Bayi lelaki dijangkiti virus polio, kes pertama selepas 27 tahun

CG Sponsors




Sponsored Post

TXT

CG Super Hardcore Club
Platinum Member
Joined
Mar 15, 2010
Messages
281,068
Reaction score
11,486
Points
2,376


Vaksin polio. - Foto AFP

'Pastikan kes polio di Sabah kegagalan terakhir kita'


Seorang bayi berumur tiga bulan disahkan menghidap penyakit polio di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tuaran di Sabah. Ini kes asal pertama di Malaysia sejak 1986.

Kita tidak seharusnya membiarkan anak kita berdepan risiko penyakit yang boleh dicegah oleh vaksin. Oleh itu, kerajaan digesa mewajibkan pengambilan vaksin di Malaysia.

Tiada pengamal perubatan dapat menyangkal keberkesanan vaksin untuk mengelak kematian dan kecacatan dengan kos yang rendah. Hampir setiap pertubuhan kesihatan percaya vaksin adalah pelaburan terbaik kesihatan awam.

Vaksin berjaya menyelamatkan jutaan nyawa dan melindungi jutaan manusia daripada penderitaan dan kesengsaraan. Tetapi mengapa sehingga kini, kita masih lagi menghadapi kesukaran untuk menyelamatkan anak yang menjadi permata hati kita?

Pada 2019 ini, Samoa dan Tunisia menghadapi penyebaran demam campak, manakala Filipina dan Pakistan menderita akibat wabak polio.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyenaraikan keraguan terhadap vaksin antara 10 ancaman kesihatan sejagat. Gerakan kumpulan antivaksin kini lebih teratur, menyebabkan ganggu gugat sistem kesihatan kita terutama melalui penyebaran maklumat tanpa asas dan mengelirukan orang ramai melalui media sosial.

Pertarungan ini sudah tiba ke tanah air kita. Program vaksinasi berjadual adalah percuma untuk seluruh rakyat Malaysia dan mengandungi senarai yang disyorkan sejak lahir hingga berusia 15 tahun. Tiada satu pun vaksin diwajibkan untuk diambil walaupun penyakit itu membawa risiko amat berbahaya hingga boleh mengancam nyawa.

Program vaksinasi boleh didorong dengan pemberian insentif khas. Jerman, Perancis, Itali, Singapura dan Amerika Syarikat mewajibkan vaksinasi untuk kemasukan ke taska atau sekolah. Australia pula mewajibkan ibu bapa memberi vaksin kepada anak mereka sebelum layak menerima bantuan kebajikan.

Kita juga boleh mencontohi Jerman yang mengenakan denda EUR2,500 serta larangan ke taska. Cara ini boleh mengelakkan ibu bapa berkemampuan menghantar anak yang tidak divaksinasi ke sekolah swasta atau persendirian.

Indonesia pula membuat bayaran terus kepada ibu bapa bagi setiap anak yang menerima vaksin. Bayaran serupa diberikan di India, Nicaragua, Zimbabwe dan ia terbukti meningkatkan peratusan vaksinasi kanak-kanak di negara berkenaan.

Pengecualian vaksinasi harus diperhalusi dan dikhaskan untuk kes atas alasan perubatan. Pengecualian atas alasan keagamaan dan kepercayaan tidak seharusnya dipertimbangkan seperti di Australia dan California

Kami percaya, langkah mewajibkan vaksinasi harus serentak dengan kempen kesedaran awam melalui media massa, masyarakat sivil dan rakyat di peringkat akar umbi. Kami percaya kerajaan wajar mewajibkan vaksinasi atas sebab berikut:

Pertama, vaksin terbukti berkesan dan mewajibkannya dapat meningkatkan peratusan liputan vaksinasi. Secara ringkas, vaksin merangsang imuniti pramatang kanak-kanak untuk mempertahankan diri daripada penyakit.

Kedua, vaksinasi wajib membolehkan kita mencapai imuniti kelompok melebihi ambang 95 peratus. Sekumpulan kanak-kanak dan individu tidak boleh diberi vaksin atas alasan permasalahan perubatan. Jika lebih ramai orang membuat keputusan tidak memberi vaksin kepada anak mereka, sasaran imuniti kelompok kurang 95 peratus tidak boleh tercapai.

Ketiga, vaksin mengurangkan kos perbelanjaan. Setiap AS$1 dilaburkan untuk program vaksinasi mampu menjimatkan AS$16 kos perbelanjaan perubatan, kehilangan pendapatan dan produktiviti. Kita juga tidak boleh memberi nilai wang ringgit kepada nyawa dan kesengsaraan dialami. Ia pelaburan fiskal yang bijak, lebih-lebih lagi ketika negara dibebani peningkatan hutang kerajaan, belanjawan kesihatan tahunan yang tidak setimpal dan kos perbelanjaan yang kian meningkat.

Keempat, mewajibkan vaksinasi disokong oleh falsafah politik dan lunas undang-undang. Akhirnya, setiap agama dan kepercayaan menyokong vaksinasi untuk kepentingan sejagat.

Deklarasi Dakar 2014 melihat penyatuan cendekiawan Muslim menyokong pemberian vaksinasi. Di Malaysia, terdapat alim ulama berpendapat bahawa pemberian vaksin yang mengandungi kandungan tidak halal dibolehkan jika perlu dan sebagai pilihan terakhir.

Menghapuskan polio di Malaysia terutama di Sabah memerlukan beberapa pendekatan, selain mewajibkan vaksinasi.

Pendekatan ini perlu mengambil kira kesihatan penduduk tanpa kerakyatan, penduduk tidak berdokumen, pendatang asing tanpa izin dan pelarian.

Semua ini memerlukan perbincangan telus dan mendalam mengenai kesan kepada sistem kesihatan negara, hak kemanusiaan, keselamatan dan kedaulatan negara serta geopolitik.

Pengerusi dan Pengasas Medical Mythbusters Malaysia


 

TXT

CG Super Hardcore Club
Platinum Member
Joined
Mar 15, 2010
Messages
281,068
Reaction score
11,486
Points
2,376
Kenyataan Akhbar KPK 27 Disember 2019 – Kempen Imunisasi Polio Sabah (KIPS) 2019/2020 Dewan Taman Telipok Ria, Taman Telipok Ria, Tuaran


Pelancaran Kempen Imunisasi Polio Sabah 2019/2020 atau nama pendeknya KIPS 2019/20 merupakan kempen Imunisasi Polio secara besar-besaran Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Jabatan Kesihatan Negeri Sabah untuk membendung penularan jangkitan Polio di Malaysia, khususnya di negeri Sabah. KIPS dijalankan berikutan satu kes disahkan dijangkiti virus polio di negeri ini yang telah diumumkan oleh KKM melalui satu kenyataan akhbar pada 8 Disember 2019. Kes adalah seorang bayi lelaki warganegara Malaysia berumur tiga (3) bulan dari Tuaran.

Kempen Imunisasi Polio Sabah ini menyasarkan semua kanak-kanak yang berumur bawah 5 tahun yang warga negara dan juga bukan warga negara di semua daerah negeri Sabah. Mereka akan diberi imunisasi polio secara oral (oral polio vaccine – OPV). Pemilihan OPV dalam membendung wabak polio ini adalah selaras dengan saranan dalam garispanduan antarabangsa iaitu Standard Operating Procedures: Responding to a Poliovirus Event or Outbreak.

Vaksin OPV ini akan membentuk antibodi dalam usus kanak-kanak. Virus polio yang memasuki badan melalui mulut, kemudian masuk ke perut dan usus akan dibunuh oleh antibodi dalam usus yang telah terbentuk hasil pemberian OPV. Proses ini akan membunuh virus polio sekiranya kanak-kanak dijangkiti.

Pemberian vaksin polio secara oral ini adalah selamat dan dapat memberi imuniti (perlindungan) kepada kanak-kanak terhadap jangkitan polio. Apabila liputan imunisasi OPV ini melebihi 95%, ia akan membentuk imuniti kelompok yang dapat mengurangkan risiko penularan virus polio. Vaksin ini tidak akan diberi kepada kanak-kanak yang mengidap penyakit dengan tahap imuniti rendah seperti leukaemia dan lymphoma, serta pesakit yang mengalami kanser yang sedang menerima rawatan kemoterapi. Pada masa yang sama, imunisasi rutin perlu diteruskan kepada kanak-kanak mengikut Jadual Imunisasi Kebangsaan di klinik-klinik kesihatan bagi memastikan perlindungan yang optimum kepada jangkitan polio dan lain-lain penyakit cegahan vaksin.

KIPS 2019/20 akan dimulakan di Daerah Tuaran dan akan dilanjutkan ke seluruh Sabah secara berfasa. Sasaran KIPS 2019/20 adalah anak-anak yang berumur bawah 5 tahun diberikan sebanyak dua dos imunisasi OPV menjelang bulan Jun 2020. Selang masa antara dos pertama dan dos kedua adalah empat (4) minggu.

Beberapa buah pasukan pemberi vaksin, melibatkan seramai 114 orang sukarelawan akan melaksanakan KIPS 2019/20 bermula pada 27 Disember 2019. Pasukan ini bertanggungjawab memberi maklumat kesihatan berkaitan polio dan memastikan ibu bapa dan penjaga yang mempunyai anak-anak berumur bawah 5 tahun hadir ke program ini untuk mendapatkan imunisasi polio. Lawatan rumah-ke-rumah untuk memberikan OPV kepada kanak-kanak yang layak akan dilaksanakan selepas ini secara berfasa, bagi memastikan tiada kanak-kanak yang cicir imunisasi polio.

Pihak KKM berharap agar ibu bapa memberi kerjasama dan sokongan kepada KIPS 2019/20 dengan membenarkan anak-anak mereka mendapatkan dua (2) dos imunisasi OPV. Hanya dengan imunisasi sahaja akan dapat melindungi anak-anak dari dijangkiti virus polio dan mencegah mereka dari kelumpuhan kekal. Langkah pencegahan polio ini juga penting bagi Malaysia mendapatkan semula pengiktirafan negara yang bebas polio dari Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Sekian, terima kasih


Datuk Dr Noor Hisham Abdullah
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia
27 Disember 2019



 

mazri_2008

CG Top Poster Club
Joined
Nov 9, 2008
Messages
46,177
Reaction score
3,175
Points
201
Kanak-kanak bawah lima tahun di Sabah diberi imunisasi oral polio



TUARAN -- Kanak-kanak di bawah umur lima tahun di Sabah akan diberikan imunisasi polio secara oral dalam usaha mencegah penularan virus itu yang dikesan di negeri ini baru-baru ini.


Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Frankie Poon Ming Fung berkata, imunisasi itu akan diberikan secara berperingkat bagi memastikan Sabah bebas daripada polio.

Beliau berkata, bagi mencapai matlamat itu, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) akan memperluaskan kempen imunisasi ke seluruh daerah di Sabah terutamanya di kawasan yang berisiko.

"Objektif utama kempen ini adalah untuk semua kanak-kanak di bawah lima tahun diberikan imunisasi secara oral seterusnya mencegah kejadian jangkitan penyakit polio di Sabah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Kempen Imunisasi Polio (KIP) 2019/2020 di Dewan Taman Telipok Ria, di sini hari ini.

Frankie Poon berkata, kempen yang bermula hari ini telah memberikan imunisasi polio kepada lebih 1,000 kanak-kanak di kawasan itu.

Sementara itu, Pengarah JKNS, Datuk Christina Rundi berkata, jabatan itu menyasarkan menjelang Jun tahun depan setiap kanak-kanak di Sabah telah diberikan sebanyak dua dos imunisasi polio.

Beliau berkata, imunisasi polio secara oral akan diberikan selang empat minggu antara dos pertama dan kedua.

Sementara itu, penduduk taman berkenaan, Darna Amir, 33, berkata, dia mendapatkan imunisasi polio untuk anaknya yang berumur 11 bulan.

Ibu kepada tiga cahaya mata itu berkata walaupun sebelum ini anaknya telah menerima vaksin itu, namun imunisasi polio pada kali ini adalah sebagai imunisasi tambahan kepada anaknya itu. - Bernama

Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/arti...ma-tahun-di-Sabah-diberi-imunisasi-oral-polio
© 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf
 

TXT

CG Super Hardcore Club
Platinum Member
Joined
Mar 15, 2010
Messages
281,068
Reaction score
11,486
Points
2,376

Pihak berkuasa diminta bertindak terhadap laman Facebook kumpulan antivaksin yang kini semakin aktif diikuti lebih 40,000 ahli. Laman khas FB kumpulan itu yang wujud sejak 2016 dijadikan platform penyebaran dakyah menentang program vaksinasi negara. - Foto hiasan



Antara interaksi golongan yang menolak vaksin dikesan dalam kumpulan FB antivaksin



Aktivis perubatan negara, Dr Suhazeli Abdullah. - FB/Dr Suhazeli Abdullah



Dr Ahmad Firdaus Mohd Haris. - Foto NSTP



Kumpulan promosi pelbagai dakyah tolak program kesihatan kerajaan. - Foto hiasan

Pantau laman FB antivaksin


KUALA LUMPUR: Sekumpulan individu radikal tempatan yang menolak kaedah perubatan moden berjaya menarik sehingga lebih 40,000 ahli di media sosial bagi mempromosikan kepercayaan mereka.

Laman Facebook kumpulan itu juga menjadi medan interaksi golongan antivaksin untuk bertukar pendapat dan berkongsi idea untuk menolak program kesihatan kerajaan dan usaha pengamal perubatan memperbetulkan persepsi masyarakat.

Kumpulan ini yang wujud sejak 2016 itu turut menjadi wadah alam maya penentang program vaksinisasi negara sehingga menjadi rujukan utama kepada ibu bapa yang meragui vaksin.

Individu yang mewujudkan kumpulan itu adalah pendukung utama gerakan antivaksin di Malaysia dan menggunakan platform media sosial ini untuk menarik lebih ramai rakyat negara itu menyertai gerakan itu.

Terbaru, BH mendapati kumpulan ini mula menyebar dakyah bahawa kehadiran semula penyakit polio di Malaysia bukan akibat penolakan vaksinasi, sebaliknya berpunca daripada suntikan vaksin yang diberikan kerajaan.

Dakyah yang disebar ini begitu diyakini sehinggakan jika ada ahli yang meraguinya akan diserang dengan pelbagai maklumat yang diselewengkan.

Aktivis perubatan negara, Dr Suhazeli Abdullah, berkata kewujudan kumpulan Facebook ini begitu membimbangkan kerana ia mampu mempengaruhi masyarakat, lebih-lebih lagi ketika wujud gerakan antivaksin.

Beliau berkata, berdasarkan maklumat Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), golongan antivaksin ini tidak ramai tetapi suara mereka terlalu vokal dan mampu mempengaruhi orang ramai.

“Golongan ini menggunakan pseudosains dan menciplak artikel dari Google lalu membuat ulasan sendiri dengan kefahaman cetek mereka terhadap sesuatu isu biarpun mereka bukan ahli dalam bidang atau agama.

“Maklumat yang disampaikan begitu mengelirukan, namun ia mampu mempengaruhi mereka yang kurang kefahaman,” katanya kepada BH.

Suhazeli yang juga Pengerusi Majlis Penasihat Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA) berkata, kumpulan antivaksin atau vaccine denier ini mampu mempengaruhi orang ramai menerusi penulisan yang tidak tepat.

Katanya, mereka membuat penafsiran sendiri dan tidak mendapat maklumat benar daripada doktor serta banyak merujuk kepada jaringan kumpulan antivaksin antarabangsa.

“Ia bukan sahaja masalah negara tetapi juga dunia kerana WHO sudah mengisytiharkan kumpulan antivaksin itu sebagai satu ancaman besar kepada kesihatan dunia,” katanya.

Pengerusi Immunise4life, Prof Datuk Dr Zulkifli Ismail, pula menjelaskan maklumat yang dikongsi kumpulan radikal ini hanya diceduk dari internet.

“Gerakan antivaksin memang sangat aktif kerana jika kita ‘Google’ mengenai fakta vaksin atau imunisasi, 10 hingga 20 carian pertama yang muncul datang daripada kumpulan ini.

“Di Malaysia, gerakan ini biasanya mengemukakan data dari Amerika Syarikat yang diketahui mempunyai bilangan kumpulan antivaksin yang ramai.

Dr Zulkifli berkata, mereka juga sering mencanangkan kajian Dr Andrew Wakefield mengenai kaitan vaksin dan autism biarpun kajian itu sudah disahkan masyarakat perubatan antarabangsa sebagai satu penipuan.


NGO kecewa tiada tindakan diambil

Badan bukan kerajaan (NGO) kecewa kerana laporan saban tahun kepada pihak berkuasa mengenai kewujudan kumpulan khas Facebook yang menyebarkan fahaman antivaksin seolah-olah tidak diendahkan.

Ketiadaan tindakan pihak berkuasa susulan aduan itu menyebabkan kumpulan Facebook itu semakin aktif dan bilangan ahlinya meningkat.

Presiden dan Pengasas Bersama Medical Mythbusters Malaysia (M3), Dr Ahmad Firdaus Mohd Haris, berkata beberapa NGO sebelum ini sudah mengemukakan aduan kepada pihak berkuasa termasuk Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Kementerian Kesihatan dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Beliau berkata, pertubuhan dan agensi berkenaan hanya menyatakan mereka mengambil maklum mengenai kewujudan kumpulan itu di media sosial tetapi tidak menterjemahkan kepada tindakan.

“Secara peribadi, kami turut bertemu dan berbincang dengan wakil WHO mengenai perkara ini dan mendapat maklum balas mengapa kumpulan itu dipercayai masih lagi aktif meskipun sudah beberapa kali dilaporkan.

“Antara lain, ia menyatakan keadaan ini disebabkan soal hak kebebasan bersuara serta mereka beroperasi dalam kumpulan tertutup.

“Namun begitu, saya mendapat maklumat banyak pemilik akaun Facebook palsu dikesan sudah lenyap, berkemungkinan kerana tindakan Facebook menutup akaun berkenaan baru-baru ini,” katanya kepada BH.

M3 adalah NGO kalangan pengamal perubatan tempatan yang mengambil inisiatif memperbetulkan tanggapan salah masyarakat terhadap mitos dan dakwaan tidak benar mengenai perubatan moden, khususnya di media sosial.

Dr Ahmad Firdaus berkata, pihaknya bimbang dengan kewujudan kumpulan Facebook itu kerana ia membabitkan sensitiviti masyarakat.

Katanya, masyarakat hari ini percaya dengan teori konspirasi serta cerita tidak benar seperti kematian seorang bayi di Amerika Syarikat (AS) yang didakwa akibat suntikan vaksin.

“Sebenarnya cerita itu tidak benar kerana hasil post mortem mendapati bayi itu meninggal dunia kerana penyakit lain dan bukannya akibat suntikan vaksin.

“Tetapi ramai di antara mereka tidak mahu mendengar penerangan yang tepat dan lebih mempercayai dakyah yang disebarkan oleh individu yang tidak berkelayakan,” katanya.


 

mazri_2008

CG Top Poster Club
Joined
Nov 9, 2008
Messages
46,177
Reaction score
3,175
Points
201
Dua lagi kanak-kanak dijangkiti virus polio di Sabah

SANDAKAN: Dua lagi kanak-kanak di negeri ini yang masing-masing berusia lapan dan 11 tahun dijangkiti virus polio, selepas kes pertama membabitkan bayi berusia tiga bulan yang dilaporkan bulan lalu.

Dua kanak-kanak bukan warganegara itu masing-masing menetap di Sandakan dan Kinabatangan disahkan positif virus itu berdasarkan ujian Makmal Polio Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di Australia, semalam.

Kes terbaharu itu menjadikan tiga kes polio dilaporkan di negeri ini dengan ujian turut mendapati virus yang menjangkiti ketiga-tiga kes mempunyai kaitan genetik dengan kes polio di Filipina.

Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah menerusi kenyataannya berkata, dua kanak-kanak itu tidak pernah menerima imunisasi dengan kanak-kanak berusia 11 tahun dimasukkan ke hospital pada 1 Disember lalu selepas mengadu sakit belakang dan tidak dapat berjalan.

"Seorang lagi kanak-kanak yang berusia lapan tahun mengalami demam sejak 9 Disember dan selepas tiga hari, tidak boleh berjalan. Kanak-kanak ini masih dirawat dengan bantuan pernafasan di hospital," katanya, hari ini.

Noor Hisham berkata, siasatan rapi sudah dijalankan untuk mengenal pasti punca jangkitan kedua-dua kes baharu sebaik dikenal pasti sebagai kes ‘Accute Flaccid Paralysis’ (AFP).

Menurutnya lagi, sehingga kini, seramai 705 orang penduduk di kawasan tempat tinggal kedua kanak-kanak terbabit sudah diperiksa.

"Tiada kes AFP lain dikesan. Seramai 65 kanak-kanak didapati tercicir imunisasi polio di kawasan kes terbabit dan sudah diberi vaksin polio menggunakan kombinasi lima serangkai serangkai (DTaP-IPV//HiB).

"Aktiviti kawalan polio di seluruh negeri giat dilaksanakan dengan kempen imunisasi polio yang menyasarkan kanak-kanak berumur bawah lima tahun bermula sejak 27 Disember," katanya.

Bulan lalu, bayi lelaki berusia tiga bulan dari Tuaran disahkan dijangkiti virus polio yang menjadi kes pertama selepas 27 tahun negara ini bebas daripada penyakit itu.

 

teapear

Active Member
Joined
Jan 25, 2009
Messages
1,934
Reaction score
216
Points
43
yahuu PTi mari.. penyakit mari...
 

myroadtax.com

CG Top Poster Club
Platinum Member
Joined
Feb 12, 2014
Messages
25,909
Reaction score
585
Points
161
Kalau tak vaksin, ada risiko tinggi ni.

Kita tunggu geng anti vaksin komen.
 

anoyz

Active+ Member
Joined
Nov 3, 2011
Messages
2,662
Reaction score
177
Points
33
negeri yg banyak PTI ni senang sgt terdedah dgn virus bawaan najis orang vaksin ni.
sepatutnya kena kaji lg utk perluaskan vaksin ke PTI sekali atau pastikan najis org vaksin polio ni dibuang ke dlm sistem kumbahan yg betul, bukan di sungai atau laut, memandangkan Sabah ni banyak rumah air.
drpd asal virus yg dilemahkan dan pupus kat Malaysia, tak memasal bawa penyakit baru.
 

TXT

CG Super Hardcore Club
Platinum Member
Joined
Mar 15, 2010
Messages
281,068
Reaction score
11,486
Points
2,376





Kenyataan Akhbar KPK 10 Januari 2020 – Situasi Terkini Wabak Polio di Sabah


Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin merujuk kepada Kenyataan Akhbar Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia bertarikh 8 Disember 2019 yang telah memaklumkan kejadian satu kes disahkan dijangkiti virus polio di Sabah yang melibatkan seorang bayi lelaki warganegara Malaysia berumur tiga (3) bulan dari Tuaran, Sabah. Pesakit masih dirawat di Bilik Isolasi hospital dengan bantuan pernafasan dan berada dalam keadaan stabil. Berikutan daripada itu, KKM telah meningkatkan liputan imunisasi kepada kanak-kanak, memperkukuhkan survelan acute flaccid paralysis (AFP) dan survelan virus polio dalam persekitaran khususnya air kumbahan serta pendidikan kesihatan bagi mempertingkatkan pengetahuan mengenai penyakit polio, kepentingan imunisasi dan kebersihan diri serta persekitaran.

Hasil daripada tindakan KKM mempergiatkan langkah-langkah pencegahan dan kawalan, terdapat dua kes AFP baharu yang disyaki polio telah dikesan. Sampel najis bagi kedua-dua pesakit ini selanjutnya telah dihantar ke World Health OrganizationPolio Regional Reference Laboratory (WHO Polio RRL) di Melbourne, Australia untuk ujian pengesahan dan genetic sequencing. Pada 9 Januari 2020, isolat virus bagi kedua-dua kes ini telah disahkan positif virus polio oleh WHO Polio RRL. Kedua-dua pesakit polio ini adalah seperti berikut:

  1. Seorang kanak-kanak lelaki bukan warganegara berumur 11 tahun yang menetap di Kinabatangan, Sabah. Kanak-kanak ini tidak pernah mendapat sebarang imunisasi. Beliau telah mengalami demam pada 17 November 2019 dan telah mendapatkan rawatan di klinik. Pada 1 Disember 2019, beliau dimasukkan ke hospital setelah mengadu sakit di bahagian belakang dan tidak boleh berjalan. Pesakit kini boleh berjalan dengan bertongkat.
  2. Seorang kanak-kanak lelaki bukan warganegara berumur 8 tahun yang menetap di Sandakan, Sabah. Kanak-kanak ini tidak pernah menerima sebarang imunisasi. Pada 9 Disember 2019, beliau telah mengalami demam dan tiga (3) hari kemudian tidak boleh berjalan. Beliau masih dirawat dengan bantuan pernafasan di hospital.
Dengan pengesahan dua kes polio baharu ini, jumlah kes polio yang disahkan adalah sebanyak tiga (3) kes. Kesemua pesakit masih dirawat di hospital dan berada dalam keadaan stabil. Ujian makmal WHO Polio RRL di Australia juga mendapati bahawa virus polio yang menjangkiti ketiga-tiga kes ini mempunyai perkaitan genetik dengan kes polio di Filipina.

Siasatan rapi telah dijalankan bagi mengenalpasti punca jangkitan kedua-dua kes baharu ini sebaik sahaja dikenalpasti sebagai AFP. Sehingga kini, seramai 705 orang penduduk di kawasan tempat tinggal kedua-dua kanak-kanak tersebut telah diperiksa dan tiada kes AFP lain yang dikesan. Seramai 65 orang kanak-kanak didapati cicir imunisasi polio dalam kawasan tempat tinggal kes-kes terbabit dan telah diberi suntikan vaksin polio menggunakan vaksin kombinasi lima serangkai (DTaP-IPV//HiB).

Aktiviti kawalan wabak polio di seluruh negeri Sabah juga sedang giat dilaksanakan. Kempen Imunisasi Polio Sabah (KIPS 2019/2020) yang menyasarkan semua kanak-kanak berumur bawah lima (5) tahun di seluruh Sabah telah dimulakan pada 27 Disember 2019. Mereka diberikan dua (2) dos vaksin polio secara titis (oral polio vaccine – OPV). Vaksin ini akan membina imuniti dalam usus untuk membunuh virus polio sekiranya kanak-kanak tersebut dijangkiti, sekaligus memastikan virus ini tidak terus menular dalam komuniti.

Hasil Mesyuarat Penyelarasan Wabak Polio di Sabah yang dipengerusikan oleh YAB Timbalan Perdana Menteri Malaysia merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat pada 31 Disember 2019, adalah diputuskan agar Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan KKM membentuk sebuah Jawatankuasa Kerja Peringkat Pusat dan Jawatankuasa Kerja Peringkat Negeri bagi menangani wabak polio ini. Mesyuarat juga bersetuju agar kerjasama rentas sempadan seperti dengan Kementerian Kesihatan negara Filipina dan kolaborasi dengan pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) serta Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (United Nations Children’s Fund, UNICEF) terus diperkukuhkan bagi memastikan liputan imunisasi kepada kanak-kanak Filipina yang berada di Sabah dapat dipertingkatkan. Selain daripada itu, advokasi kepada masyarakat termasuk kepada ibu bapa, perlu dipertingkatkan agar lebih peka terhadap kepentingan imunisasi. Mesyuarat juga bersetuju agar pemantauan pengambilan imunisasi seawal di peringkat taska lagi perlu dijalankan bagi memastikan kanak-kanak dilindungi dengan pengambilan vaksin yang lengkap seperti yang disarankan oleh KKM.

KKM ingin menyeru kepada semua masyarakat di Sabah terutama ibu bapa agar memastikan seperti berikut:

  1. Anak-anak berumur bawah lima (5) tahun menerima dua dos vaksin OPV semasa kempen ini dijalankan di daerah masing-masing;
  2. Imunisasi rutin di bawah Program Imunisasi Kanak-Kanak Kebangsaan perlu diteruskan dan diambil mengikut jadual yang ditetapkan;
  3. Menjaga kebersihan diri termasuk mandi menggunakan air terawat, cuci tangan selepas ke tandas dan sebelum makan serta sebelum menyediakan makanan untuk kanak-kanak;
  4. Menggunakan tandas yang bersih dan sempurna dengan tidak membuang air besar terus ke dalam air/sungai/laut. Lampin pakai buang perlu dibuang di tempat yang sanitari;
  5. Jangan mandi dalam sungai atau air yang disyaki terdapat najis manusia di dalamnya dan tidak menggunakan airnya untuk membersihkan peralatan memasak;
  6. Sentiasa menjaga kebersihan persekitaran agar makanan dan minuman tidak tercemar dengan najis. Masak makanan dan air ke tahap suhu yang selamat sebelum dimakan. Peralatan makanan dan minuman bayi perlu sentiasa bersih dan dinyahkuman sebelum digunakan;
  7. Menggalakkan semua kanak-kanak berumur 6 bulan ke bawah diberi susu badan sepenuhnya bagi mengurangkan kemungkinan pencemaran silang ketika penyediaan botol susu; dan
  8. Segera dapatkan rawatan awal di klinik atau hospital berdekatan sekiranya terdapat tanda-tanda dan gejala penyakit polio.
Orang ramai adalah diminta agar sentiasa mengambil langkah-langkah pencegahan yang disarankan oleh KKM dan hendaklah sentiasa memberikan kerjasama dalam semua aktiviti yang dilaksanakan. KKM dan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, Kerajaan Negeri Sabah, Majlis Keselamatan Negara, Agensi Pengurusan Bencana Kebangsaan (NADMA), Kementerian Dalam Negeri, Jabatan Imigresen Malaysia dan semua Kementerian dan Agensi yang terlibat akan terus meningkatkan kerjasama dalam membendung wabak polio ini daripada terus menular.

Sekian, terima kasih.

DATUK DR. NOOR HISHAM BIN ABDULLAH
KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA
10 JANUARI 2020



 
Sponsored Post
Top
Log in Register