TT
CG Super Hardcore Club




- Messages
- 166,133
- Joined
- Jan 13, 2009
- Messages
- 166,133
- Reaction score
- 22,839
- Points
- 1,831
- Awards
- 1

IBRAHIM Muhammad (tiga dari kiri) melawat ke tapak Projek Solar Hibrid Bekalan Elektrik Luar Bandar di Baram, Sarawak, baru baru ini.
BARAM - Walaupun berada di kawasan terpencil dan sukar dihubungi melalui jalan darat, namun kerajaan tidak pernah mengabaikan kebajikan penduduk yang tinggal di kawasan tanah tinggi Bario di sini.
Selain menaik taraf bekas jalan balak yang mampu memendekkan perjalanan dari Miri ke Bario, kerajaan kini dalam proses membangunkan Projek Solar Hibrid Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) bagi membolehkan penduduk mendapatkan bekalan elektrik 24 jam.
Ketika ini, penduduk di kawasan pedalaman itu masih bergantung kepada generator untuk mendapatkan bekalan elektrik tetapi hanya digunakan pada waktu malam iaitu bermula pukul 6 petang hingga 10 malam.
Namun, masalah dihadapi itu akan berakhir selepas Projek Solar Hibrid BELB atau dikenali juga sebagai Projek Bario Centre di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah siap pembinaannya pada Januari atau Februari tahun depan.
Pembinaan projek oleh syarikat Megan Alfa Sdn. Bhd. (Megan Alfa) itu terbahagi kepada dua fasa iaitu fasa pertama membabitkan tujuh kampung, manakala sembilan kampung lagi dalam fasa kedua.
Pengurus Kanan Projek Megan Alfa, Ferol Zamhuri Mamat berkata, projek solar hibrid yang menggunakan sistem Leonics dari Thailand itu merupakan kedua terbesar di negara ini selepas projek di Lahad Datu, Sabah.
"Sistem ini menggunakan dua kombinasi iaitu AC Coupling dan DC Coupling. AC Coupling akan me*nyimpan tenaga elektrik bagi penggunaan lod (kampung), manakala DC Coupling untuk memastikan kapasiti bateri terjaga.
"Sistem ini membolehkan tenaga elektrik diperoleh daripada sinaran matahari disalurkan ke kampung dan dijanakan untuk disimpan dalam bateri agar boleh digunakan pada waktu malam semasa tiada lagi sinar matahari, sekali gus memboleh*kan penduduk mendapat bekalan elektrik 24 jam," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas memberi taklimat kepada Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Seri Ibrahim Muhammad yang mengadakan lawatan ke Bario Centre, di sini baru-baru ini.
Menurut Ferol Zamhuri, bagi memastikan bekalan elektrik 24 jam tidak terjejas, sistem solar hibrid tersebut turut dilengkapkan dengan empat ge*nerator sebagai sokongan jika cuaca tiba-tiba mendung atau hujan.
Tambahnya, kelebihan sistem solar hibrid adalah ia tidak memerlukan tenaga manusia untuk dikawal kerana semuanya beroperasi secara automatik.
"Sistem solar hibrid paling sesuai digunakan di Bario berdasarkan kesesuaian cuaca dan keadaan geografinya.
"Kawasan tanah tinggi ini hanya menerima cahaya matahari antara tiga hingga 5 jam dalam sehari, tiupan angin dan tekanan air yang tidak menentu menyebabkan penggunaan kincir angin dan hidro bagi mendapatkan bekalan elektrik tidak sesuai digunakan," katanya.
Katanya, sistem solar hibrid yang popular digunakan di negara Eropah seperti Jerman dan Switzerland juga lebih menjimatkan dalam jangka panjang walaupun kos pembinaannya agak mahal pada peringkat awal.
Artikel Penuh: http://utusan.com.my/utusan/Sabah_&...nikmati-bekalan-elektrik-24-jam#ixzz3GA7iAfa1
© Utusan Melayu (M) Bhd