Datuk Farid Kamil bersalah ambil ganja, dipenjara 9 bulan

CG Sponsors




TT

CG Super Hardcore Club
Joined
Jan 13, 2009
Messages
154,289
Reaction score
21,164
Points
1,671

ACP Mohd Zani Che Din. - Foto Khairull Azry Bidin

Datuk Farid Kamil didakwa buat laporan palsu 3 rakan masukkan dadah

Datuk Farid Kamil didakwa tampar polis, ambil dadah

PETALING JAYA: Seorang pelakon yang baru dianugerahkan gelaran Datuk, ditahan selepas menampar seorang anggota polis dan menendang orang awam ketika berada di kaunter trafik Balai Polis Kota Damansara di sini, tengah hari tadi.


Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din, berkata ketika ini siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 90 Akta Polis kerana berkelakuan tidak senonoh dalam balai polis.

"Saya mengesahkan kejadian berkenaan. Ketika ini pelakon berusia 37 tahun terbabit masih berada di balai berkenaan. Kita tahan beliau untuk siasatan lanjut.

"Pihak polis juga akan menjalankan siasatan terperinci bagi mengenalpasti sama ada pelakon berkenaan berada di bawah pengaruh dadah atau tidak," katanya ketika dihubungi BH sebentar tadi.

Dalam kejadian jam 1.20 tengah hari itu, pelakon terbabit dilaporkan datang ke balai polis berkenaan untuk membuat laporan berkaitan satu kemalangan jalan raya.

Ketika berurusan di kaunter terbabit, pelakon berkenaan secara tiba-tiba menampar muka petugas yang menerima aduan itu sambil disaksikan beberapa anggota lain dan orang awam.

Dia juga turut menendang kaki orang awam yang berada dalam balai sebelum ditahan beberapa anggota polis lain.


https://www.bharian.com.my/berita/k...ar-datuk-tampar-polis-tendang-orang-awam?kak9
 
Farid Kamil dibenar tangguh hukuman penjara



PELAKON dan pengarah Datuk Farid Kamil Zahari dibenar menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara sembilan bulan yang dijatuhkan terhadapnya kerana menggunakan dadah sehingga rayuannya selesai.


Pada pertengahan November lepas, Farid Kamil diperintahkan menjalani hukuman itu selepas Mahkamah Tinggi Shah Alam menolak rayuannya terhadap hukuman penjara yang dijatuhkan Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada 15 Mei lepas dan dia menjalani hukuman itu di Penjara Kajang.

Hari ini, Mahkamah Rayuan di Putrajaya membenarkan permohonannya untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara itu sehingga kebenaran untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu selesai didengar.

Panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Hakim Datuk Yaacob Md Sam membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman terhadap Farid Kamil dengan syarat jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin warga Malaysia dan pasport diserahkan kepada mahkamah.

“Bagaimanapun, pemohon (Farid Kamil) boleh memohon pasport diserahkan sementara kepadanya jika ada keperluan,” kata Hakim Yaacob yang bersidang bersama-sama Hakim P Ravinthran dan Hakim Datuk Abu Bakar Jais.

Terdahulu, peguam Kee Wei Lon memohon penangguhan itu sementara kebenaran untuk merayu didengar pada 7 Januari nanti.

Timbalan Pendakwa Raya Tengku Intan Suraya Tengku Ismail tidak membantah terhadap permohonan peguam itu.

Sebelum ini, Farid Kamil menjalani hukuman penjara itu di Penjara Kajang selepas Mahkamah Majistret tidak membenarkan permohonannya untuk penangguhan pelaksanaan hukuman.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi pada 19 Jun lalu membenarkan permohonan pelakon itu untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara yang sedang dijalaninya sehingga rayuannya selesai dan dia dibebaskan dari penjara.

Sepanjang perbicaraan bermula 18 Disember 2018 di Mahkamah Majistret, seramai lima saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan manakala pelakon itu memilih untuk berdiam diri.

Mengikut peruntukan undang-undang, sekiranya tertuduh memilih untuk berdiam diri, mahkamah tiada pilihan lain selain menyabitkan tertuduh terhadap pertuduhan.

Mengikut pertuduhan, Farid Kamil didakwa menggunakan dadah dikenali sebagai THC, iaitu ‘11-nor-delta-9-tetrahydrocannabinol-9-carboxylic acid’ di pejabat Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya pada 4.30 petang, 11 Jan 2018.

Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.




Rayuan Farid Kamil untuk ketepi hukuman penjara ditolak Mahkamah Tinggi Shah Alam. - Gambar fail
Farid Kamil dipenjara sembilan bulan


SHAH ALAM
: Artis kontroversi, Datuk Farid Kamil, terpaksa merengkok dalam penjara sejak Khamis lalu, selepas rayuannya untuk mengetepikan hukuman penjara selama sembilan bulan ditolak Mahkamah Tinggi Shah Alam

Portal Berita Harian melaporkan, Farid yang juga suami kepada Datin Diana Danielle, dijatuhi hukuman penjara sembilan bulan itu selepas disabitkan dengan kesalahan dadah.

Rayuan pelakon dan pengarah itu ditolak Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ab Karim Ab Rahman dan mengekalkan keputusan dibuat Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada Mei lalu.

“Hukuman penjara terhadap tertuduh berkuat kuasa sejak Khamis minggu lalu,” kata Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Nazneen Zulkifli kepada Berita Harian.

Portal berkenaan turut melaporkan, ketika prosiding rayuan di Mahkamah Tinggi Shah Alam itu berlangsung, Farid Kamil, 38, hadir bersendirian tanpa ditemani ahli keluarga dengan menunggang motosikal.

Farid atau nama sebenarnya, Farid Kamil Zahari pada Mei lalu, dijatuhkan hukuman penjara sembilan bulan selepas disabitkan dengan kesalahan mengguna dadah jenis ganja Tetra Hydrocannibol (THC), tahun lalu.

Hukuman itu dijatuhkan Majistret Nor Ariffin Hisham selepas Farid Kamil, memilih untuk berdiam diri selepas diperintahkan membela diri.

Bagaimanapun, selepas 35 hari menjalani hukuman di Penjara Kajang, Ab Karim membenarkan penangguhan hukuman terbabit selepas permohonan rayuan difailkan pelakon berkenaan.

Mengikut pertuduhan, Farid didakwa menggunakan dadah pada jam 4.30 petang di Pejabat Narkotik Petaling Jaya, dalam Daerah Petaling Jaya, pada 11 Januari 2018.

Berikutan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.



Farid Kamil dibenar tangguh hukuman



PELAKON Datuk Farid Kamil dibenar menangguhkan perlaksanaan hukuman penjara sembilan bulan yang sedang dijalaninya sejak Mei lalu.

Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Datuk Ab Karim Ab Rahman membuat keputusan itu sebentar tadi.

Permohonan suami Diana Danielle itu dibenarkan dengan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin.

Sebagai syarat tambahan, mahkamah memerintahkan Farid Kamil menyerahkan passport antarabangsanya dan diperintah melaporkan diri di balai polis berdekatan setiap bulan sehingga kes selesai.

Farid Kamil, 38, atau nama sebenarnya Farid Kamil Zahari telah menjalani hukuman itu selama 35 hari sejak 15 Mei lalu.

Ketika ditemui Farid Kamil bersyukur dengan keputusan itu.

"InsyaALLAH, semuanya Allah permudahkan," katanya sambil tersenyum.

https://www.sinarharian.com.my/article/33249/HIBURAN/Farid-Kamil-dibenar-tangguh-hukuman

Farid Kamil dipenjara 9 bulan


Farid dihukum penjara sembilan bulan dan berada di bawah pengawasan AADK selama dua tahun selepas didapati bersalah menggunakan dadah jenis ganja Januari tahun lalu.

PETALING JAYA - Pelakon dan pengarah, Datuk Farid Kamil Zahari dihukum penjara sembilan bulan dan diperintah berada di bawah pengawasan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) selama dua tahun oleh Mahkamah Majistret di sini sebentar tadi selepas didapati bersalah menggunakan dadah jenis ganja Tetra Hydrocannibol (THC) Januari tahun lalu.

Majistret Nor Ariffin Hisham membuat keputusan itu terhadap Farid, 38, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

Dalam prosiding itu mahkamah juga tidak membenarkan permohonan pihak pembelaan untuk penangguhan pelaksanaan hukuman. Berikutan itu Farid akan dibawa ke Penjara Kajang dan hukuman penjara itu diperintah bermula tarikh sabitan iaitu hari ini.

Terdahulu peguam Megat Syazlee Mokhtarom yang mewakili Farid memohon mahkamah tidak mengenakan penjara dan hanya mengenakan hukuman denda kerana tertuduh merupakan penanggung utama keluarga.

"Tertuduh mempunyai seorang isteri dan dua anak yang perlu ditanggung dan bekerja sendiri sebagai pengarah dan pelakon. Sekiranya dipenjarakan tertuduh sukar untuk menanggung keluarganya," kata Megat.

Tambahnya, anak guamnya juga sudah mengaku salah atas satu pertuduhan pilihan iaitu memberi maklumat palsu yang melibatkan kes sama.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Alia Sumayyah Amran memohon mahkamah mengenakan hukuman yang berat dengan mengambil kira pihak pendakwaan telah memanggil seramai lima orang saksi semasa perbicaraan.

"Mahkamah juga perlu menjatuhkan hukuman dengan mempertimbangkan faktor kepentingan awam selain mengambil kira kekerapan kes sedemikan berlaku. Jadi tidak perlu diskaun diberikan kepada tertuduh memandangkan tertuduh sebelum ini tidak membuat pengakuan bersalah" katanya.

Mengikut pertuduhan, Hero filem Lagenda Budak Setan itu didakwa menggunakan dadah berbahaya THC, iaitu ‘11-nor-delta-9-tetrahydrocannabinol-9-carboxylic acid’ di Pejabat Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya pukul 4.30 petang pada 11 Januari 2018.

Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.


http://www.kosmo.com.my/terkini/guna-dadah-thc-farid-kamil-dipenjara-9-bulan-1.901180

Buat laporan palsu, Farid Kamil didenda RM2,000



PELAKON dan pengarah Datuk Farid Kamil didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya atas tuduhan pilihan membuat laporan polis palsu Balai Polis Taman Tun Dr Ismail, tahun lalu.


Majistret Salamiah Salleh menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Farid Kamil atau nama sebenarnya Farid Kamil Zahari, 38, selepas dia mengaku bersalah sebaik pertuduhan pilihan itu dibacakan.

Mahkamah turut memerintahkan pelakon itu menjalani hukuman penjara tiga bulan jika gagal membayar denda itu. Beliau membayar denda berkenaan.

Dalam prosiding kelmarin itu, Timbalan Pendakwa Raya Wan Nur Fariha Najwa Wan Azaham menawarkan pertuduhan pilihan kepada Farid Kamil.

Mengikut pertuduhan pilihan, pelakon utama filem Lagenda Budak Setan didakwa membuat keterangan palsu bersabit laporan polis dengan memasukkan maklumat palsu dan tidak benar yang mana laporan itu boleh digunakan dalam prosiding jenayah dan diambil pertimbangan oleh pegawai polis yang menerima laporan terbabit.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 5.54 petang, 31 Januari 2018 di Balai Polis Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur.

Dakwaan kes dilakukan mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara enam bulan atau denda RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Farid Kamil diwakili peguam Megat Syazlee Mokhtarom.

Pada 10 Mac 2018, Farid Kamil mengaku tidak bersalah atas pertuduhan sama dan kes itu dikemukakan mengikut Seksyen 192 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 193 kanun sama memperuntukkan hukuman penjara tiga tahun dan denda jika disabit kesalahan.

Di dalam sidang media sebelum ini, Farid mendedahkan gambar dua lelaki yang didakwa individu sebenar meletakkan dadah dalam minumannya.

Dakwa Farid, individu sebenar yang mendatanginya pada hari kejadian ialah pengurus artis dan penyanyi yang memperkenalkan diri sebagai Taj dan Osh.

Farid turut menafikan dua artis yang tampil memberi keterangan berhubung kes dadah itu bukan individu sebenar digambarkannya kepada polis.

Selain kes laporan polis palsu, Farid Kamil turut didakwa di dua lagi Mahkamah Majistret berlainan di Petaling Jaya dengan empat lagi pertuduhan jenayah iaitu mengambil dadah ganja, menyebabkan kecederaan, berkelakuan tidak senonoh dan mengganggu penjawat awam di Balai Kota Damansara pada 11 Januari 2018.

Kesemua kes berkenaan sedang dalam peringkat perbicaraan.


https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2019/05/454396/farid-kamil-didenda-rm2000


Laporan polis terhadap Farid dakwa BN cuba rasuah RM5 juta


Laporan polis oleh Lokman terhadap Farid.

SHAH ALAM - Presiden Pemantau Malaysia Baharu, Datuk Lokman Noor Adam hari ini membuat laporan polis terhadap pelakon Datuk Farid Kamil berhubung dakwaan Farid dalam isu menerima 'suapan' kerajaan BN.

Menurut Lokman, dakwaan Farid itu berat, dan perlu segera disiasat polis.

Katanya, Farid juga dilihat membuat dakwaan palsu selain mahu menghina bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor.

"Berdasarkan kenyataan beliau (Farid) ini, jelas terbukti, beliau telah gagal melaporkan cubaan merasuah dirinya.

"Kegagalan beliau melaporkan perkara yang berlaku lebih setengah tahun lalu merupakan satu kesalahan dibawah Seksyen 25 (1) dan (2) Akta SPRM 2009. Sekiranya disabitkan bersalah, Farid boleh didenda tidak lebih RM100,000 atau dipenjara tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

"Jadi tidak ada sebab mengapa Farid tidak melaporkan perbuatan tersebut melainkan kenyataan tersebut direka bagi merosakkan imej bekas Perdana Menteri dan Isteri beliau. Tiada timbul istilah takut kerana akta perlindungan saksi wujud ketika kejadian dikatakan berlaku dan dia boleh memohon perlindungan saksi," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Lokman sebelum itu membuat laporan polis di balai polis Petaling Jaya.

Farid sebelum itu dalam sebuah video yang dimuat naik dalam Youtube MyFokus Online , semasa program TV al Hijrah jam 10 malam semalam, berjudul “Nak jadi artis ke nak jadi ahli politik?”, berkata beliau telah cuba dirasuah sebanyak RM 5 juta oleh pihak kerajaan (iaitu kerajaan BN yang berkuasa sebelum 9hb Mei, 2018).

Kata Lokman, berdasarkan kenyataan beliau ini, jelas terbukti, Farid telah gagal melaporkan cubaan merasuah dirinya.

"Dalam masa yang sama, saya juga membuat laporan ini kerana saya mengesyaki Farid telah menipu di dalam video tersebut kerana ianya jelas bercanggah dengan video terdahulu," katanya.

Jelasnya, kenapa kini, setelah Najib tidak lagi berkuasa, Farid menuduh Najib dan Datin Sri Rosmah pula yang bertanggungjawab terhadap apa yang berlaku terhadap dirinya.

"Perkara ini perlu disiasat oleh pihak polis supaya rakyat mengetahui kenyataan mana yang benar. Farid tidak boleh sewenang-wenangnya melontarkan fitnah dan mereka cerita yang tidak wujud.

"Jika Farid tidak menipu, sudah pasti beliau telah melaporkan cubaan merasuah ini kepada pihak SPRM lebih 6 bulan yang lalu dan mendedahkan nama pegawai kerajaan yang telah cuba merasuah beliau bagi pihak bekas Perdana Menteri dan Isterinya," katanya.


http://www.sinarharian.com.my/nasional/lokman-buat-laporan-polis-terhadap-farid-kamil-1.902025

Reka cerita palsu 3 rakan masukkan dadah, Farid Kamil didakwa


Farid Kamil ketika hadir di Mahkamah Petaling Jaya hari ini.

PETALING JAYA - Pelakon dan pengarah filem, Datuk Farid Kamil Zahari sekali lagi mencetuskan kontroversi apabila dia dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membuat laporan palsu dengan menyatakan tiga rakan artis meletakkan dadah di dalam minumannya.

Bagaimanapun, Farid Kamil, 37, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Majistret Salamiah Salleh.

Mengikut pertuduhan, Farid Kamil didakwa mereka keterangan palsu bersabit laporan polis dengan memasukkan maklumat palsu dan tidak benar yang mana laporan tersebut boleh digunakan dalam prosiding jenayah dan diambil pertimbangan oleh pegawai polis yang menerima laporan tersebut.

Kejadian itu didakwa dilakukan di Balai Polis Taman Tun Dr. Ismail dekat sini pada pukul 5.54 petang, 31 Januari lalu.

Suami kepada pelakon Datin Diana Danielle didakwa mengikut Seksyen 192 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 193 kanun yang sama memperuntukkan hukuman penjara tiga tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mary Phoon Keat Mee dan tertuduh diwakili peguam bela Faizul Mohd. Nasir.

Mahkamah membenarkan jaminan RM2,500 dengan seorang penjamin. Farid Kamil membayar jaminan itu.

Tarikh 7 Mei depan ditetapkan untuk sebutan semula kes.

Kosmo! semalam melaporkan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, siasatan terhadap tiga individu itu mendapati laporan polis yang dilakukan Farid Kamil itu tidak berasas dan sengaja direka.

Dalam sidang akhbar sebelum ini, Farid Kamil mendedahkan gambar dua lelaki yang didakwa individu sebenar meletakkan dadah dalam minumannya.

Individu sebenar yang mendalanginya pada hari kejadian adalah pengurus artis dan penyanyi yang memperkenalkan diri sebagai Taj dan Osh.

Farid Kamil turut menafikan dua artis yang tampil memberi keterangan berhubung kes dadah itu bukan individu sebenar yang digambarkannya kepada polis.

Pada 16 Januari lalu, Farid Kamil didakwa atas lima pertuduhan iaitu menyebabkan kecederaan, berkelakuan tidak senonoh dan mengganggu penjawat awam di Balai Kota Damansara di sini.

Beliau turut dituduh di mahkamah sama atas penggunaan dadah jenis THC iaitu '11-nor -tetra hydrocannabinol-9-carboxylic acid, yang juga dadah terdapat pada ganja.


http://www.kosmo.com.my/terkini/farid-kamil-bebas-dengan-ikat-jamin-rm2-500-1.623958

Farid Kamil akan didakwa esok, buat laporan palsu


Siasatan terhadap tiga individu mendapati laporan polis yang dibuat tidak berasas dan sengaja mereka bukti palsu.

SHAH ALAM - Pelakon dan pengarah filem terkenal, Datuk Farid Kamil Zahari akan didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya esok berhubung laporan palsu dianiaya tiga rakan artis yang meletakkan dadah dalam minumannya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, siasatan terhadap tiga individu mendapati laporan polis yang dilakukan Farid tidak berasas dan sengaja mereka bukti palsu.

"Kertas siasatan telah diserahkan ke Pengarah Perundangan Negeri Selangor sebelum mengarahkan supaya Farid didakwa mengikut Seksyen 192 Kanun Keseksaan kerana memberikan keterangan palsu.

"Jika sabit kesalahan boleh dihukum di penjara tiga tahun dan denda mengikut Seksyen 193 kanun yang sama," katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis perhimpunan bulanan sebentar tadi.

Pelakon filem drama Lafazkan Kalimah Cinta tersebut sebelum ini menafikan dua artis yang tampil memberi keterangan berhubung kes dadah itu bukan individu sebenar yang digambarkannya kepada polis.


http://www.kosmo.com.my/terkini/farid-kamil-akan-didakwa-esok-buat-laporan-palsu-1.623187

Farid Kamil dakwa dipukul 11 anggota polis dalam lokap



SHAH ALAM: Pelakon dan pengarah Datuk Farid Kamil mendakwa telah dipukul anggota polis sehingga meninggalkan parut di dahi ketika dia di dalam lokap.


Farid mendedahkan kejadian berkenaan dalam satu sidang media di Setia Alam, di sini, hari ini dengan ditemani tiga peguam daripada Tetuan Faizul Nasir & Co yang diketuai oleh Faizul Mohd Nasir.

Dakwa Farid, kejadian berlaku pada hari ketiga dia ditahan reman, sekitar jam 2 pagi.

Menjelaskan perkara itu, Farid mendakwa dia didatangi individu tersebut sebelum dipakaikan baju pasung dan lampu lokap ditutup.

“Saya didatangi 11 orang individu berpakaian preman, kemudian saya diikat dengan baju putih. Apabila saya sedar dahi saya berdarah dan dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya untuk rawatan,” jelasnya.

Laporan polis berkenaan dibuat di Balai Polis Taman Tun Dr Ismail pada 31 Januari lalu pada jam 5.54 petang.

Namun beliau mendakwa sehingga kini maklum balas yang diterima daripada pihak polis adalah mengecewakan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintendan Ku Mashariman Ku Mahmood berkata pihaknya akan meneliti semua dakwaan yang dibuat oleh Datuk Farid Kamil sebelum mengeluarkan komen lanjut.

“Siasatan lanjut akan dijalankan berdasarkan dakwaan yang dibuat. Siasatan terhadap laporan polis yang dibuat sebelum ini masih diteruskan,” katanya.


http://www.astroawani.com/berita-hi...a-dipukul-11-anggota-polis-dalam-lokap-169313

Mahkamah tegur Farid Kamil jangan keluar kenyataan


Farid ketika tiba di mahkamah hari ini.

PETALING JAYA - Mahkamah Majistret di sini hari ini menegur pelakon dan pengarah filem, Datuk Farid Kamil Zahari supaya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung pertuduhan yang dihadapinya.

Majistret Nor Ariffin Hisham berkata, apa-apa perkara perlu dirujuk kepada mahkamah dan ia akan dipertimbangkan.

"Mahkamah ingin beri peringatan kepada tertuduh sebab kes telah dituduh di mahkamah. Harap tertuduh tidak buat kenyataan berkaitan kes dituduh di mahkamah.

"Apa yang diingatkan dalam kenyataan itu secara atau tidak secara langsung ada kaitan. Peguam boleh teliti balik. Walaupun tidak secara seratus peratus tapi perkara tersebut secara langsung ada menyatakan.

"Elak daripada membuat apa-apa komen selagi kes ini masih dalam mahkamah. Ini sebagai peringatan," tegasnya.

Pada 28 Februari lalu, Farid Kamil telah mengadakan sidang akhbar di Setia Alam, Shah Alam.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Fazeedah Faik berkata, prosiding hari ini adalah untuk sebutan serahan dokumen.

Mahkamah menetapkan 7 Mei hadapan untuk pengurusan kes.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, pelakon filem Tombiruo itu didakwa dengan sengaja mendatangkan kece*deraan kepada seorang eksekutif akaun di sebuah syarikat swasta, Ashraf Ahmad, 35, dan anggota polis, Konstabel Muhammad Nizam Jamaluddin, 24.

Pertuduhan ketiga, Farid Kamil didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap Muhammad Nizam dengan niat menghalang penjawat awam itu menjalankan tugasnya, manakala pertuduhan keempat, tertuduh didakwa berkelakuan tidak senonoh di dalam balai polis dengan mengeluarkan perkataan-perkataan kurang sopan sehingga boleh mendatangkan kemarahan dan penghinaan kepada Muhammad Nizam.

Keempat-empat pertuduhan itu didakwa dilakukan oleh pelakon berasal dari Alor Setar, Kedah itu di kaunter pertanyaan Balai Polis Trafik Kota Damansara di sini kira-kira pukul 1.20 petang, 11 Janu*a*ri lalu.

Farid Kamil turut didakwa menggunakan dadah berbahaya Tetra Hydrocannibol (THC), iaitu '11-nor -tetra hydrocannabinol-9-carboxylic acid' di Pejabat Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya pukul 4.30 petang, tarikh sama.


http://www.kosmo.com.my/terkini/mahkamah-tegur-farid-kamil-1.621015

Saya diberi dadah sampai lupa ingatan


Pelakon, Datuk Farid Kamil menunjukkan parut pada mukanya pada sidang akhbar di The Loft Event Space, Setia Alam. foto FAREEZ FADZIL, 28 FEBRUARI 2018.

SHAH ALAM – Pelakon, Datuk Farid Kamil mendedahkan dirinya diberi dadah dalam bentuk semburan yang dimasukkan dalam minuman sehingga menyebabkan dirinya lupa ingatan.

Farid, 36, memberitahu, dadah tersebut sangat merbahaya kerana pihak polis juga sukar untuk mengenalpasti jenisnya dan kini semakin popular di pasaran.

Jelas pelakon drama Lafazkan Kalimah Cinta itu, insiden itu berlaku malam sebelum kejadian beliau ‘mengamuk’ di balai polis selepas bertemu dengan dua individu.

“Mereka ini masih bebas kerana dua individu yang dipanggil sebelum ini iaitu Taj dan Osh bukan orang yang saya namakan dalam laporan polis.

“Seorang adalah penyanyi dan seorang lagi merupakan pengurus penyanyi di mana saya sudah lama tidak berjumpa mereka.

“Dalam pertemuan itu, mereka mengaku sebagai Kerabat Kedah dan Kerabat Johor dan mengajak bertemu untuk berbincang benda yang serius.

“Saya ibaratkan ini adalah komplot untuk menjatuhkan saya kerana saya pernah menerima ugutan pada tahun lepas,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media khas di Setia Alam dekat sini bagi menjawab kontroversi yang melanda dirinya bulan lalu di sini hari ini.

Mengulas lanjut, suami kepada pelakon, Datin Diana Danielle mendakwa dipukul semasa dalam sel lokap sehingga menyebabkan dahinya berdarah.

Jelas Farid, kejadian berlaku pada malam ketiga dalam lokap kira-kira pukul 2 pagi apabila lampu sel lokap ditutup tiba-tiba.

“Saya terdengar derapan kasut ketika itu dan apabila lampu dibuka balik, saya nampak 11 orang di depan saya dan ada yang memegang lampu suluh.

“Saya juga dipakaikan baju khas untuk sukar bergerak dan lampu ditutup semula sebelum saya hanya sedar dahi saya sudah berdarah hingga meninggalkan parut hingga sekarang,” katanya yang mengakui sudah membuat laporan polis mengenai kejadian itu baru-baru ini.

Dalam pada itu, Farid menegaskan, kes yang dialaminya itu tiada kaitan dengan masalah rumahtangga malah beliau hidup bahagia kerana Diana sentiasa menyokongnya selama ini ketika susah dan senang.

Mengenai gelaran darjah kebesaran yang diterimanya, Farid belum menerima apa jua makluman dari Istana Pahang sebelum mengambil apa-apa tindakan sama ada memulangkannya atau tidak.

Pada 4 Februari lalu, Farid membuat laporan polis selepas mendakwa dirinya dianiaya tiga rakan artis yang mencemarkan minumannya dengan dadah sehingga berkelakuan ganas di balai polis bulan lalu.

Dalam satu laporan polis yang dibuat di Balai Polis Taman Tun Dr. Ismail pada 31 Januari 2018, Farid juga menuduh berlaku kekerasan ke atasnya oleh pihak polis semasa ditahan reman.

Sebelum itu, pada 25 Januari lalu, Farid didakwa di Mahkamah Majistret atas dakwaan memasukkan dadah ke dalam badan selepas.

Pada 18 Januari lalu pula, beliau didakwa di mahkamah sama atas tuduhan mencederakan anggota polis dan orang awam.


http://malaysiagazette.com/v2/blog/2018/02/28/saya-diberi-dadah-sampai-lupa-ingatan-farid-kamil/

Farid dedahkan 2 wajah sebenar pada sidang akhbar di Loft Event Space, Setia Alam hari ini.


Farid sudah beri gambar 2 individu aniaya dirinya, tapi orang lain dipanggil

SHAH ALAM 28 Feb. - Pelakon dan pengarah Datuk Farid Kamil hari ini mendedahkan wajah dua individu sebenar yang sepatutnya membantu pihak polis berhubung dakwaan terdapat pihak yang memasukkan dadah dalam minuman tanpa pengetahuannya.


Jelasnya, pendedahan ini sekaligus menjelaskan dua individu yang sudah dipanggil pihak polis bukanlah individu yang sepatutnya membantu siasatan polis.

“Saya agak kecewa apabila ternampak di akhbar gambar Taj dan Osh (sebab) bukan individu yang saya beri infomasi ketika siasatan.

“Malah proses kawad cam yang juga sepatutnya berlaku juga tidak berlaku, walhal saya sudah memberikan gambar dua individu tersebut,” katanya.

Memberi gambaran memgenai dua individu yang didakwa menganaiya dirinya, jelas Farid, 37, dia mengaku mengenali mereka, bagaimanapun tidak rapat.

“Dua individu ini memperkenalkan diri sebagai penyanyi dan pengurus artis. Kedua-dua turut memberitahu mereka merupakan kerabat di raja Johor dan Kedah.

“Pada hari kejadian saya juga diberitahu mereka ingin bertemu kerana ingin membincangkan sesuatu yang serius sebelum saya tidak sedar,” jelasnya.

Terdahulu Farid turut membuat laporan Polis berkenaan kecederaan di bahagian dahi yang dialami ketika berada dalam tahanan Polis.

“Saya mula mengalami pendarahan di bahagian kepala selepas disarungkan baju bewarna putih.

"Terdapat juga 11 individu yang tidak dikenali dalam bilik tersebut, sejurus selepas itu saya di hantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya untuk rawatan.

“Bagi saya kecederaan ini memberi kesan kepada kerjaya saya dan menyebabkan saya berasa rendah diri,” katanya.

Sebelum ini, Farid membuat laporan polis mendakwa tiga rakan artis memasukkan bahan terlarang ke dalam minumannya sehingga mendorong dia bertindak ganas dalam sebuah balai polis, bulan lalu. 


Dia turut mendakwa diberikan rokok yang sudah disapu dengan minyak dipercayai daripada bahan dadah.

Pendedahan itu membawa kepada penahanan pelakon, Soffi Jikan, 48, yang didapati positif dadah ketika hadir memberi keterangan berhubung kes itu di Balai Polis Mutiasara Damansara pada 6 Februari lalu.


http://www.utusan.com.my/berita/nasional/farid-dedah-gambar-dua-individu-anaiya-dirinya-1.618189

Taj negatif dadah



BEKAS anggota kumpulan Innuendo, Taj atau nama sebenarnya Ahmad Tajuddin Mohamed Tahir disahkan negatif dadah.


Keputusan itu diperolehi semalam selepas Taj dipanggil untuk memberi keterangan di Balai Polis Mutiara Damansara, Petaling Jaya berhubung dakwaan Datuk Farid Kamil terdapat pihak yang memasukkan dadah ke dalam minuman tanpa pengetahuannya.

Taj dihubungi berkata, dia bersyukur proses siasatan selama dua jam berjalan baik dengan ditemani dua peguamnya Mohamed Ashmeer Mohamed Ashrof Raja dan Muhamad Akmal Arif Shamsul Kahar.

“Alhamdulillah proses siasatan semalam berjalan dengan baik. Saya memberikan sepenuh komitmen kepada pihak polis bagi membantu siasatan ini.

“Malah ujian air kencing yang dijalankan semalam juga mendapati saya negatif,” katanya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintendan Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, pihaknya sudah membuat ujian saringan air kencing terhadap Taj.

“Sebaik selesai memberi keterangan di Balai Polis Mutiara Damansara, dia diminta pergi ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya untuk menjalani ujian saringan air kencing.

“Hasil ujian saringan air kencing dibuat, dia didapati negatif dadah,” katanya ketika dihubungi.

Katanya, pihaknya sedang melengkapkan laporan berhubung kes berkenaan untuk tindakan lanjut.

“Walaupun keterangan daripada keempat-empat saksi sudah diambil, namun kami masih menunggu laporan lengkap berhubung kes itu dengan merujuk semula keterangan mereka.

“Sebaik laporan lengkap, kami akan merujuk perkara itu kepada timbalan pendakwa raya untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sebelum ini, Farid membuat laporan polis mendakwa tiga rakan artis memasukkan bahan terlarang ke dalam minumannya sehingga mendorong dia bertindak ganas dalam sebuah balai polis, bulan lalu.

Dia turut mendakwa diberikan rokok yang sudah disapu dengan minyak dipercayai daripada bahan dadah.

Pendedahan itu membawa kepada penahanan pelakon, Sofi Jikan, 48, yang didapati positif dadah ketika hadir memberi keterangan berhubung kes itu di Balai Polis Mutiaara Damansara, di sini, pada 6 Febuari lalu.

Selain Sofi dan Taj, penyanyi kumpulan nasyid, Firdaus iaitu Ahmad Fairuz Ahmad Rosli, 47, atau Osh turut dipanggil memberi keterangan dan didapati negatif dadah selepas dikatakan menganiaya Farid.


https://www.hmetro.com.my/rap/2018/02/314920/taj-lega-negatif-dadah#cxrecs_s

Taj, Osh cadang saman Farid Kamil


Ahmad Tajuddin atau Taj Innuendo (kiri) bersama peguamnya.

PETALING JAYA - Peguam yang mewakili dua individu yang didakwa menganiayai Datuk Farid Kamil iaitu Muhamad Akmal Arif Shamsul Kahar menjelaskan anak guamnya berkemungkinan akan mengambil tindakan undang-undang bagi membersihkan nama mereka.

Akmal yang mewakili penyanyi, Ahmad Tajuddin atau Taj Innuendo dan Ahmad Fairuz Ahmad Rusli atau lebih dikenali sebagai Osh mendedahkan dua penyanyi berkenaan mengakui telah dianiaya berhubung kes tersebut.

"Berkemungkinan bagi membela nasib individu yang dianiaya, pihak kami akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Farid Kamil. Bagaimanapun, buat masa sekarang pihak kami sedang menunggu tindakan lanjut daripada pihak polis.

"Pihak Taj sedia memberikan kerjasama untuk membantu siasatan. Apa yang didakwa oleh pihak Farid tidak menjejaskan reputasi Taj, namun dia pun agak terkejut dan sedih dengan apa yang berlaku," katanya.

Tambah beliau, anak guamnya itu merancang juga untuk mengadakan sidang akhbar bagi memperincikan keadaan sebenar dalam masa terdekat selepas urusan dengan pihak polis selesai.

"Ada kemungkinan sidang akhbar akan diadakan. Terlebih dahulu, kami akan memberikan kerjasama penuh terhadap pihak polis.

"Kami amat menghormati lunas undang-undang dan apa sahaja informasi yang pihak polis perlukan untuk menyelesaikan siasatan ini, kami akan berikan," ujar Akmal lagi.

Dalam pada itu, Taj ketika ditemui wartawan enggan memberi sebarang komen berhubung perkara itu dan dilihat terus memasuki balai polis berkenaan.

Sebelum ini, Farid membuat laporan polis mendakwa tiga rakan artis memasukkan bahan terlarang ke dalam minumannya sehingga mendorong dia bertindak ganas dalam sebuah balai polis, bulan lalu. Dia turut mendakwa diberikan rokok yang sudah disapu dengan minyak dipercayai daripada bahan dadah.

Pendedahan itu membawa kepada penahanan pelakon, Soffi Jikan, 48, yang didapati positif dadah ketika hadir memberi keterangan berhubung kes itu di Balai Polis Mutiasara Damansara, di sini, pada 6 Febuari lalu.

8 Februari lalu, Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor berkata, pihak polis memberi tempoh sehingga Jumaat buat Ahmad Tajuddin atau Taj dan Firdaus untuk tampil bagi membantu siasatan.


http://www.kosmo.com.my/terkini/taj-osh-akan-ambil-tindakan-undang-undang-1.612914

Bekas ahli kumpulan Innuendo tampil beri keterangan


Pot Amir ditemani peguam bela, Mohammad Ashmeer Ashroff Raja hadir ke balai polis berhubung kes Farid Kamil yang mendakwa rakan artis memasukkan dadah ke dalam minuman di Balai Polis Mutiara Damansara hari ini.

PETALING JAYA - Bekas ahli kumpulan Innuendo, Saiful Amir Abd. Wahab atau lebih dikenali sebagai Pot Amir dipanggil untuk membantu siasatan di Balai Polis Mutiara Damansara di sini hari ini.

Pot Amir hadir bersama empat orang peguamnya kira-kira pukul 10.30 pagi berikutan dipanggil pihak polis sejak Sabtu lalu untuk memberi keterangan berhubung dakwaan Datuk Farid Kamil Zahari.

Mohamad Ashmeer Ashroff Raja yang mewakili Pot Amir berkata, kehadiran anak guamnya bertujuan untuk memberikan keterangan kepada pihak polis.

"Pot Amir sudah memberikan keterangan kepada pihak polis berhubung laporan polis yang dibuat oleh Farid Kamil pada 31 Januari lalu.

"Namun buat masa ini tiada tindakan susulan daripada pihak polis dan sekiranya dipanggil semula kami akan memberikan kerjasama sepenuhnya," katanya ketika ditemui di Balai Polis Mutiara Damansara di sini hari ini.

Kosmo! pada 5 Februari lalu melaporkan, pelakon dan pengarah sensasi, Farid Kamil mendakwa dirinya dianiaya rakan artis yang meletakkan dadah dalam minumannya sehingga menyebabkan dia bertindak ganas dan menimbulkan kekacauan di Balai Polis Kota Damansara pada 11 Januari lalu.

Perkara berkenaan didedahkan oleh Farid Kamil dalam laporan polis yang dibuat di Balai Polis Taman Tun Dr. Ismail pada 31 Januari lalu.


http://www.kosmo.com.my/terkini/bekas-ahli-kumpulan-innuendo-tampil-beri-keterangan-1.609189

Saya belum didapati bersalah



SOFI Jikan mengaku tidak bersalah atas tuduhan mengambil dadah dalam kumpulan ganja, 11-nor-delta-9-tetrahydrocannabinol-9-carboxylic acid (THC), minggu lalu.

PETALING JAYA: "Apa yang penting, saya belum disabitkan bersalah dan diharap pihak media lapor yang baik-baik sahaja," kata pelakon Sofi Jikan, ketika ditemui di perkarangan Kompleks Mahkamah Petaling Jaya, hari ini.

Terdahulu, Sofi Jikan atau nama sebenarnya Mohamad Shoffi Jikan, 48, mengaku tidak bersalah atas tuduhan mengambil dadah dalam kumpulan ganja, 11-nor-delta-9-tetrahydrocannabinol-9-carboxylic acid (THC), minggu lalu.

Pelakon yang popular dengan dialog 'Wa Kasi Sengat' dalam filem KL Gangster itu, enggan memberikan sebarang komen lanjut kerana khuatir tersalah cakap.

"Alhamdulillah...syukur, no komen..saya tak boleh bercakap apa-apa..nanti salah cakap," katanya selepas membayar ikat jamin.

Ketika ditanya sama ada tumpuannya dalam kerjaya lakonan terjejas ataupun tidak, Sofi menjawab, 'no komen..saya perlu muhasabah diri dan bersyukur masih baik.. Alhamdulilah.'

Sementara itu, ketika ditanya sama ada pelakon dan pengarah, Datuk Farid Kamil ada menghubunginya selepas kejadian itu, Sofi turut enggan mengulas.

"No komen. Saya tiada isu dengan sesiapa dan jika boleh saya mahu menjaga keselamatan semua rakyat Malaysia," katanya.

Sementara itu, peguam yang mewakili Sofi, Datuk Haniff Hassan berkata, beliau percaya dengan sistem perundangan di negara ini.

"Biarlah proses pengadilan berjalan dan kita yakin perbicaraan yg adil dapat diberikan kepada beliau(Sofi)," katanya.


https://www.bharian.com.my/berita/kes/2018/02/388175/saya-belum-didapati-bersalah-sofi-jikan

Sofi Jikan mengaku tak bersalah



PETALING JAYA: Pelakon Sofi Jikan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas tuduhan memasukkan dadah jenis 11-nor-delta-9-tetrahydrocannabinol-9-carboxylic acid (THC), minggu lalu.


Sofi atau nama sebenarnya Mohamad Shoffi Jikan, 48, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Nurulhuda Zakariya.

Ketika prosiding, pelakon yang popular dengan dialog 'Wa Kasi Sengat' dalam filem KL Gangstar yang berada di dalam kandang tertuduh berkata 'saya tidak mengaku bersalah dan minta dibicarakan.'

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menggunakan dadah jenis 11-nor-delta-9-tetrahydro cannabinol-9-carboxylic acid (THC) di Pejabat Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya pada jam 11.15 malam, 6 Februari lalu.

Bagi perbuatan itu, Sofi didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 14 Mac depan sebagai sebutan semula kes.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Natasha Chin Le Jy manakala pelakon itu diwakili peguam Datuk Haniff Hassan.

Pada Jumaat lalu, Sofi dibebaskan dengan jaminan polis selepas direman selama tiga hari untuk membantu siasatan berhubung laporan polis dilakukan pelakon dan pengarah Datuk Farid Kamil.


https://www.bharian.com.my/berita/kes/2018/02/388012/sofi-jikan-mengaku-tidak-bersalah

Firdaus, Taj dinasihat tampil



SHAH ALAM 8 Feb. - Polis menasihatkan dua individu yang mencemarkan minuman pelakon dan pengarah, Datuk Farid Kamil seperti yang didakwa artis itu dalam laporan polis pada 31 Januari lalu tampil bagi membantu siasatan.


Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor berkata, dua individu terbabit ialah penyanyi daripada sebuah kumpulan R&B yang hanya dikenali sebagai Firdaus dan seorang rakan artis Ahmad Tajuddin atau Taj.


“Setakat ini, kita dapat menghubungi kedua-dua individu terbabit namun mereka masih belum tampil di mana-mana balai polis bagi membantu siasatan. Maklumat yang kita diterima Firdaus berada di Johor manakala Taj tidak dapat dikesan. 


“Oleh demikian, kita memberi masa sehingga esok kepada mereka bagi membantu siasatan. Sekiranya mereka gagal berbuat demikian, kita akan mengeluarkan gambar mereka,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.


http://www.utusan.com.my/berita/jen...nta-2-rakan-artis-farid-kamil-tampil-1.605216


Sofi Jikan ditahan positif dadah



PELAKON Sofi Jikan telah ditahan pilhak polis malam tadi selepas didapati positif dadah jenis ganja, lapor sebuah portal tempatan.


Sofi Jikan diberkas di Balai Polis Mutiara Damansara selepas memberi keterangan berhubung laporan polis yang dibuat oleh pelakon dan pengarah Datuk Farid Kamil Zahari.

Sofi Jikan akan dihadapkan ke Mahkamah Petaling Jaya hari ini bagi mendapatkan perintah tahanan reman.

Terdahulu, Farid Kamil telah membuat laporan polis selepas mendakwa dirinya dianiaya tiga rakan artis.

Dikatakan rakan-rakannya itu telah mencemarkan minumannya dengan dadah sehingga dia berkelakuan ganas di Balai Polis Kota Damansara, bulan lalu.

Tiga rakan artis yang dimaksudkan itu dilaporkan adalah seorang pelakon dan pengarah, seorang penyanyi yang pernah terkenal dengan genre R&B era 90-an, serta seorang lagi pelakon.


http://www.sinarharian.com.my/hiburan/sofi-jikan-ditahan-positif-dadah-jenis-ganja-1.794907

Farid Kamil dakwa 3 rakan artis masukkan dadah dalam minuman


Gambar fail Farid Kamil ketika ditahan reman baru-baru ini.

KUALA LUMPUR - Pelakon dan pengarah, Datuk Farid Kamil mendakwa dirinya dianiaya rakan artis yang meletakkan dadah dalam minumannya sehingga menyebabkan dia bertindak ganas dan menimbulkan kekacauan di Balai Polis Kota Damansara pada 11 Januari lalu.

Perkara berkenaan didedahkan oleh Farid dalam laporan polis yang dibuat di Balai Polis Taman Tun Dr. Ismail pada 31 Januari lalu.

Menurut sebuah portal, dalam laporan itu, pelakon filem Lagenda Budak Setan tersebut mendakwa tiga rakan artis bertanggungjawab memberikannya dadah sehari sebelum kejadian itu berlaku sehingga menyebabkan dia hilang kewarasan dan bertindak keterlaluan.

Ketiga-tiga rakan artis tersebut termasuk seorang pelakon dan pengarah, penyanyi yang pernah terkenal dengan genre R&B pada era 1990-an dan seorang lagi pelakon yang tidak didedahkan identitinya.

Tambah laporan itu lagi, Farid turut mendakwa ketiga-tiga rakannya itu memberikan rokok bersalut sejenis cecair sehingga membuatkan dia berasa khayal.

Malah, Farid, 37, turut menyuarakan ketidakpuasan hati terhadap layanan daripada pihak polis ketika dalam tahanan sehingga mengalami kecederaan dan telah menamakan pegawai polis yang terlibat.

Selain itu, suami kepada pelakon Datin Diana Danielle itu turut mempersoalkan gambar penahanannya yang menjadi tular di media sosial.


http://www.kosmo.com.my/terkini/far...akan-artis-letak-dadah-dalam-minuman-1.603327

Farid Kamil didakwa ambil dadah


PELAKON dan pengarah, Datuk Farid Kamil, 37, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret PJ atas pertuduhan memasukkan dadah jenis THC ke dalam badan, 11 Jan lalu.-UTUSAN ONLINE

PETALING JAYA 25 Jan. - Pelakon dan pengarah terkenal, Datuk Farid Kamil hari ini didakwa di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan memasukkan dadah jenis THC (Tetra Hydrocannibol) ke dalam badan, dua minggu lalu.

Farid Kamil atau nama penuhnya Farid Kamil Zahari, 37, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan jurubahasa.


Suami kepada pelakon Datin Diana Danielle didakwa melakukan perbuatan tersebut di Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya kira-kira pukul 4.30 petang, 11 Januari lalu.


Pertuduhan ke atasnya dibuat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM5,000 dan pengawasan polis tidak lebih tiga tahun, jika sabit kesalahan.


Pada 16 Januari lalu, pelakon filem Tombiruo itu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas empat pertuduhan iaitu sengaja menyebabkan kecederaan, berkelakuan tidak senonoh di dalam balai polis dan mengganggu tugas penjawat awam di Balai Polis Kota Damansara, Khamis lalu.


Keempat-empat pertuduhan itu didakwa dilakukan oleh pelakon berasal dari Alor Setar, Kedah itu di kaunter pertanyaan Balai Polis Trafik Kota Damansara di sini kira-kira pukul 1.20 petang, 11 Januari lalu.


http://www.utusan.com.my/berita/mahkamah/farid-kamil-didakwa-ambil-dadah-1.596881#ixzz55AOG92Rz

Pemangku Raja Pahang Terima Baik Jika Farid Kamil Pulangkan Gelaran Datuk


Farid (kiri) menerima Pingat Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) daripada Tengku Abdullah sempena ulang tahun Hari Keputeraan Sultan Ahmad Shah di Istana Abu Bakar Disember lalu.

KUANTAN - Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah menerima baik sekiranya pelakon terkenal dan penerbit filem, Datuk Farid Kamil Zahari dengan rela hati memulangkan semula Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP).

Tengku Abdullah turut mengakui berasa dukacita selepas dikejutkan dengan tindakan pelakon tersebut yang ditahan dan didakwa di mahkamah kerana menampar seorang anggota polis di Balai Polis Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

"Semua individu yang mendapat (gelaran) Datuk, telah tersurat dan tersirat dalam etika untuk (layak) memakai gelaran ini.

"Kalau hendak diikutkan hati, nak tarik semua (anugerah kebesaran negeri). Saya dukacita kalau terdapat individu yang digelar Datuk berkelakuan seperti ini.

"Kalau dia hendak pulangkan, terpulanglah. Kalau dia sedar dan dia hendak pulangkan, itu lebih baik," titah baginda kepada pemberita di sini semalam.

Baginda bertitah demikian ketika mengadakan lawatan ke atas mangsa kebakaran tiga buah rumah di Perkampungan Sungai Isap di sini yang hangus dijilat api dalam kejadian petang kelmarin.

Sebagai rekod, Farid Kamil menerima anugerah DIMP di Istana Abu Bakar, Pekan pada 16 Disember tahun lalu yang membawa gelaran Datuk.

Ujar Tengku Abdullah lagi, baginda tidak mahu menghukum mana-mana pihak bergelar Datuk sekiranya individu terbabit melakukan kesalahan.

"Saya bukan mahu menghukum, tapi mereka sendiri yang tersalah langkah. Kalau kita hendak tarik semula (gelaran Datuk), kita juga harus mengikut prosedur.

"Tapi kalau dia hendak pulangkan, itu cara terbaik," tambah baginda. - K! ONLINE

Farid Kamil mengaku tak bersalah tampar polis





PETALING JAYA - Pelakon dan pengarah filem, Datuk Farid Kamil Zahari mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas empat pertuduhan termasuk menampar seorang anggota polis trafik di Balai Polis Kota Damansara, Khamis lalu.


Farid, 37, yang memakai baju-T berwarna kelabu mohon dibicarakan selepas kesemua pertuduhan dibaca secara berasingan di hadapan Majistret Nor Ariffin Hisham.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, Farid didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan kepada Ashraf Ahmad dan Konstabel Mohd. Nizam Jamaluddin, 23.

Kedua-dua pertuduhan itu didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara maksimum penjara setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Sementara itu, bagi pertuduhan ketiga, Farid didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap Konstabel Mohd. Nizam Jamaluddin sebagai pegawai dengan niat menghalangnya melakukan tugas.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pertuduhan keempat, Farid didakwa berkelakuan tidak senonoh dengan mengeluarkan perkataan tidak sopan terhadap Konstabel Mohd. Nizam Jamaluddin sehingga boleh mendatangkan kemarahan.

Pelakon itu didakwa mengikut Seksyen 90 Akta Polis 1967 yang memperuntukan denda tidak lebih RM500 atau penjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di kaunter Balai Polis Kota Damansara di sini pada pukul 1.20 petang, 11 Januari lalu.

Bagaimanapun, beliau bebas dengan jaminan polis bagi kes positif ganja.

Timbalan Pendakwa Raya Fazeedah Faik memohon jaminan sebanyak RM5,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin.

Namun, peguam bela Athari Bahardi yang mewakili Farid dalam rayuannya memohon jaminan yang kurang iaitu RM8,000 bagi kesemua pertuduhan.

"Keluarga tertuduh menyediakan jumlah RM8,000 untuk jaminan. Tertuduh merupakan pelakon dengan pendapatan tidak menentu selain turut menanggung isteri serta dua orang anak," katanya.

Mahkamah membenarkan jaminan RM3,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan 5 Mac hadapan untuk sebutan semula kes.

Beliau dilaporkan membayar jaminan tersebut.

Terdahulu, dalam prosiding itu, Farid kelihatan tenang ketika berada di dalam kandang tertuduh selain turut mendapat sokongan daripada isterinya, Datin Diana Danielle, 27.

Kosmo! baru-baru ini melaporkan, pelakon terbabit dibawa oleh seorang lelaki ke Balai Polis Kota Damansara untuk membuat aduan berkaitan satu kemalangan jalan raya.

Bagaimanapun, ketika berurusan di kaunter balai polis terbabit, pelakon berkenaan secara tiba-tiba menampar muka polis lelaki yang menerima aduan itu selain menendang dua orang awam yang berada di kaunter balai polis tersebut.

Pelakon itu juga bertindak aneh sekali lagi apabila menunjukkan paparan mesej pada telefon bimbitnya yang tertera 300 artis didakwa meminjam dengan ah long kerana tiada kerja.


http://www.kosmo.com.my/negara/farid-kamil-mengaku-tidak-bersalah-tampar-polis-1.591282

Farid Kamil berhalusinasi dalam lokap, disyaki akibat dadah baru



KUALA LUMPUR, 15 Jan — Pelakon Datuk Farid Kamil dikatakan berhalusinasi selama beberapa hari dalam lokap.


Pelakon “Pinjamkan Hatiku” dipercayai mengalami keadaan itu akibat mengambil dadah new psychoactive substance (NPS), sejenis dadah baru, lapor Kosmo!.

“Namun selepas beberapa hari berada dalam lokap balai polis Damansara, keadaan emosi Farid masih tidak stabil menyebabkan kita mengesyaki kemungkinan tinggi pelakon lelaki berusia 34 tahun itu mengambil dadah NPS,” kata sumber kepada akhbar tersebut.

"Dadah NPS merupakan dadah baharu yang semua orang tahu pengambilannya gagal dikesan melalui ujian air kencing".

Sumber itu berkata polis sedang meneliti kemungkinan tersebut dan menyiasat lokasi bekalan dadah tersebut diperoleh.

NPS sejenis bahan kimia dalam bentuk cecair dan serbuk yang dijadikan dadah baru dengan kesan lebih kuat dan menjadikan penagih bagai “mayat hidup” atau zombi.

Selain itu, akhbar tersebut juga menyebut isteri suspek, Diana Danielle dalam keterangannya kepada polis, menafikan wujud keretakan rumah tangga.

Dijangka tempoh reman disambung hari ini, Farid ditahan Khamis lalu selepas menampar anggota polis dan orang awam di balai polis Kota Damansara. Ujian air kencing menunjukkan pelakon itu, positif ganja.


http://www.themalaymailonline.com/p...halunisasi-di-lokap-diana-nafi-hubungan-retak

Farid Kamil direman sehari lagi


Farid ketika tiba di Mahkamah Petaling Jaya hari ini.

KUALA LUMPUR - Pelakon dan pengarah filem, Datuk Farid Kamil Zahari dilanjut reman sehari lagi bagi membantu siasatan berhubung empat kes jenayah termasuk menampar anggota polis di Balai Polis Kota Damansara, Khamis lalu.

Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Hairul Azhar Mohd. Ishak terhadap pelakon berusia 37 tahun itu bagi membolehkan siasatan dilakukan.

Empat kes dihadapi Farid ialah mendatangkan kecede*raan yang disiasat mengikut Sek*syen 323 Kanun Keseksaan, menampar polis disiasat mengikut Seksyen 90 Akta Polis 1967, penggunaan dadah disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan mengganggu tugas penjawat awam disiasat mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan.

Seksyen 323 memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya; Seksyen 90 Akta Polis 1967 membawa hukuman denda tidak lebih RM500 atau penjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya; Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya dan Seksyen 353 memperuntukkan hukuman penjara dua tahun atau denda.

Terdahulu, Farid yang memakai baju kemeja denim tiba di Aras 1, Kompleks Mahkamah Petaling Jaya, pukul 11.30 pagi diiringi polis mahkamah.

Turut kelihatan adiknya, Fadzil Zahari dan dua pelakon, Azad Jazmin bersama Azhan Rani hadir untuk memberi sokongan.

Bagaimanapun, isteri Farid, Datin Diana Danielle, 27, tidak kelihatan di sekitar mahkamah.

Sebelum meninggalkan mahkamah, Farid berterima kasih kepada peminat dan rakan artis yang sentiasa memberi sokongan.

Dalam kejadian pada pukul 1.20 tengah hari, Khamis lalu, pelakon terbabit dilaporkan ke balai polis berkenaan untuk membuat laporan berkaitan kemalangan jalan raya.

Ketika berurusan di kaunter terbabit, pelakon berkenaan secara tiba-tiba menampar muka petugas lelaki yang menerima aduan itu, disaksikan beberapa anggota lain dan orang awam.

Selain mencederakan polis yang berusia 24 tahun, dia dipercayai menendang dua orang awam di tempat sama.

Difahamkan, sebelum kejadian tercetus di balai polis itu, beliau dikatakan menahan sebuah kereta yang dinaiki oleh seorang lelaki berusia 34 tahun, di tepi jalan berhampiran pusat beli-belah Tropicana di sini, kira-kira pukul 12.30 tengah hari.


http://www.kosmo.com.my/terkini/farid-kamil-direman-sehari-lagi-1.590642

DDD enggan lawat Farid Kamil



KUALA LUMPUR, 13 Jan — Pelakon Diana Danielle “tidak akan” melawat suaminya di balai polis Kota Damansara.


Keputusan untuk tidak menemui Datuk Farid Kamil yang direman empat hari, dimaklumkan aktres itu kepada ibunya Norsiah Ramli, lapor Kosmo!.

“Diana juga memberitahu dia menyerahkan semua yang berlaku terhadap Farid kepada undang-undang,” kata ibu mentua Farid.

Menolak dakwaan Farid “sudah lama tidak bertemu” dua anaknya, Norsiah menafikannya tetapi mengakui sering menjaga mereka jika Diana sibuk dengan penggambaran Gol & Gincu 2.

Setahu wanita itu juga, Farid ada membelikan ais krim untuk Muhammad, lima tahun, dan Aurora, tiga tahun, pada Rabu lalu.

“Jadi tidak timbul soal Farid sudah lama tidak bertemu anak-anaknya,” katanya.

Beliau juga menafi Diana “tidak tinggal sebumbung” dengan Farid tetapi mengakui anak mereka kerap ada di rumahnya kerena mereka berjiran.

“Farid pun ada kunci rumah saya. Farid pada bila-bila masa boleh keluar atau masuk bertemu anak-anak dan isteri.”


http://www.themalaymailonline.com/p...enggan-lawat-farid-serah-kepada-undang-undang


Ridzuan Hashim pun ditampar Farid Kamil



SEHARI sebelum Datuk Farid Kamil ditahan kerana menampar anggota polis bertugas dan orang awam di Balai Polis Kota Damansara, pelakon Ridzuan Hashim, 53, terlebih dulu menjadi mangsa penampar pelakon dan pengarah terkenal itu.


Ridzuan ketika dihubungi mengaku tidak tahu mengapa Farid menamparnya ketika di lokasi penggambaran drama Uniknya Cinta, Rabu lalu.

“Kejadian berlaku jam 1.30 pagi pada 10 Januari lalu di studio milik Soffi Jikan ketika berlangsung penggambaran drama arahan Shuhaimi Lua Abdullah.

“Tidak semena-mena Farid menampar pipi kiri saya sampai jadi merah. Apabila saya jerit ‘Oi kenapa kau tampar aku’ dia terus berlari keluar meninggalkan premis yang menjadi lokasi penggambaran,” katanya kepada Harian Metro.

Kata Ridzuan, sebelum kejadian dia baru keluar dari tandas dan memakai stokin di bilik wardrobe.

“Tiba-tiba Farid masuk dan bertanya ada baju tak. Saya beritahu itu semua baju pelakon dan saya terus tunduk memakai stokin.

“Entah kenapa dia terus menampar saya. Apabila saya jerit tanya kenapa dia terus lari keluar daripada premis itu dan tidak patah balik untuk mengambil keretanya.

“Ketika itu saya lihat dia seperti kebingungan. Kru dan pelakon lain menjadi saksi apabila saya menjerit namanya dan mereka juga melihatnya berlari keluar.

“Bagaimanapun, saya tidak membuat laporan polis kerana kami sama-sama kawan. Saya maafkan dia dan tidak berdendam dengannya. Lagipun dia ada anak isteri, saya tak mahu mereka tertekan.

“Kalau saya buat laporan polis, perkara itu akan jadi besar dan berpanjangan,” katanya.

Mengulas kejadian Farid ditahan kemudian direman, Ridzuan mengaku terkejut dan berharap masyarakat tidak menjatuhkan hukum kepada Farid.

Katanya, Farid masih muda dan dia sayangkan masa depan pelakon dan pengarah itu.

“Itu antara sebab mengapa saya tidak buat laporan polis kerana tidak mahu kejadian itu dispekulasikan. Nanti orang ingat saya yang cari pasal.

“Saya juga bukan jenis yang suka mengadu dengan wartawan. Selepas kejadian itu, saya malas nak fikir lagi dan terus masuk ke set penggambaran sehinggalah semua babak saya selesai jam 4.30 pagi,” katanya.


https://www.hmetro.com.my/utama/2018/01/302901/kenapa-farid-tampar-saya

DDD nafi halang jumpa anak



KUALA LUMPUR: Datin Diana Danielle menafikan dakwaan suaminya, Datuk Farid Kamil Zahari, yang ditahan selepas dipercayai menampar seorang anggota polis trafik dan menendang dua orang awam, murung kerana dihalang berjumpa dua anak mereka.


Dalam temubual eksklusif dengan New Straits Times (NST), Diana memberitahu tidak pernah mengeluarkan arahan melarang Farid mendekati anak mereka.

"Disebabkan saya bekerja, saya tinggalkan dua anak saya di bawah jagaan ibu.

"Rumah ibu hanya setingkat bawah rumah saya iaitu di kondominium yang sama. Dia boleh berjumpa anak-anak dengan mudah kalau dia mahu," katanya.

Sementara itu, isu penahanan Farid tambah 'panas' apabila rakaman video Bigo Live pelakon dan pengarah itu tersebar di laman sosial, sejak malam tadi.

Klip video itu dipercayai rakaman siaran langsung dilakukan Farid bersama seorang pelakon lelaki beberapa jam sebelum insiden Farid bertindak kasar di balai polis, semalam.

Dalam rakaman itu, Farid antara lain mengulas mengenai projek lakonan drama dan filem terbarunya.

Bagaimanapun, netizen menyifatkan aksi Farid sebagai 'pelik' hingga ada yang mendakwa dia seolah sedang khayal ketika siaran langsung itu dibuat.

Pagi tadi, Farid yang didakwa menampar seorang anggota polis trafik dan menendang dua orang awam, direman empat hari, bermula hari ini.

Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Majistret Zaki Asyraf Zubir terhadap pelakon berusia 37 tahun itu, bagi membolehkan siasatan dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan; Seksyen 90 Akta Polis; Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 353 Kanun Keseksaan.

Dalam kejadian pada jam 1.20 tengah hari semalam, Farid dilaporkan ke balai polis berkenaan untuk membuat laporan berkaitan kemalangan jalan raya.

Ketika berurusan di kaunter terbabit, pelakon berkenaan secara tiba-tiba menampar muka petugas lelaki yang menerima aduan itu, disaksikan beberapa anggota lain dan orang awam.

Selain mencederakan polis yang berusia 24 tahun, dia dipercayai menendang dua orang awam di tempat sama.


https://www.bharian.com.my/hiburan/selebriti/2018/01/374458/tak-halang-dia-jumpa-anak-diana-danielle

Farid Kamil mungkin alami masalah mental, lama tak jumpa anak



PETALING JAYA - Adik kepada pelakon dan pengarah filem terkenal, Datuk Farid Kamil, Fadzil Zahari yang ditemui media di Kompleks Mahkamah Majistret Petaling Jaya di sini tidak menolak kemungkinan abangnya itu mempunyai masalah mental disebabkan mengalami tekanan perasaan.


Fadzil, 34, yang juga merupakan seorang pelakon berkata, dia ada bertemu dengan abangnya itu tiga hari sebelum ditahan dan mengatakan amat merindukan dua anaknya, Mohamad, 5, dan Nur Aurora, 3.

"Ketika bertemu, dia (Farid) kata kepada saya yang dia sudah lama tidak berjumpa dengan dua anaknya. Dia kelihatan murung namun saya tidak sangka dia bertindak sebegini.

"Dia mungkin mengalami masalah mental yang kami keluarga sendiri tidak begitu pasti tentangnya. Kami sebagai keluarga akan memberi sokongan terhadapnya termasuk membawanya berjumpa doktor pakar," katanya ketika ditemui Kosmo!.

Dalam pada itu, diminta mengulas tentang ketiadaan isteri Farid, Datin Diana Danielle ke mahkamah hari ini, Fadzil berkata, dia sendiri gagal menghubungi pelakon itu sejak Farid ditahan pada Khamis.

"Saya rasa pihak sana (Diana) pun sudah bersuara kepada media semalam. Diana tidak dapat dihubungi, saya pun tidak pasti mengapa Diana tidak dapat hadir sedangkan Farid amat memerlukan sokongan orang tersayang pada ketika ini.

"Ibu dan bapa di kampung sudah mengetahui tentang hal ini dan saya sendiri tidak dapat menggambarkan bagaimana perasaan dan reaksi mereka," ujar Fadzil yang turut ditemani adiknya, Anis Anwar.

Terdahulu, Farid Kamil ditahan reman pagi tadi bagi membantu siasatan berhubung kes mengamuk dan menyerang seorang anggota polis selain dua orang awam di Balai Polis Trafik Kota Damansara di sini semalam.

Farid dan Diana berkahwin pada 3 November 2012 dan dikurniakan dua cahaya mata, Muhammad, 5, dan Nur Aurora, 3.


http://www.kosmo.com.my/terkini/farid-kamil-mungkin-mengalami-masalah-mental-fadzil-1.589032


Farid Kamil direman 4 hari


PELAKON dan pengarah filem terkenal, Datuk Farid Kamil Zahari (dua kiri) dibawa ke Kompleks Mahkamah Petaling Jaya . FOTO Syarafiq A Samad

PELAKON dan pengarah filem terkenal, Datuk Farid Kamil Zahari hari ini direman empat hari bagi membantu siasatan selepas dipercayai menampar anggota polis trafik selain menendang dua orang awam di Kota Damansara, Petaling Jaya, semalam.

Majistret Zaki Asyraf Zubir mengeluarkan perintah reman terhadap pelakon berusia 37 tahun itu bermula hari ini sehingga Isnin depan bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, Seksyen 90 Akta Polis, Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 353 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, Farid yang memakai baju lokap ungu tiba di Kompleks Mahkamah Petaling Jaya dengan menaiki trak polis pada 10.07 pagi sebelum diiiringi anggota polis ke kamar Mahkamah Majistret pada 10.35 pagi untuk prosiding reman berkenaan.

Prosiding itu mengambil masa 15 minit sebelum beliau dibawa keluar pada 10.50 pagi.

Turut kelihatan, adiknya, Fadzil Zahari yang juga suami kepada pelakon Yana Samsudin.

Dalam kejadian pada 1.20 tengah hari semalam, pelakon terbabit dilaporkan datang ke balai polis berkenaan untuk membuat laporan berkaitan kemalangan jalan raya.

Ketika berurusan di kaunter terbabit, pelakon berkenaan secara tiba-tiba menampar muka petugas lelaki yang menerima aduan itu sambil disaksikan beberapa anggota lain dan orang awam.

Farid dikatakan mengamuk setelah ditunjukkan artikel di telefon bimbit ‘300 Artis Pinjam Ah Long’.

Selain mencederakan polis yang berusia 24 tahun itu, suami kepada pelakon jelita, Datin Diana Danielle, 27, itu dikatakan berkelakuan ganas dengan menendang dua orang awam di lokasi sama.

Difahamkan, sebelum kejadian tercetus di balai polis itu, beliau dikatakan menahan kereta yang dinaiki oleh seorang lelaki berusia 34 tahun di tepi jalan berhampiran pusat beli-belah Tropicana di Petaling Haya pada 12.30 tengah hari.


https://www.hmetro.com.my/utama/2018/01/302763/farid-kamil-direman-4-hari


Pelakon serang polis positif ganja



PETALING JAYA: Pelakon yang juga pengarah bergelar Datuk, yang ditahan selepas menampar anggota polis dan menendang orang awam di kaunter trafik Balai Kota Damansara hari ini, dikesan positif dadah.


Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din, berkata saringan kencing yang dijalankan terhadap suspek selepas dia ditahan, mendapati suspek positif ganja.

"Sebaik sahaja polis menahan suspek, ujian air kencing dijalankan bagi mengesan sama ada dia berada di bawah pengaruh dadah.

"Hasil ujian terbabit mendapati dia positif dadah jenis ganja," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam kejadian jam 1.20 tengah hari itu, pelakon terbabit dilaporkan datang ke balai polis berkenaan untuk membuat laporan berkaitan satu kemalangan jalan raya.

Ketika berurusan di kaunter terbabit, pelakon berkenaan secara tiba-tiba menampar muka petugas yang menerima aduan itu sambil disaksikan beberapa anggota lain dan orang awam.

Dia juga turut menendang kaki orang awam yang berada dalam balai sebelum ditahan beberapa anggota polis lain.

Mohd Zani berkata, susulan kejadian itu, suspek kini disiasat kerana berkelakuan tidak senonoh dalam balai polis mengikut Seksyen 90 Akta Polis serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana penyalahgunaan dadah.

Katanya, suspek akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya esok, bagi mendapatkan perintah reman untuk siasatan lanjut.


https://www.bharian.com.my/berita/kes/2018/01/374076/pelakon-serang-polis-positif-ganja

Suami Yana terkejut abang tampar polis



KUALA LUMPUR - Adik kepada pelakon Datuk Farid Kamil, Fadzil Zahari terkejut apabila diberitakan tentang laporan abangnya itu mengamuk di Balai Polis Cawangan Trafik, Kota Damansara.


Menurut Fadzil, dia tidak mahu mengulas lanjut tentang hal itu dan menyerahkan kes sepenuhnya kepada pihak polis.

"Apa yang saya tahu, dia bukan begitu. Saya memang terkejut apabila dia ditahan oleh pihak polis dan didakwa menampar anggota polis dan menimbulkan kekacauan dalam kalangan orang awam di dalam balai polis tersebut.

"Ibu dan bapa di kampung (Alor Setar) dan mereka sudah tahu tentang hal ini. Semoga mereka dikuatkan hati untuk berdepan dengan berita mengejutkan ini," ujar Fadzil yang juga merupakan seorang pelakon kepada Kosmo! sebentar tadi.

Terdahulu, menurut sumber, dalam kejadian kira-kira pukul 1.20 petang itu, bintang filem Lagenda Budak Setan berusia 36 tahun itu dikatakan melakukan perbuatan tersebut di kaunter aduan Balai Polis Kota Damansara

Susulan itu, seorang anggota polis telah membuat laporan polis yang menyebabkan pelakon itu kini ditahan untuk siasatan lanjut di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd. Zani Che Din ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.


http://www.kosmo.com.my/terkini/adik-farid-kamil-fadzil-terkejut-abang-tampar-polis-1.588596

Pelakon bergelar Datuk mengamuk di balai


PELAKON yang ditahan selepas dipercayai menampar anggota polis trafik dan menendang orang awam.

PELAKON dan pengarah lelaki bergelar Datuk ditahan selepas dipercayai mengamuk, menampar anggota polis trafik dan menendang orang awam di Balai Polis Trafik Kota Damansara, 1.20 tengah hari, hari ini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din yang mengesahkan kejadian berkata, suspek berusia 37 tahun itu menampar anggota polis yang bertugas di kaunter Balai Trafik Kota Damansara.

"Selain menampar polis dia turut menendang dua orang awam di dalam balai berkenaan.

"Siasatan awal mendapati suspek datang ke balai bersama seorang rakan untuk membuat laporan polis kes kemalangan jalan raya, namun apabila anggota trafik bertanya laporan yang ingin dibuat, suspek kemudian menunjukkan mesej aplikasi whatsapp 300 artis hutang ah long", katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Susulan itu, pelakon dan pengarah berkenaan ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 90 Akta Polis 1967 kerana berkelakuan tidak senonoh di balai polis dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mencederakan.


https://www.hmetro.com.my/utama/2018/01/302460/pelakon-bergelar-datuk-mengamuk-di-balai

Farid Kamil ditahan tampar polis



KUALA LUMPUR 11 Jan. - Pelakon dan pengarah terkenal, Datuk Farid Kamil Zahari ditahan selepas dipercayai menampar seorang anggota polis di Kota Damansara, Petaling Jaya sebentar tadi.


Menurut sumber, dalam kejadian kira-kira pukul 1.20 petang itu, selebriti berusia 36 tahun itu dikatakan melakukan perbuatan tersebut di kaunter aduan Balai Polis Kota Damansara.

“Dia disyaki berada di bawah pengaruh dadah dan ujian air kencing sedang dijalankan terhadapnya,” katanya di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd. Zani Che Din ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.


http://www.utusan.com.my/berita/nasional/farid-kamil-ditahan-tampar-polis-1.588526

Last edited:
Sponsored Post

Penbiru

CG Top Poster Club
Joined
Jan 12, 2008
Messages
21,445
Reaction score
2,529
Points
201
kena 'barang' kot?..
 

aim02Aug

Super Active Member
Joined
Sep 5, 2011
Messages
6,951
Reaction score
780
Points
121
datuk anugrah pahang kew?

lahir tahun 81?
 

cek mek molek

CG Hardcore Club
Platinum Member
Top Poster #2
Joined
Jun 3, 2013
Messages
76,042
Reaction score
12,083
Points
1,906
sapa ni perangai tak semenggah ni, ada title datuk makin menjadi jadi pulak perangai, mcm gangster
 

TT

CG Super Hardcore Club
Joined
Jan 13, 2009
Messages
154,289
Reaction score
21,164
Points
1,671
ikut kata hati la. klo anda teka farid kamil, anda betul
 

TT

CG Super Hardcore Club
Joined
Jan 13, 2009
Messages
154,289
Reaction score
21,164
Points
1,671
Farid Kamil ditahan tampar polis



KUALA LUMPUR 11 Jan. - Pelakon dan pengarah terkenal, Datuk Farid Kamil Zahari ditahan selepas dipercayai menampar seorang anggota polis di Kota Damansara, Petaling Jaya sebentar tadi.


Menurut sumber, dalam kejadian kira-kira pukul 1.20 petang itu, selebriti berusia 36 tahun itu dikatakan melakukan perbuatan tersebut di kaunter aduan Balai Polis Kota Damansara.

“Dia disyaki berada di bawah pengaruh dadah dan ujian air kencing sedang dijalankan terhadapnya,” katanya di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd. Zani Che Din ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.


http://www.utusan.com.my/berita/nasional/farid-kamil-ditahan-tampar-polis-1.588526
 

simplest_box

Active+ Member
Joined
May 21, 2012
Messages
4,950
Reaction score
137
Points
43
berani tampau dlm balai.
Kabel kuat ke apa dia ni. Ke ayanda boleh backup?
 

TXT

CG Super Hardcore Club
Platinum Member
Top Poster #1
Joined
Mar 15, 2010
Messages
290,870
Reaction score
12,196
Points
2,376
Berani dia tampaq polis
Kan kena penjara baru tau
 
Sponsored Post
Top
Log in Register