Yallah
Super Active Member
- Messages
- 7,224
- Joined
- Jun 21, 2021
- Messages
- 7,224
- Reaction score
- 988
- Points
- 121
Dua lelaki ditahan dalangi jualan cermin kenderaan tiruan
Oleh Nurul Hidayah BahaudinMei 14, 2024 @ 4:20am
[email protected]
KUALA LUMPUR: Dua lelaki ditahan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dalam serbuan terhadap tiga premis di Petaling Jaya dan Kepong, kerana menjual cermin hadapan kenderaan disyaki tiruan.
Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam, berkata serbuan itu dilakukan dalam operasi anggota penguat kuasa KPDN Putrajaya bersama Selangor dan Kuala Lumpur pada 9 Mei lalu.
Katanya, serbuan dibuat susulan aduan daripada wakil pemilik cap dagangan berdaftar berkaitan serta risikan awal yang dilakukan oleh KPDN.
"Pemeriksaan lanjut terhadap semua premis menemui 153 cermin hadapan kenderaan yang disyaki dipakaikan cap dagangan secara salah mengikut Akta Cap Dagangan 2019 [Akta 815].
"Kesemua cermin hadapan kenderaan itu bersama beberapa dokumen perniagaan lain disita bagi tujuan siasatan dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM140,200.
"Kami turut menahan dua lelaki tempatan masing-masing berusia 20 dan 31 tahun yang mengaku bertanggungjawab ke atas premis terbabit bagi membantu siasatan," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Azman berkata, syarikat terbabit juga akan disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) [Akta 613].
"Ia adalah bagi kesalahan pengubahan wang haram bagi tujuan mengesan, membeku, menyita serta sehingga ke peringkat pelucutanhak ke atas apa-apa hasil pendapatan atau harta dijana daripada aktiviti haram penyelewengan berkaitan cap dagangan.
"KPDN ingin memberikan peringatan serta amaran kepada mana-mana pihak supaya tidak melakukan aktiviti menjual barangan yang tidak mendapat kelulusan atau kebenaran pemilik cap dagangan berdaftar yang sah.
"Ia terutamanya berkaitan barangan alat ganti kenderaan seumpama ini kerana boleh mengancam keselamatan pengguna," katanya.
Beliau turut menasihatkan pengguna supaya sentiasa berhati-hati terutamanya apabila membeli alat ganti kenderaan.
"Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak menyokong aktiviti penjualan barangan tiruan kerana dikhuatiri boleh mengakibatkan kerugian dan mengancam keselamatan diri sendiri.
"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung aktiviti penjualan barangan tiruan boleh melaporkan kepada KPDN bersama butiran lengkap dan tepat melalui beberapa saluran disediakan," katanya.