Anak dihukum tak berbin bintikan ayah kerana dosa lampau bersama ibu

CG Sponsors




TT

CG Super Hardcore Club
Joined
Jan 13, 2009
Messages
153,675
Reaction score
21,084
Points
1,671


PETALING JAYA: Rosli (bukan nama sebenar) telah berusaha untuk memasukkan nama ayah dalam sijil kelahiran cucunya sejak enam tahun lalu tetapi tidak berjaya.

Beliau berkata cucunya yang kini berusia enam tahun dilahirkan lima bulan selepas perkahwinan anaknya, kurang satu bulan dari enam bulan di mana nama bapa kepada seseorang bayi akan dimasukkan ke dalam sijil lahir mereka seperti yang dikehendaki oleh undang-undang syariah.

Beliau berkata pegawai-pegawai kerajaan tidak dapat membantunya kerana kes itu dianggap anak tak sah taraf.

"Mengapa anak-anak yang perlu dihukum atas perbuatan ibu bapa?," tanya beliau.

Rosli berkata baru-baru ini anaknya itu telah mendaftarkan anak sulungnya itu dan adiknya yang berusia empat tahun di sebuah tadika.

Guru bertanya mengapa nama bapa berbeza dengan kakaknya.

"Sekarang, si kakak tidak gembira dan bersedih," kata Rosli, 65.

Katanya, beliau juga bimbang apabila dia berkahwin nanti, bapanya tidak boleh menjadi wali untuk akad nikah.

Bekas pengarah eksekutif Sisters in Islam (SIS) Ratna Osman berkata kes seperti itu menjadi salah satu sebab yang boleh membawa seseorang ibu yang mengandung anak luar nikah meninggalkan atau membuang bayi mereka.

Beliau menegaskan bahawa Seksyen 23 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 menyatakan bahawa mana-mana perempuan yang melahirkan anak yang sempurna sifatnya dalam tempoh yang kurang dari enam bulan dari tarikh pernikahannya hendaklah disifatkan telah hamil luar nikah.

"Jika seorang anak itu telah lahir luar nikah, anak itu dianggap sebagai tidak sah dan nama bapa tidak boleh didaftarkan dalam sijil kelahiran mereka.

"Malah jika ada perkahwinan, jika bayi itu dilahirkan kurang dari enam bulan dari masa nikah, nama bapa kandungnya juga tidak boleh didaftarkan," katanya.

Tambahnya, walaupun wujud perkahwinan, si ibu tidak mempunyai hak untuk pergi ke mahkamah bagi menuntut si bapa membayar nafkah jika bapa enggan membayarnya, menurut Seksyen 80 Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan).

Lebih malang lagi, ayah kandungnya tidak boleh menjadi wali apabila anak perempuannya ingin berkahwin dan perlu mengambil seorang hakim syariah sebagai wali sekali gus menyebabkan bakal suami dan ahli keluarganya akan tahu latar belakangnya, katanya.

Ratna berkata kekurangan pendidikan seks juga menjadi satu lagi sebab kehamilan yang tidak diingini dan pembuangan bayi masih berlaku.


http://www.mstar.com.my/berita/berita-semasa/2016/01/18/status-anak-tak-sah-taraf-buang-bayi/
 
21 Ogos 2017

Mahkamah Persekutuan benarkan rayuan JPN untuk tangguh keputusan Mahkamah Rayuan

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Mahkamah Persekutuan di sini hari ini membenarkan permohonan yang dikemukakan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan dua lagi untuk menangguhkan pelaksanaan keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan seorang kanak-kanak Islam tidak sah taraf dibinkan dengan nama bapanya.


Ketua Hakim Negara, Tan Sri Md Raus Sharif yang mengetuai tiga anggota panel hakim membenarkan permohonan Peguam Kanan Persekutuan, Ahmad Terrirudin Mohd Salleh untuk menangguhkan pelaksanaan keputusan sementara menunggu penyelesaian kes di Mahkamah Persekutuan.

Dalam kes sivil, sesuatu pihak perlu mendapatkan kebenaran daripada Mahkamah Persekutuan sebelum mereka boleh meneruskan dengan sesuatu rayuan itu.

JPN dan dua lagi pemohon telah mengemukakan kebenaran untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan dan mahkamah tertinggi itu menetapkan 8 September untuk mendengar kes berkenaan.

"Kami membenarkan permohonan penangguhan itu berkuat kuasa hari ini dan tiada perintah mengenai kos,” kata Hakim Md Raus.

Ahmad Terrirudin yang mewakili JPN, ketua pengarahnya dan kerajaan Malaysia memohon kepada Mahkamah Persekutuan penangguhan bagi pelaksanaan keputusan Mahkamah Rayuan yang diumumkan pada 25 Mei lepas.

Hakim Md Raus yang bersidang dengan Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin dand Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin turut membenarkan permohonan Majlis Agama Islam Johor untuk mencelah dalam permohonan penangguhan tiga pemohon itu.

Bagaimanapun panel hakim itu membatalkan permohonan sama daripada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan. Kedua-dua majlis agama itu diwakili Datuk Sulaiman Abdullah.

Hakim Md Raus sebelum itu menasihatkan Sulaiman menjadi amicus curiae dalam kes ini (secara literalnya bermakna rakan mahkamah, penasihat yang adil) kerana kes berkenaan merupakan semakan kehakiman dan bukan kes saman.

“Saya mahu kes ini diselesaikan segera dan kita tidak mahu pelbagai pihak mencelah dan berhujah atas perkara yang sama,” kata Hakim Md Raus.

Peguam, K Shanmuga yang mewakili ketiga-tiga responden telah membantah permohonan itu tetapi bersetuju peguam bagi kedua-dua Majlis Agama itu dijadikan amicus curiae.

Pada 25 Mei, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan yang dikemukakan pasangan itu dan anak lelaki mereka yang memfailkan permohonan semakan kehakiman bagi memastikan ketua pengarah JPN menukar perkataan 'Ábdullah’ sebagai bin untuk nama kanak-kanak itu kepada nama bapanya dalam sijil kelahiran kanak-kanak berkenaan.

Mahkamah Rayuan dalam penghakiman bertulisnya pada 25 Julai tahun ini berkata, ketua pengarah JPN tidak terikat dengan fatwa yang dikeluarkan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan dalam menentukan nama bapa seseorang kanak-kanak Islam yang tidak sah taraf.

Mahkamah itu berkata bidang kuasa ketua pengarah berkenaan adalah bersifat sivil dan hanya terhad dalam menentukan sama ada ibu bapa kanak-kanak itu telah memenuhi syarat yang terkandung dalam Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (BDRA) yang meliputi semua kanak-kanak tidak sah taraf melibatkan orang Islam dan bukan Islam.

Mahkamah itu memutuskan bahawa fatwa bukan perkara yang wajib diterima oleh undang-undang dan tidak boleh dijadikan asas undang-undang oleh ketua pengarah JPN dalam menentukan nama bapa seseorang anak yang tidak sah taraf mengikut Seksyen 12 A (2) BDRA. - Bernama


http://www.sinarharian.com.my/semasa/mahkamah-persekutuan-benarkan-rayuan-jpn-1.722168

Majlis Agama Islam Johor, WP mohon celah usaha terakhir JPN gantung keputusan ‘bin Abdullah’



PETALING JAYA: Mahkamah Persekutuan pada Isnin akan mendengar usaha terakhir Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk menggantung keputusan mahkamah sebelum ini yang membenarkan anak luar nikah menggunakan nama bapa kandung dalam dokumen rasmi.

Bagaimanapun pusingan kali ini bakal menyaksikan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) masuk mencelah bagi melindungi kepentingan masing-masing, lapor portal Malay Mail Online (MMO).

MMO melaporkan peguam Nizam Bashir, yang mewakili anak dan ibu bapa terbabit, mengesahkan permohonan dari pihak berkuasa agama, yang akan didengar pada hari yang sama.

Menurut laporan itu, Ketua Pegawai Eksekutif MAIJ Md Rofiki A Shamsudin dalam afidavit menyokong permohonan mencelah itu berhujah pihak berkuasa agama negeri mempunyai kepentingan undang-undang secara langsung dan perlu menghadiri prosiding untuk mempertahankan kepentingan mereka.

Menurut Rofiki, MAIJ perlu mencelah kerana keputusan Mahkamah Rayuan didakwa memberi kesan kepada tafsiran penggunaan Seksyen 111 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Johor) 2003 dan kesahan fatwa negeri mengenai anak luar nikah yang dikeluarkan pada 26 Mac 2004.

MMO melaporkan afidavit itu berkata keputusan Mahkamah Rayuan itu akan membolehkan mana-mana orang Islam di Johor mendaftarkan anak luar nikah mereka di JPN dengan nama bapa kandung anak itu.

“Ia jelas melanggar undang-undang yang berkuatkuasa di Johor dan fatwa yang dikeluarkan di Johor,” kata Rofiki dalam afidavit itu, menurut MMO.

Mahkamah Rayuan dalam kehakiman yang diterbitkan Julai lalu berkata JPN bertindak di luar kuasanya apabila meletakkan nama bapa seorang anak luar nikah sebagai “Abdullah”.

Mahkamah turut mempertikaikan amalan JPN menggenakan “bin Abdullah” kepada anak luar nikah, walaupun ia berdasarkan fatwa Majlis Fatwa Kebangsaan lebih 3 dekad lalu.

“Kami percaya Islam tidak membenarkan penghinaan secara terbuka terhadap kanak-kanak yang tidak bersalah,” tulis hakim Datuk Abdul Rahman Sebli, seorang daripada 3 hakim dalam penghakiman 28 halaman yang dikeluarkan 26 Julai lalu.

Menurutnya, undang-undang tidak membezakan kanak-kanak Islam dan bukan Islam.

Identiti ibu bapa dan anak mereka yang kini berumur 7 tahun itu tidak dinamakan atas permohonan peguam mereka.

Kanak-kanak itu dilahirkan pada 17 April 2010, 5 bulan dan 27 hari selepas pasangan itu bernikah pada 24 Oktober 2009.

Menurut kalendar Islam, ia kurang 3 hari sebelum tempoh 6 bulan untuk mengesahkan kelahiran anak itu kepada pasangan terbabit. Kelahiran itu didaftarkan di JPN 2 tahun kemudian.

MAIJ dan MAIWP tidak terlibat dalam tindakan undang-undang di peringkat Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Persekutuan.


http://www.freemalaysiatoday.com/ca...-terakhir-jpn-gantung-keputusan-bin-abdullah/

'Bin' Abdullah atau biologi bukan isu


ANAK tidak berdosa menjadi mangsa perlakuan keji pasangan berzina.

BUKAN permasalahan baharu, polemik penggunaan ‘bin’ atau ‘binti’ Abdullah telah difatwakan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-57 sejak Jun 2003 lagi.

Namun, kemelut tersebut tercetus apabila keputusan Mahkamah Rayuan baru-baru ini membenarkan anak luar nikah pasangan beragama Islam menggunakan nama bapa masing-masing atau bapa biologi.

Perkara itu mendapat maklum balas banyak pihak dan mengambil langkah seterusnya dengan memfailkan rayuan ke Mahkamah Persekutuan melalui Jabatan Peguam Negara terhadap keputusan itu.

Usaha itu turut disokong penuh oleh Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) dengan menyarankan semua Majlis Agama Islam agar memohon mencelah dalam kes di Mahkamah Persekutuan dan berhujah mempertahan keputusan mahkamah tinggi.

Bercakap pada Sidang Meja Bulat bertajuk Bicara Ilmiah Anak Tidak Sah Taraf, baru-baru ini, Mufti Wilayah Persekutuan, Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri berkata, asasnya umat Islam perlu memahami maqasid (falsafah) sebenar ketetapan ‘bin’ atau ‘binti’ bagi anak luar nikah.

Menggunakan ‘bin’ atau ‘binti’ Abdullah atau bapa biologi bukan isu pokok sebaliknya polemik tersebut menunjukkan kesan yang berlaku apabila masalah zina berleluasa dalam kalangan umat Islam.

“Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan mewartakan bahawa anak yang dilahirkan lebih dari enam bulan Qamariah dari tarikh sesuatu pasangan itu diakadnikahkan ialah anak sah taraf. Bermakna boleh di ‘bin’ atau ‘binti’ kepada bapa biologinya, namun jika kurang daripada itu hendaklah menggunakan nama Abdullah atau 99 nama Allah.

“Ulama memutuskan tempoh enam bulan Qamariah itu hanyalah sekadar pandangan umum. Walaupun agama membenarkan tetapi secara moralnya tetap salah dan berdosa, mengapa ulama membenar menggunakan nama bapa sebenar bagi pasangan yang melahirkan anak lebih enam bulan dari tempoh pernikahan walaupun pada asasnya kedua-dua keadaan tersebut disebabkan zina.

“Ini menunjukkan Islam memberi peluang kedua-dua kepada pelaku zina untuk bertaubat dan bertanggungjawab atas kesalahan yang dilakukan. Dalam masa sama, anak itu juga selamat daripada menanggung malu kerana kesalahan ibu bapanya,” katanya.

Sidang Meja Bulat anjuran Majlis Dakwah Negara (MDN) itu turut dibentangkan oleh Presiden PPMM, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar dan Timbalan Dekan Akademik dan Penyelidikan, Fakulti Perubatan dan Sains, Universiti Sains Islam Malaysia, Profesor Madya Dr. Rafidah Hanim Mokhtar.

Mengulas lanjut, Zulkifli berkata, isu itu juga berlaku disebabkan kelemahan pendidikan seks berasaskan Islam, kebebasan mengakses bahan-bahan lucah serta pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram.

Bagaimanapun, beliau menegaskan, setelah meneliti pelbagai dalil dan hujah menerusi al-Quran, hadis, amalan sahabat serta fuqaha, anak tidak sah taraf dilarang di ‘bin’ atau ‘binti’kan kepada bapa biologi.

“Isu menutup malu dan aib bukanlah alasan kuat kerana syariat Islam jelas menunjukkan larangan menggunakan ‘bin’ atau ‘bintikan’ selain bapanya yang sah melalui perkahwinan. Ini kerana banyak hukuman dalam Islam diperintahkan supaya dilaksanakan secara terbuka, termasuk dalam kes sebatan zina.

“Jika yang dimaksudkan mendapat malu itu adalah si anak, maka mudarat menyembunyikan itu lebih besar. Ini kerana ia berkaitan dengan soal pembahagian faraid dan wali nikah bagi wanita,” jelasnya.

FATWA MENGIKAT MAHKAMAH

Keputusan Mahkamah Rayuan membenarkan anak luar nikah pasangan beragama Islam menggunakan nama bapa biologi disifatkan bercanggah dengan perlembagaan dan enakmen undang-undang negeri.

Zainul Rijal berkata, antaranya perkara itu merujuk kepada Fasal 49, Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Johor) 2003, dan Seksyen 49, Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor), 2003, menyatakan fatwa yang disiarkan atau dimaklumkan adalah mengikat.

“Fasal 49(1) menyatakan, mana-mana fatwa telah disiarkan atau dimaklumkan, maka ia hendaklah mengikat setiap orang Islam yang berada di Johor dan Selangor sebagai ajaran agamanya dan hendaklah menjadi kewajipannya di sisi agama Islam untuk mematuhi dan berpegang dengan fatwa itu, melainkan jika dia telah mendapat kecualian oleh jawatankuasa fatwa berdasarkan hukum syarak.

“Begitu juga mengikut Seksyen 34(4), Akta Pentadbiran Agama Islam (Wilayah Persekutuan) 1993, sesuatu fatwa hendaklah diiktiraf oleh semua mahkamah dalam Wilayah Persekutuan sebagai autoriti mengenai semua perkara yang dinyatakan dalamnya,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, Akta Pendaftaran perlu dibaca bersama undang-undang lain termasuklah Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang Islam yang sah berkuat kuasa.

LEBIH MUDARAT
Pertunangan putus lepas terbongkar status sebenar

Berkongsi pengalaman lebih 25 tahun mengendalikan kes di mahkamah syariah, Zainul Rijal mengakui pernah berhadapan dengan lima kes berhubung anak tidak sah taraf yang ‘dibin’ atau ‘bintikan’ kepada bapa biologinya termasuk satu daripadanya status anak angkat.

Kelima-lima kes itu katanya, membabitkan wanita yang telah bertunang dan ingin melengkapkan urusan pernikahan bersama pasangan masing-masing.

“Sewaktu kecil, kanak-kanak itu diberikan kasih sayang, ditatang seperti minyak yang penuh dan dijaga seperti anak-anak lain walaupun tidak sah taraf. Kedua-dua ibu bapa cuba merahsiakan perkara sebenar kononnya kerana bimbang perasaan kanak-kanak itu akan berasa malu dan terpinggir daripada rakan lain.

“Namun, semua rahsia itu terbongkar apabila tiba masa kanak-kanak perempuan itu telah dewasa dan menyatakan hasrat untuk berkahwin. Bapa itu sedar dia tidak layak menjadi wali kepada wanita itu dan berterus terang perkara sebenar.

“Bayangkan, bagaimana perasaan seorang gadis pada waktu itu. Sudah pasti jiwanya memberontak, emosinya hancur kerana baru sedar seumur hidupnya ditipu oleh individu mengaku ibu bapanya yang sah.

“Lebih menyedihkan, kelima-lima kes itu berakhir dengan putus pertunangan,” ujarnya.


http://www.utusan.com.my/rencana/agama/bin-abdullah-atau-biologi-bukan-isu-1.515954

Khutbah Jumaat di Selangor pertahan larangan anak luar nikah dibinkan bapa



PETALING JAYA: Khutbah Jumaat disediakan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) hari ini mempertahankan larangan menggunakan nama bapa sebenar pada nama anak tidak sah taraf, termasuk anak luar nikah.


Menegaskan memelihara keturunan satu daripada “maqasid syariah” dan perkahwinan saluran untuk menyambung keturunan yang sah, Jais berkata sekiranya anak tidak sah taraf dibin atau dibintikan kepada bapa kandung, ia akan mengundang “masalah yang lebih besar”.

“Kesannya berlaku kerosakan dalam sistem keluarga kerana melakukan perzinaan berterusan akibat akad nikah yang tidak sah,” kata khutbah itu di bawah tajuk “Memelihara Nasab”.

“Kelahiran anak tidak sah taraf akan berleluasa dalam masyarakat.

“Akan melahirkan umat yang celaru keturunannya.

“Anak tidak sah taraf akan menuntut hak sama seperti mana anak sah taraf dalam perwalian, harta pusaka dan sebagainya yang boleh menimbulkan kerosakan yang lebih besar.”

Jais menegaskan Seksyen 49 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Selangor) 2003 menyebut fatwa yang diwartakan mengikat tiap-tiap orang Islam di Selangor sebagai ajaran agamanya dan menjadi kewajipan di sisi Islam untuk mematuhi fatwa itu.

“Fatwa yang sama juga memperuntukkan sesuatu fatwa yang diwartakan hendaklah diiktiraf oleh semua mahkamah di dalam negeri berkenaan tentang semua perkara yang dinyatakan dalamnya.”

Khutbah hari ini di sebalik keputusan Mahkamah Rayuan yang berkata Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bertindak di luar kuasanya apabila menggunakan nama bapa seorang anak luar nikah sebagai “Abdullah”, bertentangan dengan hasrat ibunya yang mahu menggunakan nama bapa kanak-kanak tersebut.

Dalam penghakiman bertulis 2 bulan selepas mahkamah membuat keputusan memihak kepada ibu bapa kanak-kanak itu, mahkamah turut mempertikaikan amalan menggenakan “bin Abdullah” kepada anak luar nikah.

“Kami percaya Islam tidak membenarkan penghinaan secara terbuka terhadap kanak-kanak yang tidak bersalah,” tulis Hakim Datuk Abdul Rahman Sebli, seorang daripada 3 hakim dalam penghakiman 28 halaman.

Abdul Rahman berkata walaupun keputusan JPN untuk mengenakan “bin Abdullah” berdasarkan 2 fatwa yang dikeluarkan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan pada 1981 dan 2003, ia bercanggah dengan Seksyen 13A(2) BDRA yang membenarkan bapa kepada anak luar nikah untuk menggunakan namanya sebagai nama bapa kanak-kanak terbabit.

Abdul Rahman berkata fatwa itu bertujuan untuk mengesahkan status kanak-kanak itu dalam persoalan mengenai pembahagian harta pusaka dan hubungan keluarga dalam hal berkaitan perkahwinan, dan bukan untuk “mengumumkan kepada seluruh dunia” bahawa anak itu anak luar nikah.

JPN bagaimanapun berkata ia akan meneruskan amalan melarang penggunaan nama bapa terhadap anak luar nikah, mengundang kritikan beberapa peguam terkemuka.


http://www.freemalaysiatoday.com/ca...ahan-larangan-anak-luar-nikah-berbinkan-bapa/

Abdullah buka aib, galakkan zina?

MENGAPAKAH Fatwa Perlis mengizinkan anak yang kurang enam bulan dari usia perkahwinan dinasabkan kepada bapanya? Tidakkah ini mencanggahi ijmak ulama? Tidakkah ini akan menggalakkan perzinaan?

Naser Desa, Selangor

JAWAPAN: Fatwa Negeri Perlis yang diwartakan pada tahun 2013 (zaman Mufti Perlis yang sebelum ini) atas perkenan Raja Pemerintah. Warta fatwa itu menyebut: “Anak yang lahir kurang enam bulan selepas ibunya berkahwin, boleh dibinkan kepada suami ibunya, kecuali jika dinafikan oleh si suami”.

Ia membawa maksud, fatwa ini mensyaratkan bapa yang hendak dinasabkan itu hendaklah berkahwin dengan si ibu yang mengandung tersebut dan si bapa tidak menafikan itu adalah anaknya. Ini bermaksud, fatwa ini tidak merangkumi semua anak zina yang lahir yang ibunya tidak mempunyai suami.

Perbezaan antara fatwa ini dengan pegangan beberapa fatwa pihak lain, mereka mensyaratkan enam bulan dan ke atas. Ada dengan tambah beberapa lahzah. Dalam erti kata lain, jika ia hasil zina sekalipun namun lahir selepas enam bulan ke atas maka boleh dinasabkan kepada si bapa. Sementara Fatwa Perlis tidak mensyaratkan enam bulan dan ke atas.

Wilayah Persekutuan melalui majlis fatwanya juga telah menjelaskan dengan menyebutkan: “Kalau anak dalam kandungan itu lahir setelah lebih enam bulan dari tarikh ibunya bernikah dengan lelaki itu, maka lelaki itu dikira sebagai anak yang sah taraf dan boleh dinasabkan kepada lelaki itu (suami ibunya) walaupun anak itu lahir hasil daripada perzinaan.” (http://www.muftiwp.gov.my/index.php...twa-ke-147-isu-bin-binti-bagi-anak-luar-nikah)

Wujud penafian

Dalam isu anak zina, ada perkara yang ijmak (sepakat mujtahid tanpa kecuali) dan ada yang khilaf iaitu mujtahid berbeza pendapat. Perkara yang menjadi ijmak ialah jika seseorang wanita itu melahirkan anak selepas enam bulan perkahwinan, maka anak itu hendaklah dibinkan kepada si suami. Sekiranya ada yang cuba mendakwa itu adalah anak hasil perzinaannya dengan si ibu, dakwaan itu sama sekali tidak diterima. Ini melainkan si suami menafikan itu adalah anaknya. Maka ketika itu proses li’an ataupun mula’anah iaitu laknat melaknati diri jika berbohong hendaklah dilakukan. Selepas itu, anak tidak dibinkan kepada si suami.

Demikian ulama ijmak, jika wanita itu tidak bersuami dan penzina pula tidak mengaku itu adalah anaknya, maka anak berkenaan tidak boleh dinasabkan kepada penzina. Adapun jika si ibu tidak mempunyai suami dan penzina mengaku itu anaknya, maka ketika itu ulama khilaf sama ada boleh ataupun tidak dinasabkan kepada si penzina.

Asas perbincangan hal ini ialah hadis Nabi Muhammad SAW yang diriwayatkan oleh Bukhari, Muslim dan selain mereka: “Anak itu (nasabnya) kepada suami, sementara bagi perzinaan itu hanya kekecewaan (tiada hak yang boleh dituntut)” (Riwayat Bukhari & Muslim)

Hadis ini disebutkan oleh Nabi SAW apabila berlaku perebutan nasab anak pada zaman Baginda SAW antara Sa’d bin Abi Waqqas dengan ‘Abd bin Zam’ah. Sa’d membuat tuntutan dengan mendakwa bahawa saudaranya ‘Utbah bin Abi Waqqas memberitahu bahawa anak Zam’ah yang ketika itu masih budak, sebenarnya adalah anaknya. Namun ‘Abd bin Zam’ah membantah dengan menyatakan itu ialah anak ayahnya Zam’ah yang mengahwini ibu anak berkenaan. Sa’d mengukuhkan dakwaannya dengan menyatakan anak berkenaan begitu jelas menyerupai saudaranya ‘Utbah.

Apabila kes ini diangkat kepada Nabi SAW, Baginda SAW mendapati ternyata anak berkenaan jelas menyerupai ‘Utbah bin Abi Waqqas, saudara Sa’d, namun baginda memutuskan anak itu ialah anak si suami yang sah ketika iaitu Zam’ah dengan bersabda: “Anak itu (nasabnya) kepada suami yang menyetubuhinya, sementara bagi perzinaan itu hanya kekecewaan (tiada hak yang boleh dituntut)."

Menutup aib

Hadis ini bagi kes wanita yang bersuami (mempunyai firash). Adapun wanita yang tidak mempunyai suami, maka di sana perselisihan pendapat ulama berlaku jika ada lelaki yang mendakwa anak yang dikandungkan ataupun dilahirkan itu adalah anaknya.

Ertinya, dalam isu ini, ada perkara yang sepakat mujtahid (ijmak) dan ada yang mujtahid berkhilaf pendapat. Al-Imam Ibn Qudamah (meninggal 620H) menyebut dalam kitab fekahnya yang masyhur iaitu Al-Mughni:

"‘Ali bin ‘Asim meriwayatkan daripada Abu Hanifah (Imam Mazhab Hanafi) bahawa beliau berkata: “Jika seseorang lelaki berzina dengan seorang perempuan lalu mengandung disebabkan perzinaan itu, aku berpendapat tidak salah untuk dia berkahwin dengannya dalam keadaan dia hamil, menutupinya (aib) dan anak itu dikira anaknya”

(Sambung Ibn Qudamah lagi) “Ulama ijmak (sepakat tanpa kecuali) bahawa jika anak dilahirkan dalam keadaan isteri bersuami, kemudian ada orang lain mendakwa itu anaknya, anak itu tidak akan dinasabkan kepada yang mendakwa. Hanya ulama berkhilaf (berbeza pendapat tentang nasab) apabila anak itu lahir dalam keadaan perempuan tidak mempunyai suami." (Rujuk: Ibn Qudamah Al-Maqdisi, ِAl-Mughni, 6/345. Maktabah Al-Qahirah)

Sememangnya jumhur ulama berpendapat bahawa anak zina tidak boleh dinasabkan kepada bapanya si penzina. Pendapat ini dipegang oleh beberapa majlis fatwa termasuklah Majlis Fatwa Arab Saudi (Fatwa Al-Lajnah Al-Daimah). Demikian juga Jawatankuasa Fatwa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). Alasan pihak jumhur telah disebut oleh banyak pihak dan tidak perlu diulangi di sini.

Di sana ada pendapat yang membolehkan dinasabkan kepada bapa zina yang mengaku anaknya. Pendapat ini dinukilkan daripada ‘Urwah bin Al-Zubair (perawi hadis iaitu anak saudara Umm Al-Mukminin ‘Aishah RAH dan salah seorang dari tujuh ahli fekah Madinah yang terbilang), Al-Hasan Al-Basri (ilmuwan terbilang dalam sejarah Islam yang merupakan anak susuan Umm Al-Mukminin Umm Salamah RHA), Sulaiman bin Yasar (salah seorang tujuh ahli fekah terbilang Madinah yang merupakan maula Umm Al-Mukminin Maimunah binti Harith RHA), Muhammad bin Sirin (seorang tabi’i agung yang merupakan murid Ibn ‘Abbas, Abu Hurairah dan selain mereka), Ishaq bin Rahuyah/Rahawaih (ahli hadis cenderung membaca dengan sebutan Rahuyah, seorang ilmuwan hadis dan fekah yang terbilang). (Lihat: Ibn Qudamah, Al-Mughni 6/345, Ibn Al-Qayyim Al-Juaziyyah, Zad Al-Ma’aad, 5/381, Kuwait: Maktabah Al-Manar)

Kata Al-Imam Ibn Qayyim Al-Jauziyyah (meninggal 751) dalam Zad Al-Ma’aad, yang bermaksud: "(Jika ditanya, bahawa sesungguhnya hadis berkaitan menunjukkan hukum tuntutan nasab anak dan anak itu dinasabkan kepada si suami, apakah pendapat kamu jika penzina menuntut seseorang anak yang ibunya tidak bersuami untuk dinasabkan kepada si penzina itu. Apakah anak akan menjadi nasabnya dan disabitkan kepadanya hukum-hakam nasab?"

Siapa bapa kamu?

Disebutkan ini masalah yang besar, ahli ilmu telah berselisihan pendapat mengenainya. Adalah Ishaq bin Rahawaih berpendapat bahawa anak zina jika ibunya tiada suami yang mendakwa anaknya sementara penzina mendakwa anaknya maka dinasabkan kepada penzina. Ditakwilkan sabda Nabi SAW: “Anak itu (dinasabkan) kepada suami” itu bahawa Nabi SAW menghukum demikian apabila berlaku pertikaian antara penzina dan suami ibu, seperti yang telah dinyatakan seblum ini. Inilah mazhab Hasan Al-Basri, telah meriwayatkan daripadanya Ishaq (bin Rahuyah) dengan sanadnya mengenai lelaki yang berzina dengan seorang perempuan dan melahirkan anak, lalu lelaki itu mendakwa itu anaknya, jawab Hasan Al-Basri: “Disebat dan anak dilazimkan (dinasabkan) kepadanya. Inilah juga Mazhab ‘Urwah bin al-Zubair dan Sulaiman bin Yasar.

Diriwayatkan daripada mereka berdua berkata: Mana-mana lelaki yang datang kepada seorang kanak-kanak lalu mengakui itu anaknya bahawa dia pernah berzina dengan ibunya, sementara tiada sesiapa pula selainnya yang mendakwa anak itu anaknya, maka anak itu dikira sebagai anak lelaki yang mengaku itu. Sulaiman bin Yasar berhujah bahawa Umar bin Al-Khattab menasabkan anak-anak (yang lahir) semasa jahiliah kepada sesiapa yang mengaku anaknya semasa Islam).

Pendapat kedua ini telah ditarjihkan oleh Syeikh Al-Islam Ibn Taimiyyah RH (meninggal 728H) dan Qayyim Al-Jauziyyah RH (meninggal 751H). Demikian juga Al-Syeikh Muhammad Ridha RH (meninggal 1354H) dalam tafsirnya Al-Manar ketika menafsirkan Surah An-Nisaa ayat 23. Beliau menolak pendapat ulama Mazhab Syafie yang membolehkan bapa zina berkahwin dengan anak zina.

Ketika itu beliau menyebut bahawa nasab disabitkan dengan perkahwinan ataupun pengakuan. Lelaki yang berzina hendaklah dinasabkan kepadanya jika pasti itu anaknya. (Lihat: Tafsir Al-Manar, 4/382, Mesir: Al-Haiah Al-Misriyyah Al-‘Ammah)

Antara alasan pendapat kedua ini ialah hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim mengenai Juraij seorang ahli ibadah yang dituduh berzina dengan seorang wanita oleh orang ramai. Padahal wanita itu telah berzina dengan orang lain. Juraij telah berwuduk, bersolat dan memohon kepada ALLAH.

ALLAH telah menzahirkan karamah di tangan Juraij dalam peristiwa itu di mana dia datang kepada bayi tersebut yang masih kecil dan bertanya: "Wahai budak! Siapakah bapa kamu?" Jawab bayi itu: "Penggembala itu."

Jawapan bayi ini dijadikan hujah bahawa dalam karamah yang ALLAH zahirkan itu bayi itu apabila ditanya “siapa bapa kamu” dia menjawab penggembala itu. Ertinya, dinasabkan anak zina kepada bapanya. Tidak ditanya siapakah yang berzina dengan ibu kamu tetapi siapakah bapa kamu. Anak itu dinisbahkan kepada bapa zinanya.

Ini antara hujah yang digunakan dalam isu ini. Al-Imam Al-Qurtubi (meninggal 671H) dalam tafsirnya ketika menafsirkan Surah An-Nisaa ayat 23 membentang hujah pendapat ini yang beralasan dengan hadis Juraij tersebut.

Antaranya Al-Qurtubi menyebut: "Adalah nisbah tersebut sesuatu yang sahih dengan perakuan ALLAH dan perkhabaran Nabi SAW mengenai hal itu. Maka sabitlah kedudukannya sebagai anak dan hukum-hakam anak." (Lihat: Al-Qurtubi, Al-Jami’ li Ahkam Al-Quran, 5/115, Beirut: Dar Al-Fikr)

Taubat dan keaiban

Setelah meneliti penghujahan kedua pihak dan menyedari ini adalah masalah khilaf dalam kalangan fuqaha, Fatwa Perlis juga meneliti fenomena yang berlaku dalam masyarakat hari ini. ‘Bin Abdullah’ yang diamalkan secara tidak langsung boleh menzalimi kehidupan anak yang tidak bersalah. Tidak memberikan peluang kepada seseorang yang bersalah menutup dosa yang telah dilakukan sekalipun dirinya telah bertaubat.

Apabila seseorang penzina berkahwin dan bertaubat, ALLAH itu menerima taubat. Atas sikap yang bertanggungjawab, dia membesarkan anak zina. Jika anak itu dibinkan dengan Abdullah, pasti si anak akan bertanya: "Mengapa saya bin Abdullah?." Apakah wajar untuk si bapa menjawab: “Saya dan ibu kamu dahulu berzina?.” Jika itulah jawapannya, bererti ibu bapa berkenaan telah membuka keaiban diri mereka yang dilarang oleh nas-nas Islam untuk mereka membukanya. Bahkan jawapan itu akan menghilangkan rasa hormat si anak kepada ibu dan bapa zinanya yang cuba membesarkan dan mendidiknya menjadi insan yang baik.

Jika ada anak-anak lain daripada hubungan halal, mereka juga akan mengetahui aib ibu bapa mereka dan tidak akan menghormati keduanya.

Ini semua akan menjadikan proses pendidikan ke arah yang baik terganggu. Mentaliti generasi pada zaman ini berbeza dengan zaman semasa kitab fekah dahulu ditulis. Pendedahan ini boleh membawa kepada penderhakaan ataupun kebencian dan memandang hina kepada ibu bapa dari anak-anak yang lain juga. Sekali lagi isi keluarga boleh berantakan. Semangat mendidik anak-anak menjadi baik juga akan hilang. Ini boleh membawa keruntuhan institusi keluarga yang banyaknya telah rapuh.

Pada zaman yang role model amat kurang bagi generasi anak-anak, ibu bapa sepatutnya menjadi contoh baik kepada anak-anak sendiri. Jika dari awal, keaiban dan kemaksiatan ibu bapa yang lepas didedahkan secara catatan ‘bin Abdullah’, apatah lagi yang tinggal bagi puluhan ribu, bahkan dikatakan ratusan ribu anak-anak ini? Apakah kita mahu melihat keruntuhan maksiat zina yang lepas membawa kepada keruntuhan demi keruntuhan?

Apabila anak tersebut ke sekolah, dia dipandang serong dan ibu bapanya yang telah bertaubat itu dibuka lagi keaiban mereka. Demikian seterus perjalanan kehidupan anak tersebut. Ibu bapanya dibuka keaiban, dirinya dipandang hina. Apakah kita mahu menghapuskan semangat dalam diri anak-anak ini? Hendaklah kita sedar bahawa pendaftaran dalam kad nama dan penggunaan seperti hari ini serta kesannya dalam institusi moden tidak sama seperti zaman silam ketika sebahagian fatwa dikeluarkan dahulu.

Kesan psikologi

Jika jumlah yang berbin Abdullah ratusan ribu seperti yang dilaporkan, apakah kesan psikologi terhadap jumlah yang banyak ini. Tidakkah kita seakanakan menghalang perkembangan positif anak-anak ini? Tidakkah kita menjadikan mereka merasakan zina adalah darah daging mereka lalu mereka juga menuju ke arah itu disebabkan tekanan yang dihadapi? Tidakkah juga apabila terlalu ramai yang berbin Abdullah sebagai tanda zina berlaku, maka akhirnya masyarakat akan berasakan zina itu sesuatu yang biasa kerana di sekeliling mereka manusia yang mempunyai tanda zina pada nama mereka?

Siapakah yang menggalakkan zina jika hal ini berlaku? Pada zaman ini, lelaki yang sanggup bertanggung jawab atas dosa mereka kepada wanita yang disetubuhinya secara haram bukannya mudah. Ruang untuk melepaskan diri itu terbuka. Kesanggupan bertanggungjawab ke atas kesalahannya itu sebenarnya sesuatu yang ada nilainya. Namun, jika lelaki penzina tahu, sekiranya dia cuba bertanggungjawab dengan berkahwin maka dia menanggung malu sepanjang hayatnya. Pastinya ataupun kemungkinan besar, dia akan mengelakkan diri dari bertanggungjawab. Akhirnya, hanya pihak perempuan sahaja yang akan menanggung derita. Jika ini berterusan, maka fenomena seperti di Barat akan membuak di mana anak hanya ada ibu sahaja yang bertanggungjawab.

Sedangkan dalam hadis yang sahih riwayat Bukhari, Muslim dan selain mereka, Nabi SAW menyebut: "Sesiapa yang menutup aib seseorang Muslim, ALLAH akan menutup aibnya pada hari kiamat."

Galakkan zina?

Menutup aib adalah sesuatu yang penting dalam agama. Dukacita, ada pihak yang melihat ini sesuatu yang remeh. Melihat kepada semangat dalam hadis tadi: "Anak itu (nasabnya) kepada suami yang menyetubuhinya, sementara bagi perzinaan itu hanya kekecewaan (tiada hak yang dituntut)." Daripada hadis ini dapat disimpulkan bahawa Rasulullah SAW memberikan hak nasab kepada suami si isteri sekalipun anak itu ada kemungkinan anak zina jika dilihat pada zahir yang menyamai si penzina. Ini apatah lagi jika itu anak benihnya sendiri. Hadis ini menunjukkan penyelesaian Nabi SAW yang tidak ingin membongkar keburukan yang lepas.

Jikalaulah Baginda SAW memutuskan kes seperti itu mesti diselidiki, maka sudah pasti berbagai keburukan peribadi akan terdedah dan menyebabkan keruntuhan kepada keluarga.

Mendaftarkan anak dengan ‘Bin Abdullah’ secara tidak langsung memberitahu orang ramai untuk tempoh sepanjang hayatnya bahawa ‘aku dan isteriku telah melakukan zina’. Tidakkah kita membaca hadis Rasulullah SAW: “Setiap umatku diberikan keampunan kecuali orang-orang yang menzahirkan (dosanya). Antara perbuatan yang menzahirkan dosa itu; seseorang yang melakukan dosa pada malam hari, kemudian berpagi dalam keadaan ALLAH telah menutupnya (keaibannya), kemudian dia sendiri memberitahu: “Wahai si fulan, aku telah lakukan ini dan itu semalam. Dia sendiri yang menyelak tutupan ALLAH untuknya.” (Riwayat Bukhari & Muslim) Ada pihak menyatakan Fatwa Perlis boleh menjadi punca galakan zina.

Saya ingin bertanya, selama ini Fatwa Perlis tidak dilaksanakan di negara ini sebaliknya fatwa ‘bin Abdullah’ yang dilaksanakan. Mana datangnya puluhan bahkan -seperti yang dilaporkan- ratusan ribu kes anak zina? Apakah tidak fatwa ‘bin Abdullah’ dapat mengurangkan kes zina? Mengapa pula ia makin hari makin bertambah?

Jangan sampai penyakit lain, ubat yang diberikan pula adalah bagi penyakit yang lain. Persoalan yang patut ditanya, apakah sesuatu yang baik apabila puluhan ribu manusia Muslim dapat dilihat tanda zina pada ‘bin’ mereka?

Tidakkah itu secara tidak langsung satu galakan dan menjadikan zina itu sesuatu yang dikongsi ceritanya dengan orang ramai melalui tanda nama pada ‘bin Abdullah’? Fatwa Perlis adalah satu ijtihad dalam memilih pendapat golongan fuqaha (ahli fekah) dengan mengambil realiti masa kini dan melihat kepada al-Maaal (kecenderungan yang akan berlaku).

Ia bukan satu galakan zina, bahkan mungkin satu penyelesaian dalam realiti yang ada pada hari ini.

MUFTI PERLIS, SAHIBUS, SAMAHAH DATUK DR MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN

http://www.sinarharian.com.my/fikry/abdullah-buka-aib-galakkan-zina-1.717226

JPN tidak boleh tangguh keputusan 'anak luar nikah boleh dibinkan Abdullah’, kata Mahkamah Rayuan



PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan semalam menolak permohonan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan 2 pihak lain untuk menangguhkan pelaksanaan keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan seorang kanak-kanak Islam yang tidak sah taraf dibinkan dengan nama bapanya.


Peguam Nizam Bashir, yang mewakili pasangan berkenaan dan kanak-kanak terbabit dalam kes itu, berkata panel 3 hakim yang diketuai Hakim Datuk Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara menolak permohonan itu atas alasan tidak terdapat keadaan khusus untuk membenarkan penangguhan itu.

Panel itu turut dianggotai Hakim Datuk Abdul Rahman Sebli dan Hakim Puan Sri Zaleha Yusof.

Peguam Kanan Persekutuan Mazlifah Ayob, yang mewakili JPN, Ketua Pengarah JPN dan Kerajaan Malaysia, memohon kepada mahkamah untuk mendapatkan penangguhan bagi pelaksanaan keputusan Mahkamah Rayuan yang diumumkan pada 25 Mei tahun ini sementara menungggu keputusan tentang permohonan mereka mendapatkan kebenaran untuk merayu kepada Mahkamah Persekutuan.

Dalam penghakiman bertulis Mahkamah Rayuan yang dikeluarkan pada 25 Julai tahun ini, Abdul Rahman berkata ketua pengarah JPN tidak terikat dengan fatwa yang dikeluarkan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan dalam menentukan nama bapa seseorang kanak-kanak Islam yang tidak sah taraf.

Pada 25 Mei tahun ini, panel sama membenarkan rayuan dikemukakan pasangan itu, yang memfailkan permohonan semakan kehakiman bagi memastikan Ketua Pengarah JPN menukar perkataan “Abdullah” sebagai bin untuk nama kanak-kanak itu kepada nama bapanya dalam sijil kelahiran kanak-kanak berkenaan.

Dalam penghakiman itu, Abdul Rahman berkata bidang kuasa ketua pengarah berkenaan adalah bersifat sivil dan hanya terhad kepada dalam menentukan sama ada ibu bapa kanak-kanak itu telah memenuhi syarat yang terkandung dalam Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (BDRA) yang meliputi semua kanak-kanak tidak sah taraf melibatkan orang Islam dan bukan Islam.

Beliau berkata fatwa bukan perkara yang wajib diterima oleh undang-undang dan tidak boleh dijadikan asas undang-undang oleh Ketua Pengarah JPN dalam menentukan nama bapa seseorang anak yang tidak sah taraf mengikut Seksyen 13A (2) BDRA.

Sementara itu, ketika dihubungi Bernama, Nizam berkata Mahkamah Rayuan mengambil maklum bahawa permohonan pemohon bagi mendapatkan kebenaran untuk merayu itu bukan sesuatu yang tidak berasas, tetapi penagguhan tidak diperlukan kerana JPN boleh membatalkan sebarang pendaftaran atau pembetulan yang akan memberi kesan terhadapnya dalam mendapatkan keputusan Mahkamah Rayuan.

“Kami memaklumkan kepada mahkamah bahawa kami tidak akan menguatkuasakan keputusan Mahkamah Rayuan untuk sementara waktu sehinggalah keputusan mengenai permohonan kebenaran untuk merayu atau mendapatkan prosiding di Mahkamah Persekutuan dibuat,” katanya.

Beliau turut memberitahu bahawa mahkamah juga tidak mengeluarkan perintah tentang kos.


http://www.freemalaysiatoday.com/ca...n-mengenai-bin-abdullah-kata-mahkamah-rayuan/

SUMBER: LAMAN WEB MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN 4 OGOS 2017

Penamaan bin/binti Abdullah @ bapa biologinya

MAHKAMAH Rayuan memutuskan Jabatan Pendaftaran Negara boleh membenarkan permohonan anak tidak sah taraf dibinkan atau dibintikan bapa biologinya. Rayuan melibatkan seorang kanak-kanak berusia 7 tahun yang dilahirkan selepas lima bulan 24 hari (atau lima bulan 27 hari mengikut kalendar qamariah) selepas ibu bapanya bernikah.


Mana-mana anak yang dikandungkan semasa luar nikah, boleh dibinkan kepada nama bapa mereka dan memutuskan bahawa fatwa yang dikeluarkan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia, tidak mempunyai kuasa undang-undang.

Keputusan tersebut mengejutkan ramai pihak. Untuk menekuni isu ini dan melihat dengan mendalam berdasarkan nusus syarak bagi menghuraikan permasalahan dengan lebih teratur dan tepat. MUFTI WILAYAH SAHIBUS SAMAHAH DATUK DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI tampil memberikan pandangan.

Umat Islam khususnya ingin mencari kebenaran dan melihat pendapat fiqh berasaskan nas yang tidak bertentangan dengan hukum sebenarnya. Kami juga amat menghormati pandangan semua pihak tetapi biarlah perkara yang diputuskan berasaskan kaedah yang sebenar dan pendapat yang paling tuntas serta meraikan suasana mazhab setempat yang menjadi pegangan majoriti umat Islam di Malaysia iaitu Mazhab Syafie.

Perbahasan fiqh

Definisi nasab

Nasab jika disebut yansibuhu adalah dinisbahkan seseorang kepada bapanya. Nasab juga pada bahasa dengan makna qarabah. Dijamakkan dengan kalimah ansab. (Rujuk: Lisan Al-Arab (1/755))

Makna nasab menurut Kamus Dewan Edisi Keempat adalah pertalian keluarga, keturunan (terutama daripada sebelah bapa). Contohnya, nasab bapa pertalian keluarga di sebelah bapa; nasab ibu pertalian keluarga di sebelah ibu; penasaban hal yang berkaitan dengan nasab: ini berkaitan dengan nasab, perwalian, pewarisan, dan pergaulan dalam keluarga.

Kebanyakan fuqaha tidak mentakrifkan nasab. Tetapi mereka banyak membincangkan permasalahan dan solusinya tanpa mendefinisikan nasab.

Imam Raghib Al-Asfahani mendefinisikan nasab dan nisbah sebagai persekutuan pada salah seorang ibu atau bapa, sama ada hubungan menegak seperti nasab antara bapa dan anak-anak; atau hubungan melintang seperti nasab antara saudara-mara dan bapa-bapa saudara. (Rujuk: Al-Mufradat fi Gharib Al-Quran (halaman 801))

Ini selari dengan firman ALLAH SWT: "Dan Dialah Tuhan yang menciptakan manusia dari air, lalu dijadikannya (mempunyai) titisan baka dan pertalian keluarga (persemendaan); dan sememangnya Tuhanmu berkuasa (menciptakan apa jua yang dikehendaki-Nya)." (Surah Al-Furqan: 54)

Syeikh Ahmad Al-Maraghi RHM pula menghuraikan hubungan nasab dinisbahkan melalui lelaki manakala hubungan persemendaan bagi kaum wanita, maka terhasillah hubungan kekeluargaan. (Lihat: Tafsir Al-Maraghi (19/26))

Syeikh Wahbah Al-Zuhaili berkata: "Nasab adalah penyandar yang paling kukuh berdirinya sebuah keluarga. Ia mengikat unit keluarga dengan ikatan atas asas kesatuan darah, dan juz'i pada bahagiannya. Ini kerana anak sejuzuk daripada bapanya dan bapa adalah sejuzuk daripada anaknya.

Ia nikmat yang agung, kurniaan ALLAH kepada manusia. Justeru, memelihara nasab adalah salah satu daripada maqasid syariah yang lima." (Lihat: Al-Fiqh Al-Islami wa Adillatuh (10/7247))

Berdasarkan keterangan di atas, jelas nasab adalah perkara yang penting dalam kehidupan manusia. Bahkan dimuliakan dan hanya boleh disahkan dengan hubungan perkahwinan. Justeru, ulama seperti Imam Al-Ghazali dan Imam Al-Syatibi telah meletakkannya sebagai salah satu tujuan syarak iaitu hifz al-nasab (penjagaan nasab), yang juga terkait dengan hifz al-nasal (penjagaan keturunan) dan hifz al-`arad (penjagaan maruah).

Nasab anak zina kepada bapa biologinya?

Fuqaha menetapkan beberapa kaedah untuk mensabitkan nasab, antaranya:

1. Perkahwinan

2. Penyaksian

3. Pengakuan (ikrar)

4. Qiyafah (pengecaman melalui persamaan fizikal antara dua orang oleh pakar)

Kaedah perkahwinan adalah satu dalil yang menyebabkan nasab atau membin/bintikan anak. Bahkan, kaedah ini disepakati semua fuqaha tanpa terdapat khilaf. Kaedah sabitan nasab melalui perkahwinan boleh membatalkan kaedah lain jika berlaku pertembungan.

Namun begitu, ulama khilaf perihal perlaksanaan kaedah sabitan nasab melalui perkahwinan ini kepada beberapa pendapat;

Majoriti ulama yang terdiri daripada mazhab Maliki, Syafie, Hanbali menyatakan bahawa akad nikah mensabitkan nasab dengan syarat wujud kemungkinan berlaku persetubuhan dari aspek zaman dan tempat. Sekiranya tidak mempunyai kemungkinan tersebut, maka nasab tidak dapat ditetapkan.

Contohnya:

Faktor zaman: Jika seseorang berkahwin kemudian bercerai setelah akad nikah, maka nasab anak tidak boleh ditetapkan kepada suami. Begitu juga jika anak itu lahir kurang enam bulan qamariyyah selepas akad nikah, anak itu tidak boleh dinasabkan kepada ayah biologinya kerana sekurang-kurang hamil adalah enam bulan.

Faktor tempat: Sekiranya seorang lelaki berkahwin dengan wanita melalui walinya tetapi tidak pernah bertemu dengan wanita itu. Kemudian selepas enam bulan, wanita berkenaan melahirkan anak. Anak berkenaan tetap tidak boleh dinasabkan kepada lelaki terbabit.

Mazhab Hanafi menyatakan ikatan perkahwinan semata-mata sudah cukup untuk menetapkan nasab.

Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah dan Ibnu Qayyim berpegang nasab boleh disabitkan dengan membuktikan persetubuhan hakiki sekalipun zina. Ini juga pendapat ulama salaf terkemuka seperti Ishak bin Rahuyah, Urwah bin Zubair, Sulaiman bin Yasar, Al-Hasan Basri, Ibn Sirin dan Ibrahim Al-Nakhaie. (Rujuk: Zaad Al-Ma`ad (5/381)). Ini juga pandangan Ibn Muflih dalam Al-Furu' (9/255), Ibn Al-Qasim dalam Hasyiah Al-Raudh Al-Murbi' (7/45))

Dalam Kitab Al-Majmu' Syarh Al-Muhazzab (16/222), Syeikh Najib Al-Muti'ie menyebut tiada khilaf dalam kalangan ahli ilmu anak zina tidak disabitkan nasab kepada lelaki yang berzina dengan ibu anak tersebut dan mereka tidak saling mewarisi.



Mazhab Syafie dan Maliki tidak mengharamkan pernikahan antara mereka berdua tetapi memakruhkannya. Manakala Mazhab Abu Hanifah dan Hanbali mengharamkannya.
Imam Ibn Rusyd Al-Maliki berkata: "Telah bersepakat jumhur bahawa anak-anak zina tidak dinasabkan kepada ayah mereka melainkan jika berlaku semasa zaman Jahiliah kerana terdapat riwayat daripada Umar Al-Khattab berkenaan khilaf sahabat mengenai perkara ini.

Manakala satu sebahagian pihak memiliki pandangan syaz (pelik) yang mengatakan anak zina boleh dinasabkan kepada bapa mereka sewaktu zaman Islam." (Rujuk: Bidayah Al-Mujtahid (4/142))

Imam Ibn Qudamah Al-Hanbali menyebut: "Anak zina tidak dinasabkan (kepada bapa biologinya) di sisi jumhur ulama. Al-Hasan Al-Basri dan Ibn Sirin berkata: "Dinasabkan kepada lelaki yang menyetubuhi itu jika ditegakkan hukum hudud ke atasnya (seperti sebatan 100 kali) dan anak itu boleh mewarisinya.

Berkata Ibrahim Al-Nakhaie: "Dinasabkan jika dihukum rotan sebagai hudud, atau memiliki wanita yang disetubuhi." Berkata Ishaq: "Dinasabkan kepadanya." Ini juga disebut oleh Urwah bin Al-Zubair dan Sulaiman bin Yasar.

Ali bin Asim meriwayatkan daripada Abu Hanifah: "Aku melihat tiada masalah bagi seorang lelaki yang telah berzina dengan seorang wanita lalu dia hamil akibat itu untuk lelaki itu berkahwin dengannya supaya menutup (aib) ke atas wanita itu, dan anak itu dianggap anaknya." (Rujuk: Al-Mughni (6/345))

Haram nisbahkan nasab

Sebenarnya syarak menegah mana-mana bapa mengingkari nasab anak. Begitu juga mengharamkan wanita menisbahkan anak kepada bukan bapanya yang hakiki.

Ini berasaskan hadis daripada Abi Hurairah RA, sabda Rasulullah SAW: "Mana-mana perempuan yang memasukkan kepada satu kaum sedangkan ia bukan daripada mereka, maka tiadalah daripada ALLAH sesuatu pun.

"Dan ALLAH pasti tidak memasukkannya (perempuan tersebut) ke syurga. Mana-mana lelaki yang mengingkari anaknya sedangkan dia mengetahui hakikatnya, maka ALLAH akan menghijabkannya daripada-Nya dan menghinanya di khalayak mereka yang terdahulu hingga akhirnya." (Riwayat Abu Daud (2263), Al-Nasaie, (3481) & Ibn Hibban (4108)). Begitu juga syarak menegah anak-anak menisbahkan diri kepada selain bapanya seperti bukan bapanya yang sebenar atau hakiki.

Berdasarkan dua hadis

Daripada Abi Bakrah dan Sa'd bin Abi Waqas RAH bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Siapa yang mendakwa untuk menisbahkan kepada selain ayahnya, sedangkan dia mengetahui orang itu bukan ayahnya, haram ke atasnya untuk menghuni syurga." (Riwayat Bukhari (6766), Muslim (63), Abu Daud (5113), Ibn Majah (2610) & Ahmad (1553))

Rasulullah SAW bersabda lagi: "Siapa yang mendakwa untuk menisbahkan kepada selain ayahnya, atau menisbahkan kepada bukan maulanya, maka ke atasnya dilaknat oleh ALLAH secara berterusan hingga hari kiamat." (Riwayat Abu Daud (5155)

Anak angkat dibin/bintikan kepadanya

Hal ini jelas bilamana syariat sendiri mengharamkan nizam tabanni dengan menjadikan anak angkat dibinkan atau dibintikan kepadanya. Ini kerana Rasulullah SAW telah mengambil Zaid bin Harithah sebelum kenabian menjadikannya anak angkat. Ia digelar Zaid bin Muhammad sehingga turunnya nas Ilahi: "(Diperintahkan dengan yang demikian kerana) ALLAH tidak sekali-kali menjadikan seseorang mempunyai dua hati dalam rongga dadanya; dan ia tidak menjadikan isteri-isteri yang kamu zihar kan itu sebagai ibu kamu; dan ia juga tidak menjadikan anak-anak angkat kamu, sebagai anak kamu sendiri. Segala yang kamu dakwakan mengenai perkara) yang tersebut itu hanyalah perkataan kamu dengan mulut kamu sahaja.

Dan (ingatlah) ALLAH menerangkan yang benar dan Dialah jua yang memimpin ke jalan yang betul. Panggillah anak-anak angkat itu dengan berbinkan kepada bapa mereka sendiri; cara itulah yang lebih adil di sisi ALLAH. Dalam pada itu, jika kamu tidak mengetahui bapa mereka, maka panggillah mereka sebagai saudara-saudara kamu yang seagama dan sebagai 'maula-maula' kamu." (Surah Al-Ahzab: 4-5)

Imam Al-Qurtubi RHM berkata: "Telah berijmak ahli tafsir ayat ini diturunkan kepada Zaid bin Harithah. Imam meriwayatkan, Ibn Umar berkata: "Tidaklah kami memanggil Zaid bin Harithah kecuali Zaid bin Muhammad sehingga turun ayat ini." (Lihat: Mukhtasar Tafsir Al-Qurtubi (3/450))

Syeikh Al-Maraghi berkata: "Hal itu dianggap lebih adil menurut hukum ALLAH dan lebih benar daripada kamu memanggilnya dengan nama orang yang mengambilnya sebagai anak angkat." (Lihat: Tafsir Al-Maraghi (21/128))

Merujuk kepada ayat yang bermaksud 'panggillah anak-anak angkat itu dengan berbinkan kepada bapa mereka sendiri; cara itulah yang lebih adil di sisi ALLAH'.

Dr Wahbah Al-Zuhaili berkata: "Ia lebih adil bahkan lebih berhak di sisi ALLAH. Maka keadilan yang diputuskan dan hak yang mewajibkan nisbah anak kepada bapanya yang hakiki dan bukan bapanya yang palsu. Ini kerana, Islam adalah agama yang sebenar dan adil.

Unsur yang asing daripada keluarga sama ada lelaki atau wanita tidak bersamaan dan sesuai secara qat'ie pada akhlak dan agama. Ini sudah barang tentu akan menatijahkan kerosakan dan kemungkaran kepadanya. Hal ini tidaklah menyebabkan Islam menegah untuk mentarbiahkan anak pungut, mendidik dan mengajarnya." (Lihat: Al-Fiqh Al-Islami wa Adillatuh (10/7248-7249))

Kisah Ibn Abbas & anak zina

Diriwayatkan bahawa seorang lelaki telah berkahwin. Kemudian isterinya melahirkan anak selepas enam bulan daripada perkahwinan itu. Hal ini diadukan kepada Saidina Uthman RA maka dia mahu merejam perempuan tersebut. Lantas jawab Ibn ‘Abbas: “Adapun sesungguhnya kalaulah mungkin aku berhujah dengan kamu kepada kitab ALLAH, nescaya aku menang. Ini kerana firman ALLAH: “Dan tempoh hamilnya serta berpisah daripada susu ibunya 30 bulan, dan berpisah daripada susu ibunya dalam tempoh dua tahun. Justeru, hamil di sini hanya enam bulan. Lantas Saidina Uthman mengambil pendapat Ibn Abbas dan tidak menghukumnya dengan had. (Lihat: Al-Bada’i` Al-Sana’i` (3/211))

Sabitan nasab dengan perkahwinan yang fasid

Perkahwinan yang rosak atau fasid dalam mengisbatkan nasab sama seperti perkahwinan yang sahih. Tetapi nasab diihtiyatkan pada sabitannya untuk menghidupkan anak dan memeliharanya.

Disyaratkan pada perkahwinan fasid ini tiga:-

Lelaki yang mampu untuk menghamilkan isterinya iaitu baligh di sisi Mazhab Maliki dan Syafie. Atau baligh atau remaja di sisi Mazhab Hanafi dan Hanbali.

Berlaku dukhul dengan perempuan tersebut pada Mazhab Maliki dan jika tiada, tidak mungkin disabitkan nasab.

Hendaklah perempuan itu melahirkan anak selepas enam bulan atau lebih daripada tarikh dukhul atau bersama di sisi Mazhab Maliki.

Perbahasan hadis

Kami kemukakan sebuah hadis yang menjadi perbincangan hangat dalam kalangan ulama berkenaan isu ini. Daripada Aisyah RAH berkata: "Adalah 'Utbah telah mewasiatkan dengan bersungguh-sungguh kepada saudaranya Sa'd bahawa anak yang dilahirkan oleh hamba perempuan Zam'ah adalah anaknya. Justeru, ambillah dan peliharalah.

Tatkala tahun pembukaan Kota Makkah, Sa'd mengambilnya seraya berkata: "Ini anak saudaraku yang diminta kepadaku untuk memeliharanya." Kemudian 'Abd bin Zam'ah bangkit dan berkata: "Dia adalah saudaraku dan anak isteri ayahku." Kemudian kedua-duanya berlumba-lumba menuju kepada Nabi SAW. Maka kata Sa'd: "Ya Rasulullah, dia anak saudaraka yang diwasiatkan kepadaku untuk memeliharanya."

Kemudian Abd bin Zam'ah mencelah: "Dia adalah saudaraku dan anak isteri ayahku yang dilahirkan pada masa perkahwinan." Maka jawab Nabi SAW: "Dia bagi kamu wahai 'Abd bin Zam'ah. Ini kerana nasab anak kepada perkahwinan yang sah. Sedangkan penzina adalah keaiban." Baginda SAW bersabda kepada Saudah binti Zam'ah: "Hendaklah kamu berhijab daripadanya. Ini kerana Rasulullah SAW mendapati anak tersebut amat menyerupai 'Utbah. Maka tidaklah anak tersebut melihat Saudah sehingga bertemu ALLAH atau mati." (Hadis di atas disepakati kesahihan oleh Bukhari & Muslim)

Kami kemukakan beberapa fiqh hadis daripada Kitab Fath Al-Bari (12/32-40) oleh Imam Ibn Hajar Al-Asqalani RHM.

- Perkataan walidah memberi maksud ‘hamba perempuan yang dikatakan beliau daripada Yaman’. Perkataan walidah atas wazan fa’ilah adalah daripada wiladah iaitu kelahiran. Al-Jauhari berkata: "Iaitu anak perempuan kecil dan juga hamba perempuan. Ia dikatakan nama lain bagi Ummu Walad."

- Perkataan zam’ah boleh dibaca dengan zama’ah iaitu zai dibaris atas atau zam’ah dengan baris mati.

- Perkataan firasha pula dengan maksud lelaki yang mempunyai isteri atau hamba perempuan menjadi hamparan baginya. Dengan makna, anak yang lahir daripadanya menjadi anaknya.

- Dalam Mazhab Syafie dan Malik, seseorang hamba perempuan menjadi firasha dengan sebab persetubuhan, bukan semata-mata pemilikan

- Ketahuilah hadis ‘Abd bin Zam’ah ditanggung bahawa sabit hamba ayahnya sebagai firash kepada Zam’ah. Dengan sebab itu, Nabi SAW menisbahkan anak kepadanya. Sabitan ini sama ada dengan bukti atas ikrarnya atau pengetahuan Nabi SAW. Ini menjadi dalil kepada Mazhab Syafie dan Maliki.

- Hadis ini menunjukkan dalil bagi Mazhab Syafie berkenaan menasabkan anak. Imam Syafie berpendapat, harus menasabkan waris dengan syarat ia berhak menerima pusaka. Begitu juga yang dinasabkan anak bagi si mati dan syarat yang tidak diketahui nasab selain daripadanya. Begitu juga hendaklah yang menasabkan dibenarkannya jika dia berakal lagi baligh. Ini syarat semuanya, wujud bagi anak ini sehingga Nabi SAW menasabkannya kepada Zam’ah.

** Dapatkan akhbar Sinar Harian hari ini untuk berita lanjut.

** (Ikuti isu berkaitan bersama Mufti Perlis, Sahibus Samahah Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin pada 11 Ogos 2017)


http://www.sinarharian.com.my/fikry/penamaan-bin-binti-abdullah-bapa-biologinya-1.713506

Mahkamah rayuan tolak permohonan JPN

PUTRAJAYA - Mahkamah Rayuan hari ini menolak permohonan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan dua pihak lain untuk menangguhkan pelaksanaan keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan seorang kanak-kanak Islam yang tidak sah taraf dibinkan dengan nama bapanya.


Peguam Nizam Bashir, yang mewakili pasangan berkenaan dan kanak-kanak terbabit dalam kes itu, berkata panel tiga hakim yang diketuai Hakim Datuk Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara menolak permohonan itu atas alasan tidak terdapat keadaan khusus untuk membenarkan penangguhan itu.

Panel itu turut dianggotai Hakim Datuk Abdul Rahman Sebli dan Hakim Puan Sri Zaleha Yusof.

Peguam Kanan Persekutuan Mazlifah Ayob, yang mewakili JPN, Ketua Pengarah JPN dan Kerajaan Malaysia, memohon kepada mahkamah untuk mendapatkan penangguhan bagi pelaksanaan keputusan Mahkamah Rayuan yang diumumkan pada 25 Mei tahun ini sementara menungggu keputusan tentang permohonan mereka mendapatkan kebenaran untuk merayu kepada Mahkamah Persekutuan.

Dalam penghakiman bertulis Mahkamah Rayuan yang dikeluarkan pada 25 Julai tahun ini, Abdul Rahman berkata Ketua Pengarah JPN tidak terikat dengan fatwa yang dikeluarkan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan dalam menentukan nama bapa seseorang kanak-kanak Islam yang tidak sah taraf.

Pada 25 Mei tahun ini, panel sama membenarkan rayuan dikemukakan pasangan itu, yang memfailkan permohonan semakan kehakiman bagi memastikan Ketua Pengarah JPN menukar perkataan "Abdullah" sebagai bin untuk nama kanak-kanak itu kepada nama bapanya dalam sijil kelahiran kanak-kanak berkenaan.

Dalam penghakiman itu, Abdul Rahman berkata bidang kuasa ketua pengarah berkenaan adalah bersifat sivil dan hanya terhad kepada dalam menentukan sama ada ibu bapa kanak-kanak itu telah memenuhi syarat yang terkandung dalam Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (BDRA) yang meliputi semua kanak-kanak tidak sah taraf melibatkan orang Islam dan bukan Islam.

Beliau berkata fatwa bukan perkara yang wajib diterima oleh undang-undang dan tidak boleh dijadikan asas undang-undang oleh Ketua Pengarah JPN dalam menentukan nama bapa seseorang anak yang tidak sah taraf mengikut Seksyen 13A (2) BDRA.

Sementara itu, ketika dihubungi Bernama, Nizam berkata Mahkamah Rayuan mengambil maklum bahawa permohonan pemohon bagi mendapatkan kebenaran untuk merayu itu bukan sesuatu yang tidak berasas, tetapi penagguhan tidak diperlukan kerana JPN boleh membatalkan sebarang pendaftaran atau pembetulan yang akan memberi kesan terhadapnya dalam mendapatkan keputusan Mahkamah Rayuan.

"Kami memaklumkan kepada mahkamah bahawa kami tidak akan menguatkuasakan keputusan Mahkamah Rayuan untuk sementara waktu sehinggalah keputusan mengenai permohonan kebenaran untuk merayu atau mendapatkan prosiding di Mahkamah Persekutuan dibuat,” katanya.

Beliau turut memberitahu bahawa mahkamah juga tidak mengeluarkan perintah tentang kos. - Bernama


http://www.sinarharian.com.my/semasa/mahkamah-rayuan-tolak-permohonan-jpn-1.713195

Mufti Selangor mohon JPN rayu di Mahkamah Persekutuan
MAIS juga mohon mencelah rayuan



MUFTI Selangor memohon Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) membuat rayuan di Mahkamah Persekutuan berhubung keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan anak tidak sah taraf dibin atau dibintikan kepada bapanya.


Datuk Mohd Tamyes Abd Wahid dalam kenyataan berkata Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) juga akan memohon kebenaran untuk mencelah dalam rayuan tersebut sebagai usaha untuk memelihara agama dan memartabatkan kedudukan undang-undang Islam di negara ini.

“Jawatankuasa Fatwa Selangor turut menyokong tindakan JPN yang masih merujuk kepada keputusan Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan dalam isu pendaftaran bagi anak tidak sah taraf yang membabitkan orang Islam kerana berkaitan dengan hukum syarak.

“Sebab itu kita mohon dan mengalu-alukan tindakan JPN melalui Jabatan Peguam Negara untuk merayu keputusan Mahkamah Rayuan tersebut ke Mahkamah Persekutuan,” katanya di Shah Alam.

Mohd Tamyes berkata, keputusan membenarkan anak tidak sah taraf dibin atau dibintikan kepada bapanya itu bertentangan dengan hukum syarak seperti yang diputuskan Majlis Fatwa Kebangsaan.

Mahkamah Rayuan dalam satu penghakiman pada 25 Julai lepas membenarkan rayuan yang dikemukakan pasangan yang memfailkan semakan kehakiman untuk memaksa Ketua Pengarah JPN menggantikan nama anak mereka yang berbin atau berbinti “Abdullah” dengan nama bapa kanak-kanak itu dalam sijil kelahiran.


https://www.hmetro.com.my/mutakhir/...langor-mohon-jpn-rayu-di-mahkamah-persekutuan

Pejabat Mufti WP putuskan tak boleh binkan nama bapa



MESYUARAT Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan yang berlangsung semalam memutuskan, anak tidak saf taraf tidak boleh dibinkan atau dibintikan kepada bapa biologinya seperti yang diputuskan oleh jumhur ulama.


Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri berkata, sehubungan itu, anak itu hendaklah dinasabkan kepada Abdullah atau nama Allah yang mulia.

"Pada masa sama, mesyuarat bersetuju iaitu asas yang diguna pakai ialah maslahah umum (implikasi zina merosakkan masyarakat dan sistem keluarga secara keseluruhan) lebih utama dijaga berbanding maslahah khusus (aib yang mungkin dialami anak zina).

"Hal ini bertepatan dengan Maqasid al-Syariah yang meletakkan pemeliharaan nasab sebagai dharuriyyah (kepentingan yang sangat penting) di dalam Islam," katanya dalam kenyataan Bayan Linnas pada laman web Mufti Wilayah, hari ini.

Beliau berkata, pengecualian juga wajar diberikan kepada keluarga yang memeluk Islam dengan perkahwinan diiktiraf undang-undang sivil atau undang-undang adat kerana dikiaskan dengan zaman jahiliyah.

"Justeru, anak yang dianggap sah taraf dalam perkahwinan sivil atau adat itu dianggap sah taraf juga di dalam Islam," katanya.

Mengulas lanjut, Zulkifli berkata, pihaknya menegaskan anak tidak sah taraf bukan hina dan tidak berdosa kerana kesilapan dilakukan kedua orang tuanya.

"Ini kerana prinsip Islam, seseorang tidak menanggung dosa orang lain jadi, hendaklah kita menghormati hak dan privasinya kerana dia tetap manusia yang kemuliaan di sisi Allah berasaskan siapa paling bertakwa antara kita," katanya.

Pada 27 Julai lalu, Mahkamah Rayuan Putrajaya berpendirian, anak pasangan beragama Islam yang dilahirkan secara luar nikah kini layak di sisi undang-undang untuk berbinkan nama bapanya.

Keputusan itu dicapai oleh panel tiga hakim diketuai Datuk Tengku Maimun Tuan Mat ketika membenarkan rayuan seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun dan kedua ibu bapanya.


https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2017/08/249602/maslahah-umum-lebih-utama

[Ulasan Dr. Saadan Man, Pensyarah Akademi Pengajian Islam UM]

Ulasan Ringkas Isu Penghakiman Anak Tidak Sah Taraf

Ada beberapa perkara yang boleh diulas susulan penghakiman Mahkamah Rayuan minggu lalu yang memutuskan anak tidak sah taraf (ATST) atau anak luar nikah (ALN) boleh dibinkan kepada bapa biologinya. Ia turut menimbulkan kembali polemik seputar kontroversi fatwa negeri Perlis dalam isu yang sama beberapa tahun lalu. Saya ringkaskan sahaja dalam beberapa point berikut:

1. Dilema Dualisme Perundangan Yang Berterusan

Utk kesekian kalinya berlaku lagi konflik perundangan antara Syariah dan Sivil. Isu penasaban ALN adalah isu syariah yg terkait isu sivil kerana melibatkan peraturan pendaftaran. Fatwa Kebangsaan yg dirujuk oleh pihak pendaftaran pula dilihat tidak mempunyai nilai perundangan. Di sinilah wujudnya lakuna yg menyebabkan perundangan sivil mengisi tempatnya.

Dalam kertas penghakiman berjumlah 92 paragraf itu, para hakim juga menolak relevensi seksyen 111 Enakmen Keluarga Islam Johor dengan kes ini kerana klausa tersebut hanya menyatakan nasab anak yang lahir selepas 6 bulan Qamariah dari tarikh perkahwinan, tetapi tidak menyebut tentang nasab anak yg lahir kurang dari tempoh tersebut (para 80). Malah seksyen tersebut juga tidak menyebut tentang perlunya membinkan anak TST itu kepada Abdullah (para 81).

Justeru para hakim mengutamakan seksyen 13A(2) Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian (BDRA) dan memutuskan bahawa bidangkuasa KP JPN adalah sivil. Oleh kerana keperluan seksyen berkenaan telah dipenuhi, iaitu wujud permintaan dari individu yg didaftarkan sebagai bapa kepada anak TST berkenaan, maka anak TST tersebut dibenarkan utk dibinkan kepadanya.

Dalam kes ini kita melihat banyak kelompongan undang-undang syariah yang boleh dicabar dengan undang-undang sivil. Sebaiknya, negara kita yg dinobat sebagai negara Islam contoh dan telah 60 tahun merdeka, konflik perundangan syariah dan sivil dapat diselesaikan secara harmoni. Negara kita tidak kurang pakar perundangan sivil dan syariah Muslim yang berkemampuan utk menyelesaikan isu dualisme perundangan ini secara lunak dan objektif. Jadi, bukan isu tiada kepakaran, tetapi mungkin isu kekurangan political will.

Berbalik kpd isu ATST ini, dicadangkan supaya intipati fatwa berhubung ATST tahun 1981 dan 2003 serta garis panduan penamaan dan kedudukan anak TST (1998) diimasukkan dalam klausa-klausa Enakmen/ Akta Keluarga Islam di setiap negeri (kecuali Perlis yg ada fatwa yg bertentangan). Ini kerana klausa yg ada tidak jelas dan tertakluk kpd pelbagai tafsiran sbgmana yg berlaku dlm kes ini, dan akan memberi nilai dan kuasa perundangan kepada fatwa berkenaan.

Cadangan oleh Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia supaya pindaan dibuat terhadap seksyen 13A (2) BDRA dengan memasukkan pengecualian terhadap pasangan Muslim amatlah disokong. Ini kerana isu penasaban adalah isu kekeluargaan Islam yg perlu merujuk kepada perundangan Islam secara spesifik.

2. Mendahulukan Maslahah 'Ammah dari Maslahah Khassah

Islam amat menitik beratkan penjagaan nasab sehingga ia diletakkan sbg satu dari perkara daruriyyat yg lima - Hifz al-Nasal - kerana ia merupakan salah satu asas kemuliaan insan. Ia juga adalah punca kuasa bagi hak-haknya yg lain spt hak penjagaan, nafkah, pewarisan, pewalian dsb. Justeru, dlm Islam nasab seseorang individu mesti jelas.
Bagi menjaga maslahah penjagaan nasab ini, maka diharamkan zina, qazaf, membinkan anak angkat kepada penjaga, menasabkan anak zina kepada org yg tidak sepatutnya, dan disyariatkan 'iddah bagi wanita yg diceraikan atau kematian suami. Semuanya utk mengelak kecelaruan nasab dan hak. Ini adalah maslahah umum bagi ummah.

Adapun tentang isu menasabkan ATST kepada bapa biologinya yg berkahwin kurang dari 6 bulan Qamariah, walaupun berlaku khilaf dalam kalangan fuqaha, boleh dikatakan hampir 99% fuqaha (anggaran kasar) tidak mengharuskannya, dan hanya 1% sahaja yg mengharuskannya spt sbhg tabi'in, Ibn Taymiyah, Ibn al-Qayyim dan beberapa ulama kontemporari. Ini kerana menjaga maslahah 'ammah umat Islam keseluruhannya iaitu memelihara kemuliaan nasab umat Islam lebih perlu diutamakan dari maslahah khassah peribadi ATST, iaitu menjaga maruah, air muka, mengelak rasa rendah diri dsb.

Para fuqaha telah mempertimbangkan kedua-dua maslahah dan majoriti memperakukan yg pertama krn ia lebih perlu diutamakan. Bukan kerana Islam tidak mengiktiraf maslahah golongan ATST, tetapi maslahah ummah lebih utama. Mahkamah mungkin tidak mengambilkira perkara ini dan membuat keputusan berdasarkan argumentasi teknikaliti undang-undang dan dalam bidangkuasa sivil.

3. Pertimbangan I'tibar Akhaffu al-Dararayan dan Sadd al-Zari'ah

Membenarkan amalan membinkan ATST dengan bapa biologi yg berkahwin dalam tempoh kurang dari 6 bulan Qamariah boleh menyebabkan darar (kebinasaan) yg besar dan membuka ruang-ruang kerosakan yang pelbagai. Bayangkan seorang lelaki yg baru berkahwin 5 bulan, 3 bulan, sebulan atau sehari sebelum lahirnya ATST dibenarkan dibinkan kepadanya, akan rosaklah nasab umat Islam. Risiko meningkatnya perzinaan pun akan berlaku kerana peraturan nasab yang sangat longgar. Sesiapa pun mungkin boleh diupah menjadi pak sanggup utk sekadar meletakkan bin kpd ATST dan kemudian bercerai setelah maksud tercapai.

Amalan sebegini juga jika dibenarkan akan membawa kpd pertelagahan tentang pelbagai isu spt hadanah dan nafkah, dan bila si bapa mati, ini akan menyebabkan kecelaruan pewarisan dan perwalian nikah. Itu belum masuk isu mahram, penjagaan aurat dsb. Si anak yg terkeliru akan mempertahankan "hak-haknya" krn menyangka ia adalah anak yg sah. Semua akan menjadi cacamerba dan ini merosak dan meruntuhkan institusi keluarga. Ibarat membuka pandora box.

Darar yg mungkin terhasil jika tidak dibenarkan ATST dibinkan kpd bapa biologinya adalah lebih ringan, krn mungkin hanya akan menyebabkan tekanan emosi sementara yg boleh diselesaikan dengan pelbagai kaedah lain. Malah, jika dibenarkan amalan membinkan kpd bapa segera ini, ia akan merosakkan emosi ATST dengan lebih serius. Bayangkan seorg anak perempuan TST dibintikan kpd bapa biologinya, tetapi bila mahu berkahwin baru diketahui bahawa dia adalah anak TST selepas bapanya tidak boleh mewalikannya.. Bayangkan pula situasi jika selama bapanya hidup perkara sebenar tidak diterangkan kpd anak tersebut, tiba-tiba apabila bapanya meninggal dunia barulah statusnya sbg ATST diketahui krn dia dihalang dari mewarisi harta bapanya. Bukankah ini lebih mendatangkan mudarat yg besar?
Justeru, fatwa yg dikeluarkan ttg isu ini telah mengambilkira situasi sebegini. Ruang dan jalan yg membawa kerosakan kepada institusi keluarga dan ummah perlulah disekat.

4. Collateral Damage Yang Tidak Dapat Dielakkan

Dalam membuat sesuatu keputusan besar sebegini, fuqaha telah mempertimbangkan pelbagai aspek maslahah mafsadahnya. Dalam isu ATST ini, kelihatan seolah anak tersebut menjadi mangsa. Ya memang dari satu aspek dia seolah menjadi mangsa keadaan akibat keterlanjuran dan singkat akal ibu bapanya yg berzina. Atau dia mungkin terhasil dari perbuatan jenayah rogol yg mana ibunya pun menjadi mangsa. Dalam isu sebegini, memang akan ada individu yg menjadi "mangsa" tanpa kerelaannya. Namun demikian, dalam Islam anak ini adalah suci dan tidak menanggung dosa silam ibu bapanya. Dia mempunyai hak-hak sebagaimana insan lain. Cuma haknya sedikit tersekat krn statusnya yg bukan menjadi kehendaknya.

Setiap insan yg lahir ke dunia ini ada taqdir tersendiri. Ada yg kurang upaya, ada yg tiada ibu bapa, ada yg kurang dan lebih di sana sini. Kehidupan itu sendiri adalah ujian.. Setiap saat kesabaran atas apa juga ujian ada ganjaran pahala besar di sisi Allah SWT. Tekanan emosi, rasa teraib, rendah diri dsb boleh melanda sesiapa sahaja bukan ATST sahaja. Ada musibah yg melanda bukan berpunca dari kita, tetapi kita terpaksa menanggung akibatnya. Ada kenderaan langgar kita, sbg cth, menyebabkan kita menjadi orang kurang upaya, kita menjadi mangsa. Tetapi kita kena hadapinya sebagai satu ujian dari Allah. Kecuaian org lain menyebabkan kita merana..

Contoh lain, dlm mempertahankan agama, disyariatkan peperangan yg kan melibatkan pertumpahan darah, kehilangan nyawa, harta benda dsb, tetapi kita kena hadapi juga krn tuntutan mempertahankan agama. Inilah collateral damage yg kita kena terima. Ada kemusnahan yg berlaku disebabkan ada matlamat yg lebih besar utk dicapai. Inilah satu hakikat ujian dan pengorbanan yg besar demi mempertahankan kesucian nasab.


5. Keperluan Anjakan Persepsi Masyarakat

Islam berpaksi di atas prinsip keadilan. ATST tidak sepatutnya menjadi mangsa dan menerima hukuman persepsi negatif masyarakat. Mereka perlu hidup dalam situasi kondusif dari segi emosi. Memandang rendah, mengaib dan memperlekeh golongan ATST bukan akhlak Islam dan bukan budaya orang bertamadun. Setiap jiwa dan nyawa insan adalah mulia dan tidak ternilai di sisi Allah SWT juga di sisi undang-undang. Jadi mengapa mereka perlu menghadapi persepsi negatif sebegini?

Masyarakat sepatutnya menghamburkan simpati, ihsan, membantu, membimbing dan menjadi pendorong mereka ke arah kebaikan bukan mengeruhkan keadaan. Justeru, perlu ada anjakan persepsi masyarakat terhadap golongan ATST ini. Jika ini dapat diubah, banyak masalah selesai. Masalah tekanan emosi, rendah diri dsb ini berpunca dari masyarakat. Jadi, masyarakatlah yg bersalah, bukannya ATST.

6. Fatwa Perlis vs Enakmen Keluarga Islam Perlis vs Peraturan JPN

Di Perlis, fatwa yg dikeluarkan pada 2008 (diwartakan 2013) menegaskan anak yg lahir bawah 6 bulan selepas ibunya berkahwin boleh dibinkan kepada suami ibunya kecuali dinafikan oleh si suami. Fatwa ini di samping tidak selari dengan fatwa kebangsaan dan fatwa-fatwa negeri lain, ia kelihatan bertentangan dengan Enakmen Keluarga Islam Perlis sendiri, dlm seksyen 111 yg memperuntukkan bahawa anak yg lahir selepas 6 bulan Qamariah dari tarikh perkahwinan ibunya, maka lelaki itu disifatkan bapa kepada anak tersebut.

Fatwa ini juga bertentangan dengan dengan peraturan JPN yg menerima pakai fatwa kebangsaan dan garis panduan tentang penamaan ATST. Justeru, dengan penuh penghormatan kpd fatwa yg telah diwartakan tersebut, kita tidak melihat sejauh manakah fatwa ini dapat dan telah dilaksanakan. Saya tidak pasti sejauh manakah seriusnya isu ATST di Perlis sehingga fatwa tersebut dikeluarkan.Bagaimanapun, ruh fatwa ini saya kira telah terserlah dalam kenyataan penghakiman dalam kes yg dibincangkan ini.

Jika Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan ini Mahkamah Rayuan ini, ia bakal mencetuskan konflik perundangan yg lebih parah serta menimbulkan polemik baru yg sukar ditangani. Saya kira fatwa ini mungkin hanya melihat kepada ATST dan keluarganya sahaja tanpa mengambilkira maslahah ummah secara umum sebagaimana yg dihurai di atas. Ia juga bersifat penyelesaian secara sementara bagi menangani isu ATST, bukan penyelesaian holistik terhadap masalah perzinaan dan "lambakan" ATST.

Fatwa seharusnya mendidik masyarakat supaya menjauhi zina dan waspada dengan risiko zina yg akibatnya kekal dalam jangka masa panjang dan melibatkan generasi anak-anak. Jika fatwa membenarkan ATST dibinkan kpd bapa segeranya, risiko berlakunya zina mungkin akan bertambah kerana adanya sistem yang "menyokong" akibatnya.

6. 6 Bulan 2 Lahzah: 180 Hari atau Kiraan Semasa?

Ada fatwa di beberapa buah negeri yang menyebut bahawa kiraan 6 bulan 2 lahzah bagi pengiraan tempoh kandungan ATST itu merujuk kepada bilangan genap 180 hari. Tafsiran ini ada risikonya kerana tidak mengambilkira kiraan semasa. Kiraan berdasarkan takwim semasa biasanya akan kurang dari 180 hari krn kalendar Hijri atau Qamari bukanlah 30 hari setiap bulan, sebaliknya bergantung kpd cerapan hilal atau imkanur ru'yah. Biasanya akan berlaku berselang, sebulan 30, sebulan 29. Sangat jarang berlaku bilangan bulan 30 hari untuk 6 bulan berturut-turut. Justeru, jika kiraan semasa tidak diambil kira dan hanya bilangan 180 hari yg diterima pakai, ia akan menjejaskan peluang anak berkenaan untuk menjadi anak sah taraf. Ini kerana bilangan hari bulan Qamariah semasa ialah dalam 175 hingga 179 hari sahaja berdasarkan takwim semasa. 180 hari adalah maksimum dan jarang berlaku.

Walaupun pengiraan hari bagi hitungan 6 bulan Qamariah ialah 180 hari, dalam mazhab Maliki, bilangan yg diambilkira adalah 175 hari. Justeru, dicadangkan supaya penetapan tempoh 6 bulan 2 lahzah mengambilkira kalendar semasa, dan jika bilangan hari diambikira, ia hendaklah dalam julat 175 hingga 180 hari. Ini boleh memberikan peluang bagi anak yang lahir dalam tempoh sipi-sipi (kurang 180 hari, lebih dari 174) didaftar sebagai anak yang sah taraf.

Semoga ada ruang penyelesaian yang tuntas utk isu ini.
Allah al-Musta'an

DSM
7 Zulkaedah 1438
31 Julai 2017

Hati-hati jangan halalkan zina, Harussani bidas Asri



KUALA LUMPUR: Tan Sri Harussani Zakaria hari ini mempersoalkan Mufti Perlis Datuk Mohd Asri Zainul Abidin kerana menyokong keputusan Mahkamah Rayuan untuk membenarkan anak luar nikah dibinkan nama bapa kandung, dengan berkata ia boleh menjurus kepada menghalalkan zina.


“Pendapat mufti Perlis ini menghalalkan zina. Benda yang diputuskan sejak berzaman tidak boleh ubah, sebab ia berasaskan Al-Quran, hadis, ijma (persetujuan) ulama. Kenapa kita nak melawan hadis?”

“Saya harap ulama ini harus berhati-hati, kita pakailah ijma yang telah dibuat berkurun lamanya. Orang yang buat hukum bukan sembarangan tapi berasakan Al-Quran dan hadis, ijma dan juga kajian,” katanya ditemui pemberita pada sebuah acara yang turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau mengulas kenyataan Asri yang mengalu-alukan penghakiman oleh Mahkamah Rayuan yang diterbitkan 25 Julai lalu, di mana hakim Datuk Abdul Rahman Sebli berkata Jabatan Pendaftaran Negara bertindak di luar kuasanya apabila ia menggunakan “bin Abdullah” untuk mendaftarkan seorang kanak-kanak yang diberikan taraf luar nikah ketika kelahirannya disebabkan tidak cukup syarat yang ditetapkan oleh fatwa.

“Kami percaya Islam tidak membenarkan penghinaan secara terbuka terhadap kanak-kanak yang tidak bersalah,” kata Abdul Rahman dalam penghakimannya yang mempersoalkan amalan meletakkan nama “Abdullah” sebagai nama bapa anak luar nikah.

Dalam responnya, Asri berkata keputusan mahkamah itu selari dengan sifat agama Islam sebagai rahmat sekalian alam.

“Semoga keputusan Mahkamah Rayuan itu menutup keaiban, memberi peluang insan bertaubat, tidak menghukum anak yang tidak bersalah dan ke arah menghindarkan mentaliti ‘Islam agama hukuman’,” tulis Asri dalam Facebook beliau.

Bagaimanapun, Harussani berkata Mahkamah Rayuan jelas membelakangkannya Perlembagaan Persekutuan yang mengangkat Islam sebagai agama rasmi Malaysia.

Beliau berkata umat Islam perlu berpegang teguh kepada ajaran Islam dan tidak terpedaya dengan mana-mana perundangan lain yang menyentuh Islam.

“Dalam perlembgaan kita agama Islam yang dipakai, jadi kenapa mereka nak nafikan keputusan fatwa dan telah digazetkan, keputusan itu mengikat JPN, dia mengikat semua, itu sudah ada dalam perlembagaan, macam mana Mahkamah Rayuan sendiri tidak terikat dengan fatwa?” katanya.

Harussani berkata pandangannya bukan menghina Mahkamah Rayuan, sebaliknya berkaya keputusan mahkamah itu yang “menghina Islam,m enghina perlembgaan, menghina fatwa”.


http://www.freemalaysiatoday.com/ca...ti-jangan-halalkan-zina-harussani-bidas-asri/

Berzina sepanjang hayat


Mohd. Tamyes

KUALA LUMPUR 29 Julai – Masyarakat Islam di negara ini akan terdedah untuk melanggar hukum syarak dan melakukan perbuatan zina sepanjang hayat sekiranya anak yang dilahirkan di luar nikah tidak dibin atau dibintikan Abdullah.

Mufti Selangor, Datuk Mohd. Tamyes Abd. Wahid berkata, antara implikasi buruk yang akan berlaku adalah proses perwalian tidak sah ketika akad nikah berikutan anak perempuan luar nikah diwalikan oleh bapanya sendiri.

Kata beliau, pergaulan antara anak perempuan luar nikah dengan bapa biologi adalah seperti anak tiri dengan bapa tiri dan anak luar nikah juga tidak layak menerima harta pusaka daripada sebelah bapa biologinya.

“Atas sebab itu, keputusan Muzakarah Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan yang bersidang dan membincangkan isu ini pada 1998 bukannya untuk menghukum, sebaliknya ia dibuat berdasarkan nas-nas syarak daripada al-Quran dan hadis.

“Langkah bin atau binti kepada bapa biologi dengan alasan untuk menutup aib anak luar nikah tidak harus timbul kerana masyarakat sepatutnya tidak perlu memandang serong kepada anak-anak ini, yang bersalah bukan mereka tetapi ibu dan bapanya yang melakukan perbuatan zina,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Walau bagaimanapun Mohd. Tamyes berkata, hukum syarak membenarkan bayi dibin atau dibintikan kepada bapa biologi jika tempoh waktu akad nikah berlaku lebih enam bulan daripada tarikh kelahiran, berdasarkan surah al-Ahqaf ayat 15 iaitu tempoh minimum wanita mengandung adalah enam bulan manakala tempoh menyusu dua tahun.

Tegas beliau, atas sebab itu, Jawatankuasa Fatwa Selangor memutuskan bayi yang lahir kurang daripada enam bulan daripada tarikh akad nikah ibunya tidak boleh berbin atau berbintikan kepada bapa biologi.

Sementara itu, Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd. Yusof Ahmad berkata, keputusan Mahkamah Rayuan itu akan menyebabkan keturunan mas*yarakat Islam cacamarba malah tidak mustahil untuk berlakunya perkahwinan antara adik-beradik kerana keturunan yang tidak diketahui.

Kata beliau, dalam menjaga keturunan atau nasab seseorang itu, anak luar nikah tidak boleh dinasabkan se*perti anak yang lahir daripada pernikahan sah kerana Islam menitikberatkan perkara berkaitan agama, nyawa, akal, keturunan, harta benda dan maruah.

Tambahnya, perundangan* Islam itu juga bertujuan men*disiplinkan umat Islam supaya berfikir terlebih dahulu sebelum melakukan sebarang tindakan, selain mendahulukan hukum syarak daripada logik akal.

Kelmarin, Mahkamah Ra*yuan berpendirian supaya anak pasangan beragama Islam yang dilahirkan secara luar nikah, layak di sisi undang-undang untuk berbin atau berbintikan nama bapanya.


http://www.utusan.com.my/berita/nas...erzina-sepanjang-hayat-1.508833#ixzz4oHsyJDR3

Wajar dibin bintikan Abdullah



KUALA LUMPUR 28 Julai – Muzakarah Jawatankuasa Fatwa, Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Agama Islam (MKI) yang bersidang kali ke-44 pada 25 Jun 1998 jelas memutuskan anak tidak sah taraf termasuk anak luar nikah perlu dibin atau dibintikan Abdullah atau lain-lain nama Asmaul Husna yang mempunyai nama pangkal Abdul.


Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Asy*raf Wajdi Dusuki berkata, hal ini kerana syarak dan maqasid syariah amat mementingkan pemeliharaan nasab keturunan yang akan memberi kesan hukum lain seperti aspek keabsahan pergau*lan, perwalian, pembahagian harta pusaka, perkahwinan, nafkah dan lain-lain.

Berikut merupakan kenyataan penuh Asyraf Wajdi mengenai pandangan beliau berhubung perkara-perkara asas melibatkan anak tidak sah taraf atau anak luar nikah:

Merujuk kepada polemik ter*baharu yang tercetus hasil keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan rayuan anak luar nikah pasangan beragama Islam untuk tidak lagi menggunakan bin atau binti Abdullah sebaliknya boleh menggunakan nama bapa masing-masing sebagai nama keluarga.

Beberapa perkara asas yang harus difahami sebelum kita terlajak membahaskan isu ini hanya sekadar berlandaskan sentimen dan emosi semata-mata:

1. Hukum Islam dalam hal penamaan anak luar nikah ini adalah jelas sebagaimana garis panduan penamaan dan kedudukan anak tidak sah taraf dari segi syarak yang diputuskan dan dikeluarkan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa, Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Agama Islam (MKI) yang bersidang kali ke-44 pada 25 Jun 1998.

2. Menurut garis panduan penamaan ini, anak tidak sah taraf termasuk anak luar nikah hendaklah dibin atau dibintikan Abdullah atau lain-lain nama Asmaul Husna iaitu berpangkal dengan nama Abdul. Ini kerana syarak dan maqasid syariah amat mementingkan pe*meliharaan nasab keturunan yang akan memberi kesan hukum lain seperti aspek keabsahan pergau*lan, perwalian, pembahagian harta pusaka, perkahwinan, nafkah dan lain-lain.

3. Khalayak umum melihat keputusan Mahkamah Rayuan hanya berasaskan dari satu sudut perundangan dan perspektif hukum sivil semata-mata tanpa mengambil kira roh dan prinsip syariah dan maqasid syariah.

4. Pada masa yang sama kita juga harus memahami dan me*ngakui keterbatasan ikatan fatwa yang diputuskan oleh Ja*wa*tankuasa Fatwa MKI di peringkat kebangsaan yang sememangnya tiada kuasa ikatan perundangan (legal binding) kerana kuasa agama sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan merupakan kuasa negeri-negeri.

5. Namun fatwa yang diputuskan oleh jawatankuasa di peringkat negeri setelah diper*kenankan sultan dan diwartakan, masih perlu diambil kira apabila pertikaian adalah berkaitan de*ngan hukum syarak berdasarkan undang-undang yang diluluskan di bawah bidang kuasa negeri me*nurut Jadual Kesembilan Perkara 74 Perlembagaan Persekutuan.

6. Lebih mustahak lagi apabila melibatkan kepentingan orang Islam, sudah tentu mahkamah mempunyai tanggungjawab undang-undang, agama dan moral untuk merujuk kepada hukum-hakam syarak.

7. Kedudukan undang-undang peribadi pihak-pihak yang berkhi*laf juga perlu diambil perhatian oleh Mahkamah Sivil. Agensi kerajaan seperti Jabatan Pendaftaran Negara perlu bertindak sebagai agensi yang melaksana semua undang-undang yang sah termasuk yang berhubung kait dengan hukum syarak.

8. Fatwa yang dikeluarkan sama ada oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa MKI di peringkat Persekutuan mahupun fatwa yang diwartakan di peringkat ne*geri-negeri adalah undang-undang Islam yang sah dan sewajarnya menjadi rujukan dan panduan dalam membuat penghukuman yang melibatkan kepentingan Islam secara keseluruhannya. Ini juga bagi menjunjung semangat dan roh Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan Islam pada kedudukan tertinggi sebagai Agama Persekutuan sebagaimana termaktub dalam Perkara 3.

9. Justeru, amat wajar sekali pihak Peguam Negara mewakili Kerajaan Persekutuan dan agensi di bawahnya khususnya Jabatan Peguam Negara untuk mengangkat kes ini bagi dirayu di peringkat Mahkamah Persekutuan.

10. Perbahasan secara holistik harus dilakukan bagi mempertimbangkan kes ini tanpa sekali-kali membelakangi hukum dan prinsip Islam yang menjadi teras negara selama ini sebagaimana yang terpateri kukuh di dalam Perlembagaan Persekutuan.


http://www.utusan.com.my/berita/nasional/wajar-dibinkan-atau-binti-abdullah-1.508689#ixzz4oBuTeud9

JPN failkan rayuan



PUTRAJAYA 28 Julai - Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) telah memfailkan rayuan ke Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan yang dibuat Mahkamah Rayuan membenarkan anak pasangan beragama Islam yang dilahirkan secara luar nikah berbinkan nama bapanya.


Ketua Pengarah JPN, Datuk Mohd. Yazid Ramli berkata, rayuan tersebut difailkan oleh pihak*nya menerusi Jabatan Peguam Negara.

Sehubungan itu, katanya, pelaksanaan semasa di JPN berkaitan penasaban anak tidak sah taraf orang Islam adalah diteruskan seperti sedia ada.

“Sebarang pindaan terhadap pelaksanaan semasa hanya akan dipertimbangkan selepas keputusan Mahkamah Persekutuan diperoleh,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mohd. Yazid berkata, Mahkamah Tinggi sebelum ini telah membuat keputusan bahawa di bawah undang-undang Islam adalah tidak dibenarkan untuk kanak-kanak dibinkan dengan nama orang yang mengaku diri sebagai bapa.

Jelasnya, ini memandangkan kanak-kanak telah dilahirkan kurang daripada enam bulan qamariah dari tarikh perkahwinan ibu bapa.

“Oleh itu, tindakan yang dilakukan oleh JPN adalah selaras dengan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan,” katanya.

Mahkamah Rayuan semalam berpendirian, anak pasangan beragama Islam yang dilahirkan secara luar nikah kini layak di sisi undang-undang untuk berbinkan nama bapanya.

Keputusan penting itu dicapai oleh panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Tengku Maimun Tuan Mat ketika membenarkan rayuan seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun dan kedua ibu bapanya.

Beliau yang bersidang bersama Datuk Abdul Rahman Sebli dan Puan Sri Zaleha Yusof sebulat suara mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak semakan kehakiman yang difailkan oleh ketiga-tiganya.

Mahkamah berpendirian, Ketua Pengarah JPN selaku responden kedua telah bertindak di luar bidang kuasa ketika mendaftarkan ‘Abdullah’ sebagai nama bapa kepada kanak-kanak itu dalam sijil kelahirannya.

Ibu dan bapa kanak-kanak itu (perayu kedua dan perayu ketiga), kedua-duanya beragama Islam bernikah pada 24 Oktober 2009. Kanak-kanak lelaki itu lahir pada 17 April 2010 iaitu lima bulan dan 24 hari (atau lima bulan dan 27 hari menurut kalendar Qamariah Islam).


http://www.utusan.com.my/berita/nasional/jpn-fail-rayuan-8211-yazid-1.508687#ixzz4oBrgsNDu

JPN tidak terikat fatwa nama bapa anak luar nikah



PUTRAJAYA: Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) tidak terikat dengan fatwa yang dikeluarkan Majlis Fatwa Kebangsaan dalam menentukan nama bapa pada sijil kelahiran bagi anak orang Islam yang dilahirkan luar nikah.


Dalam keputusan penting setebal 29 muka surat, Hakim Datuk Abdul Rahman Sebli, berkata bidang kuasa ketua pengarah adalah sivil dan terhad kepada menentukan sama ada ibu bapa kanak-kanak telah memenuhi keperluan berdasarkan Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian (BDRA) 1957 yang meliputi anak tidak sah taraf Islam dan bukan Islam.

Beliau berkata, ketua pengarah berpandukan prosedur menurut BDRA dan tugasnya ialah meluluskan permohonan pendaftaran sekiranya semua keperluan mengikut akta itu dipenuhi.

Beliau berkata, BDRA tidak mencerminkan penggunaan sebarang prinsip substantif undang-undang Islam dalam proses pendaftaran, dan menambah bahawa Seksyen 13A (2) akta itu membenarkan anak tidak sah taraf dibin/bintikan kepada nama individu yang mengakui dirinya ayah kepada anak tersebut.

Abdul Rahman berkata, ketua pengarah pendaftaran negara bertindak secara tidak rasional apabila enggan mengubah nama bapa daripada 'Abdullah' kepada nama bapa anak itu dalam sijil kelahiran, atas dasar fatwa yang dikeluarkan Majlis Fatwa Kebangsaan bahawa seseorang anak tidak boleh berbin/bintikan nama bapa jika ia anak tidak sah taraf.

"Fatwa, kami ulangi, bukan undang-undang dan tidak mempunyai kuasa undang-undang serta tidak boleh dijadikan asas undang-undang bagi ketua pengarah pendaftaran negara untuk memutuskan nama bapa anak tidak sah taraf menurut Seksyen 13A (2) BDRA," katanya.

Abdul Rahman berkata, fatwa yang dikeluarkan sebuah badan agama tidak mempunyai kuasa undang-undang melainkan fatwa itu diterima atau diguna pakai sebagai undang-undang persekutuan menerusi Parlimen, yang mana fatwa menjadi sebahagian undang-undang persekutuan tanpa perlu melalui proses perundangan.

Beliau berkata, Seksyen 13A (2) BDRA tidak memberi kuasa kepada ketua pengarah pendaftaran negara untuk menolak hasrat seorang ayah yang mahukan seorang kanak-kanak dinisbahkan kepada namanya.

"Juga tidak ada peruntukan yang memberinya kuasa untuk memutuskan sendiri nama bapa kanak-kanak itu 'Abdullah'," katanya semasa membenarkan rayuan satu pasangan dan seorang kanak-kanak yang nama mereka dirahsiakan mahkamah bagi melindungi identiti anak terbabit.

Beliau berkata, BDRA tidak membezakan anak orang Islam dan bukan Islam, dan seksyen 13A(2) akta tidak menyatakan anak tidak sah taraf Islam mesti diberi layanan berbeza berbanding anak bukan Islam dalam perkara berkaitan pendaftaran nama bapa/keluarga, serta tidak menyatakan dalam kes anak orang Islam mesti berbin/bintikan 'Abdullah'.

"Fatwa yang dikeluarkan badan agama hanya melibatkan pentadbiran undang-undang Islam atau hukum syarak dan tidak kena-mengena dengan tugas ketua pengarah pendaftaran negara berdasarkan BDRA untuk mendaftarkan kelahiran dan kematian di negeri-negeri di Semenanjung Malaysia," katanya.

Pada 25 lalu, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan iaitu Abdul Rahman, Datuk Tengku Maimum Tuan Mat dan Puan Sri Zaleha Yusof membenarkan rayuan pasangan itu yang memohon perintah mahkamah untuk mendorong ketua pengarah pendaftaran negara menggantikan nama 'Abdullah' dengan nama bapa kanak-kanak terbabit dalam sijil kelahirannya.

Pasangan itu, kedua-duanya beragama Islam, berkahwin secara sah pada 2009 dan anak berkenaan lahir di Johor pada tahun berikutnya, iaitu lima bulan dan 24 hari (lima bulan dan 27 hari mengikut kalendar Islam) iaitu kurang enam bulan daripada tarikh pernikahan mereka.

Kelahiran kanak-kanak itu hanya didaftarkan dua tahun kemudian sebagai pendaftaran lewat menurut Seksyen 12 (1) BDRA dan pasangan terbabit secara bersama memohon nama bapa dimasukkan dalam pendaftaran sebagai ayah kepada anak berkenaan.

Bagaimanapun, pada sijil kelahiran kanak-kanak itu yang dikeluarkan pada 6 Mac 2012, nama bapa kanak-kanak diletakkan sebagai 'Abdullah', bukan nama ayahnya.

Pada Februari 2015, permohonan untuk membetulkan nama bapa ditolak berdasarkan fatwa Majlis Fatwa Kebangsaan yang menyatakan anak tidak sah taraf tidak boleh dibin/bintikan kepada nama bapa anak itu atau individu yang mendakwa ayah kepada kanak-kanak berkenaan.

Ini menyebabkan mereka memfailkan semakan kehakiman di mahkamah. Permohonan semakan kehakiman itu difailkan oleh kanak-kanak tersebut menerusi rakan-rakannya iaitu ibu bapanya dan menamakan JPN, ketua pengarah pendaftaran negara serta kerajaan Malaysia sebagai responden.

Dalam penghakimannya, Abdul Rahman berkata bukan satu keperluan undang-undang bahawa sijil kelahiran anak tidak sah taraf mesti disokong dengan Seksyen 13 akta berkenaan memandangkan seksyen itu hanya menetapkan prosedur bagi si bapa didaftarkan sebagai ayah kepada anak tidak sah taraf terbabit dan ia tidak mengarahkan maklumat tersebut dimasukkan dalam sijil kelahiran.

'Justeru, adalah keterlaluan dan langsung tidak perlu untuk menisbahkan apa-apa nama bapa/keluarga kepada anak dalam sijil kelahiran melainkan, dalam kes anak orang Islam, bagi tujuan mengumumkan kepada seluruh dunia yang anak itu anak tidak sah taraf dengan menyertakan nama 'Abdullah' bersama namanya dalam sijil kelahiran.

"Kami percaya Islam tidak menyokong perbuatan memalukan anak yang tidak bersalah itu secara terbuka sedemikian.

"Perayu pertama (si anak), terpaksa membawa stigma anak tidak sah taraf sepanjang hidupnya, kes klasik dihukum atas dosa ibu bapa yang pada hakikatnya berkahwin secara sah sebelum dia dilahirkan," katanya.

Beliau berkata, pasangan itu kekal sebagai ibu bapa kanak-kanak berkenaan sehingga sekarang dan kesedihan kanak-kanak tersebut akan bertambah jika dia membandingkan sijil kelahirannya dengan sijil kelahiran adik-adik (jika ada) yang tertera nama bapa mereka, tidak seperti sijil lahirnya.

"Kita boleh bayangkan kesedihan perayu pertama (si anak), apatah lagi perasaan malu yang ditanggungnya untuk sepanjang hayat. Sekeping sijil kelahiran menjadi peringatan pedih tentang situasi kelahirannya ke dunia ini. Ia tidak patut dijadikan instrumen malu," katanya. - BERNAMA


http://www.bharian.com.my/berita/ke...-terikat-fatwa-nama-bapa-anak-tidak-sah-taraf

JPN tetap guna ‘bin Abdullah’ sehingga Mahkamah Persekutuan putuskan



PETAING JAYA: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) akan terus mengenakan nama bapa “Abdullah” untuk mendaftarkan anak luar nikah sehingga kes dimuktamadkan di peringkat Mahkamah Persekutuan.


Pengarah Pendaftaran Negara Datuk Mohd Yazid Ramli menambah amalan sedia ada akan diteruskan selaras dengan Mahkamah Tinggi sebelum ini.

“Mahkamah Tinggi sebelum ini telah membuat keputusan bahawa di bawah undang-undang Islam, adalah tidak dibenarkan untuk kanak-kanak dibinkan dengan nama orang yang mengaku diri sebagai bapa memandangkan kanak-kanak telah dilahirkan kurang daripada 6 bulan qamariah dari tarikh perkahwinan ibu bapa.

“Sehubungan itu perlaksanaan semasa di JPN berkaitan penasaban anak tak sah taraf orang Islam adalah diteruskan seperti sedia ada, sebarang pindaan tahap perlaksanaan semasa hanya akan dipertimbangkan selepas keputusan Mahkamah Persekutuan diperolehi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Yazid berkata JPN sudah memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan kepada Mahkamah Persekutuan melalui Jabatan Peguam Negara pada 25 Julai lepas.

Sebelum ini, Mahkamah Rayuan berkata JPN bertindak di luar kuasanya apabila ia mengenakan nama bapa “Abdullah” untuk mendaftarkan anak luar nikah, bertentangan dengan hasrat ibu yang mahu menggunakan nama bapa anaknya.

Dalam keputusan bertulis 2 bulan selepas mahkamah membuat keputusan memihak kepada ibu bapa anak itu, mahkamah mempertikaikan amalan mengenakan “bin Abdullah” pada anak luar nikah.

Hakim Datuk Abdul Rahman Sebli, seorang daripada 3 hakim itu, berkata Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (BDRA) tidak membezakan antara kanak-kanak Islam dan bukan Islam.

“Seksyen 13A(2) tidak mengatakan anak Islam tidak sah taraf harus dilayan berbeza dengan anak bukan Islam ketika mendaftarkan nama bapa,” tulisnya.

Kanak-kanak itu, dilahirkan pada 17 April 2010, iaitu kurang 3 hari sebelum tempoh 6 bulan untuk mengesahkan kelahiran anak itu kepada pasangan terbabit, diberi nama bapa “Abdullah” berdasarkan kepada fatwa yang dikeluarkan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan pada 1981 dan 2003.

JPN menolak permintaan ibu bapa untuk menggunakan nama bapa dalam sijil kelahiran, berdasarkan fatwa 1981.

Menurut fatwa 2003, anak luar nikah (tak sah taraf) tidak boleh dinasabkan kepada bapa anak tersebut atau kepada orang yang mengaku sebagai bapa kepada anak itu.

Bagaimanapun, Abdul Rahman berkata ia bercanggah dengan Seksyen 13A(2) BDRA yang membenarkan bapa kepada anak luar nikah untuk menggunakan namanya sebagai nama bapa kanak-kanak terbabit.


http://www.freemalaysiatoday.com/ca...ullah-sehingga-mahkamah-persekutuan-putuskan/

Institusi keluarga Islam akan musnah - Peguam



SHAH ALAM - Pendekatan simplistik Mahkamah Rayuan terhadap isu nasab anak luar nikah yang hanya mengambil kira kuasa di dalam Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957, boleh mengundang kemusnahan institusi keluarga Islam.


Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, ia juga akan mengundang lebih banyak polemik dalam kalangan masyarakat di mana isu pewarisan tidak sah taraf anak dan lain-lain menjadi lebih sukar dibuktikan di mahkamah.

“Walaupun Mahkamah Rayuan mengatakan ia hanya isu pendaftaran, tetapi kesannya sangat melata akan dirasakan oleh semua orang Islam kelak.

“Adalah tidak wajar mahkamah membuat keputusan semata-mata berdasarkan stigma dan kesan psikologi kepada anak tidak sah taraf dan membelakangi hukum syarak,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau mengulas kebenaran diberikan Mahkamah Rayuan kepada anak pasangan beragama Islam yang melahirkan anak luar nikah untuk berbinkan bapanya.

Keputusan itu dicapai panel tiga hakim ketika membenarkan rayuan seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun dan ibu bapanya.

Hakim Datuk Abdul Rahman Sebli dalam keputusan penting setebal 29 muka surat berkata, Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) selaku responden kedua bertindak di luar bidang kuasa ketika mendaftarkan ‘Abdullah’ sebagai nama bapa kepada kanak-kanak itu dalam sijil kelahirannya.

Pada masa sama, Zainul Rijal menggesa kerajaan supaya meminda Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 bagi menghormati Islam sebagai agama Persekutuan.

“Semua peruntukan mengenai taraf anak yang bertentangan dengan hukum syarak hendaklah dipinda agar tidak terpakai kepada orang Islam.

“Ketika ini di Mahkamah Syariah terdapat kes-kes pembahagian harta pusaka yang mana melibatkan anak bukan sah taraf agak sukar diselesaikan,” katanya.


http://www.sinarharian.com.my/nasional/institusi-keluarga-islam-akan-musnah-peguam-1.710164


Kesatuan peguam syarie mohon celah jika JPN rayu keputusan “bin Abdullah”


Keputusan membolehkan anak luar nikah menggunakan nama bapa sebenar boleh mencetuskan ketaktentuan nasab dan kecelaruan dalam perkara wali nikah dan waris harta.

KUALA LUMPUR: Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) akan memohon sebagai pencelah sekiranya Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) membuat rayuan ke Mahkamah Persekutuan, selepas Mahkamah Rayuan memutuskan anak luar nikah boleh menggunakan nama bapa sebenar dalam dokumen rasmi kerajaan.

Presiden PGSM Musa Awang berkata keputusan Mahkamah Rayuan itu akan mencetuskan ketaktentuan nasab (keturunan bapa) dan kecelaruan dalam perkara keluarga Islam: wali nikah dan waris harta.

Musa menjelaskan pernikahan anak perempuan hanya boleh diwalikan oleh bapa yang sah dari segi syarak, jika tidak, kemungkinan besar perkahwinan itu tidak sah.

“Itu baru peringkat anak perempuan mahu bernikah, belum lagi ke peringkat cucu,” katanya pada sidang media di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan hari ini.

Menurut Musa, keputusan itu juga boleh menyebabkan kecelaruan dalam isu pembahagian harga dalam Islam, kerana bapa kandung anak luar nikah itu tidak boleh mewarisi harta bapa tiri anak tersebut.

“Jika diletakkan bin atau binti (bapa sebenar) dalam surat beranak, orang yang tidak tahu mungkin akan tinggalkan harta. Bila bapa kandung anak itu terima harta bapa tiri, maka ia berdosa dan ambil hak waris lain,” katanya.

Musa berkata PSGM mahu mengelakkan kucar-kacir daripada berlaku.

Sebelum ini, Mahkamah Rayuan berkata JPN bertindak di luar kuasanya apabila ia mengenakan nama bapa “Abdullah” untuk mendaftarkan anak luar nikah, bertentangan dengan hasrat ibu yang mahu menggunakan nama bapa anaknya.

Dalam keputusan bertulis 2 bulan selepas mahkamah membuat keputusan memihak kepada ibu bapa anak itu, mahkamah mempertikaikan amalan mengenakan “bin Abdullah” pada anak luar nikah.

Hakim Datuk Abdul Rahman Sebli, seorang daripada 3 hakim itu, berkata Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (BDRA) tidak membezakan antara kanak-kanak Islam dan bukan Islam.

“Seksyen 13A(2) tidak mengatakan anak Islam tidak sah taraf harus dilayan berbeza dengan anak bukan Islam ketika mendaftarkan nama bapa,” tulisnya.

Kanak-kanak itu, dilahirkan pada 17 April 2010, iaitu kurang 3 hari sebelum tempoh 6 bulan untuk mengesahkan kelahiran anak itu kepada pasangan terbabit, diberi nama bapa “Abdullah” berdasarkan kepada fatwa yang dikeluarkan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan pada 1981 dan 2003.

JPN menolak permintaan ibu bapa untuk menggunakan nama bapa dalam sijil kelahiran, berdasarkan fatwa 1981.

Menurut fatwa 2003, anak luar nikah (tak sah taraf) tidak boleh dinasabkan kepada bapa anak tersebut atau kepada orang yang mengaku sebagai bapa kepada anak itu.

Bagaimanapun, Abdul Rahman berkata ia bercanggah dengan Seksyen 13A(2) BDRA yang membenarkan bapa kepada anak luar nikah untuk menggunakan namanya sebagai nama bapa kanak-kanak terbabit.


http://www.freemalaysiatoday.com/ca...n-celah-jika-jpn-rayu-keputusan-bin-abdullah/

Kerajaan digesa rayu keputusan Mahkamah Rayuan benar anak luar nikah dibinkan bapa



KUALA LUMPUR 27 Julai – Kerajaan digesa membuat rayuan di Mahkamah Persekutuan bagi mempertimbangkan semula keputusan yang dibuat Mahkamah Rayuan yang membenarkan anak pasangan beragama Islam yang dilahirkan secara luar nikah berbinkan nama bapanya.


Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Musa Awang (gambar) berkata, keputusan itu memberi kesan jangka pendek dan jangka panjang kepada umat Islam di negara ini.

Jelasnya, kesan jangka pendek adalah membuka ruang yang lebih luas kepada kelahiran anak hasil daripada perkahwinan tidak sah atau tidak berdaftar manakala kesan jangka panjang pula adalah mencemar nasab dan keturunan.

Beliau berkata, jika seorang wali yang merupakan anak lelaki sulung berbinkan bapa walaupun tidak sah taraf menjadi wali kepada adik-adik perempuannya, dikhuatiri perkahwinan itu sendiri tidak sah.

“Perkahwinan adik-adik perempuan itu dibimbangkan mewujudkan generasi yang diragui nasabnya.

"Malah, dari segi hukum faraid, anak tidak sah taraf tidak berhak untuk menerima harta pusaka daripada bapanya,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Musa menambah, pihaknya akan menganjurkan forum mengenai isu itu namun ia bukan untuk menentang sebaliknya mahu membahaskan mengenai kesannya kepada umat Islam di negara ini.


http://www.utusan.com.my/berita/nas...utusan-mahkamah-rayuan-1.508320#ixzz4o5hqTJGF

Anak luar nikah kini boleh bin binti nama bapa


Datuk Tengku Maimun Tuan Mat

PUTRAJAYA 27 Julai - Mahkamah Rayuan berpendirian, anak pasangan beragama Islam yang dilahirkan secara luar nikah kini layak di sisi undang-undang untuk berbinkan nama bapanya.

Keputusan penting itu dicapai oleh panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Tengku Maimun Tuan Mat ketika membenarkan rayuan seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun dan kedua ibu bapanya.

Beliau yang bersidang bersama Datuk Abdul Rahman Sebli dan Puan Sri Zaleha Yusof sebulat suara mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak semakan kehakiman yang difailkan oleh ketiga-tiganya.

Mahkamah berpendirian, Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) selaku responden kedua telah bertindak di luar bidang kuasa ketika mendaftarkan ‘Abdullah’ sebagai nama bapa kepada kanak-kanak itu dalam sijil kelahirannya.

Ibu dan bapa kanak-kanak itu (perayu kedua dan perayu ketiga), kedua-duanya beragama Islam bernikah pada 24 Oktober 2009. Kanak-kanak lelaki itu lahir pada 17 April 2010 iaitu lima bulan dan 24 hari (atau lima bulan dan 27 hari menurut kalendar Qamariah Islam).

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia memutuskan anak tidak sah taraf tidak boleh dinasabkan kepada lelaki yang menyebabkan kelahirannya atau kepada sesiapa yang mengaku menjadi bapa kepada anak tersebut.

Muzakarah itu mendefinisikan anak tak sah taraf ialah sebagai:

1. Anak yang dilahirkan di luar nikah sama ada akibat zina atau rogol dan dia bukan daripada persetubuhan syubhah atau bukan daripada anak perhambaan.

2. Anak dilahirkan kurang dari enam bulan dua lahzah (saat) mengikut Takwim Qamariah daripada tarikh tamkin (setubuh).


http://www.utusan.com.my/berita/mahkamah/anak-luar-nikah-boleh-bin-nama-bapa-1.507979#ixzz4o10m1s5X

JANGAN HUKUM ANAK 'BIN ABDULLAH'



MUKADIMAH


Pernahkah kita terfikir apa perasaannya apabila mendapati nama kita berbin atau berbintikan Abdullah, sedangkan adik-beradik lain berbinkan nama bapa kita? Terfikirkah kita bagaimana individu itu hendak berhadapan dengan masyarakat sepanjang hidupnya dari sekolah sehinggalah berkahwin.

Bagaimana pula pandangan umum terhadap ibu bapanya pula? Ya, diakui mereka pernah melakukan kesilapan lalu tetapi bagaimana jika pasangan itu sudah bertaubat.

Bayangkan macam mana pula pasangan itu hendak mendidik anak-anaknya untuk menjadi baik, jika kisah lampau mereka terus terdedah? Ikuti kupasan temu bual wartawan, Sharilfuddin Saa ri dengan Mufti Perlis, Prof. Madya Datuk Dr. Mohd. Asri Zai nul Abi din yang negeri itu mempunyai fatwa berbeza berkaitan soal Anak Tidak Sah Taraf.

MINGGUAN: Bolehkah Datuk jelaskan intipati fatwa yang dikeluarkan Jabatan Mufti Perlis berhubung kedudukan Anak Tidak Sah Taraf pada 2013?

MOHD ASRI: Saya nak jelaskan, Perlis bukan sahaja ada fatwa tentang Anak Tidak Sah Taraf iaitu yang membabitkan individu lahir kurang daripada enam bulan tempoh perkahwinan, bahkan perkara itu telah menjadi warta kerajaan pada 17 Januari 2013.

Dalam warta itu menyebut, mengikut Peruntukan Subseksyen 48 (6) Enakmen Pentadbiran Agama Islam 2006, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (Maips), setelah diperkenankan oleh Raja Pemerintah dan memaklumkan kerajaan negeri, dengan ini menyebabkan fatwa berikut disiarkan iaitu: “Anak yang lahir kurang enam bulan selepas ibunya berkahwin, boleh dibinkan kepada suami ibunya, kecuali jika dinafikan oleh si suami”.

Ini bermaksud, dalam kes pihak-pihak yang terlanjur lalu mereka berkahwin. Empat atau lima bulan (kemudian), seorang anak dilahirkan dan mereka nak binkan si anak dengan si suami iaitu bapanya (sedangkan persetubuhan berlaku sebelum perkahwinan), maka dalam fatwa kita, si anak boleh dibinkan kepada bapanya itu. Saya akan berikan hujah-hujah dan alasan yang disebutkan nanti.

Untuk pengetahuan, di Malaysia boleh (berbinkan si bapa) tetapi dengan syarat hanya (anak itu lahir) enam bulan dan ke atas. (Contohnya) Kalau pasangan bersetubuh luar nikah tetapi selepas tujuh bulan kemudian lahirkan anak, maka dia dibenar berbinkan si bapa atas pandangan Mazhab Shafie dan seumpamanya. Namun Perlis melihat fatwa ulama yang lebih luas dalam hal ini.

Apakah kategori Anak Tidak Sah Taraf, boleh Datuk jelaskan?

MOHD ASRI: Yang pertama ialah Anak Tidak Sah Taraf disebabkan hukum (zina) dan yang kedua, disebabkan teknikal yang melibatkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN). Bagi melibatkan JPN, iaitu pasangan yang berkahwin di luar negara, tidak termasuk dalam fatwa Perlis.

Saya hendak jelaskan, kadang-kadang sijil (nikah) dan surat konsul telah dapat, tetapi di negara ini, ada negeri cuba menyusahkan dengan cara yang macam-macam, atas alasan kesalahan kahwin luar negara dan lain-lain lagi. Lalu menyebabkan si anak tidak dapat didaftar dan JPN telah mendaftar seolah-olah anak itu tidak sah taraf (berbinkan Abdullah).

Ini merupakan satu bentuk 'kezaliman'. Tidak dibinkan kepada si bapa sehingga menyebabkan orang menganggap si anak itu adalah anak di luar nikah. Pihak pendaftaran secara tidak langsung macam menyebab orang menuduh orang lain berzina. Itu merupakan kesalahan besar dalam agama padahal dia (pasangan) tidak berzina pun.

Saya hendak beritahu, jika orang berkahwin secara sah, kamu tidak memberi (pendaftaran anak) sehingga orang lain menyangka si anak itu tergolong dalam Anak Tidak Sah Taraf, kamu termasuk dalam dosa menyebabkan orang lain menuduh orang (pasangan) berzina.

Konsul kita ada, mereka semak dan beri sijil, maka terima sahajalah. Jabatan agama pun kadang-kadang menyusahkan urusan pendaftaran.

Adakah kategori lain Anak Tidak Sah Taraf yang tidak boleh berdaftar dalam fatwa Perlis?

MOHD ASRI: Menurut fatwa kita juga, sekiranya dia (pasangan) tidak berkahwin, maka tidak bolehlah (mendaftar). Misalnya, si ibu melahirkan anak tanpa bapa langsung. Di situ pada pandangan kita, tidak benarkan. Atau si anak lahir dan si bapa kata, anak itu bukan anak saya umpamanya, juga tidak boleh.

Apakah sebabnya fatwa ini dikeluarkan?

MOHD ASRI: Ini penting, saya harap wartawan dapat menjelaskannya. Islam adalah satu agama yang rahmat untuk semua. Apa-apa sahaja fatwa yang menyebabkan dan membawa derita kepada manusia atau bencana, ia tidak boleh dianggap sebagai satu rahmat.

Walaupun kadang-kadang kita hormati pandangan ulama, tetapi kita mesti melihat kepada realiti yang ada. Di sana, ada beberapa pandangan ulama tentang hal ini.

Fatwa Perlis bukan bersendirian sebaliknya berasaskan pandangan para ulama, ada pandangan Hasan Al-Basri dalam hal ini, begitu juga Ibnu Khair, Ibnu Taimiyah, Ibnu Utsaimin dan Dr. Yusuf Al-Qaradawi yang sama dengan kita (fatwa Perlis). Kerana kita berusaha untuk menutup aib. Kita kena lihat fenomena bagaimana ia berlaku.

Katakanlah satu pasangan telah terlanjur (berzina), kemudian mereka kahwin dengan pasangan yang sama dan lima bulan kemudian lahirlah seorang anak lalu bila dia nak pergi daftar, tidak boleh dibinkan kepada bapa. Kononnya pihak yang berfatwa menggunakan alasan itu untuk mendenda si ibu dan bapa kerana berzina. Tetapi realitinya apa yang berlaku – mereka (pasangan) ini mungkin telah bertaubat lalu berkahwin.

Kemudian si anak membesar, ibu dan bapa mungkin sudah jadi orang baik dan hendak membesarkan anak dengan cara baik. Dia (si anak) pula mendapat adik-adiknya yang lain dan mendapati dia berbinkan lain iaitu Abdullah manakala adik-adiknya mengikut nama si bapa, sebagai contoh Ridzwan.

Pastinya si anak itu bertanya kenapakah saya bin lain, dan adakah bapanya kena beritahu yang saya (bapa) dan ibu dahulu pernah buat benda jahat, sedangkan agama menyuruh menutup aib.

Dan bagaimana pula dia hendak mendidik anak-anaknya berbuat baik, esok si anak kata bapa, ibu pun buat benda jahat. Kemudian menyebabkan aib itu didedahkan pula di sekolah. Apabila masuk sekolah menengah malu lagi, bapa dia mungkin sudah bertaubat.

Guru turut tahu ni anak luar nikah, (seterusnya) masuk universiti bangkit lagi. 30-40 tahun nak kahwin, bangkit lagi sedang mungkin pula bapa atau ibu sudah meninggal dunia. Bayangkan aib diletakkan kepada seorang mangsa iaitu si anak.

Dalam Islam juga turut ditekankan supaya kita menjaga aib orang. Pandangan ustaz?

MOHD ASRI: Saya hendak tanya di manakah kebaikan fatwa ini yang memaksa untuk dibinkan dengan Abdullah, sedangkan realitinya hanya untuk memalu dan mematahkan semangat orang untuk menjadi baik selain membuka aibnya.

Keduanya, sekarang ini banyak kes seperti ini iaitu orang yang berbinkan Abdullah, jika semuanya nanti berbinkan Abdullah.... Kita ada bukan ribu tetapi puluhan ribu dan lama kelamaan, orang anggap zina ini suatu perkara biasa.

Dulu mungkin orang sembunyi-sembunyi tetapi sekarang, zina ini seakan-akan dicatatkan (berbinkan Abdullah), akhirnya semua orang akan tahu dan jadi kebiasaan macam di Barat. Secara tidak langsung ia seakan-akan memberi galakan. (Nanti ada mengatakan) Tidak ada masalah pun buat dulu (zina) sebab ramai yang bin Abdullah. Ini tidak akan jadi aib lagi.

Saya nak tanya, kita sebenarnya hendak denda siapa dengan hukuman ini? Adakah kita hendak denda si ibu, tidak, kita menghukum anak. Sebab itu fatwa Perlis menyelamatkan perkara ini. Saya nak tanya lagi dalam keadaan lain, kalau pasangan bukan Islam masuk Islam dan membawa anak-anaknya sekali, (mengapa) anak itu terus dibinkan kepada si bapa. Kita tidak tanya pula enam bulan ke empat bulan ke (kelahiran).

Mengapa ada pendekatan berbeza dan kita tidak pernah tanya pun? Oh! itu dulu sebelum dia masuk Islam. Jadi ertinya, soal apakah yang hendak dicapai... dengan penegasan fatwa ini yang menyusahkan kita. Sebab itu, susah juga hendak melepasi fatwa Perlis ini tetapi Alhamdulillah ada kes-kes di Mahkamah Syariah Perlis yang menang apabila cukup bukti.

Saya anggap Mahkamah Syariah Perlis mestilah mengikut fatwa Perlis. Jika tidak, ia melanggar titah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja Perlis (Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail) kerana itu merupakan warta negeri Perlis.

Saya ingin memberitahu rakyat Malaysia, sesungguhnya agama menyuruh kita menutup aib. Fatwa Perlis yang dikeluarkan ini tidak lain mempertanggungjawabkan pada orang berkenaan (pasangan berzina) untuk berkahwin, memberi ruang bagi mereka bertaubat serta berubah dan menutup keaiban.

Apakah asas pengeluaran fatwa Perlis dalam hal ini?

MOHD ASRI: Kita bersandarkan kepada hadis sahih Nabi SAW al-walad li-l-firash kerana ada kes pada zaman Baginda, berlaku perebutan nasab anak antara Sa’d bin Abi Waqqas dan Abd bin Zamah. Sa’d membuat tuntutan dengan mendakwa bahawa anak saudaranya, Utbah bin Abi Waqqas beritahu bahawa anak Zam’ah yang masih kecil sebenarnya adalah anaknya (Utbah).

Namun Abd bin Zam’ah membantah dengan menyatakan bahawa itu adalah anak bapanya, Zam’ah yang mengahwini ibu anak berkenaan. Sa’d mengukuhkan dakwaan dengan menyatakan anak berkenaan jelas menyerupai rupa Utbah.

Kes ini melibatkan wanita itu ‘tidur’ dengan orang lain tetapi kahwin dengan orang lain. Maka si anak (dilahirkan) menyerupai orang lain dan bukan suami wanita itu.

Kes ini dibawa kepada Nabi SAW dan baginda bersabda al-walad li-l-firash, anak dibinkan kepada suami yang ada. Walaupun rupa (fizikal anak) tidak menyokong. Melainkan orang itu (si suami) kata, ini bukan anak saya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/rencana/utama/jangan-hukum-anak-bin-abdullah-1.491951#ixzz4jg3WN5gJ

Sponsored Post

Ibn Raffar

Super Active Member
Joined
May 19, 2011
Messages
7,002
Reaction score
369
Points
81
Fatwa ulama dah ada, jpn perlu follow je. Kesian budak tu, tanggung la esok
 

Toshinoda

Super Active Member
Joined
Apr 11, 2010
Messages
5,967
Reaction score
37
Points
70
siapa pandai bab2 agama sila explain sikit
 

amieshoro

Active+ Member
Joined
Mar 21, 2009
Messages
2,608
Reaction score
97
Points
40
so, yang menjadi mangsa ialah si perempuan dan anak luar nikah..
manakala si lelaki pula meneruskan hidup dengan happy ...
 

percumaforex

Super Active Member
Joined
Nov 12, 2012
Messages
7,542
Reaction score
83
Points
70
sampai mcm tu skali? susah beno nak jadi...
 

suprol

Legendary Member
Joined
Nov 23, 2009
Messages
13,022
Reaction score
34
Points
120
mcm mana ek...
ada satu kes ni... anak dia dah umur 3-4 tahun kot baru dia org p menikah kat thailand.... tp masa nikah tu tok kadi tu suruh tulis kat tarikh dia nikah tu sebelum anak dia yg first tu keluar... mcm back dated lah... lepas tu daftar sini kene saman naik mahkamah mcm biasa... lepas tu status anak dia yg first tu aku rasa letak nama bapak dia lah...
ni kira mcm mana ek?
 

tangkisan

Permanently Banned - Multiple ID
Joined
Dec 12, 2010
Messages
7,998
Reaction score
415
Points
81
Dalam Islam sendiri dah terangkan kedudukan anak x sah taraf..
Malah sirah nabi pun ada..
Hukum tetap hukum..
 

ameant

Super Active Member
Joined
Mar 27, 2007
Messages
6,332
Reaction score
143
Points
73
berbin kan abdullah la jawabnya sebab anak itu tak sah taraf .
 

tangkisan

Permanently Banned - Multiple ID
Joined
Dec 12, 2010
Messages
7,998
Reaction score
415
Points
81
mcm mana ek...
ada satu kes ni... anak dia dah umur 3-4 tahun kot baru dia org p menikah kat thailand.... tp masa nikah tu tok kadi tu suruh tulis kat tarikh dia nikah tu sebelum anak dia yg first tu keluar... mcm back dated lah... lepas tu daftar sini kene saman naik mahkamah mcm biasa... lepas tu status anak dia yg first tu aku rasa letak nama bapak dia lah...
ni kira mcm mana ek?
Anak tu..
Yg 3 4 tahin tu..
Masa x nikah??

Jika ya..
Anak x sah taraf..
Jika walikan..
X sah nikah nanti..
Walaupun ic bin atau binti bapa..

Hukum tetap hukum..
 
Sponsored Post
Top
Log in Register