GamezStar
CG Hardcore Club


- Messages
- 55,808
Top Poster #7
- Joined
- Jul 1, 2008
- Messages
- 55,808
- Reaction score
- 7,096
- Points
- 881
- Awards
- 1
Orang Ramai Puas Hati Tempoh Menunggu Di Klinik Kesihatan Kini 30 Minit
05.02.2025 - Orang ramai berpuas hati dengan langkah mengurangkan tempoh waktu menunggu di klinik kesihatan dari tiga jam kepada 30 minit, yang mencerminkan komitmen tinggi kerajaan dalam memastikan kebajikan serta kesejahteraan rakyat. Tinjauan Bernama di beberapa klinik kesihatan di seluruh negara mendapati dengan pelaksanaan sistem baharu itu, orang ramai dapat menikmati perkhidmatan kesihatan yang lebih pantas dan efirisen. Ibu muda Nor Azlin Muhammad Samsuri, 23, berkata usaha kerajaan memperkenalkan sistem pendigitalan bertepatan dengan keperluan semasa khususnya apabila inisiatif berkenaan bukan sahaja menjimatkan masa pesakit malah meningkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan.
“Anak saya yang berusia setahun pernah mengalami keracunan makanan dan kami terpaksa menunggu di klinik kesihatan selama empat jam walaupun kami datang seawal 8.30 pagi. Kami faham klinik kesihatan sentiasa penuh, namun waktu menunggu begitu lama menyebabkan saya bimbang kesihatan anak saya. Saya amat berpuas hati dengan penambahbaikan dilaksanakan. Bagaimanapun, saya harap kerajaan dapat mengatasi isu kekurangan petugas di klinik kesihatan untuk memberi impak yang lebih besar dengan pelaksanaan sistem digital ini,” katanya ketika ditemui di pekarangan Klinik Kesihatan Ampang hari ini.
Isnin lepas, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dilaporkan berkata Kementerian Kesihatan (KKM) berjaya mengurangkan tempoh waktu menunggu dari tiga jam kepada 30 minit bagi perkhidmatan yang ditawarkan di klinik kerajaan menerusi tekad pelaksanaan agenda transformasi digital kesihatan. Sementara itu warga emas Lim Mei Ling, 78, pula bersyukur dengan pelaksanaan inisiatif yang disifatkannya sangat prihatin dan peka terhadap kebajikan rakyat khususnya warga emas serta individu berkeperluan khas dengan limitasi fizikal dan kesihatan.
“Inisiatif ini sangat baik dan sepatutnya dilaksanakan lebih awal. Saya berharap kerajaan juga boleh tambah baik proses janji temu di klinik kesihatan dan laksanakan (inisiatif sebegini) di hospital-hospital kerajaan,” katanya.
Di TERENGGANU, seorang pesakit kencing manis Che Ku Ibrahim Tuan Manis, 71, dari Kampung Kebor Besar dekat Kuala Terengganu, berkata sebelum ini dia terpaksa menunggu sekurang-kurangnya dua jam sebelum mendapatkan rawatan disebabkan jumlah pesakit yang ramai. Che Ku Ibrahim yang sudah kematian isteri berkata situasi tersebut menyebabkan keadaan kesihatannya bertambah buruk kerana duduk terlalu lama dan memerlukan penjagaan daripada anak-anak.
“Memang tak larat sungguh, adakala sampai tidur atas kerusi roda. Pakcik harap tempoh menunggu yang singkat ini dapatlah bantu memudahkan rakyat yang tidak mampu untuk dapatkan rawatan di klinik swasta," katanya ketika ditemui di Klinik Kesihatan Manir.
Suri rumah Siti Juhaida Kamaruddin, 32, dari Kampung Banggol Tuan Muda berharap kerajaan dapat memperluas inisiatif tersebut di hospital terutama di unit kecemasan.
Di PERLIS, tinjauan Bernama di Klinik Kesihatan Kangar mendapati keadaan di kaunter pendaftaran berjalan lancar tanpa sebarang kesesakan dan pesakit tidak perlu menunggu lama untuk berjumpa doktor. Tan Siew Eng, 73, yang hadir untuk pemeriksaan kesihatan berkata proses pendaftaran dan giliran bertemu dengan doktor berjalan dengan pantas sekali gus berpuas hati dengan perkhidmatan klinik kerajaan kini yang mementingkan keselesaan pesakit.
"Saya datang sendiri, hari ini memang cepat kira-kira dalam tempoh 30 minit dapat berjumpa dengan doktor untuk saya buat pemeriksaan tahap kolesterol. Lebih kurang 9.30 pagi sudah selesai urusan pemeriksaan kesihatan, saya hanya perlu tunggu ambil ubat sahaja," katanya.
Di NEGERI SEMBILAN, tinjauan Bernama di Klinik Kesihatan Seremban mendapati masa menunggu untuk berjumpa pegawai perubatan kurang daripada sejam, malah masa menunggu ubat di bahagian Unit Farmasi di klinik itu juga kurang daripada 10 minit dengan enam kaunter pengambilan ubat disediakan termasuk kaunter khas bagi warga emas dan Orang Kurang Upaya (OKU). Menurut Maisarah Abd Rahim,28, yang datang ke klinik itu pada 9 pagi hanya menunggu 45 minit untuk urusan mengambil darah dan ubat, manakala S Selvi, 45, dari Taman Bidara yang datang mendapatkan rawatan pada 9.20 pagi tadi selesai kira-kira 10 pagi.
Di SARAWAK, rakyat tempatan berpendapat beberapa aspek dalam sistem perkhidmatan kesihatan awam khususnya di klinik kesihatan kerajaan boleh diperbaiki lagi agar mutu perkhidmatan lebih berkualiti. Bagi kerani swasta Erine Ernest, 51, yang sering mendapatkan rawatan di klinik berkenaan, berkata secara purata waktu menunggu bagi mendapatkan rawatan di klinik kesihatan adalah sekitar setengah jam hingga satu jam, bergantung kepada jumlah pesakit namun pemeriksaan dijalankan agak singkat.
"Tambahan pula, kadang-kadang pemeriksaan dilakukan bukan oleh doktor tetapi oleh pembantu perubatan. Jadi, saya sarankan agar kerajaan mengambil lebih ramai pegawai perubatan bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan di negara ini," katanya.
Penjaga stor, Rahman Yahaya, 56, yang turut bergantung kepada perkhidmatan klinik itu berpandangan bahawa dengan pertambahan tenaga kerja profesional, mutu rawatan dapat dipertingkatkan.
Di SABAH, tinjauan di klinik kesihatan Kota Kinabalu, Penampang dan Putatan mendapati masa menunggu pendaftaran atau saringan sekitar 30 minit namun isu utama adalah masa menunggu rawatan yang lebih lama dan perlu diteliti untuk meningkatkan perkhidmatan kepada rakyat. Kontraktor binaan Mohd Suffian Jamaluddin, 38, dari Penampang berkata berdasarkan pengalamannya di klinik kesihatan masa menunggu lebih lama mendapatkan rawatan bukan disebabkan pendaftaran atau saringan, sebaliknya kekurangan doktor atau pembantu perubatan. Justeru, beliau mencadangkan agar KKM mengenal pasti keperluan optimum tenaga kerja untuk sesuatu klinik kesihatan terutama doktor. Seorang jururawat di Kota Kinabalu yang hanya mahu dikenali sebagai Anne, 49, berkata sememangnya isu utama dihadapi pesakit bagi klinik kesihatan di situ adalah masa menunggu untuk mendapatkan rawatan dan pihaknya terbeban kerana jumlah petugas tidak seimbang dengan jumlah pesakit yang diterima.
“Pesakit yang datang memahami situasi kita dan tidaklah marah-marah. Kami cuba beri perkhidmatan terbaik dengan apa yang ada, walaupun dalam keadaan kekurangan itu bukan alasan untuk kita tidak beri khidmat terbaik kepada pesakit,” katanya.
Berita asal https://www.malaysiakini.com/news/733653
bia betul ni