BTC USD 103,570 Gold USD 3,180.34
Time now: Jun 1, 12:00 AM

Anwar Hadiri Kongres Kebangsaan DAP Ke-18

Xploit Machine

CG Hardcore Club
gemgem
Messages
67,578
Top Poster #10
Joined
Nov 23, 2012
Messages
67,578
Reaction score
7,417
Points
916
Awards
1
16.03.2025 - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menghadiri Kongres Kebangsaan DAP ke-18 yang diadakan di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di Shah Alam bagi memilih Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) parti itu. Ketibaan Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan pada 10 pagi itu disambut pimpinan utama parti termasuk Pengerusi Kebangsaan DAP Lim Guan Eng dan Timbalan Pengerusi Kebangsaan Gobind Singh Deo. Turut hadir Setiausaha Agung DAP Anthony Loke Siew Fook, Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP Steven Sim Chee Keong dan Presiden Amanah Datuk Seri Mohamad Sabu.​

1742111083335.png

Proses pemilihan CEC DAP yang bersempena dengan Kongres Kebangsaan ke-18 itu menyaksikan 70 calon bakal berentap merebut 30 tempat dalam jawatankuasa berkenaan. Steven Sim sebelum ini memaklumkan 4,203 perwakilan dari 1,650 cawangan layak mengundi pada pemilihan berkenaan. Mereka yang terpilih dalam CEC itu akan menerajui barisan kepimpinan DAP bagi penggal 2025 hingga 2028, yang kemudiannya turut akan memilih kepimpinan tertinggi termasuk Setiausaha Agung baharu.

Berita asal https://www.malaysiakini.com/news/737443
 
Sponsored Post

DAP Tetap Bersuara Dalam Pelbagai Isu - Loke

16.03.2025 - Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke hari ini menegaskan bahawa parti itu tetap menyuarakan pelbagai isu yang menjadi kebimbangannya meskipun telah menjadi sebahagian kerajaan. Berucap ketika menyampaikan ucapan dasar pada Kongres Kebangsaan DAP ke-18, Loke berkata hanya berlaku perubahan dalam cara parti itu menyatakan pendiriannya.

"Biar saya jelaskan pada hari ini. Hari ini kita berada dalam kerajaan... ada cara untuk bersuara. Bukan sahaja bersuara, kena berdialog, bermesyuarat, paling penting kena..kalau hanya bersuara tapi masalah tak selesai apa gunanya?. Tak ada satu isu kita tak selesaikan, kita bawa, dan PM bawa ke meeting (mesyuarat kabinet),” katanya kepada 3,204 perwakilan dan pemimpin yang berhimpun di Pusat Konvensyen Ideal, Shah Alam.
Loke, yang juga Menteri Pengangkutan, turut menegaskan bahawa DAP kini boleh membawa isu berbangkit ke mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim, yang turut hadir pada kongres parti itu hari ini. Loke memberikan contoh isu kontroversi pindaan Perlembagaan yang menarik balik pemberian kewarganegaraan secara automatik kepada kanak-kanak yang diabaikan. Menurutnya, beberapa ahli parlimen DAP menentang pindaan tersebut kerana menganggapnya tidak berperikemanusiaan. Katanya, hanya empat ahli parlimen DAP bersetuju dengan pindaan itu manakala yang lain membantah.

“Saya beritahu mereka, jika saya gagal meyakinkan perdana menteri, saya akan letak jawatan sebagai menteri esok dan benarkan ahli parlimen kita mengundi mengikut pertimbangan masing-masing,” katanya.

Loke menjelaskan bahawa dia telah membawa perkara itu kepada perhatian Anwar, yang kemudiannya segera menyelesaikan isu berkenaan dengan mengarahkan Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail supaya menangguhkan pindaan tersebut. Pada Mac tahun lalu, kabinet bersetuju membatalkan cadangan Kementerian Dalam Negeri bagi meminda Perlembagaan Persekutuan selepas menerima bantahan hebat berkaitan isu kewarganegaraan kanak-kanak yang diabaikan. Loke menyifatkan kejayaan itu sebagai contoh hubungan baik dengan pengerusi PH itu. Setiausaha Agung itu turut menegaskan komitmen DAP untuk terus menyokong Anwar sebagai perdana menteri, dengan menyatakan bahawa tiada "calon kedua" bagi jawatan tersebut.

"DAP komited untuk terus menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk terus memegang jawatan Perdana Menteri selepas PRU ke-16," katanya.

Terdahulu, Pengerusi DAP Lim Guan Eng juga menyuarakan sokongan parti itu terhadap Anwar, namun menegaskan bahawa DAP tidak akan menjadi “yes-man”.
1742111181394.png
 
Loke Umum Rombakan Besar-Besaran Struktur Kepimpinan DAP

16.03.2025 - Setiausaha Agung DAP Anthony Loke hari ini mengumumkan akan melakukan "rombakan besar-besaran" terhadap jawatankuasa pusat parti itu, seperti yang digambarkannya semalam. Loke berkata dia akan membuat perubahan kepada struktur jawatankuasa itu dengan memperkenalkan beberapa jawatan baru, selain menetapkan menteri dan timbalan menteri tidak boleh berkhidmat sebagai ketua parlimen DAP. Sehubungan dengan itu, Loke berkata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming tidak lagi dapat memegang jawatan ketua parlimen DAP. Dia juga secara berseloroh "meminta maaf" kepada Nga Kor Ming.

“Bagi melenyapkan dakwaan bahawa DAP tidak lantang, saya mencadangkan mewujudkan beberapa jawatan baru dalam jawatankuasa pusat, yang juga akan dimasukkan dalam perlembagaan parti. Menteri dan timbalan menteri tidak akan dibenarkan memegang jawatan ketua parlimen. Maaf, Kor Ming. Kami akan memilih pemimpin parlimen baru yang akan bercakap tanpa rasa takut bagi pihak parti kami,” katanya.

Menurut pengumuman Loke, DAP akan menubuhkan tiga jawatan baru dalam jawatankuasa pusat iaitu pengarah strategi, pengarah dasar dan pengarah pilihan raya. Seperti yang dibayangkan sehari sebelumnya, dia menyatakan parti itu akan memasukkan mekanisme pemilihan calon dalam perlembagaannya. Menjawab secara tidak langsung kepada bekas ahli jawatankuasa pusat, Teng Chang Khim, Loke berkata: “Ada yang menegaskan jawatankuasa ini tidak termasuk dalam perlembagaan parti. Sekarang, kami akan menggabungkannya secara rasmi.”

Bagaimanapun, Loke berkata cadangan itu masih perlu dibahaskan pada kongres DAP tahun ini dan akan dibentangkan untuk kelulusan pada kongres tahun depan. Dalam ucapannya di kongres DAP ke-18, Loke turut mencadangkan supaya ketua sayap wanita itu dimasukkan sebagai ahli tetap jawatankuasa pemilihan calon.

"Saya mahu membawa perubahan dan reformasi dalam parti," katanya pada kongres yang diadakan di Ideal Convention Centre (IDCC) Shah Alam.


Calon Wanita Dalam PRU

Selain itu, Loke turut mengulas usaha DAP untuk menampilkan sekurang-kurangnya 30 peratus calon wanita dalam pilihan raya umum akan datang. Dia turut mengimbas semula perubahan yang telah dilalui oleh DAP sepanjang 59 tahun penubuhannya.

"Ini bukan lagi janji, ini bukan lagi komitmen, ini wajib dilaksanakan dalam PRU ke-16. DAP memainkan peranan yang berbeza pada hari ini. Kita menyambut ulang tahun ke-59 pada hari selasa akan datang 18 Mac. Tahun depan kita akan mencapai umur warga emas" katanya.
1742111314318.png
 
DAP Longgar Syarat Wakil Rakyat Terima Darjah Kebesaran

16.03.2025 - DAP akan melonggarkan syarat berhubung penerimaan anugerah atau darjah kebesaran dalam kalangan wakil rakyat parti itu, kata Setiausaha Agungnya Anthony Loke. Beliau berkata setiap tawaran penganugerahan darjah kebesaran akan diteliti kes mengikut kes oleh Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP yang akan menentukan syarat berkaitan perkara berkenaan.

“Saya tahu isu ini telah lama hangat. Sebelum ini kita ada dasar itu tetapi setelah hampir 17 tahun dalam pelbagai kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan, sudah tentu syarat ini perlu dilihat semula, tidak boleh terlalu ketat kerana ada kalanya Sultan sendiri yang (mahu) menganugerahkan darjah kebesaran kepada wakil rakyat kita. Contohnya Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah secara terbuka mahu menganugerahkan darjah kebesaran Datuk kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekinchan Ng Suee Lim yang sudah lima penggal (sebagai wakil rakyat),” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar sempena Kongres Kebangsaan DAP ke-18 di Pusat Konvensyen IDCC Shah Alam di Shah Alam hari ini.

Turut hadir Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Pengerusi DAP Kebangsaan Lim Guan Eng, Ketua Setiausaha PH Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Presiden Amanah Datuk Seri Mohamad Sabu, Presiden UPKO Datuk Ewon Benedick dan Naib Presiden PKR Senator K. Saraswathy. Sementara itu, beliau berkata DAP akan mewujudkan satu mekanisme penilaian calon pilihan raya yang lebih sistematik dan telus dalam mendepani sebarang permasalahan dalaman parti pada masa hadapan. Menerusi mekanisme itu, Loke berkata mereka yang ingin bertanding akan mengetahui penilaian yang dilaksanakan terhadap seseorang individu.

“Biar semua orang tahu mengapa mereka dipilih atau tidak dipilih dengan adanya sistem penilaian ini. Sudah tentu pimpinan tertinggi kena buat keputusan yang berasaskan sistem penilaian yang semua pihak mesti terima,” katanya.

Dalam pada itu, Loke mencadangkan untuk menginstitusikan Jawatankuasa Pemilihan Calon dalam perlembagaan parti supaya ia dapat memberi legtimasi kepada jawatankuasa pemilihan berkenaan. Loke berkata kesemua pindaan itu tidak akan dilaksanakan hari ini dan perlu dibahas serta dibincangkan dalam mencari mekanisme terbaik dalam tempoh 18 bulan dari sekarang.

“Ini antara kerja yang perlu diselesaikan oleh eksekutif tertinggi serta CEC baharu dan bawa balik (hasil) untuk pindaan perlembagaan parti dalam Kongres Kebangsaan DAP pada 2026,” katanya.

Selain itu, Loke mencadangkan beberapa jawatan baharu untuk dimasukkan dalam perlembagaan parti iaitu jawatan Ketua Parlimen DAP yang mesti dilantik dalam kalangan bukan anggota pentadbiran, Pengarah Strategik, Pengarah Dasar dan Pengarah Pilihan Raya. Loke berkata Ketua Wanita DAP turut dicadang untuk dilantik sebagai anggota tetap dalam Jawatankuasa Pemilihan Calon di samping pelaksanaan sekurang-kurangnya 30 peratus calon wanita pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).​
1742111408684.png
 
Pemilihan DAP - Gobind Raih Undi Tertinggi, Guan Eng Kekal Dan Teresa Kok Tersingkir

16.03.2025 - Menteri Digital, Gobind Singh Deo meraih undian tertinggi dalam pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP dengan 2,785 undi. Setiausaha Agung DAP sedia ada, Anthony Loke, berada di tempat kelima dengan 2,508 undi. Pegawai pengurus pemilihan DAP, Desmond Tan ketika mengumumkan jumlah undi yang diperoleh Lim Guan Eng disambut dengan bunyi kekecewaan dan kejutan daripada mereka yang hadir di Pusat Konvensyen Ideal di Shah Alam, Selangor. Guan Eng jatuh 18 tangga berbanding tempat ke-8 dalam pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP sebelum ini.​

1742127646353.png

1742127658951.png

Sementara itu, adiknya yang juga Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying, gagal memperoleh tempat dalam senarai 30 anggota CEC apabila berada di kedudukan ke-31 dengan 1,573 undi. Di tempat ke-30 ialah Ahli Parlimen Beruas, Ngeh Khoo Ham, dengan 1,584 undi. Turut tidak terpilih kali ini ialah Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok, Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng, serta penyandang Vincent Wu dan Thomas Su. Bagaimanapun, Ahli Parlimen Bangi Syahredzan Johan, dan Ahli Parlimen Bentong Young Syefura Othman yang kedua-duanya dipilih ke Dewan Rakyat pada Pilihan Raya Umum lalu, berjaya mendapat tempat dalam CEC. Antara muka baru yang terpilih ialah Setiausaha Politik Anthony Loke, Arul Kumar Jambunathan, Liow Cai Tung, adik kepada Gobind Singh, Ramkarpal Singh, Vivian Wong, serta Ahli Parlimen Puchong, Yeo Bee Yin.

Berita asal https://www.malaysiakini.com/news/737465
 
LGE Berjaya Dapat Tempat Dalam CEC

16.03.2025 - Ahli Parlimen Bagan Lim Guan Eng berjaya menangkis kempen untuk menyingkir beliau daripada saf kepimpinan DAP, apabila terpilih untuk ke Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC). Lim berada di kedudukan ke-26 daripada 30 yang terpilih dengan 1,719 undi. Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow, yang dikatakan didorong untuk mengambil alih jawatan pengerusi DAP daripada Lim, berada di kedudukan ke-19 dengan 2,101 undi.​

1742127744264.png

Lim berkhidmat sebagai setiausaha agung selama 17 tahun sebelum menyerahkan jawatan itu kepada Loke Siew Fook pada 2022. Menuju pemilihan hari ini terserlah kempen untuk menyingkir Lim, dengan beberapa ahli veteran menyeru beliau memberi laluan kepada pemimpin lebih muda. Belum ada kepastian sama ada Lim akan terus menggalas jawatan pengerusi, kerana sidang 30 anggota yang terpilih akan memilih pemegang jawatan bagi penggal 2025-2028 dalam kalangan mereka.

Berita asal https://www.freemalaysiatoday.com/c...025/03/16/lge-berjaya-dapat-tempat-dalam-cec/
 
Loke Menang Pemilihan CEC DAP, Duduki Tangga Ke-5 Undian Tertinggi

16.03.2025 - Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke, berjaya mengekalkan pengaruhnya dalam DAP apabila dipilih semula menganggotai Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC), hari ini. Penyandang jawatan Setiausaha Agung DAP itu adalah antara 30 calon yang memenangi pemilihan CEC kali ini untuk membarisi kepemimpinan baharu parti berkenaan. Beliau yang juga Menteri Pengangkutan, memperoleh sebanyak 2,508 undi untuk menduduki tangga ke-5 dalam senarai CEC baharu terbabit.​

1742127828477.png

Keputusan itu diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pemilihan CEC DAP, Desmond Tan, pada Kongres Ke-18 parti yang berlangsung di Pusat Konvensyen IDEAL (IDCC), di sini. Barisan 30 ahli CEC baharu DAP itu dijadual mengadakan perbincangan selepas ini bagi memuktamadkan perjawatan bakal dipegang setiap pemimpin yang dipilih berkenaan.

Berita asal https://www.buletintv3.my/politik/loke-menang-pemilihan-cec-dap-duduki-tangga-ke-5-undian-tertinggi/
 
Gobind Raih Undian Tertinggi Dalam CEC DAP

16.03.2025 - Seramai 30 ahli dilantik menganggotai Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP selepas tamat sesi pengundian yang dijalankan pada Kongres Kebangsaan DAP ke-18 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Shah Alam, petang tadi. Menteri Digital, Gobind Singh Deo memperoleh undian tertinggi dengan 2,785 undi, diikuti Chong Chieng Jen (2,631 undi) dan Teo Nie Ching (2,585 undi). Juruaudit dari firma Grant Thornto, Desmond Tan mengumumkan senarai itu pada kongres yang berlangsung hari ini. Berikut adalah senarai 30 ahli CEC untuk penggal 2025-2028;

1. Gobind Singh Deo (2,785)
2. Chong Chieng Jen (2,631)
3. Teo Nie Ching (2,585)
4. Ng Suee Lim (2,563)
5. Anthony Loke Siew Fook (2,508)
6. Yeo Bee Yin (2,503)
7. Ng Sze Han (2,437)
8. Khoo Poay Tiong (2,390)
9. Chan Foong Hin (2,362)
10. Wong Kah Woh (2,265)
11. Steven Sim (2,262)
12. Vivian Wong (2,244)
13. Nga Kor Ming (2,215)
14. Lee Chin Chen 2,172
15. Hannah Yeoh (2,169)
16. Alice Lau (2,165)
17. Liow Cai Tung (2,139)
18. Teo Kok Seong (2,107)
19. Chow Kon Yeow (2,101)
20. Syahredzan Johan (2,065)
21. Young Syefura Othman (1,943)
22. Liew Chin Tong (1,929)
23. Ramkarpal Singh Karpal Singh (1,917)
24. Arul Kumar Jambunathan (1,747)
25. Kasthuriraani Patto (1,722)
26. Lim Guan Eng (1,719)
27. Lee Chuan How (Howard) (1,703)
28. Wong Shu Qi (1,655)
29. Tan Hong Pin (1,585)
30. Ngeh Koo Ham (1,584)
1742127890145.png

 
Loke Kekal SU Agung DAP, Gobind Pengerusi, Guan Eng Penasihat Parti

16.03.2025 - Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke dipilih semula oleh Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) baru parti itu dalam pemilihan yang berlangsung hari ini.

"Hari ini tidak ada rombakan," selorohnya selepas mengumumkan pemilihannya semula dalam sidang media yang menutup tirai pemilihan DAP.

Namun, bagi jawatan lain dalam CEC, perubahan besar telah berlaku. Loke akan dibantu oleh tiga timbalan setiausaha agung iaitu Menteri Sumber Manusia Steven Sim, Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh serta Ahli Parlimen Bukit Gelugor Ramkarpal Singh.

29a209fcda93723632773ab1c65f6104.png


Sementara itu, Gobind Singh Deo dipilih sebagai pengerusi DAP oleh 30 ahli CEC, dengan Nga Kor Ming sebagai timbalannya. Pengumuman mengenai pelantikan Gobind disambut dengan sorakan dan laungan namanya oleh para perwakilan yang hadir.

Lima naib pengerusi DAP yang baru:
  1. Chong Chieng Jen​
  2. Teo Nie Ching​
  3. Ng Suee Lim​
  4. Syahredzan Johan​
  5. J Arul Kumar​
Sementara itu, bekas pengerusi DAP Lim Guan Eng pula dilantik sebagai penasihat kebangsaan DAP.


‘Ini Malam Loke’

Ketika ditanya dalam sidang media, Lim Guan Eng enggan memberikan sebarang komen, sebaliknya berkata:

"Saya akan menjawab soalan anda di lain hari, tetapi malam ini, saat ini milik Loke."

Dia turut menggesa ahli parti untuk bersatu di bawah kepimpinan Loke dan menerima keputusan pemilihan DAP dengan hati terbuka.

903c5e964dbd3ac9f335b01565b56e17.jpg


Loke dalam maklum balasnya menegaskan kekuatan parti terletak pada kepimpinan kolektif dan kebersamaan semua ahli.

"Kami bekerja sebagai satu pasukan," katanya 'meredakan' persaingan antara dua kem terbesar dalam DAP.


Beberapa Lagi Pemimpin Yang Di Berikan Jawatan Dalam CEC Kali Ini Termasuk;

Bendahari:
  • Ngeh Koo Ham (ahli parlimen Beruas)​
  • Ng Sze Han sebagai Penolong Bendahari​
Setiausaha Publisiti Nasional:
  • Yeo Bee Yin (ahli parlimen Puchong)​
  • Young Syefura Othman (ahli parlimen Bentong) – Penolong​
  • Wong Shu Qi (ahli parlimen Kluang) – Penolong​
Setiausaha Antarabangsa:
  • Kasthuri Patto​
  • Alice Lau (ahli parlimen Lanang) – Penolong​
Loke turut mendedahkan pemilihan dalaman jawatankuasa pusat (CEC) DAP untuk melantik pemimpin parti hanya mengambil masa kurang setengah jam, menandakan kesepakatan dalam pemilihan jawatan.

"Ini menunjukkan semua pemilihan itu dilaksanakan, dilakukan secara sebulat suara tanpa ada apa-apa persaingan dalam apa sahaja jawatan dalam jawatankuasa itu," jelasnya.

Bagaimanapun, jawatan ketua ahli parlimen DAP masih belum diputuskan dan CEC belum membuat pelantikan tambahan dalam jawatankuasa tersebut.

Berita asal https://www.malaysiakini.com/news/737468
 
Sponsored Post

Back
Top
Log in Register