sangat sedap. Berbeza dengan durian yang saya makan di sini (China).

"Mungkin kerana kebanyakan durian yang datang ke sini (China) telah dibekukan atau sebagainya, kualiti dan rasanya sedikit lari berbanding durian segar," katanya.

Beliau berkata walaupun harga durian segar sedikit mahal, ia berbaloi kerana rasa serta kualiti yang ditawarkan sangat berbeza.

Bagi pekerja swasta Wang Yiming pula, rasa durian segar Malaysia yang seperti ais krim menyebabkan beliau tidak mahu melepaskan peluang untuk mendapatkan buah tersebut.

"Durian sangat popular di Beijing dan mudah ditemui di pasar raya atau kedai buah-buahan di sini, cuma, buahnya itu kurang segar. Inisiatif Malaysia (kerajaan) mengeksport durian segar ke sini ialah langkah tepat dan hasilnya, buah itu sangat laris," katanya.

Seorang pelajar, Almasbiek Mamut, 21, berkata pertama kali merasai durian segar menyebabkan beliau terus jatuh cinta pada raja buah tersebut kerana rasanya jauh berbeza berbanding durian beku.

"Saya sangat menggemari durian segar, ia buah kegemaran saya sekarang. Isi durian sangat licin dan seperti kastard, ia memberikan rasa memuaskan yang sukar ditemui pada buah-buahan lain.

"Saya rasa saya perlu pergi ke Malaysia untuk merasai durian segar sebenar (durian baru jatuh). Saya bertuah kerana dapat membelinya," katanya.

Disiarkan pada: October 4, 2024 @ 10:14pm
 
Sponsored Post

Back
Top
Log in Register