DRB-Hicom Akan Perkenal Kereta Hibrid Menjelang 2012

CG Sponsors




alisha_qistina

Super Active Member
Joined
Jun 27, 2008
Messages
6,407
Reaction score
256
Points
81
SHAH ALAM, 30 Dis (Bernama) -- Konglomerat automotif Malaysia, DRB-HICOM Bhd, menyasarkan untuk memperkenalkan kereta hibridnya sendiri menjelang 2012 sejajar dengan objektif kerajaan untuk menggalakkan kereta hibrid dan elektrik serta pembangunan infrastruktur berkaitan.

Pengarah Kumpulan Automotif Datuk Nik Hamdam Nik Hassan berkata syarikat itu kini sedang berunding dengan tiga rakan yang berpotensi untuk mengeluarkan kereta itu dan berharap memuktamadkan urus niaga tersebut pada tahun depan.

"Selain menjalankan aktiviti pemasangan, kami mahu mengeluarkan kereta hibrid kami sendiri yang boleh kami panggil kereta hibrid HICOM. Usaha itu akan memakan masa 18 hingga 24 bulan untuk melakukan pengeluaran," katanya pada satu taklimat mengenai kemas kini perniagaan automotif syarikat itu di sini Rabu.

Nik Hamdam, yang enggan menamakan pihak berkenaan, berkata salah satu daripadanya ialah rakan sedia ada DRB-HICOM.

Katanya anak syarikat milik 70 peratus kumpulan itu, Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd (Modenas), telah bekerjasama dengan kedua-dua Petronas Research dan Universiti Sains Malaysia untuk mengeluarkan motosikal elektriknya.

Pengkemosilannya disasar dilakukan menjelang 2011, katanya.

Nik Hamdam berkata permintaan bagi mendapatkan kereta hibrid kian meningkat walau pun harganya mahal sedikit berbanding kereta konvensional kerana orang ramai kini berminat terhadap kenderaan mesra alam sekitar.

DRB-HICOM adalah pengedar dan pemasang kereta berjenama seperti Audi, Mercedes-Benz, Honda, Suzuki, Mitsubishi, Isuzu, Mahindra serta kenderaan yang dipasang di dalam negara seperti Proton, HICOM Perkasa dan Modenas.

Katanya syarikat itu menyasar untuk meningkatkan agihan pasarannya kepada 22 peratus pada 2010 daripada 19 peratus sekarang ini dengan fokus untuk meningkatkan prestasi, terutama sekali di dalam aktiviti selepas jualan dan servis.

Nik Hamdam berkata jumlah industri keseluruhan kenderaan diunjurkan mencecah 540,000 unit pada 2010 daripada 525,000 unit yang dianggarkan pada 2009.

Syarikat itu merancang melancarkan sekurang-kurangnya 10 model baharu dan menaik taraf pelbagai kenderaannya dan ini dijangka merangsang perniagaan automotifnya pada tahun depan, katanya.

"Antaranya ialah Audi A5 dan Audi R8, yang termasuk dua model baharu dari Suzuki," katanya.

Katanya DRB-HICOM akan menyuntik RM10 juta bagi aktiviti pengiklanan dan promosi menjelang tahun depan bagi mengukuhkan kehadiran jenama Audi.

Mengenai penamatan usahasama sedia ada antara DRB-HICOM dan GM, Nik Hamdam berkata: "Kami mengalami masalah untuk mempersetujui perkara tertentu mengenai model perniagaan masing-masing. Kedua-dua pihak mempunyai matlamat berbeza."

Nik Hamdam berkata, walau pun kedua-dua pihak bersetuju berpisah secara baik berkuat kuasa 1 Jan, DRB-HICOM akan terus membekalkan alat ganti kenderaan Chevrolet sehingga dilakukan pelantikan satu pengedar baharu oleh GM.

"Penamatan itu tidak akan memberi kesan yang ketara pada prestasi DRB-HICOM kerana sumbangan jualan dari Chevrolet adalah kecil, iaitu pada kira-kira 1,000-1,300 unit setahun berbanding dengan jumlah jualan keseluruhannya yang hampir 100,000 kenderaan setahun," katanya.

Katanya DRB-HICOM sedang berusaha untuk membida kepentingan di dalam Proton sebaik peluang itu muncul.

"Ini merupakan sesuatu yang kami sentiasa cari kerana kami betul-betul terlibat di dalam perniagaan Proton," katanya.
 
Top
Log in Register