ZONDA
Legendary Member

- Messages
- 14,904
- Joined
- Feb 8, 2011
- Messages
- 14,904
- Reaction score
- 46
- Points
- 120
KANGAR 17 April - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pangkalan Kuala Perlis berjaya mematahkan cubaan menyeludup minyak petrol bersubsidi kira-kira 360 liter ke negara jiran dengan menggunakan sampan di 0.2 batu nautika dari pantai Kuala Perlis, semalam.
Ketua Penguat Kuasanya, Leftenan Komander Mohd. Azlan Osman berkata, hasil rondaan pihaknya telah mengesan sebuah sampan dalam keadaan mencurigakan dari muara Kuala Perlis menuju ke perairan Thailand.
Katanya, sebuah bot peronda Maritim Malaysia bersama tiga orang anggota menahan sampan tersebut dan hasil pemeriksaan mendapati sampan itu dinaiki oleh dua awak-awak lelaki berumur 17 dan 26 tahun.
“Seorang dikenal pasti rakyat tempatan dan seorang lagi warganegara asing didapati membawa sepuluh tong berisi petrol 30 liter dan enam tong berisi petrol sepuluh liter yang disimpan di dalam sampan tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, kes itu disiasat di bawah Akta Kastam 1967 dan sampan serta awak-awak dibawa ke Pangkalan Maritim Kuala Perlis untuk tindakan lanjut.
Katanya, Maritim Malaysia memandang serius kes penyeludupan minyak dan berusaha untuk membanteras aktiviti-aktiviti pencerobohan nelayan negara jiran dan bot pukat rawa sorong serta aktiviti lain yang menyalahi undang-undang maritim.
“Pihak Maritim Malaysia akan terus membuat rondaan dan pemantauan di sempadan perairan negara dari semasa ke semasa untuk mencegah aktiviti penyeludupan atau jenayah maritim yang berlaku di perairan utara Semenanjung Malaysia,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya meminta kerjasama daripada orang ramai supaya segera melaporkan sebarang kes penyeludupan dan jenayah maritim yang berlaku di perairan negeri ini.
Katanya, sebarang laporan, aduan dan kecemasan di laut boleh terus menghubungi Maritim Malaysia di talian 24 jam iaitu MERS 999 dan Pusat Operasi Maritim, Pangkalan Maritim Kuala Perlis di talian 04-9851072 atau 04-9851162.