Yallah
Super Active Member
- Messages
- 7,130
- Joined
- Jun 21, 2021
- Messages
- 7,130
- Reaction score
- 970
- Points
- 121
Budak lelaki 11 tahun hasilkan 600 baris kod bina roket
Julai 26, 2024 @ 3:31am
BEIJING: Seorang budak lelaki berusia 11 tahun yang belajar sendiri pengaturcaraan, fizik dan kimia berjaya mencuri tumpuan dalam talian di China apabila menghasilkan 600 baris kod untuk membina roket.
Yan Hongsen dikenali sebagai 'budak roket' ialah pelajar tahun lima dari wilayah Zhejiang di timur China dilaporkan mendokumentasikan perjalanan pembangunan roketnya di Douyin, hingga menarik 440,000 pengikut.
Menurut bapanya, selepas Yan melawat pusat pelancaran dan menyaksikan Long March-2 berlepas ketika berumur empat tahun, anaknya itu jatuh cinta dengan roket dan astronomi.
Sejak tadika, Yan yang juga anak tunggal mengikuti kursus pengaturcaraan dalam talian selain fizik dan kimia dipelajari sendiri melalui buku, video dan forum dengan peminat astronomi.
Portal South China Morning Post melaporkan bagi menyokong minatnya dalam aeroangkasa, ibu bapa Yan menukar ruang tamu mereka menjadi studio penyelidikan roket untuk anak lelaki mereka.
Bermula pada Ogos 2022, Yan menghabiskan 10 bulan membina roket bahan api pepejal buatan sendiri pertamanya.
Pada Jun 2023, beliau melancarkan roket pertamanya, menamakannya Sen Xing, yang bermaksud "bergerak ke hadapan" yang melambangkan keinginannya untuk mencapai tahap yang lebih tinggi dalam aeroangkasa.
Bagaimanapun, sejurus selepas roket itu naik, penggalaknya gagal menggunakan payung terjunnya selepas dipisahkan, manakala komponen yang selebihnya juga mengalami kerosakan hingga membawa kepada kemalangan.
Tetapi Yan tidak berputus asa dan kembali mengumpulkan serpihan yang bertaburan tanpa menunjukkan sebarang kesedihan dan mula menganalisis punca kegagalan itu.
"Nitroselulosa tidak meletup seperti yang dijangkakan, spring dan bateri litium juga rosak. Mungkin masih ada masalah dengan sambungan badan roket itu," kata Yan.
Menceritakan kembali kepada portal Post, bapa Yan berkata, walaupun ia terhempas, penerbangan pertama roket itu masih berjaya dan beliau teruja, tetapi anaknya kekal tenang.
Kini, Yan mengubah suai versi kedua roket itu dengan harapan untuk melancarkannya lagi pada masa hadapan.
Sementara itu, dalam video terbarunya, Yan mempamerkan lebih 600 baris kod yang ditulisnya untuk sistem kawalan penerbangan roket terkini.
Bapanya berkata, Yan mempunyai rancangan yang jelas untuk masa depannya, berharap untuk masuk ke satu daripada tujuh universiti pertahanan awam yang berprestij di China kerana impiannya adalah untuk membina roket sebenar untuk China meneroka alam semesta.
Bapanya, yang bekerja dalam industri pelancongan, berkata beliau tidak memahami aeroangkasa, tetapi akan sentiasa menemani anaknya.
"Sebagai ibu bapa, kami menyokong sepenuhnya impian ayan dan jika dia menghadapi masalah teknikal yang tidak dapat diselesaikan, dia sentiasa menghubungi saya dan saya cuba sedaya upaya untuk menghubungi pakar bagi mendapatkan bantuan," katanya kepada Post.
Tambahnya lagi, prestasi akademik anaknya dalam mata pelajaran lain adalah antara yang terbaik dalam kelasnya.
Sementara itu, kisah Yan berjaya menarik banyak perhatian di media sosial tanah besar itu dan ia juga bukan kali pertama 'budak roket' menjadi tajuk utama negara di China.
Pada Julai 2022, pada usia sembilan tahun, dia mendapat pengiktirafan kerana menunjukkan kesilapan fakta dalam dokumentari astronomi.
Yan juga mengajar kelas aeroangkasa kepada rakan murid di sekolah rendahnya ketika ini.