Info Alamat Langkapuri - Akhbar Orang Melayu Pertama Dunia

CG Sponsors




Xploit Machine

CG Top Poster Club
Joined
Nov 23, 2012
Messages
22,006
Reaction score
3,505
Points
236
Peredaran zaman telah menyebabkan perubahan identiti orang Melayu, yang satu ketika dulu menaungi hampir keseluruhan benua yang dinamakan sebagai Nusantara. Salah satu negara yang sehingga kini masih banyak dipengaruhi identiti masyarakat Melayu adalah negara Sri Lanka.

Screenshot-2474.jpg


Walaupun kini hanya hadir dalam kelompok minoriti, sejarah Melayu Sri Lanka berjaya mencorakkan budaya masyarakat setempat dengan berkesan, sehinggakan elemen-elemen ke-Melayuan masih dapat dilihat di situ. Hidup dalam suasana dikuasai masyarakat yang bertunjangkan pegangan Hindu dan Buddha, tetap tidak menghalang Melayu Sri Lanka memperkembangkan pengaruh mereka.

Salah satu sumbangan utama mereka kepada etnik Melayu, adalah menerusi penerbitan 'Alamat Langkapuri,' yang dikatakan suratkhabar bercetak berbahasa Melayu pertama di dunia.


Komuniti kuat etnik Melayu Sri Lanka

Screenshot-2475.jpg


Kedatangan orang Melayu beramai-ramai ke Sri Lanka pada awalnya berlaku akibat dua sebab. Yang pertama adalah usaha penjajah melebarkan pengaruh di Ceylon (nama lama Sri Lanka) dengan menggunakan askar di kawasan-kawasan kolonial.

Orang-orang Melayu yang tinggal di Indonesia khasnya di Jawa hadir secara beramai-ramai ketika era penjajahan, sama ada semasa zaman Belanda atau kemudiannya British untuk tujuan pekerjaan atau dibawa sebagai askar.

Apa yang membuatkan komuniti Melayu di Sri Lanka agak kuat, sebenarnya berpunca daripada tindakan penjajah Belanda yang menggunakan Sri Lanka sebagai pusat orang buangan yang dirasakan menjadi ancaman mereka.

Tokoh-tokoh Melayu dan pemimpin masyarakat di Indonesia, seperti Sheikh Yusof (1684), Raja Amangkurat III (1708) dan Sultan Fakhruddin (1767) dibuang ke situ atas pelbagai dakwaan cuba mencetuskan pemberontakan, menyebabkan wujud susur galur komuniti kepimpinan orang Melayu yang teguh di Sri Lanka.

Jika anda ingin tahu dengan lebih lanjut tentang kisah hidup Sheikh Yusof yang dibuang ke Sri Lanka selama 11 tahun, sebelum dipindahkan penjajah ke Afrika Selatan dan menjadi seorang ulama besar di sana.

Majoriti orang Melayu yang hadir dan memilih untuk terus menetap di situ merupakan kumpulan askar yang berkhidmat bersama tentera Belanda. Tradisi penghijrahan kekal ini diteruskan walaupun Sri Lanka jatuh ke tangan British pada tahun 1796.

Dibantu kewujudan komuniti masyarakat kecil yang mempunyai barisan pemimpin masyarakat yang berpengaruh, peningkatan penyebaran budaya dan tradisi Melayu di Sri Lanka mula berkembang.

Usaha untuk mengekalkan, melindungi dan menyebarkan lagi bahan-bahan kesusasteraan hasil tulisan orang Melayu yang dihasilkan di Sri Lanka sendiri mahupun yang ditulis penulis Melayu lain di kawasan luar, mula giat dijalankan dalam memperkembangkan budaya masyarakat yang terpisah dari tanah asalnya.


Askar Melayu menjadi tunjang gerakan kesusasteraan

Screenshot-2476.jpg


Disebabkan penjajahan British, askar-askar Melayu di Sri Lanka turut mula dibawa ke negara kita yang pada ketika itu digelar British Malaya, membentuk kerjasama erat antara askar Melayu di kedua-dua buah kawasan koloni.

Akses kepada karya-karya sastera membolehkan banyak bahan tulisan di bawa pulang ke Sri Lanka, yang ditulis dengan tulisan jawi. Manuskrip berkisar kepada kisah-kisah Rasulullah saw, hikayat-hikayat lama orang Melayu, syair dan sajak ciptaan sendiri mula dipopularkan.

Minda orang Melayu Sri Lanka kepada dunia luar mula berubah lebih luas selepas pembukaan terusan Suez pada tahun 1869, yang menghubungkan masyarakat Melayu dengan komuniti Muslim di Asia Barat.

Kesedaran kepada pentingnya orang Melayu generasi-generasi berikutnya untuk mempunyai satu wadah yang menerbit dan memperkembangkan karya, ideologi dan juga berita berkait dengan aktiviti masyarakat Melayu mula digerakkan di Sri Lanka.

Baba Yunus Saldin yang lahir pada tahun 1832 merupakan seorang penulis Melayu di Ceylon (nama lama Sri Lanka) yang cukup prolifik. Dia adalah antara generasi lapisan ketiga komuniti Melayu Sri Lanka, selepas datuknya berpindah ke situ di bawa Belanda; meninggalkan kampung halaman asal keluarganya di Madura.

Dianggap seorang genius dalam penulisan, dua karya terkenal beliau iaitu Syair Faid al-Abad dan Kitab Segala Peringatan meletakkan beliau sebagai tokoh bidang sastera penulisan tempatan yang juga berpengetahuan luas dalam ilmu agama.

Kemahiran Baba Yunus dalam bidang litografi dan percetakan hasil pengalamannya bekerja dalam rumah-rumah penerbitan milik penjajah, membantu dia mengepalai penerbitan akhbar bercetak orang Melayu pertama di dunia.


Penerbitan pertama Alamat Langkapuri

Screenshot-2477.jpg


Diterbitkan secara berkala setiap dua minggu sekali, akhbar yang diberikan judul 'Alamat Langkapuri' dihasilkan rumah penerbitan Baba Yunus khusus untuk mempopularkan budaya dan bahasa orang Melayu, melalui gabungan berita dan karya tulisan komuniti tempatan.

Usaha itu yang dilakukan sepenuhnya bermula pada tahun 1869 dengan sokongan dana Baba Yunus sendiri, bagaimanapun tidak dapat kekal bertahan lama. Kos cetakan dan penerbitannya gagal balik modal akibat kekurangan pembaca menyebabkan kerugian kepada Baba Yunus.

Beliau memilih untuk menghentikan penerbitan akhbar tersebut pada penghujung tahun 1870 sebelum cuba memulakannya sekali lagi pada tahun 1877, berdepan nasib serupa.

Walaupun tidak dapat kekal lama, usaha baik Baba Yunus menerbitkan 'Alamat Langkapuri' mencatatkan sejarah dalam rekod penerbitan masyarakat Melayu sebagai akhbar orang Melayu pertama diterbitkan dalam bahasa Melayu.


Perjuangan diteruskan walaupun berdepan kegagalan

Screenshot-2478.jpg


Banyak pihak sehingga kini masih tersalah anggap akhbar 'Jawi Peranakan' yang terbit pada tahun 1876 di Singapura, merupakan akhbar pertama berbahasa Melayu sedangkan 'Alamat Langkapuri' sudah terbit lebih awal hampir 7 tahun sebelumnya.

Hasrat Baba Yunus tidak pernah padam walaupun Alamat Langkapuri gagal bertahan dua kali cubaan. Dia kembali dengan konsep baru, menerbitkan akhbar 'Wajah Selong' pada tahun 1895 cuba mensasarkan skop pembaca lebih luas di serata Asia Tenggara.

'Wajah Selong' memaparkan berita yang mencakupi isu antarabangsa, cuba menghubungkan masyarakat-masyarakat Melayu melalui isu semasa dan penekanan kepada karya kesusasteraan tidak lagi dijadikan fokus utama.

Sehingga kini, belum lagi ditemui sebarang bentuk salinan atau karya asal 'Wajah Selong' yang masih tinggal. Bagi 'Alamat Langkapuri' pula - hanya tinggal satu saja salinan yang berjaya diselamatkan; kini disimpan di Arkib Negara Sri Lanka di Colombo.

Dicetak di atas sehelai kertas yang dilipat kepada empat muka surat, akhbar tersebut yang dijilidkan sebagai isu ke 4, terbit pada 16 Rabiulakhir 1286 atau 25 Julai 1869 memberikan kita gambaran ringkas tentang masyarakat Melayu zaman tersebut yang hadir jauh di tanah orang.

Screenshot-2479.jpg


Sehingga kini, sejarah status 'Alamat Langkapuri' yang diisytihar sebagai akhbar berbahasa Melayu pertama dunia dari segi akademik, dicabar sebuah penerbitan yang dikatakan telah wujud lebih awal.

'Soerat Kabar Bahasa Malaijoe', yang diterbitkan pada 9 Februari tahun 1856 di Surabaya menggunakan tulisan rumi didakwa merupakan akhbar berbahasa Melayu pertama yang sebenar.

Bukti yang jelas serta kewujudan salinan asal memperkukuhkan dakwaan ini namun keasilan 'Alamat Langkapuri' yang dihasilkan dengan menggunakan tulisan Jawi, tulisan rasmi masyarakat Melayu era tersebut meletakkannya dalam kategori tersendiri.


Rujukan;
 
Top
Log in Register