BTC USD 61,059.6 Gold USD 4,272.40
Time now: Jun 1, 12:00 AM

6,000 peniaga diberi kata dua

eboss

CG Hardcore
gemgem
Messages
85,650
Paid Membership
Joined
Nov 29, 2007
Messages
85,650
Reaction score
1,896
Points
591
KUALA LUMPUR: Lebih 6,000 peniaga bazar Ramadan yang dikendalikan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) diberi kata dua supaya tidak menyeleweng lesen dengan menyewakannya kepada pihak ketiga.

Amaran keras itu dizahirkan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Ahmad Fuad Ismail bagi mengingatkan peniaga terbabit mengenai harapan dan kepercayaan DBKL bagi membantu peniaga itu.

Menurutnya, walaupun hanya ada empat kes saja peniaga yang dikesan menyewakan lesen mereka kepada pihak lain tahun lalu, tetapi ia tetap diberikan fokus pada tahun ini.

“Memang ada empat kes penyelewengan lesen itu, tetapi ia agak kecil jika dibandingkan dengan jumlah lesen yang dikeluarkan kepada peniaga.

“Bagaimanapun, kami akan memantau peniaga terbabit sepanjang masa dengan menggunakan mekanisme khas yang ditetapkan bagi mengelak lesen disewa kepada orang lain bagi mengaut keuntungan mudah,” katanya pada sesi bersama media di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Ahmad Fuad berkata, DBKL mengendalikan lebih 6,000 peniaga, manakala lebih 4,000 lagi diuruskan swasta dan badan bukan kerajaan, termasuk persatuan penjaja.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, 485 lesen perniagaan sementara sepanjang Ramadan dikeluarkan kepada peniaga di Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Jalan Masjid India.

“Pemilihan peniaga di kawasan strategik itu dilakukan melalui pengundian yang adil dan hanya mereka yang layak saja akan diberikan lesen.

“Pengundian pada awal Julai lalu dilakukan dengan telus dengan mendapat kerjasama pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi mengelak kejadian tidak diingini.

“Walaupun ada pihak yang menghubungi saya bagi mendapatkan lesen, tetapi ia tidak dilayan dan meminta mereka mematuhi peraturan pengundian yang ditetapkan,” katanya.

Apa yang pasti, beliau berkata, pemberian lesen dilakukan dengan adil dan mengikut peraturan ditetapkan bagi memastikan tidak timbul rasa kurang senang pihak lain.

Selain 485 lesen berkenaan, Ahmad Fuad berkata, ada 92 lagi lesen diperuntukkan kepada golongan tertentu termasuk persatuan ibu tunggal, orang kurang upaya.

Menurutnya, pemberian lesen tambahan yang diperuntukkan di dua kawasan strategik itu hanya diberikan apabila mendapat kelulusan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin.

“Menteri berkenaan memiliki jawatankuasa sendiri yang akan memilih mereka yang layak berdasarkan beberapa pertimbangan tertentu,” katanya.

Selain itu, katanya, walaupun kadar lesen ditetapkan antara RM14 hingga RM140 berdasarkan keluasan tapak, tetapi semua peniaga menikmati potongan 50 peratus pada tahun ini.

Malah, katanya, DBKL tidak mengenakan sebarang caj tapak perniagaan tetapi hanya kepada lesen perniagaan saja.

“Saya meminta pemilik lesen melaksanakan tanggungjawab dengan jujur dan ikhlas selain mematuhi peraturan ditetapkan bagi mengelak dikenakan tindakan tegas, termasuk lesen mereka dibatalkan,” katanya.

Pada sidang media itu juga, Ahmad Fuad juga meminta pemilik bangunan mengibarkan Jalur Gemilang dari 12 Ogos hingga 16 September.

Selain itu, katanya, pemilik premis perniagaan juga diminta memasang lampu hiasan dari jam 7 malam hingga 12 tengah malam.
 
Back
Top
Log in Register