BTC USD 48,871.1 Gold USD 1,784.49
Time now: Jun 1, 12:00 AM

Amalina geliga macam dulu

alisha_qistina

Super Active Member
Messages
6,412
Joined
Jun 27, 2008
Messages
6,412
Reaction score
257
Points
81
KOTA TINGGI: Pelajar terbaik Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2004, Nur Amalina Che Bakri yang kini menuntut di Universiti Edinburgh, United Kingdom, mendapat keputusan cemerlang bagi peperiksaan tahun pertama dan kedua dengan semua subjek antara 80 hingga 90 markah.

Ibu Nur Amalina, Sabariah Hassan, 49, yang baru pulang daripada melawat anaknya selama sebulan, kelmarin, berkata anaknya yang kini mengikuti ijazah dalam bidang perubatan tidak pernah gagal, malah keputusan peperiksaannya sentiasa cemerlang.

Beliau turut menunjukkan salinan keputusan peperiksaan tahun pertama dan kedua anaknya kepada wartawan Berita Harian.

"Amalina tidak pernah gagal, dan khabar angin itu tidak benar. Saya menganggap ini sebagai dugaan, malah ia menguatkan semangat Amalina," katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Saujana di sini, semalam.

Isu kegagalan Amalina dalam pengajiannya menjadi hangat selepas dibangkitkan Zulkifli Nordin (PKR-Kulim-Bandar Baru) ketika perbahasan di Dewan Rakyat baru-baru ini, namun Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah, berkata pihaknya tidak menerima sebarang maklumat mengenai kegagalan itu.

Sabariah berkata, ketika di United Kingdom, beliau diberitahu mengenai perkara itu oleh rakannya di Malaysia dan membuka blog untuk membaca khabar angin itu.
FOTO terbaru Amalina dari album ibunya.

"Saya sangat sedih kerana sudah dua kali khabar angin mengenai kegagalan Amalina disebarkan walaupun hakikatnya Amalina bekerja keras untuk kejayaan itu.

"Sebaliknya Amalina hanya ketawa apabila membaca blog berkenaan. Biarlah mama, saya tak mahu melayannya. Itu yang dikatakan Amalina," katanya.

Kali pertama berita kegagalan Amalina tercetus apabila beliau dikatakan tersingkir daripada pengajiannya di Cheltenham Ladies College (CLC), Gloucestershire ketika membuat program A-Level di situ.

Beliau bagaimanapun membuktikan sebaliknya apabila berjaya memperoleh 5A bagi program itu, malah pelajar tajaan Bank Negara Malaysia (BNM) itu adalah anak Melayu pertama lulus cemerlang dalam peperiksaan berkenaan.

Sabariah berkata, khabar angin kedua ini mungkin tercetus disebabkan anaknya menerima tawaran mengikuti Ijazah Farmakologi dengan Pengalaman Industri (Pharmacology with Industrial Experience) selama setahun kerana keputusan cemerlang peperiksaannya.

"Tawaran itu sekali gus membolehkan beliau memperoleh ijazah berganda di penghujung kursus perubatan yang diikutinya... perkara ini mula tersebar kerana ada menyangkakan beliau gagal tetapi sebenarnya beliau mengikuti ijazah berganda itu sebelum meneruskan kembali pengajian perubatannya.

"Ini bermakna Nur Amalina yang baru saja menamatkan tahun dua pengajiannya itu sedang mengikuti program Farmakologi dengan Pengalaman Industri selama setahun sehingga Jun depan dan akan kembali menyambung pengajian perubatannya untuk tempoh tiga tahun sebelum menamatkan pengajiannya pada 2013," katanya.

Beliau berkata, anaknya menunjukkan prestasi cemerlang dalam pengajiannya malah terpilih untuk mengikuti program Erasmus Exchange membuat penyelidikan mengenai bidang farmakologi selama tiga bulan yang sepatutnya disertai pelajar tempatan di United Kingdom saja.

"Nur Amalina menjadi satu-satunya pelajar antarabangsa terpilih mengikuti program berkenaan yang dijalankan di bawah ijazah berganda yang diikutinya itu kerana kecemerlangannya dan kerana itu saya hairan bagaimana berita mengenai dakwaan kegagalannya boleh tersebar," katanya.
 
Sponsored Post
Sponsored Post

CG Sponsors




Top
Log in Register