balqis07
CG Top Poster Club

- Messages
- 30,953
Paid Membership
- Joined
- Jan 27, 2010
- Messages
- 30,953
- Reaction score
- 294
- Points
- 136
PASIR MAS - Barangan terpakai sering kali dianggap buruk dan tidak menarik serta layak untuk dibuang sahaja di tong sampah.
Namun bagi Mat Nasir Abdullah, 60, dia melihat barangan itu sebagai satu benda yang berharga dan menghasilkan keuntungan.
Setiap hari Mat Nasir atau lebih mesra dengan panggilan Pak Sir sibuk melayan pelanggan yang mahu membeli pelbagai jenis perabot terpakai dari Singapura di kedainya di Kampung Gaung, Tendong.
Dia berkata, harga murah ditambah dengan kualiti yang masih berada pada tahap terbaik menjadikan perabot terpakai itu menjadi pilihan utama pelanggan untuk mendapatkannya.
“Kebanyakan perabot terpakai dari Singapura sebenarnya mempunyai pasaran yang luas kerana kualiti kayu yang digunakan tahan lama.
“Jika mahu membeli yang baharu sudah tentu mahal. Oleh kerana itu, ramai pembeli selesa mendapatkan yang terpakai di sini,” katanya.
Menurutnya, selain perabot dia turut menjual pelbagai barang lain di kedainya yang sudah beroperasi hampir 20 tahun lalu.
Dia berkata, antara barangan terpakai yang dijual ialah peti ais, mesin basuh, dan barangan elektrik lain yang masih elok berfungsi dijual pada harga berpatutan.
“Orang Kelantan cukup menggemari barangan terpakai. Jadi, perniagaan di sini mendapat sambutan yang menggalakkan.
“Pengunjung datang mencari apa sahaja barang yang mereka minati dan kemudian membelinya tanpa berfikir panjang kerana harga yang ditawarkan amat murah berbanding dengan yang baharu,” katanya.
Dalam pada itu, Pak Sir berkata, penyusutan nilai mata wang Ringgit Malaysia (RM) berbanding Dollar Singapura tidak menjejaskan perniagaan perabot terpakai yang diimport dari negara berkenaan untuk pasaran tempatan di negeri ini.
Katanya, perabot berkenaan tetap mendapat sambutan walaupun kejatuhan nilai ringgit menyebabkan berlaku sedikit peningkatan harga terhadap barangan tersebut.
“Apa yang saya lihat, harga bukan persoalan utama, namun pelanggan lebih memberikan penekanan kepada kualiti yang terdapat pada perabot berkenaan,” katanya.