BTC USD 84,484.3 Gold USD 4,274.18
Time now: Jun 1, 12:00 AM

Hari Ini Dalam Sejarah - 28/11

eboss

CG Hardcore
gemgem
Messages
85,650
Paid Membership
Joined
Nov 29, 2007
Messages
85,650
Reaction score
1,896
Points
591
PERUNDINGAN PERJANJIAN KERJASAMA TEKNIKAL ANTARA MALAYSIA DAN BELGIUM-Tarikh Peristiwa pada 28-11-1966

Pada hari ini dalam tahun 1966, satu perundingan mengenai Perjanjian Kerjasama Teknikal antara Malaysia dan Belgium telah diadakan di Unit Perancangan Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri, Kuala Lumpur. Perundingan yang diadakan selama lima hari telah membincangkan mengenai bantuan-bantuan teknikal dan kewangan yang bakal diberikan oleh kerajaan Belgium kepada Malaysia melalui projek-projek Rancangan Malaysia Pertama. Dalam perundingan tersebut, Malaysia telah diwakili oleh Pengarah Unit Perancangan Ekonomi, Encik Thong Yaw Hong manakala kerajaan Belgium diwakili oleh Dutanya ke Malaysia, Encik Frans Taelemans. Antara perkara penting yang dibincangkan dalam perundingan tersebut ialah bantuan enam orang pakar daripada Belgium untuk membantu pelaksanaan program pembangunan di Malaysia pada tahun 1967 di samping bantuan dalam bidang-bidang lain seperti pertanian, perhutanan, perubatan tropika, perikanan, biasiswa dan latihan kakitangan awam. Susulan daripada itu, Perjanjian Kerjasama Teknikal antara Malaysia dan Belgium telah ditandatangani pada 2 Disember 1966. Sesungguhnya, Perundingan Kerjasama Teknikal antara Malaysia dan Belgium memberi faedah yang amat berguna melalui bantuan yang diberikan dalam melaksanakan proses pembangunan negara.
 
Last edited:
PEMBUKAAN RASMI PUSAT KONTENA PELABUHAN KELANG-Tarikh Peristiwa pada 28-11-1973

Pada hari ini dalam tahun 1973, Perdana Menteri, Tun Abdul Razak bin Hussein telah merasmikan pembukaan rasmi Pusat Kontena Pelabuhan Kelang. Pembinaan Pusat Kontena ini telah mula dirancang oleh Lembaga Pelabuhan Kelang semenjak tahun 1967 selaras dengan kemajuan dunia perkapalan yang menggunakan sistem kontena. Projek pembinaan pusat kontena ini telah dijalankan secara berperingkat bermula dengan fasa pertama iaitu menambak seluas 25.1 hektar tanah paya, manakala peringkat kedua yang telah bermula pada tahun 1970 pula melibatkan pembinaan dermaga-dermaga baru sepanjang 853.6 meter dengan kos pembinaan sebanyak $86. 6 juta. Ketika berucap pada majlis tersebut, Tun Abdul Razak melahirkan perasaan bangga di atas pembukaan Pusat Kontena ini yang telah meletakkan negara sebaris dengan negara-negara maju di dunia dalam teknologi pengangkutan moden. Sesungguhnya Pelabuhan Kelang yang terletak lebih kurang 40 kilometer dari Ibu Negara, Bandaraya Kuala Lumpur ini serta kedudukannya yang berdekatan dengan Lembah Kelang yang terkenal sebagai pusat perdagangan dan perindustrian negara telah mempastikan bahawa peranan yang dimainkan oleh pelabuhan ini membantu membangunkan ekonomi negara.
 
UPACARA PENYAMPAIAN ANUGERAH AKHBAR MALAYSIA 1981 DI HOTEL HILTON, KUALA LUMPUR-Tarikh Peristiwa pada 28-11-1982

Penyampaian maklumat yang tepat dan mudah difahami merupakan tugas utama para wartawan terutama dalam usaha membantu kerajaan membina dan membangunkan negara menjadi sebuah negara maju dan mencapai Wawasan 2020. Sebagai satu usaha memberi penghargaan kepada wartawan satu Majlis Penyampaian Anugerah Akhbar Malaysia Kali Ke-2 telah diadakan pada 28 November 1982 bertempat di Hotel Hilton, Kuala Lumpur. Anugerah akhbar Malaysia ini dianjurkan oleh Institut Akhbar Malaysia bertujuan untuk meraikan wartawan yang telah banyak berjasa kepada negara ini sejak dari negara mencapai Kemerdekaan lagi. Selain daripada itu majlis ini juga meraikan tokoh-tokoh wartawan yang telah menang Anugerah Akhbar Malaysia kali yang pertama yang telah diadakan pada tahun 1981. Berucap di upacara menyampaikan anugerah tersebut Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamed merayu wartawan menggunakan medan yang ada untuk mewujudkan masyarakat yang rajin, jujur dan berdikari demi kemajuan negara. Peranan wartawan masa kini menjadi semakin penting bagi menyampai maklumat yang tepat kepada rakyat dalam masyarakat.
 
BEKAS GABENOR SARAWAK MENINGGAL DUNIA -TUANKU TUN DATUK HAJI BUJANG B. TUANKU HAJI OTHMAN-Tarikh Peristiwa pada 28-11-1986

Sarawak telah menyertai Malaysia pada 16 September 1963. Setelah menempuh berbagai rintangan dan perundingan akhirnya pada tarikh tersebut Malaysia telah dilahirkan. Sistem pentadbiran negeri Sarawak di bawah Persekutuan Malaysia adalah sama seperti negeri-negeri lain di Semenanjung, di mana urusan pentadbiran peringkat negeri dijalankan serentak dengan urusan-urusan peringkat persekutuan. Sarawak mempunyai Yang Dipertua Negeri sebagai Ketua Pentadbir di peringkat negeri. Salah seorang Yang Dipertua Negeri Sarawak ialah Tun Datuk Patinggi Tuanku Hj. Bujang b. Tuanku Hj. Othman. Beliau adalah Yang Dipertua Kedua bagi Sarawak semenjak di dalam Malaysia. Jawatan ini disandang oleh beliau mulai dari 2 April 1969 hinggalah pada hari ini 28 November 1986 apabila beliau menghembuskan nafas terakhir di kediamannya Sri Embawang di Petra Jaya, Sarawak. Pada hari ini dalam 1986 rakyat Sarawak kehilangan seorang pemimpin yang berkaliber dan dihormati sebagai Yang Dipertua menggantikan Allahyarham Tun Abang Haji Openg. Allahyarham Tuanku Tun Datuk Hj. Bujang telah dilahirkan di Sibu, Sarawak. Beliau telah memulakan perkhidmatan kepada kerajaan dengan menyertai pasukan polis sebagai Sub-Inspektor Percubaan semasa pemerintahan Inggeris dalam tahun 1927, kemudian dinaikkan pangkat sebagai Inspektor Percubaan pada tahun 1934. Allahyarham bertukar kepada Perkhidmatan Awam Sarawak dan kekal di dalam perkhidmatan tersebut selama 26 tahun. Sepanjang perkhidmatannya Allahyarham Tuanku Tun Datuk Hj. Bujang pernah berkhidmat sebagai Leftenan Muda dalam Renjer Sarawak selama sebulan dalam tahun 1941. Beliau pernah dilantik sebagai majistret kelas keempat pada tahun 1934 dan kemudian sebagai pegawai pentadbir division satu pada 1965. Apabila Sarawak menyertai Malaysia, pada 1963 Allahyarham telah dilantik sebagai Senator Dewan Negara.

Allahyarham telah menerima beberapa pingat dan penghargaan sepanjang hayatnya menjalankan tugas kepada negara. Antaranya Allahyarham dianugerahkan Member of The British Empire (MBE) pada 1967 dan Official of The British Empire (OBE) pada 1962, pada 1970 dianugerahkan pula Seri Maharaja Mangku Negara (SMN) oleh Yang Dipertuan Agong. Pemergian Allahyarham Tuanku Tun Datuk Patinggi Haji Bujang pada hari ini begitu dirasai oleh semua. Allahyarham telah mencurahkan khidmat baktinya dalam memajukan negeri Sarawak di samping sumbangan -sumbangan lain kepada Malaysia keseluruhannya. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya.
 
SEMINAR KEBANGSAAN BUDAYA KERJA CEMERLANG-Tarikh Peristiwa pada 28-11-1989

Seminar memainkan peranan penting dalam menghasilkan idea-idea baru dan bernas kepada sebuah organisasi. Bersempena dengan `Gerakan Budaya Kerja Cemerlang' yang telah dilancarkan oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Sri Dr. Mahathir Muhamad, satu Seminar Kebangsaan Budaya Kerja Cemerlang telah diadakan pada hari ini 28.11.1989 bertempat di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) Bukit Kiara, Kuala Lumpur. Seminar itu diadakan selama 2 hari, telah dirasmikan oleh Menteri Belia dan Sukan, Datuk Sri Najib b. Tun Razak. Seminar tersebut telah dihadiri oleh kira-kira 300 orang termasuk Ketua Setiausaha Kementerian, Setiausaha Kerajaan Negeri, Ketua-ketua serta pegawai-pegawai jabatan dan agensi Kerajaan serta wakil-wakil syarikat swasta.

Di antara matlamat utama Seminar Kebangsaan Budaya Kerja Cemerlang ialah:

untuk meningkatkan kualiti hidup dan daya saing penduduk negara ini.

untuk mengajak semua rakyat, para pekerja baik kerajaan atau swasta sama-sama mengamalkan budaya kerja cemerlang.

untuk menjadikan bangsa Malaysia bangsa yang berjaya, mempunyai kualiti hidup yang tinggi dan menerima budaya kerja cemerlang

Beberapa kertas kerja telah dibentangkan, dan hasil daripada seminar itu akan dibincangkan dengan pihak Kerajaan. Di samping itu juga Seminar tersebut akan membuat tindakan pelaksanaan dengan membentuk modul yang sesuai untuk dilaksanakan oleh sesebuah jabatan. Dalam masa enam bulan dari tarikh seminar diadakan, peserta seminar akan berkumpul sekali lagi untuk menilai sejauh mana modul itu dilaksanakan. Dalam ucapannya Datuk Sri Najib berkata sekiranya konsep kualiti dapat diterapkan di negara ini, ianya akan memberi hasil yang lebih manfaat kepada semua pihak. Dengan adanya Seminar Kebangsaan tersebut diharap semua pihak sama ada kerajaan atau swasta akan lebih serius dalam mengamalkan gerakan budaya kerja cemerlang, demi untuk menjadikan Malaysia sebagai negara berkualiti.
 
Back
Top
Log in Register