BTC USD 96,894.0 Gold USD 2,935.67
Time now: Jun 1, 12:00 AM

Durian Segar Kini Boleh Dieksport Ke China - Menteri KPKM, Mohamad Sabu

TXT

CG Super Hardcore Club
gemgemgemgemgemgem
Messages
451,810
Paid Membership
Top Poster #1
Joined
Mar 15, 2010
Messages
451,810
Reaction score
36,869
Points
2,836
Awards
2

Durian segar kini boleh dieksport ke China​


19 JUN 2024

2694803.jpg

KPKM telah memeterai Protokol Keperluan Fitosanitari Pengeksportan Buah Durian Segar dari Malaysia ke China. Gambar kecil: Mohamad


SHAH ALAM – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) telah memeterai Protokol Keperluan Fitosanitari Pengeksportan Buah Durian Segar dari Malaysia ke China.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, melalui pemeteraian tersebut, ruang pasaran eksport baharu bagi durian segar dari Malaysia ke China telah dibuka.

“KPKM yakin pelaksanaan protokol ini akan menggalakkan perkembangan industri tanaman durian tempatan dan membuka peluang kepada lebih 63 ribu pengusaha durian di seluruh negara.

“Melalui protokol ini juga, pengusaha durian yang berdaftar dan mendapat kelulusan daripada Pentadbiran Am Kastam China (GACC) berdasarkan pematuhan kepada syarat-syarat dalam Protokol tersebut dibenarkan untuk mengeksport durian segar ke negara China,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Protokol tersebut telah dimeterai bersama Menteri GACC, Yu Jianhua dan disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan sejawatnya, Li Qiang.

Dokumen berkenaan turut diserah terima antara Mohamad dan Duta Besar China ke Malaysia, Ouyang Yujing semasa Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman Persetujuan yang diadakan di Putra Perdana, Putrajaya.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, Malaysia sebelum ini telah diberikan akses pasaran eksport ke China bagi durian dalam bentuk ulas dan pes pada tahun 2011 dan durian sejuk beku dalam bentuk biji pada tahun 2018.

“Tambahan akses durian segar ini akan mengembangkan industri tanaman durian tempatan dan meningkatkan nilai eksport agromakanan ke luar negara.

“Untuk rekod, dalam tempoh lima tahun dari 2018 hingga 2022, jumlah nilai eksport durian ke luar negara telah berkembang sebanyak 256.3 peratus atau peningkatan sebanyak RM822.8 juta,” ujarnya.

Menurutnya, pada tahun 2022, eksport durian Malaysia ke seluruh dunia mencatat nilai sebanyak RM1.14 bilion dan secara keseluruhan, buah berkenaan merupakan penyumbang utama (58.6 peratus) kepada nilai eksport buah-buahan negara pada tahun 2022 daripada keseluruhan sebanyak RM2.01 bilion.

Tambah Mohamad, China merupakan pasaran eksport utama buah durian dari Malaysia dengan nilai eksport sebanyak RM887 juta pada tahun 2022. Nilai eksport durian diunjur akan terus meningkat kepada RM1.8 bilion pada tahun 2030.

Jelas beliau, mana-mana pemain industri yang berminat untuk berdaftar sebagai pengeksport durian segar ke China boleh menghubungi Jabatan Pertanian (DOA) dengan mengemukakan emel kepada [email protected] dan [email protected].


 
Sponsored Post

Pengusaha perlu mula tanam durian dalam skala besar​


20 JUN 2024

2695744.jpg

Semua pengusaha durian tempatan khususnya golongan bumiputera perlu memulakan penanaman buah berkenaan dalam skala besar bagi membolehkan dipasarkan ke China antara lima hingga enam tahun lagi. Gambar hiasan


PUCHONG – Semua pengusaha durian tempatan khususnya golongan bumiputera perlu memulakan penanaman buah berkenaan dalam skala besar bagi membolehkan dipasarkan ke China antara lima hingga enam tahun lagi, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.

Mohamad berkata, usaha itu perlu dimulakan dari sekarang susulan pemeteraian Protokol Keperluan Fitosanitari Pengeksportan Buah Durian Segar dari Malaysia ke China pada Rabu.

Beliau berkata, kejayaan pemeteraian antara kedua-dua negara perlu dimanfaatkan kerana aktiviti pengeksportan durian merupakan perniagaan yang bernilai tinggi dan membantu meningkatkan pendapatan pengusaha tempatan.

“Kita (Malaysia) telah tandatangan secara rasmi dengan China semalam (Rabu). Selepas ini durian kita akan dieksport terus ke China dengan mengikut peraturan dan lesen yang ditetapkan dan sebagainya.

“Kalau penanam berusaha dari sekarang, dalam masa antara lima dan enam tahun akan dapat hasil,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Ibadah Korban Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia di sini pada Khamis.

Mohamad berkata, kerajaan sentiasa memberi sokongan dan bantuan kepada pengusaha dalam memastikan durian yang dihasilkan dari ladang tempatan itu berkualiti dan sesuai dieskport ke China.

“Tanamlah apa sahaja jenis durian tapi mesti berkualiti untuk dieskport,” katanya sambil memetik laporan media antarabangsa baru-baru ini mengenai permintaan durian yang semakin meningkat dan mendapat permintaan daripada penduduk global.

Pada Rabu, Malaysia dan China telah memeterai protokol berkenaan dalam majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman Persetujuan yang disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan sejawatnya, Li Qiang.

Malaysia sebelum ini diberikan akses pasaran eksport ke China bagi durian dalam bentuk ulas dan pes pada 2011 dan buah durian sejuk beku dalam bentuk biji pada 2018.

China merupakan pasaran eksport utama durian dari Malaysia dengan nilai eksport RM887 juta pada 2022.
Dalam perkembangan lain, Mohamad berkata, bekalan beras di pasaran adalah stabil untuk memenuhi keperluan rakyat negara ini.

“Kalau kita lihat masa perayaan Aidiladha baru-baru ini, keseluruhan lokasi di negara (bekalan beras) stabil tetapi kita sentiasa memantau. Kalau ada kekurangan kita akan segera bertindak,” katanya. – Bernama
 
Sponsored Post

Back
Top
Log in Register