Bowl pukau juri

CG Sponsors




dhiaperfumes

Banned
Joined
Nov 12, 2009
Messages
41,571
Reaction score
63
Points
120
PROGRAM realiti Bintang Mencari Bintang (BMB) bagi konsert kedua kumpulan A, semalam, penuh dengan kejutan apabila Bowl menjadi juara minggu ini.

Setelah berada di kedudukan paling bawah minggu lalu dengan markah 36, kumpulan yang dianggotai dua anak muda, Syed
Mubarrak Ali (Ali) dan Muhammad Danial Lee (Danial), berjaya membuka mata ramai pihak setelah merampas kedudukan paling teratas dengan markah 68.4.

Malah, kemenangan mereka memberi kejutan kepada penonton serta juri profesional setelah bergabung suara dan lakonan bersama sifu, Afdlin Shauki.

Sekembalinya Afdlin dari Makkah ternyata memberi hikmah kepada kumpulan tersebut apabila mereka tidak lagi dibayangi oleh Johan Raja Lawak dalam persembahan mereka.

Ternyata pertandingan BMB semakin sengit dengan lawak berkualiti dan matang daripada enam peserta bersama sifu masing-masing.

Pada minggu pertama, nyanyian kumpulan Bowl menerima kritikan paling pedas daripada juri profesional.

Malah nyanyian mereka dikatakan ‘senak dan sakit’ apabila tidak dapat menyanyi dengan baik.

Lakonan mereka ketika itu turut dikritik kerana gagal menarik perhatian juri dan penonton.

Ternyata ada hikmah di sebalik kekalahan mereka kerana dapat belajar daripada kelemahan tersebut.

Bagi Ali, berada di kedudukan paling bawah bukan bermakna mereka telah kalah dalam pertandingan itu.

Sebaliknya, daripada kekalahan itu, mereka dapat mengkaji dan menyelidik kelemahan yang ada pada persembahan mereka.

“Alhamdulillah, kami bersyukur dengan kekalahan pada minggu pertama kerana dari situ kami tahu apa kelemahan yang ada.

“Jadi daripada kesilapan itu kami perbetulkan balik supaya tidak melakukan kesalahan yang sama nanti,” kata Ali.

Sementara itu, seorang lagi ahli kumpulan itu, Danial yang menerima kritikan mengenai lakonan agak kaku pada minggu lalu mengejutkan penonton dan juri dengan persembahan sangat mantap pada minggu ini.

“Lagipun abang Afdlin banyak memberi tunjuk ajar walaupun baru pulang dari Makkah, tetapi dia sangat komited membantu kami,” kata Danial.

Melihat perkembangan positif kumpulan ini, ternyata kepulangan Afdlin untuk mendidik mereka dilihat sebagai faktor kejayaan itu.

Bagaimanapun, Bowl tidak menafikan kehebatan Johan sebagai sifu sementara mereka.

"Johan merupakan sifu yang bagus namun ketika itu kami sering dibayangi watak Johan dan Zizan. Ketika itu juga kami masih mencari-cari identiti kami.

“Lagipun waktu agak singkat berbanding minggu ini, kami dapat berlatih selama dua minggu," tutur Ali.

Menurut Afdlin, kekalahan kumpulan tersebut pada konsert pertama dianggap sebagai cabaran kepada anak didiknya itu.

“Sebaik sahaja sampai di Malaysia, saya terus menghubungi dan berjumpa dengan mereka untuk berbincang.

“Malah saya cakap, baguslah kamu mendapat tempat paling bawah supaya dapat belajar daripada kesilapan sendiri,” kata Afdlin.

Selepas duduk berbincang dengan Bowl, Afdlin melihat kembali video persembahan Bowl yang lalu.

“Daripada situ saya lihat beberapa kelemahan yang ada pada Ali dan Daniel. Paling ketara dari segi nyanyian.

“Jadi minggu ini, saya suruh mereka nyanyi lagu yang lebih rancak kerana kesilapan ketika menyanyi boleh disembunyikan.

“Bowl tidak sesuai dengan lagu perlahan atau mendayu kerana mereka mudah melakukan kesilapan,” katanya.

Selain itu, persiapan kali ini lebih rapi, tambahan pula tempoh latihan lebih panjang iaitu dua minggu, membuatkan anak didiknya lebih berkeyakinan.

Paling penting, Afdlin berkata, setiap perkara yang mereka lakukan perlu dimulakan dengan niat untuk menghiburkan penonton dan bukan sekadar mengejar wang semata-mata.

“Dan setiap kali latihan atau persembahan harus dinikmati tanpa rasa tertekan kerana ia mungkin mempengaruhi sketsa atau nyanyian mereka.

“Apabila mereka tenang dan rileks, maka persembahan akan berjalan lancar seperti yang direncanakan," kata Afdlin.

Tambahnya, idea persembahan mereka pada malam itu diilhamkan daripada kisah hidup pelajar praktikal sehingga terlahirnya kisah ahli bomba praktikal yang mempunyai pelbagai ragam ketika mahu memadamkan kebakaran.

Sementara itu, pengacara dan juruhebah radio popular, Raja Azura meluahkan rasa kecewa apabila anak didiknya, Kelawak yang dianggotai dua anak muda iaitu Syed Atiq dan Muhd Maaruf mendapat markah rendah seperti konsert minggu lalu.

Tidak berpuas hati dengan cara penilaian BMB, Raja Azura menyifatkan pengiraan markah yang diberikan tidak setimpal dengan persembahan Kelawak.

"Pada konsert pertama, Kelawak memperoleh 40 markah manakala konsert kedua dengan markah 41.4 mata.

“Saya jangkakan markah Kelawak antara yang tertinggi pada minggu ini, ternyata ia meleset sama sekali.

“Sedangkan saya sangat berpuas hati dengan persembahan mereka namun lain pula yang berlaku,” katanya.

Raja Azura turut merasakan dirinya gagal membimbing dan membentuk kumpulan tersebut dengan baik kerana Kelawak berada di kedudukan paling rendah, minggu ini.

Bercakap mengenai komen juri profesional bahawa lakonan anak didiknya itu kurang menyengat dan masih kaku, Raja Azura berkata, dia tidak nampak masalah ketara dari segi lakonan mereka.

“Mereka telah berusaha keras. Namun persembahan mereka terikat dengan timing (masa) yang diperuntukkan," katanya.

Persembahan Kelawak minggu ini berkisarkan dua beradik, Akar dan Hati, yang sering dibuli oleh kakak sendiri dan mahu memberi pengajaran kepada kakak mereka. Namun, perbuatan mereka hanya memakan diri sendiri apabila kakak mereka dapat menghidu perkara tersebut.

Walaupun berada di tempat kedua, anak didik Harun Salim Bachik, Achey menerima markah daripada juri awam paling tinggi setakat ini iaitu 20 markah.

Namun, markah tersebut tidak menjamin kedudukan Achey kerana hanya memperoleh 65.8 sahaja pada minggu ini berbanding 75, minggu lalu.

“Tidak mendapat tempat pertama minggu ini bukan menjadi masalah tetapi perkara penting adalah saya harus capai target iaitu 60 markah ke atas dalam setiap konsert.

“Sebenarnya perkara ini akan membantu kita dan saya sentiasa akan memperbaiki jika ada kelemahan atau kesilapan dalam persembahan,” katanya.

Malah setiap kali tiba giliran kumpulan A, ternyata aura Achey semakin kuat sehingga mempunyai pengikut sendiri yang sering mengikuti perkembangannya.

Menurut Achey, persembahannya sentiasa dipengaruhi dengan pengalaman hidup, begitu juga idea untuk konsert kedua yang mengangkat kisahnya sebagai mekanik.

Pada minggu ini, markah keseluruhan peserta kumpulan A didahului oleh Achey (140.8), diikuti dengan kumpulan Tapaw (112.6), Tocai (104.5), Bowl (104.4), Big Too (103.3) dan Kelawak (81.4).

Sehingga minggu keempat, tiada penyingkiran dilakukan dan peserta pada minggu kelima akan tersingkir berdasarkan markah paling rendah.
 
Top
Log in Register