BTC USD 97,075.9 Gold USD 2,884.33
Time now: Jun 1, 12:00 AM

Apa Yang Berlaku Di Korea Selatan ?

Presiden Yoon Akan Hadir Perbicaraan Jika Didakwa Atau Waran Tangkap Dikeluarkan​

9b869729a590bcece1799ac48350560f677e3edd0853d


SEOUL, 8 Jan (Bernama-Yonhap) -- Seorang peguam kepada Presiden Yoon Suk Yeol pada Rabu berkata presiden itu bersedia menghadiri perbicaraan sekiranya beliau didakwa atau waran tangkap dikeluarkan, sehari selepas mahkamah melanjutkan tempoh waran untuk menahan Yoon susulan pelaksanaan undang-undang tentera yang singkat, lapor agensi berita Yonhap.

Kenyataan itu dibuat oleh seorang daripada peguam Yoon, Yun Gap-keun, ketika presiden yang didakwa itu berdepan percubaan kedua untuk ditahan, selepas percubaan pertama minggu lalu gagal akibat kebuntuan selama beberapa jam antara penyiasat dan anggota perkhidmatan keselamatan presiden.

Menurut peguam, presiden yang didakwa itu tiada masalah untuk mematuhi prosedur undang-undang sekiranya Pejabat Penyiasatan Rasuah bagi Pegawai Kanan (CIO) memohon waran tangkap terhadap Yoon dan mahkamah meluluskan waran tersebut.

Bagaimanapun, Yun menegaskan yang pasukan pembela Yoon masih enggan mematuhi siasatan berdasarkan apa yang disifatkan sebagai waran "tidak sah" untuk menahan presiden itu.

"Apa yang jelas ialah jika Pejabat Penyiasatan Rasuah bagi Pegawai Kanan mengemukakan (waran) kepada Mahkamah Daerah Barat Seoul, yang berada di luar bidang kuasa, kami tidak dapat menerimanya," kata Yun, sambil menegaskan bidang kuasa berhubung tuduhan terhadap Yoon terletak pada Mahkamah Daerah Pusat Seoul.

CIO yang mengendalikan kes undang-undang tentera Yoon, cuba melaksanakan waran untuk menahan beliau dan menggeledah kediaman presiden Jumaat lalu, tetapi menarik balik pegawainya selepas enam jam dihalang masuk oleh anggota perkhidmatan keselamatan presiden.

Mahkamah Daerah Barat Seoul meluluskan tempoh lanjutan yang diminta oleh penyiasat CIO selepas waran awal yang dikeluarkan tamat tempoh pada Isnin.

Pasukan pembelaan presiden turut menolak spekulasi Yoon melarikan diri dari kediaman presiden dengan menyatakan peguam beliau bertemu dengannya malam tadi.

-- BERNAMA-YONHAP
 
Sponsored Post

Presiden Yoon Suk-Yeol Tidak Akan Hadiri Perbicaraan Pendakwaan Pertama - Yonhap

12.01.2025 - Presiden Korea Selatan, Yoon Suk-Yeol tidak akan hadir dalam perbicaraan pemecatan pertama kerana kebimbangan keselamatan, media tempatan Yonhap melaporkan peguamnya sebagai berkata pada Ahad (12 Januari). Selepas didakwa pada 14 Disember 2024 berhubung pengisytiharan undang-undang tentera pada 3 Disember, kuasa presiden Yoon digantung tetapi dia kekal memegang jawatan, mengekalkan kekebalannya daripada kebanyakan pertuduhan, kecuali pemberontakan atau pengkhianatan. Salah seorang peguam yang mewakili Yoon sebelum ini memberitahu pemberita bahawa pemimpin yang digantung itu merancang untuk hadir di mahkamah pada Selasa (14 Januari) secara peribadi untuk perbicaraan pendakwaan.​

1736657998701.png

Mahkamah Perlembagaan mesti memutuskan dalam tempoh 180 hari sama ada untuk memecatnya daripada jawatan atau menolak pemecatan dan memulihkan kuasanya. Jika ia memecat Yoon atau dia meletakkan jawatan, pilihan raya presiden mesti diadakan dalam masa 60 hari. Yoon juga di bawah penyiasatan jenayah kerana pemberontakan atas percubaannya yang gagal untuk mengenakan undang-undang tentera, keputusan yang mengejutkan Korea Selatan dan mendorong waran tangkap pertama untuk presiden yang sedang bersidang.

Berita asal https://www.buletintv3.my/dunia/pre...hadiri-perbicaraan-pendakwaan-pertama-yonhap/
 

Polis, Badan Rasuah, Perkhidmatan Keselamatan Bincang Pelaksanaan Waran Tangkap Presiden Yoon​

2e06c261425d01bd3f5f4f6da3c8895e678601a0204f8

Presiden Korea Selatan Yoon Suk Yeol

Polis Korea Selatan, agensi antirasuah dan perkhidmatan keselamatan presiden pada Selasa mengadakan perbincangan mengenai pelaksanaan waran tangkap terhadap Presiden yang didakwa, Yoon Suk-yeol, lapor Xinhua.

Mesyuarat tiga pihak itu diadakan sekitar jam 8 pagi waktu tempatan (2300 GMT Isnin) antara pegawai daripada Pejabat Penyiasatan Rasuah bagi Pegawai Tinggi (CIO), Pejabat Penyiasatan Kebangsaan (NOI) dan perkhidmatan keselamatan presiden.

Unit siasatan bersama yang terdiri daripada CIO, NOI dan ibu pejabat penyiasatan kementerian pertahanan dalam satu kenyataan ringkas memaklumkan bahawa ia telah meminta kerjasama perkhidmatan keselamatan untuk melaksanakan waran tangkap dengan selamat dan aman, sambil menambah bahawa ia sedang menunggu respons daripada perkhidmatan keselamatan.

Semasa perbincangan itu, kedua-dua pihak dilaporkan mengesahkan perbezaan pendirian apabila perkhidmatan keselamatan presiden mengulangi pendirian terdahulu untuk menghalang pelaksanaan waran itu.

NOI telah menghantar surat rasmi pada Isnin, meminta CIO dan perkhidmatan keselamatan mengadakan mesyuarat itu di tengah-tengah kebimbangan terhadap kemungkinan konflik fizikal semasa pelaksanaan waran yang dijangka berlaku awal pagi Rabu, menurut beberapa media tempatan.

NOI dan CIO dilaporkan merancang operasi berskala besar melibatkan kira-kira 1,000 penyiasat untuk menangkap Yoon.

Penyiasat telah cuba menahan Yoon di kediaman presiden pada 3 Jan, tetapi gagal kerana perkhidmatan keselamatan presiden menghalang pelaksanaan waran tangkap itu.

Mahkamah Seoul meluluskan lanjutan waran untuk menahan Yoon pada 7 Jan dengan mengeluarkan waran kedua terhadap presiden yang didakwa itu.

Usul pendakwaan terhadap Yoon diluluskan Parlimen pada 14 Dis 2024 dan diserahkan kepada mahkamah perlembagaan untuk membincangkannya sehingga 180 hari, menyaksikan kuasa presiden Yoon digantung.

Yoon, yang dinamakan oleh agensi penyiasat sebagai suspek utama atas tuduhan pemberontakan, yang telah mengisytiharkan undang-undang tentera pada malam 3 Dis tetapi ia dibatalkan oleh Parlimen beberapa jam kemudian.

-- BERNAMA-XINHUA
 

Presiden Yoon Dibawa Ke Pusat Tahanan Selepas Hari Pertama Soal Siasat​

22755985efca6a1771adba68cadcf8666787c922ddd40


Presiden Korea Selatan yang menghadapi pendakwaan Yoon Suk Yeol telah dibawa ke Pusat Tahanan Seoul pada Rabu malam sebelum menjalani sesi soal siasat lanjut berhubung pelaksanaan undang-undang tentera yang gagal, lapor Agensi Berita Yonhap.

Yoon diiringi ke Pusat Tahanan Seoul di Uiwang, 22 kilometer di selatan Seoul, selepas disoal siasat selama lebih 10 jam di Pejabat Siasatan Rasuah bagi Pegawai Berpangkat Tinggi (CIO) di Gwacheon.

"Soal siasat terhadap Presiden Yoon berakhir pada 9.40 malam," menurut kenyataan CIO kepada media.

Menurut CIO, Yoon enggan menjawab soalan mengenai pengisytiharan undang-undang tentera pada 3 Dis. Beliau akan disoal siasat lebih lanjut pada Khamis sebelum penyiasat memfailkan permohonan waran untuk menahannya secara rasmi dalam tempoh 48 jam dari masa mereka menahannya pada 10.33 pagi Rabu.

Yoon, ditahan oleh penyiasat di kediaman rasminya di tengah Seoul selepas percubaan pertama untuk menahannya pada awal Januari menemui jalan buntu kerana konfrontasi dengan pasukan keselamatan presiden.

Sesi soal siasat diadakan di dalam bilik soal siasat di ibu pejabat CIO dan diketuai oleh timbalan ketua CIO Lee Jae-seung, dengan kehadiran seorang daripada peguam Yoon. Sesi itu tidak dirakam dalam video kerana bantahan Yoon, menurut CIO.

Yoon, yang digantung tugas berikutan pendakwaan oleh Parlimen pada 14 Dis, menghadapi tuduhan pemberontakan dan salah guna kuasa.

Dalam mesej video yang dirakam lebih awal, Yoon berkata walaupun ini adalah siasatan yang tidak sah, beliau memutuskan untuk patuh demi mengelakkan pertumpahan darah yang tidak diingini.

Sementara itu, dalam kenyataan selepas tamat sesi soal siasat, peguam Yoon berkata mereka telah memfailkan semakan kesahihan penahanannya dengan Mahkamah Daerah Pusat Seoul, bukan Mahkamah Daerah Barat Seoul yang mengeluarkan waran penahanannya.

Pilihan mahkamah adalah berdasarkan pengetahuan bahawa pendakwa raya akan memfailkan dakwaan mereka dengan Mahkamah Daerah Pusat Seoul jika mereka mendakwanya, kata mereka.

Walaupun Yoon menentang siasatan itu, beliau menyatakan rancangan untuk hadir di Mahkamah Perlembagaan bagi membela diri semasa perbicaraan sama ada untuk memecatnya daripada jawatan atau mengembalikannya.

"Kemungkinan besar beliau akan terus ditahan kerana tindakan tegas CIO, tetapi saya percaya beliau akan menghadiri (perbicaraan) tanpa gentar," kata Seok Dong-hyeon, seorang peguam dan rakan lama Yoon, kepada pemberita di luar Pejabat Pendakwa Raya Tinggi Seoul.

Dengan soal siasat CIO dijangka berlanjutan sehingga Khamis, Seok mencadangkan presiden itu tidak akan hadir pada pendengaran rasmi kedua yang dijadualkan pada hari berkenaan.

Sumber kehakiman kemudian melaporkan bahawa peguam Yoon telah mengemukakan permohonan kepada Mahkamah Perlembagaan untuk menangguhkan pendengaran itu.

-- BERNAMA-YONHAP
 
Sponsored Post

Back
Top
Log in Register