BTC USD 38,554.5 Gold USD 1,810.99
Time now: Jun 1, 12:00 AM

Ben tolak tawaran tumpu ibadah puasa

akudotcom

Legendary Member
Joined
Jun 17, 2007
Messages
16,683
Reaction score
2,602
Points
201

Ben tolak tawaran tumpu ibadah puasa​

WhatsApp_Image_2021-04-18_at_7.35.36_AM_1618722013.jpg
Ben Amir tidak terbuka berkongsi aktiviti kehidupan sehariannya dalam laman sosial demi menjaga eksklusif diri. - Foto IG Ben Amir
KUALA LUMPUR: Pelakon popular, Ben Amir, 31, sanggup menolak tawaran lakonan sepanjang Ramadan untuk memberikan tumpuan kepada amal ibadah.

Pelakon drama Sweet Dreams itu berkata, dia sudah mula mengamalkan rutin berkenan sejak tahun lalu dan hanya memenuhi undangan untuk majlis yang tertentu.

"Saya mula tolak tawaran berlakon pada bulan Ramadan, sejak tahun lalu. Saya ingin memberikan tumpuan pada ibadah sepanjang bulan mulia.

"Kalau ada pun, saya hanya muncul untuk majlis tertentu sahaja. Lagipun, saya baru selesai menjalani penggambaran drama Anak Sena di Kuantan, Pahang.

"Saya membawa watak guru yang mengajar di sekolah orang Asli. Ia cerita yang sangat menarik kerana secara tidak langsung memberi pengetahuan mengenai masyarakat orang Asli di negara ini.


"Saya sendiri banyak belajar mengenai budaya dan cara hidup suku kaum orang Asli yang tidak banyak diketahui sebelum ini," katanya kepada BH Online.

Lapan tahun bergelar pelakon, Ben yang berjinak-jinak dalam dunia lakonan selepas menyertai pertandingan Hero Remaja berkata, dia sangat selektif dalam memilih watak.

Pelakon TV Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-33 itu berkata, dia banyak menerima tawaran membintangi drama dan filem, namun tidak semua tawaran diterimanya.

"Alhamdulillah, saya masih menerima banyak tawaran, tetapi hanya watak tertentu yang diterima. Jika boleh, saya mahukan watak lebih mencabar dan mengelak daripada membawakan karakter sama.

"Ada beberapa naskhah dalam perancangan yang agak mencabar buat saya. Saya tidak kisah sekiranya wajah saya jarang kelihatan di kaca televisyen. Bukan glamor yang ingin saya kejar, sebaliknya kualiti lakonan lebih utama.

"Saya juga tidak mahu dilihat sebagai artis yang sering mencetuskan kontroversi kerana takut orang menyampah. Oleh itu, saya lebih senang fokus kepada kerjaya dan suka buat hal sendiri," katanya.

WhatsApp_Image_2021-04-18_at_7.35.49_AM_1618722007.jpg
Ben Amir mengamalkan rutin tidak bekerja pada bulan puasa untuk memberikan tumpuan kepada amal ibadah, sejak tahun lalu. - Foto IG Ben Amir
Ben atau nama sebenarnya, Muhammad Amir Sabaruddin berkata, dia tidak begitu terbuka berkongsi perjalanan hidupnya dalam media sosial.

Akuinya, dia mahu menjaga eksklusif kerana percaya lebih sedikit dikongsikan dalam media sosial, lebih mahal seseorang artis dipandang masyarakat.

Namun, anak jati ibu kota Kuala Lumpur itu menafikan, dia seorang yang 'kekwat'. Sebaliknya, menjelaskan itu adalah cara dan prinsipnya.

"Bagi saya, menjaga eksklusif sangat penting, lagi susah orang nak jumpa, lebih mahal kita akan dilihat. Saya jarang memuat naik perkembangan dalam laman sosial, bukan kekwat, tetapi lebih suka peminat tertunggu-tunggu.

"Ia sebenarnya salah satu strategi. Mereka yang mengenali tahulah saya orang yang bagaimana. Mereka tahu saya bukanlah 'kekwat' seperti yang disangka," jelas Ben.

Berkongsi mengenai pandemik COVID-19, Ben berkata, dia bersyukur tidak terkena impak wabak berkenaan. Malah, tawaran lakonan tidak pernah putus, selain tahu merancang kewangan dengan baik.

Katanya, dia tidak hanya bergantung kepada bidang lakonan, malah turut mempunyai perniagaan minuman kesihatan yang diusahakan sejak tahun lalu.

"Saya merancang kedudukan kewangan dengan sebaiknya sejak dahulu lagi. Lain orang mungkin lain latar belakang, tetapi saya bersyukur tidak terkena sebarang impak sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

"Selain itu, saya banyak membantu usahawan baharu yang terdiri daripada pengikut saya untuk meraih pendapatan tambahan menerusi perniagaan yang diusahakan sepanjang pandemik," katanya yang bakal kembali ke lokasi penggambaran selepas Aidilfitri nanti.
 

CG Sponsors




Top
Log in Register