Keluarga pelajar cemerlang
SPM terima motosikal
AZMAN JAAFAR (kiri) menyerahkan kunci motosikal kepada Farah Marcella Bandie (tengah) di Taman Kota Puteri, Pasir Gudang, semalam.
JOHOR BAHRU 24 April –Nasib keluarga pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Farah Marcella Bandie yang hidup menumpang di sebuah pusat snuker di Taman Kota Puteri, Masai terus mendapat pembelaan apabila menerima bantuan sebuah motosikal daripada Biro Kebajikan UMNO hari ini.
Ibu Farah Marcella, Hasliza Hassan, 40, berkata, dia amat bersyukur apabila menerima bantuan motosikal jenis SYM kerana dapat memudahkannya menghantar anak-anak ke sekolah dan melakukan urusan lain.
“Sebelum ini, saya terpaksa berjalan kaki lebih satu kilometer untuk menghantar anak ke sekolah. Dengan adanya motosikal ini, ia dapat meringankan tugas kerana dapat menghantar anak ke sekolah atau membeli barangan keperluan,” katanya di sini.
Motosikal itu diserahkan oleh Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pasir Gudang, Azman Ja’afar kepada Hasliza dengan disaksikan oleh Setiausaha Operasi Biro Kebajikan UMNO, Shoubli Jamal.
Sementara itu Shoubli berkata, pemberian bantuan tersebut bagi kegunaan Hasliza yang bekerja sebagai pembantu di sebuah kedai dengan gaji RM1,400 sebulan untuk menyara dua orang anak*nya yang masih bersekolah serta seorang bayi berusia dua tahun.
Selain sumbangan tersebut, Biro Kebajikan UMNO yang dipengerusikan Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Shamsul Anuar Nasarah merancang untuk memberikan beberapa bantuan lain kepada keluarga tersebut.
“Datuk Shamsul Anuar memberi*tahu, Biro Kebajikan UMNO akan memastikan Farah Marcella menerima bantuan bagi meneruskan pelajarannya dan akan membuat susulan dengan gurunya,’’ kata Shoubli.
Artikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/berita/nas...2-spm-terima-motosikal-1.473553#ixzz4fDBioCQh