Angkasa pertahan hak pengguna

Recommended Brokers


ZONDA

Legendary Member
Joined
Feb 8, 2011
Messages
14,907
Reaction score
46
Points
120



KUALA LUMPUR 26 Mei – Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) bersedia mengetuai institusi lain untuk memboikot mana-mana pihak yang cuba menaikkan harga barang.

Presidennya, Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, tindakan berkenaan akan dilakukan bagi mempertahankan hak pengguna sama ada dari segi perkhidmatan mahupun harga barangan.

“Saya tidak teragak-agak untuk mengetuai usaha memboikot sekiranya kita dapati ada pihak tertentu yang cuba mengambil kesempatan menaikkan harga barang sehingga membebankan pengguna.

“Angkasa memandang serius perkara ini, tambahan pula kini Angkasa menaungi kira-kira 12,000 koperasi seluruh negara dengan keanggotaan individu mencecah lapan juta iaitu suku daripada jumlah penduduk Malaysia,” katanya dalam Seminar Kepenggunaan Dalam Koperasi di sini hari ini.

Seminar yang dihadiri 500 peserta itu merupakan kerjasama antara Angkasa dengan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) yang bertujuan memperkasakan kuasa dan hak pengguna, mewujudkan jaringan peluang kerjasama dari sudut perniagaan dan meningkatkan tahap ekonomi.

Program itu merupakan aktiviti sampingan sempena Persidangan Kebangsaan Tahunan Angkasa Ke-31 yang akan berlangsung pada 30 Mei ini di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Dalam perkembangan sama, Abdul Fattah juga memberitahu pihaknya sedang merancang untuk mewujudkan satu unit kepenggunaan yang berfungsi mengkaji masalah berkaitan kepenggunaan.

“Unit Kepenggunaan yang akan diwujudkan bukan hanya untuk mengkaji masalah, tetapi sebagai tanda sokongan Angkasa terhadap institusi lain seperti PPIM dan Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA).

“Selain itu, dengan konsep ‘daripada kita, kepada kita, untuk kita’ akan dapat memberi manfaat kepada ahli koperasi serta mewujudkan rantaian nilai yang dilihat boleh mengurangkan harga barang serta meningkatkan ekonomi sesama ahli,” katanya.
 
Top
Log in Register