Beralih angin

CG Sponsors




izack1981

Legendary Member
Platinum Member
Joined
Feb 15, 2007
Messages
10,380
Reaction score
61
Points
120

KEHADIRAN Linda Onn dan Halim Othman bakal mengukuhkan lagi kedudukan Suria FM.

Linda Onn muncul jam empat petang, Halim Othman kendali slot pagi di Suria FM

TIADA lagi rahsia. Semuanya sudah terang lagi bersuluh. Jika sebelum ini Linda Onn mengunci mulut rapat-rapat mengenai perancangannya selepas mengucapkan selamat tinggal kepada stesen radio Sinar FM penghujung tahun lalu, kini Linda menamatkan segala spekulasi yang bertebaran apabila secara sahnya dia menyertai stesen radio Suria FM seperti yang ditebak media sebelum ini.

Dalam satu majlis yang penuh sederhana, nama Linda bersama penyampai lain diumumkan oleh Pengarah Program stesen berkenaan, Hawa Hamid sebagai barisan baru yang akan memeriahkan lagi stesen terbabit untuk tahun 2010 ini.

Selain mengekalkan penyampai yang sedia ada, turut bersama Linda untuk menghiburkan pendengar di stesen Suria FM adalah bekas penyampai Era dan Sinar, yang juga rakan seperjuangan Linda iaitu Halim Othman.

Linda akan mengendalikan slot Suria Drive (4pm - 8pm) manakala Halim akan bertugas untuk slot Suria Breakfast, bergandingan bersama Zizi. Penyampai lain yang masih kekal di stesen radio ini adalah Myra, Bob Ringgo, Naim, Tuah Zoqarnain, Zaff dan DJ Lin.

Biarpun penghijrahan Linda ke stesen radio terbabit sudah pun dihidu lebih awal, namun bukan soal itu yang lebih menjadi perhatian. Sebaliknya, ramai yang tertanya-tanya apakah yang mendorong pelakon dan ahli perniagaan itu beralih arah memilih stesen radio yang lebih suram popularitinya berbanding stesen Sinar FM diketahui cukup gah dari pelbagai segi.

Menjawab persoalan itu, Linda berkata sebagai seseorang yang lebih mementingkan kepuasan dalam bekerja, mendapat tawaran dari Suria FM ibarat bulan jatuh ke riba buatnya. Sambil mengakui tawaran lumayan antara faktor mengapa dia tertarik dengan tawaran itu, namun pada masa yang sama, keterbukaan stesen terbabit untuk berkongsi idea di samping ingin merasa atmosfera baru membuatkan dia tidak teragak-agak untuk memberikan kata persetujuan.

“Kontrak saya dengan Sinar FM tamat pada November lalu. Pada ketika saya dalam dilema sama ada mahu menyambung kontrak ataupun tidak, tiba-tiba saya dipertemukan dengan Ketua Pegawai Penyiaran, Suria FM yang juga kawan lama saya, Yusry Abu Samah. Pertemuan itu membuahkan satu hasil yang menarik dan sekali gus membuatkan saya tertarik untuk menyertai Suria FM.

“Mengenai bayaran, terus terang, alhamdulillah, bayarannya memang lumayan. Tetapi itu bukanlah soal utama kerana apa yang saya mahukan adalah kepuasan dalam bekerja. Dengan menyertai Suria saya dapat rasakan yang saya akan menempuh cabaran baru dan ia bagaikan mengembalikan kenangan saya sewaktu mula-mula menyertai Era kira-kira 11 tahun lalu. Suasana di Suria pada masa ini boleh dikatakan sama sewaktu zaman itu.

“Dan yang lebih penting, saya akan kembali ke zaman sewaktu saya masih bertugas di stesen Era dulu. Berpeluang mendengar lagu baru berbanding sewaktu bertugas di Sinar FM. Sejujurnya, saya sedikit tertekan kerana sewaktu bertugas di Sinar kerana merasakan yang diri ini sedikit ketinggalan. Sampaikan lagu Aizat Pergi yang menang di Juara Lagu baru-baru ini pun saya tak pernah dengar. Begitu juga dengan penyanyi bernama Yuna yang baru sekarang saya kenali. Kini, apabila bertugas di Suria, saya akan kembali membuat sesuatu yang lebih hip dan happening,” kata Linda dalam nada teruja.

Ditanya apakah dia sudah bersedia untuk berdepan dengan situasi baru yang mungkin sedikit berbeza dengan apa yang pernah dikecapinya dulu, Linda berkata dia memang gemarkan cabaran dalam kerjayanya.

“Terus terang saya katakan, untuk membuat keputusan meninggalkan stesen radio AMP adalah satu keputusan yang amat berat untuk dilakukan. Tetapi saya anggap ini adalah satu cabaran yang harus saya hadapi. Bila kita sudah terlalu selesa dengan sesebuah tempat, tak salah rasanya jika kita mencari pengalaman baru dan buat perkara-perkara yang saya pernah buat masa mula-mula bekerja dengan Era dulu.

“Sejujurnya, situasi seperti itu saya tidak ketemu di Sinar. Mungkin ia sebuah organisasi yang besar dan ada orang lain yang ideanya boleh diterima pakai. Jadi disebabkan itulah saya rasa sudah tiba masanya untuk saya bertukar angin dan mulakan sesuatu yang baru, sesuai dengan ketibaan tahun baru ini,” kata Linda sekali gus menafikan yang perpindahannya itu kononnya dia mempunyai masalah dengan pihak Sinar.

Mengenai apakah dia mampu merealisasikan harapan Suria FM untuk menarik lebih ramai pendengar memilih frekuensi stesen berkenaan, Linda melihat perkara itu dengan penuh optimis.

“Saya yakin peminta setia saya akan terus menyokong saya walau di mana saya berada dan juga misi saya iaitu selain menarik pendengar baru, saya juga mahukan pendengar Suria yang sedia ada, akan terus mendengar stesen ini,” tutur Linda penuh yakin.

Tiada niat untuk bersaing

DUA tahun meninggalkan dunia penyiaran akhirnya bekas pemenang anugerah Penyampai Radio Lelaki Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian lebih lima kali berturut-turut, Halim Othman terpaksa akur dengan hakikat bahawa jiwanya tidak boleh dipisahkan dari dunia radio. Sepanjang tempoh itu, Halim berkata dia bagai merindukan sesuatu yang cukup berharga dalam kehidupannya.

“Selepas dua tahun, saya akui bagai kehilangan sesuatu dalam diri ini. Tapi itulah, barangkali jodoh saya kuat dengan dunia penyiaran maka pada 18 Januari ini, saya akan memulakan tugas baru saya di Suria FM. Secara kebetulan, masa saya berhenti dulu, tarikhnya adalah 18 Januari 2008. Jadi nanti genaplah usia dua tahun saya berhenti dan kembali semula ke dunia penyiaran tanah air.

“Andai ditanya apakah sebab saya memilih Suria FM sebagai payung baru saya, apa yang boleh saya katakan, saya lihat Suria mempunyai potensi untuk pergi lebih jauh dan apalah salahnya dengan pengalaman yang saya ini, saya curahkan untuk membantu mereka menjadi yang terbaik,” katanya yang mengakui masih mengikuti perkembangan radio tempatan walaupun sudah dua lama tidak bergiat aktif dalam bidang ini.

Pun begitu, walaupun mempunyai pengalaman bertahun-tahun dalam bidang ini, Halim masih tetap merendah diri sambil memberitahu dia masih ingin belajar dan memperbaharui corak penyampaiannya bersesuaian dengan gaya dan cita rasa pendengar stesen terbabit.

“Kalau dulu sewaktu bertugas di Era ataupun Sinar cara penyampaian saya lebih kepada menyediakan topik yang pelbagai untuk memberi warna dalam kehidupan. Mungkin kali ini coraknya mungkin sedikit berbeza, apatah lagi saya perlu bergandingan dengan Zizi yang usianya jauh lebih muda dari saya. Namun mujurlah saya sudah kenal Zizi lebih lama jadi mungkin keserasian itu bakal wujud,” ujar Halim.

Ditanya apakah dengan kehadirannya nanti bakal menggugat penyampai radio lain memandangkan sewaktu dia berundur, popularitinya masih mencanak, Halim tidak merasakan sedemikian.

“Kehadiran saya ini bukanlah untuk digeruni atau bersaing dengan sesiapa tetapi sekadar untuk memeriahkan industri ini,” katanya sambil mengukir senyuman.

Dalam perkembangan lain, Halim yang usianya kini sudah menjangkau ke angka 45 tahun berkata dia bakal menamatkan zaman bujangnya pertengahan tahun ini.

“Gadis pilihan saya itu adalah orang biasa. Saya sudah lama mengenalinya iaitu sejak 15 tahun lalu. Cuma baru enam bulan lepas kami serius. Saya sudah pun melamarnya dan secara tidak rasmi, dia sudah pun menjadi tunangan saya. Insya-Allah kami akan mendirikan rumah tangga dalam pertengahan tahun ini,” katanya yang enggan menjelaskan identiti gadis pujaannya itu dengan lebih lanjut lagi.

Sementara itu, Yusry pada sidang media yang sama menafikan mereka memancing Linda dari stesen radio Sinar. Tegas Yusry, apa yang berlaku adalah semuanya adalah dengan persetujuan bersama.

“Saya mengenali Linda sewaktu saya masih lagi menguruskan radio IKIM. Pada masa itu, saya memang melihat potensi yang ada pada Linda. Namun memandangkan ketika itu situasinya tidak bersesuaian, maka sebaik saja saya bertugas di Suria dan kebetulan Linda pula sedang mencari-cari tempat baru, maka dengan sebab itulah kolaborasi ini berlaku.

“Lagipun, pemilihan mereka sebagai penyampai Suria FM dibuat berdasarkan kehendak pendengar kami menerusi satu kaji selidik yang kami lakukan sebelum ini. Oleh kerana pendengar mahukan mereka dan kebetulan kedua-dua mereka juga menunjukkan minat untuk menyertai stesen radio ini membuatkan kami rasa ini adalah satu keputusan yang tepat.

“Mengenai bayaran, saya rasa semua itu adalah persetujuan bersama dan tak perlu didedahkan,” kata Yusry.

INFO:

* Zizi & Halim (Suria Breakfast : 6 pagi - 10 pagi)
* Myra (50 Muzik Terbaik Tanpa Henti : 10 pagi - 1 petang)
* Bob Ringgo & Naim (50 Minit Muzik Terbaik Tanpa Henti: 1 petang - 4 petang)
* Linda Onn (Suria Drive : 4 petang - 8 malam)
* Tuah Zoqarnain & Zaff (50 Minit Muzik Tanpa Henti : 8 malam - 11 malam)
* DJ Lin (Suria Cinta: 11 malam - 2 pagi)
 
Sponsored Post

NEMO

CG Super Hardcore Club
Platinum Member
Joined
Jan 13, 2007
Messages
109,185
Reaction score
1,041
Points
1,101
tawaran lumayan rupenya...radio suam kuku pun belasah jew..
 

izack1981

Legendary Member
Platinum Member
Joined
Feb 15, 2007
Messages
10,380
Reaction score
61
Points
120
tawaran lumayan rupenya...radio suam kuku pun belasah jew..
Biasa la NEMO.. Poket mesti mau masyuk tu..Yang pastinye, pasni sure naik la Suria FM.:p:p:p:p
 

aaril

Fun Poster
Joined
May 2, 2008
Messages
829
Reaction score
6
Points
15
fuh...masyukkkkk

ah lupaman apeer lagi sebat je lah..
 
Sponsored Post
Top
Log in Register