rinoa99
Legendary Member

- Messages
- 19,486
- Joined
- Jun 5, 2022
- Messages
- 19,486
- Reaction score
- 2,588
- Points
- 251
- Awards
- 1

CHUKAI: UMNO Terengganu telah mengemukakan senarai 42 nama untuk disaring dan seterusnya dipilih sebagai calon Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Said, berkata kesemua nama berkenaan telah melalui tapisan di peringkat negeri dan mempunyai rekod peribadi yang bersih serta disenangi rakyat setempat.
"Kita tak kira siapa pun calon, yang penting rekod bersih dan pastinya calon boleh menang," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Kemaman, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Ahmad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, berkata UMNO Terengganu telah menjalankan persiapan rapi untuk menghadapi PRU15 dan menyasarkan untuk menang empat daripada lapan kerusi Parlimen di negeri ini.
Empat kerusi Parlimen itu adalah Kemaman, Setiu, Hulu Terengganu dan Besut, manakala Kuala Nerus diletakkan dalam situasi 50-50.
"Untuk Parlimen Kuala Nerus, kita letak peluang 50-50 kerana bekas Ahli Parlimen PAS, Khairuddin (Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali) akan bertanding bebas. Jadi dia akan tarik (undi) calon PAS di situ.
"Di Marang dan Kuala Terengganu pula kita akan kerja lebih keras untuk tawan kembali. Kita ada strategi tetapi tak boleh dedahkan dahulu," katanya.
Dalam perkembangan lain, Ahmad berkata, UMNO Terengganu tidak terkesan dengan keputusan PAS untuk tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN).
"UMNO tak rugi apa-apa, kita bukan kali pertama hadapi pilihan raya. Cuma bazir sebab libatkan kos tinggi, pengundi luar pun kena dua kali balik untuk mengundi," katanya.
Ditanya adakah beliau bersedia sekiranya dicalonkan pada PRU15, bekas Menteri Besar Terengganu itu berkata, beliau tidak berhasrat untuk merebut kerusi Parlimen, sebaliknya mahu menumpukan kepada misinya meneruskan pembangunan di Terengganu.
Beliau juga menyerahkan keputusan terbabit kepada pucuk pimpinan parti yang disifatkannya lebih berhak dan bijaksana.
"Saya mahu kekal bertanding di negeri kalau diberi peluang, tetapi terpulang kepada pucuk pimpinan nak letak di mana," katanya.