BTC USD 63,557.3 Gold USD 2,386.93
Time now: Jun 1, 12:00 AM

INT Champion League ⚽ UEFA Champion League 2023/2024

Lionel_Messi_1575906924.jpg


LIONEL Messi
Barca 'tinggalkan' Messi temu Inter


MILAN: Barcelona mengetepikan bintangnya Lionel Messi bagi pertembungan terakhir peringkat kumpulan Liga Juara-Juara bertemu Inter Milan di Itali, awal pagi Rabu ini umum juara Sepanyol itu, hari ini.

Barcelona sudah pun melepasi peringkat 16 terakhir selepas pemenang 16 kali anugerah Ballon d'Or, Messi menjaringkan gol ketika kemenangan 3-1 ke atas Borussia Dortmund pada pertemuan terdahulu.

Gergasi Sepanyol itu turut mengesahkan tempat selaku juara Kumpulan F selepas mengumpul 11 mata daripada lima perlawanan.

Inter kendalian Antonio Conte masih belum menempah tempat ke peringkat 16 terakhir.

Mereka ketika ini menghuni tangga kedua dan memiliki jumlah mata yang sama dengan Borussia Dortmund (tujuh mata) yang akan menanti Slavia Prague.

Inter akan mengesahkan kemaraan jika kedua-dua kelab mengumpul jumlah mata yang sama berdasarkan kelebihan pertemuan dan perbezaan gol. - AFP


 
Sponsored Post

Frank_Lampards_1575906989.jpg


FRANK Lampard
Lampard cabar bintang muda Chelsea


LONDON: Frank Lampard mencabar bintang mudanya di Chelsea supaya mencetuskan impak menjelang pertemuan penting Liga Juara-Juara bertemu Lille, awal pagi Rabu ini selepas mengharungi deretan keputusan buruk.

Chelsea harus menewaskan wakil Perancis itu di Stamford Bridge bagi mengesahkan tempat ke pusingan kalah mati dengan pengendali, Lampard menuntut fokus yang lebih tajam daripada skuad kendaliannya selepas tumbang 3-1 kepada Everton, minggu lalu.

Sambil mengakui prestasi hambar Blues yang hanya melakar satu kemenangan daripada lima perlawanan, yang menjadi cabaran getir buatnya sebagai pengurus, Lampard mahu anak buahnya menangani tekanan itu dan meraih kejayaan.

“Ia adalah ujian untuk kami semua dan ia sentiasa datang,” kata Lampard. “Dengan cara kami, persaingan di Liga Perdana, ia tidak pernah menjadi perjalanan yang mudah, musim yang senang dari sudut pandang kami. Pasukan memerlukan ujian yang besar.

“Perlawanan yang besar seperti ini, ia adalah penting buat pemain. Kami boleh mendefinasikan ia sebagai kejayaan individu dan pasukan.”

Lampard yang memenangi Liga Juara-Juara bersama Chelsea pada 2012 berkata dia bertuah mengharungi banyak detik yang menakjubkan sebagai pemain.

“Jadi ini adalah peluang yang besar untuk pasukan, terutama pemain-pemain muda kerana ia agak baharu untuk mereka mencetuskan impak. Jadi saya fikir ia bagus. Saya menggemari tekanan seperti ini.

“Jika kami melakukan sesuatu yang bagus di sini, kami akan mengharungi banyak malam seperti ini.” - AFP


 
10felix1_1575943852.jpg


Pemain muda Atletico Madrid, Joao Felix. - Foto GettyImage
Tugas berat pasukan muda Simeone


MADRID: Diego Simeone mengelarnya musim peralihan buat Atletico Madrid namun ketika dulunya dia adalah yang terbaik, kini keputusan diraih menimbulkan keraguan apakah dia paling sesuai untuk langkah seterusnya.

Kekalahan 1-0 di laman sendiri kepada Barcelona musim ini menghancurkan peluang Atletico menyertai pemburuan gelaran La Liga sebelum seri di Villarreal pada Jumaat yang menjadikan ia sesuatu yang mustahil untuk satu tahun lagi.

“Anda perlu faham begitu banyak perubahan dilakukan dalam pasukan dan kami perlu masa untuk meningkat,” kata Simeone. “Kita mesti faham, kami berada dalam tahun peralihan.”

Ketika Antoine Griezmann, Lucas Hernandez, Diego Godin, Rodri, Juanfran dan Filipe Luis semuanya meninggalkan pasukan musim panas lalu, kebimbangan utama ialah bukan kelab itu perlukan masa tetapi mereka mungkin langsung tidak akan pulih.

Kemudian pemain gantian tiba dan jangkaan meningkat.

Joao Felix, Hector Herrera, Kieran Trippier, Marcos Llorente, Renan Lodi, Mario Hermoso dan Ivan Saponjic semuanya menyertai pasukan dengan Felix menjadi tajuk utama.

Sejumlah 126 juta euro (RM580.56 juta) dibayar Atletico kepada Benfica buat pemain Portugal itu yang meningkatkan harapan era baharu akan tiba dengan gaya tersendiri.

Namun Felix yang kini berusia 20 tahun dan semua barisan utama berdepan Barcelona, tiada seorangpun berusia melebihi 29 tahun dan Atletico hilang kepimpinan dan identiti mereka.

Atletico akan menentang Lokomotiv Moscow awal pagi Khamis ini dan memerlukan kemenangan untuk menjamin tempat dalam Kumpulan D ke kelompok 16 terakhir.

Semuanya perlu dilakukan di Wanda Metropolitano dan mereka perlu menyamai apa dilakukan Bayer Leverkusen di laman sendiri berdepan Juventus, yang sudah menjuarai kumpulan. - AFP


 
championleague_1576018903.jpg

Keputusan Liga Juara-Juara Eropah


PARIS: Berikut keputusan Liga Juara-Juara sebentar tadi:


Kumpulan E

Di Salzburg, Austria
Salzburg 0 Liverpool 2 (Keita 57, Salah 58)

Di Naples, Itali
Napoli 4 Genk 0 (Milik 3, 26, 38-pen, Mertens 75-pen)


Kumpulan F

Di Dortmund, Germany
Borussia Dortmund 2 (Sancho 10, Brandt 61) Slavia Prague 1 (Soucek 43)

Di Milan, Itali
Inter Milan 1 (Lukaku 44) Barcelona 2 (C. Perez 23, Fati 87)


Kumpulan G

Di Lisbon
Benfica 3 (Cervi 47, Pizzi 57-pen, Azmoun 79-og) Zenit Saint Petersburg 0

Di Lyon, Perancis
Lyon 2 (Aouar 50, Depay 82) RB Leipzig 2 (Forsberg 9-pen, Werner 33-pen)


Kumpulan H

Di Amsterdam
Ajax 0 Valencia 1 (Rodrigo 24)

Di London
Chelsea 2 (Abraham 19, Azpilicueta 35) Lille 1 (Remy 78)

- AFP


 
11keita_1576019204.jpg


Pemain Liverpool, Naby Keita bersaing dengan pemain Salzburg, Masaya Okugawa pada aksi Kumpulan E Liga Juara-Juara, awal pagi tadi. - Foto AFP
Liverpool atasi Salzburg, teruskan kemaraan


SALZBURG, Austria: Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp memuji kekuatan pasukannya selepas dua jaringan masing-masing daripada Naby Keita dan Mohamed Salah bermakna mereka berjaya mengelak penyingkiran awal memalukan dengan menang 2-0 di Salzburg awal pagi tadi.

Juara Eropah itu perlu mengelak kekalahan berdepan juara bertahan Austria itu untuk mengesahkan tempat dalam kelompok 16 terakhir dan bergelar juara Kumpulan E di depan Napoli.

Salah terlepas banyak peluang buat Liverpool dalam tempoh hampir sejam tetapi membalasnya dengan penyudah baik di sudut sempit selepas tandukan Keita mengurangkan sedikit tekanan penyandang juara itu.

“Pasukan yang hebat,” kata Klopp kepada BT Sport. “Usaha yang bagus. Ia perlawanan yang mencabar.

“Pada babak kedua mereka (Salzburg) tidak mampu bertahan dengan kekuatan kami. Kami menjaringkan dua gol yang menakjubkan. Kami boleh menjaringkan enam atau tujuh yang tampak gila. Kami menang kumpulan, kami menang perlawanan, semuanya bagus.

“Apabila kami menerima bola tetapi kami tidak menjaringkan gol. Kemudian Mo (Salah) menjaringkan gol dalam situasi paling sukar malam ini – dia menjaringkan gol itu,” kata pengendali dari Jerman itu.

Salzburg sudah menjaringkan 87 gol dalam 24 perlawanan musim ini termasuk tiga ketika menentang Liverpool pada Oktober.

Namun pemain muda berbakat Norway, Erling Braut Haaland disekat dengan baik oleh Reds yang mencatatkan kemenangan bersih pertama dalam Liga Juara-Juara musim ini. - AFP


 
11milik_1576019582.jpg

Penyerang Napoli, Arkadiusz Milik (kiri) melakukan sepakan penalti untuk gol hatriknya ketika menentang Genk pada perlawanan Liga Juara-Juara, awal pagi tadi. - Foto AFP
Napoli iringi Liverpool, Ancelotti makin tertekan


NAPLES, Itali: Napoli menamatkan sembilan perlawanan tanpa kemenangan dalam semua kejohanan untuk mara ke kelompok 16 terakhir Liga Juara-Juara awal pagi tadi ketika hatrik babak pertama Arkadiusz Milik menyaksikan kemenangan 4-0 mengatasi Genk yang kini menjadi kubu terakhir jurulatih Carlo Ancelotti.

Penjaga gol Genk, Maarten Vandevoordt, yang berusia 17 tahun 287 hari dan penjaga gol termuda bermain dalam Liga Juara-Juara, melalui mimpi ngeri apabila melepaskan bola untuk gol Milik pada minit ketiga.

Penyerang Poland itu menjaringkan gol kedua pada minit ke-26 dan menyempurnakan penalti pada minit ke-38 sebelum Dries Mertens, yang tampil buat kali ke-300 bersama Napoli, melengkapkan jaringan dengan satu lagi penalti 15 minit sebelum tamat.

Napoli menamatkan saingan di tangga kedua Kumpulan E dengan 12 mata, satu mata di belakang Liverpool manakala lawan mereka dari Belgium itu terbawah kumpulan dengan satu mata.

Salzburg ketiga dan layak ke kelompok 32 terakhir Liga Europa.

Gazzetta dello Sport dan Corriere dello Sport melaporkan sebelum perlawanan bahawa Ancelotti dijangka akan dipecat tanpa mengira keputusan awal pagi tadi dan digantikan bekas jurulatih AC Milan, Gennaro Gattuso.

Ancelotti berkata selepas itu bahawa dia dijadualkan bertemu pemilik kelab dan presiden Aurelio De Laurentiis pada hari ini.

“Kami bersetuju mengadakan pertemuan,” katanya. “Saya harap akan kekal tetapi itu keputusan yang akan dibuat presiden. Pasukan ini memiliki kualiti yang mereka tunjukkan dalam Liga Juara-Juara tetapi tidak liga.

“Mereka tidak berkata apa-apa kepada saya, saya hanya menyediakan pasukan untuk perlawanan. Adakah saya akan meletak jawatan? Saya tidak pernah lakukannya seumur hidup saya.” - Reuters


 
11fati_1576028259.jpg


Pemain remaja, Ansu Fati meraikan jaringan golnya ketika menentang Inter Milan, awal pagi tadi. - Foto REUTERS
Jaringan Fati musnahkan harapan Inter


MILAN: Pemain remaja, Ansu Fati muncul pemain termuda menjaringkan gol dalam saingan Liga Juara-Juara dalam perlawanan yang menyaksikan kemenangan Barcelona menewaskan Inter Milan 2-1, awal pagi ini.

Penyerang berumur 17 tahun kelahiran Guinea-Bissau itu menerima hantaran lintang Luis Suarez sebelum mencipta jaringan empat minit sebelum wisel tamat bagi mencipta sejarah sebagai pemain termuda menjaringkan gol dalam Liga Juara-Juara.

Barcelona sudah menempah tiket ke pusingan kalah mati apabila muncul juara Kumpulan F dan tidak menurunkan pemenang enam kali Ballon d'Or, Lionel Messi.

Tetapi pendahulu Serie A, Inter memerlukan kemenangan menentang pendahulu La Liga itu atau sekurang-kurangnya menyamai keputusan Borussia Dortmund di laman sendiri menentang Slavia Prague bagi melepasi pusingan seterusnya.

Namun begitu, pasukan Jerman itu menempah tiket ke pusingan kalah mati dengan kemenangan 2-1 bagi menamatkan saingan tiga mata di hadapan Inter yang berada di kedudukan ketiga dan akan menyertai Liga Europa.

“Menyaksikan ulang tayang jaringan Fati adalah menyakitkan,” kata jurulatih Inter, Antonio Conte.

“Jaringan itu menyekat kemaraan kami dan mematikan kami daripada semua pandangan.”

Carles Perez yang membuat penampilan sulung berjaya meletakkan pasukan Sepanyol itu di hadapan selepas minit ke-23 di San Siro tetapi Romelu Lukaku menyamakan kedudukan sejurus sebelum rehat bagi memastikan peluang buat pasukan itu.

“Terdapat banyak perkara yang baru kerana kami juga menukar sistem kami,” kata jurulatih Barcelona, Ernesto Valverde.

“Kami berdepan beberapa masalah pada awalnya kerana mereka memberi tekanan kepada kami, tetapi sedikit demi sedikit kami berjaya menjadi lebih baik.

“Penjaring hari ini juga adalah pemain muda, begitu juga Ansu (Fati) yang memang dilahirkan sebagai penjaring.” – AFP


 
flampardkante_1576029114.jpg


Lampard (kanan) mahu pasukannya yang terdiri daripada pemain muda untuk lebih garang. - Foto Reuters
Lampard tuntut pemain mudanya lebih garang


LONDON: Pengurus Chelsea, Frank Lampard mahu pasukannya yang terdiri daripada pemain muda untuk lebih garang selepas kemenangan 2-1 berdepan Lille di Stamford Bridge seterusnya menempah tempat ke 16 pasukan terakhir Liga Juara-Juara.

Mara ke peringkat kalah mati dan mengatasi Ajax yang mara ke separuh akhir pada musim lalu, adalah pencapaian mengagumkan bagi pengurus The Blues itu selepas kelab itu kehilangan Eden Hazard kepada Real madrid dan tidak dapat menambah pemain baru berikutan larangan dikenakan.

Gol pertama babak pertama dihadiahkan Tammy Abraham dan Cesar Azpilicueta memastikan kemaraan Chelsea ke pusingan kalah mati.

Bagaimanapun Lampard kecewa apabila lawan berjaya menjaringkan gol pada 12 minit sebelum berakhir perlawanan menerusi Loic Remy.

“Ini akan menjadi kerja dalam pembikinan. Dengan pemain muda yang kami ada, masih banyak halangan perlu ditempuhi sepanjang jalan,” kata Lampard.

“Saya memaksa mereka dan kadang kala ia menjadi sukar buat mereka, meletakkan piawai yang tinggi dan saya mahu mereka mendapatkannya, tetapi pada masa yang sama saya perlu bersabar.

“Hari ini adalah petanda sebanyak mana usaha perlu dilakukan. Ia sepatutnya menjadi penamat yang lebih selesa dan ini menjadi perkara terbesar untuk kita perbaiki.”

Chelsea mara ke kedudukan kedua Kumpulan H di belakang Valencia, yang menewaskan Ajax 1-0 di Amsterdam, bermakna mereka mara ke 16 terakhir menentang sama ada Bayern Munich, Barcelona, Paris Saint-Germain, Juventus atau Leipzig. – AFP


 
11valanc_1576029195.jpg

Penyerang Valencia, Kevin Gameiro (kiri) diasak dua pemain Ajax, Joel Veltman (tengah) dan Hakim Ziyech pada saingan Liga Juara-Juara, awal pagi tadi. - Foto AFP
Rodrigo humban Ajax ke Liga Europa


AMSTERDAM: Pemain Valencia, Rodrigo menjaringkan gol tunggal perlawanan untuk mengejutkan tuan rumah, Ajax Amsterdam 1-0 awal pagi tadi dan menamatkan saingan di tangga teratas Kumpulan H Liga Juara-Juara seterusnya menyingkirkan juara Belanda itu bagi kejohanan kali ini.

Jaringan minit ke-24 pemain Sepanyol kelahiran Brazil itu menyaksikan Valencia menamatkan saingan di depan Chelsea yang menang 2-1 mengatasi Lille, berdasarkan rekod pertemuan antara kedua-dua pasukan yang mengakhiri saingan dengan 11 mata berbanding 10 buat Ajax.

“Kami berjuang habis-habisan berdepan Chelsea tetapi gagal melakukannya, tetapi pasukan ini tidak pernah penat bekerja dan kami sekali lagi melakukannya malam ini,” kata Rodrigo kepada uefa.com.

“Saya gembira kerana pasukan ini adalah keluarga besar. Tiada kata-kata dapat menggambarkan rakan sepasukan. Sejak tiga tahun lalu kami menghasilkan sesuatu yang istimewa dan kami sentiasa bersama. Kami membawa kelab yang hebat ke tempat yang ia patut berada lama dulu.”

Ajax, pasukan mencipta kisah dongeng musim lalu apabila menewaskan gergasi lain sejak pusingan kelayakan hingga separuh akhir, hanya memerlukan seri dalam perlawanan terakhir itu untuk mara ke kelompok 16 terakhir.

Namun mereka gagal melakukannya ketika berdepan pasukan Sepanyol itu yang menamatkan saingan dengan 10 pemain selepas Gabriel Paulista dibuang padang pada penghujung saingan.

Juara Belanda itu akan beraksi di Liga Europa selepas menamatkan saingan di tangga ketiga. - Reuters


 
Sponsored Post

CG Sponsors




Back
Top
Log in Register