Caruman KWSP : 193 Majikan Tidak Mencarum Didenda RM278,970 Pada S3 2009

CG Sponsors




alisha_qistina

Super Active Member
Joined
Jun 27, 2008
Messages
6,407
Reaction score
256
Points
81
Sebagai langkah melindungi simpanan ahli, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) terus mengambil tindakan undang-undang terhadap majikan yang tidak mencarum bagi pihak pekerja mereka dengan 193 majikan dikenakan denda berjumlah RM278,970 oleh mahkamah pada suku tahun ketiga 2009 (S3).

Denda yang dikenakan adalah bagi kesalahan di bawah Seksyen 43(2) Akta KWSP 1991 yang mewajibkan semua majikan membayar caruman bulanan bagi pihak pekerja mereka sebelum atau pada 15 haribulan setiap bulan.

Maxsoft Precision Sdn Bhd dari Johor telah dikenakan denda tertinggi sebanyak RM7,000. Manakala Senzpak (M) Sdn Bhd dari Johor, Jurutera Budiman (M&E) Sdn Bhd dari Selangor, Rohana Bursery & Trading Sdn Bhd dari Terengganu dan The Regend Inn dari Sarawak masing-masing didenda RM5,000.

“Kadar majikan tidak mencarum pada S3 mencatatkan penurunan dengan hanya 1.75 peratus majikan tidak mencarum berbanding 1.91 peratus pada suku tahun sebelumnya. Perkembangan positif ini menunjukkan lebih ramai majikan mulai sedar tentang tanggungjawab mereka dalam menyediakan persaraan pekerja yang selesa. KWSP akan terus menggiatkan usaha untuk memastikan majikan terus mencarum pada masa yang ditetapkan” kata Nik Affendi Jaafar, Pengurus Besar Perhubungan Awam KWSP.

KWSP telah memfailkan sebanyak 1,913 kes jenayah dan 131 kes sivil terhadap majikan yang tidak mencarum bagi pihak pekerja mereka sepanjang S3. KWSP juga telah mengemukakan 234 nama pengarah syarikat kepada Jabatan Imigresen bagi menahan mereka daripada meninggalkan negara sebelum menjelaskan tunggakan caruman seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 39, Akta KWSP 1991.

Lazimnya, mahkamah memberikan majikan maksimum enam kali bayaran ansuran untuk menjelaskan tunggakan caruman. Dalam tempoh berkenaan KWSP akan terus memantau majikan terbabit bagi memastikan tunggakan caruman dibayar sepenuhnya. KWSP akan mengkreditkan tunggakan caruman itu ke dalam akaun ahli setelah majikan membayar semua tunggakan caruman tersebut.

“KWSP sentiasa mengutamakan kepentingan ahli dan akan mengambil segala langkah perlu bagi memastikan simpanan persaraan ahli terus dilindungi.

“Bagaimanapun, adalah penting bagi ahli untuk turut memainkan peranan dengan sentiasa menyemak penyata kira-kira mereka bagi memastikan majikan membayar caruman dengan teratur dan pada masa yang ditetapkan. Sekiranya terdapat keraguan, ahli dinasihatkan untuk mendapatkan penjelasan daripada majikan atau melaporkan kepada KWSP dengan segera,” kata Nik Affendi.
 
Top
Log in Register