Yallah
Super Active Member
- Messages
- 7,297
- Joined
- Jun 21, 2021
- Messages
- 7,297
- Reaction score
- 1,016
- Points
- 151
Bot bawa PATI terbalik di Djibouti, 21 maut
April 24, 2024 @ 1:52amNAIROBI: Sekurang-kurangnya 21 orang terkorban selepas bot membawa pendatang asing tanpa izin (PATI) terbalik di luar pesisir pantai Djibouti, kata agensi migrasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Ia adalah kemalangan maritim maut kedua dalam tempoh dua minggu di negara Semenanjung Afrika Timur itu, yang terletak di perairan laut berbahaya yang dipanggil laluan Migrasi Timur dari Afrika ke Timur Tengah.
Sebuah lagi bot yang membawa sebahagian besar PATI dari Ethiopia karam di kawasan yang sama pada 8 April, meragut nyawa puluhan mangsa.
Ketua misi Pertubuhan Antarabangsa untuk Migrasi (IOM) di Djibouti, Tanja Pacifico, memberitahu AFP di Nairobi bahawa 21 mayat ditemui, 23 orang masih hilang manakala sejumlah 33 orang lagi terselamat daripada bencana itu.
"Tragedi berlaku apabila bot terbalik di luar pantai Djibouti dengan 77 PATI di atasnya termasuk kanak-kanak," kata IOM dalam catatan awal di X, menyebabkan sekurang-kurangnya 16 terbunuh dan 28 hilang.
Ia berkata cawangan IOM Djibouti 'menyokong pihak berkuasa tempatan dengan usaha mencari dan menyelamat'.
Jurucakap agensi itu, Yvonne Ndege, memberitahu AFP bahawa kematian termasuk kanak-kanak dan bayi, tanpa memberikan butiran lanjut.
Duta Ethiopia ke Djibouti, Berhanu Tsegaye, berkata di platform X bahawa bot itu membawa PATI Ethiopia dari Yaman ketika ia terbalik pada malam Isnin lalu di Godoria di timur laut Djibouti.
Beliau turut mengesahkan 33 orang termasuk seorang wanita terselamat.
Berhanu menyatakan 'kesedihan yang mendalam... berhubung bencana yang bertali arus', sambil menambah: "Saya mengulangi bahawa langkah undang-undang harus diambil terhadap penyeludupan manusia yang membahayakan nyawa rakyat kita."
Sebuah lagi kapal yang membawa lebih 60 PATI karam di luar pantai Godoria pada 8 April, menurut IOM dan kedutaan Ethiopia di Djibouti.
IOM berkata, dalam tragedi pada masa itu, mayat 38 PATI termasuk kanak-kanak, ditemui, manakala enam orang lagi hilang.
Kedutaan Ethiopia berkata bot itu membawa PATI Ethiopia dari Djibouti ke Yaman yang dilanda perang.
Data IOM dari 2023 menunjukkan bahawa bilangan orang yang cuba menyeberang semakin meningkat.
Menurut agensi itu, warga Ethiopia membentuk 79 peratus daripada kira-kira 100,000 pendatang yang tiba di Yaman tahun lepas dari Djibouti atau Somalia, selebihnya adalah warga Somalia.
Pada Februari, IOM berkata menurut data Projek Migran Hilang, sekurang-kurangnya 698 orang, termasuk wanita dan kanak-kanak, telah meninggal dunia melintasi Teluk Aden dari Djibouti ke Yaman tahun lalu. - AFP