mr_xhizors
Active Member
- Joined
- Aug 3, 2010
- Messages
- 2,407
- Reaction score
- 16
- Points
- 30

Oleh RAJA INTAN DIANNA RAJA AZAHAM
Gambar IZHAM JAAFAR
MAHU fokus pada dunia lakonan dan peragaan, Anjou tidak mahu hidupnya kelam kerana kontroversi yang telah lama berlalu.
BILA berbicara mengenai pelakon drama Anak Pontianak, ramai yang hanya dapat membayangkan kontroversi yang menyelubungi artis muda ini.
Oh, pelakon pontianak yang ada gambar lucah tu ya! Itulah jawapan yang sering terpacul apabila ditanya pada mereka sama ada kenal pada empunya nama Zarina Anjoulie atau nama sebenarnya Anjoulie Lavocah.
Daripada gambar lucahnya yang tersebar di dalam alam maya, imej seksi berparti yang dikatakan melampau hinggalah kes dia ditahan pihak berkuasa berkenaan kes dadah yang sudah selesai itu.
Walaupun sudah empat tahun di dalam industri seni ini, Zarina Anjoulie terus diselubungi bayangan seorang artis yang mempunyai reputasi yang kurang enak.
Kontroversi gadis berusia 24 tahun ini lebih meletup dan dibicarakan berbanding kerjayanya sebagai seorang pelakon.
Namun, apabila melihat kelibat artis berkenaan di pentas peragaan Festival Fesyen Islam (IFF) yang berlangsung di Hotel JW Mariott, Kuala Lumpur baru-baru ini, ramai yang terkejut melihat si seksi itu manis menutup aurat.
Lengkap bertudung menutupi setiap sudut aurat malah disertai jubah yang indah membaluti tubuhnya, tiada siapa menyangka pada mulanya dialah artis yang penuh kontroversi itu.
Melihat sisinya yang lain pada majlis itu, ada yang tertanya-tanya adakah dia sudah mendapat seru untuk ke arah itu ataupun Zarina yang mesra disapa Anjou masih Anjou yang seksi, hanya bergaya mengikut arahan si pereka.
“Saya mengaku penampilan saya hari ini hanyalah sekadar menjalankan tugas saya sebagai model bagi koleksi busana Khadani Sdn. Bhd.
“Saya mengagumi rekaan Khadani kerana gabungan jubah dan corak batik ini membuatkan si pemakai kelihatan elegan walaupun menutup aurat.
“Malah saya ada berangan andai kata saya mahu bertunang ataupun bernikah suatu hari nanti, saya mungkin akan cuba mencari busana yang sesuai di Khadani.
“Soal sudah mendapat hidayah atau tidak saya rasa tidak perlulah dibicarakan sebab itu antara saya dengan Tuhan dan saya percaya ianya perlukan keikhlasan tanpa paksaan sesiapa.
“Saya mula memperagakan pakaian Khadani sejak berumur 19 tahun lagi namun, ini adalah pertunjukan fesyen terbesar saya bersama mereka.
“Mungkin sebelum ini tidak ramai yang perasan. Yalah, bila saya pakai seksi barulah para wartawan lebih perasan bukan?
“Asal berjumpa sahaja, mesti ditanya tentang imej seksi seperti tiada cerita lain yang mahu dicanang.
“Janganlah tanya tentang saya seksi atau apa. Saya dah muak dengan soalan itu dan saya yakin pembaca di luar sana pun dah tak larat dengar cerita-cerita yang tidak membangun ini," ujar Anjou yang seperti sudah menjadi rutin menjawab soalan sedemikian.
Tak pernah tukar nama
Saat mendengar ada pihak media yang memperlekehkan dirinya yang konon menukar namanya agar bunyi lebih glamor, Anjou hanya mampu ketawa.
Ya, akui Anjou, memang dia ada memaklumkan kepada sebuah majalah yang namanya ialah Anjoulie Lavocah.
Tetapi dia tidak pernah menukar nama seperti yang digembar-gemburkan kerana itu adalah nama yang tertera di dalam kad pengenalannya.
“Ayah sayakan orang Ireland, Lavocah adalah nama keluarga kami. Kalau nak tengok kad pengenalan saya pun tiada masalah.
“Bukannya saya reka nama saya supaya kelihatan hebat tetapi itu memang nama betul saya, tak salah rasanya saya menggunakan nama itu.
“Saya tidak marah. Mungkin inilah bayarannya bila bergelar artis, semua perkara akan menjadi perhatian," terangnya.