Baju Dicelup Dengan Cairan Syabu, Lima Lelaki Iran Ditahan

CG Sponsors




alisha_qistina

Super Active Member
Joined
Jun 27, 2008
Messages
6,407
Reaction score
256
Points
81
KUALA LUMPUR, 5 Jan (Bernama) -- Lagak lima lelaki warga Iran yang berpura-pura sebagai pelancong tidak bertahan lama, apabila kegiatan mereka sebagai "kurier" dadah terbongkar dengan penemuan dua buah beg yang mengandungi pakaian dipercayai dicelup dengan cairan dadah jenis syabu.

Kesemua mereka yang berusia antara 20 hingga 40an ditahan bila polis membuat serbuan ke sebuah hotel tempat mereka menginap di Bukit Bintang setelah menahan empat dari mereka di sebuah pusat membeli belah di kawasan yang sama pada pukul 6.15 petang Ahad lepas, menurut sumber polis Bukit Aman hari Selasa.

Beliau berkata hasil pemeriksaan di hotel tersebut, polis menemui dua buah beg yang mengandungi pakaian serta tuala yang mencurigakan iaitu berkeadaan agak keras dari pakaian dan tuala biasa.

Katanya, sebahagian pakaian serta tuala yang berwarna putih itu dipercayai dicelup dengan cairan dadah jenis syabu, dan pakaian dan tuala itu kemudian dikeringkan untuk memudahkan diseludup ke dalam negara.

Beliau berkata penahanan kelima-lima lelaki itu, termasuk seorang dari mereka yang ditahan dalam bilik hotel berkenaan, berikutan risikan polis yang mendapati mereka terlibat dalam sindiket pengedaran dadah antarabangsa.

Sumber itu berkata, berat keseluruhan pakaian bersama dadah itu dianggarkan kira-kira 10 kilogram dan kesemuanya kini dihantar ke Jabatan Kimia untuk pemeriksaan lanjut.

Polis percaya dadah tersebut adalah untuk pasaran di Malaysia berdasarkan rekod perjalanan mereka sebelum ini.

Malah ada di antara lima lelaki ini yang memasuki negara beberapa kali dalam tempoh dua minggu, manakala ada pula yang baru tiba ke negara ini buat kali pertama, dan kesemua mereka memasuki ke negara ini dengan menaiki penerbangan dari Iran dan transit di Dubai.

Modus operandi dengan mencelupkan pakaian pada dadah bukan asing lagi di kalangan sindiket dadah antarabangsa.

Tahun lepas saja beberapa kes menggunakan taktik yang sama dikesan terutama membabitkan wanita sebagai kurier dadah.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur ACP Kang Chez Chiang ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut.
 
Top
Log in Register