BTC USD 63,661.5 Gold USD 2,379.70
Time now: Jun 1, 12:00 AM

Kesesakan luar biasa penunggang motosikal rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura

Pay-Bux

Active+ Member
Messages
3,542
Joined
Jan 18, 2012
Messages
3,542
Reaction score
248
Points
33
GELANG PATAH - Jabatan Imigresen Malaysia meminta penunggang dan pembonceng motosikal ke Singapura melalui dua pintu masuk di negeri ini, untuk lebih bersabar, berdisiplin dan mematuhi undang-undang ditetapkan.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, pihaknya tidak menafikan berlaku kesesakan luar biasa khusus pada waktu puncak kerana pelaksanaan Sistem Kawalan Sempadan Automatik (M-Bike) hasil pemantauan dibuat.

Bagaimanapun, katanya, penguatkuasaan sistem berkenaan sejak 15 Februari lalu, adalah untuk meningkatkan aspek kawalan keselamatan di dua pintu masuk utama di Johor.

“Kita dapati pelancaran M-Bike memang menjejaskan lalu lintas, namun ini kerana sistem itu masih di peringkat awalan penguatkuasaannya. Memang ada kelemahan di sana-sini.

“Cuma kalau sebelum ini, konsepnya seolah free flow telah berlaku pembolosan. Ini merupakan aspek keselamatan yang hendak kita pastikan supaya tidak diambil mudah. Kita hendak menentukan soal keselamatan, kedaulatan dan kesejahteraan rakyat.

“Oleh itu, kita minta pengguna-pengguna supaya bersabar dalam soal mendisiplinkan diri,” katanya pada sidang media selepas mengadakan tinjauan kesesakan di Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Johor Bahru dan Kompleks Sultan Abu Bakar, di sini semalam.

Mustafar berkata, pihaknya telah menahan dan mengambil tindakan ke atas 36 individu mengikut Akta Pasport 1966 dan Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mematuhi peraturan ditetapkan dan terlibat dalam pembolosan, kelmarin.

“Mereka kena patuhi peraturan, tetapi perkara ini tetap berlaku. Mereka boleh pula menjaga tatasusila di atas jalan raya apabila berada di negara jiran.

“Jadi patuh undang-undang jalan raya, patuh pada sistem yang diperuntukkan ke atas mereka dan tidak membuat provokasi seperti merosakkan pagar M-Bike,” katanya.

Beliau berkata, kaunter M-Bike dibuka secara maksimum dengan kekuatan penuh anggota apabila berlakunya kesesakan yang tinggi di dua pintu masuk utama ke negara ini, ke Singapura.

Katanya, beberapa langkah penyelesaian yang dikenal pasti sedang diteliti seperti aspek struktur bangunan (pembukaan kaunter), penyuraian jalan selain meletakkan bonggol bagi memperlahankan motosikal.

“Pada masa sama, kita hendak pastikan kesesakan itu dapat dikurangkan dengan cara mendidik. Selain itu, saya akan membuat beberapa tindakan tambahan dalam soal bagaimana perkara ini dapat dikurangkan.

“Kita telah meminta vendor memperbetulkan dan menambah baik permasalahan yang berlaku. Cuma apa yang lebih penting, penunggang dan pembonceng motosikal itu sendiri memahami aturan sistem M-Bike dari mula sampai keluar dari pagar,” katanya.

Kerajaan memperkenalkan dan melaksanakan sistem M-Bike bagi meningkatkan kawalan keselamatan di pintu masuk Malaysia-Singapura.

Pelaksanaan M-Bike merupakan inisiatif kerjasama antara Malaysia-Singapura demi meningkatkan kawalan terhadap pengembara motosikal secara efisien dan selamat.

Sistem itu memastikan setiap pengembara bermotosikal yang keluar masuk Johor-Singapura melalui Kompleks Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar dan CIQ Kompleks Sultan Abu Bakar dapat diperiksa sewajarnya dari segi dokumen perjalanan serta pengambilan biometrik.

Pelaksanaan fasiliti M-Bike melibatkan 50 laluan keluar dan 50 laluan masuk di Bangunan Sultan Iskandar, manakala 25 laluan masuk dan 25 laluan keluar di Kompleks Sultan Abu Bakar.

Menerusi sistem M-Bike, tempoh masa diambil untuk proses dokumentasi dan biometrik hanya kira-kira lapan saat maksimum, berbanding 12 ke 15 saat bagi sistem terdahulu.

Difahamkan, dianggarkan secara purata lebih 90,000 penunggang dan pembonceng motosikal melintasi sempadan Malaysia-Singapura di dua pintu masuk utama di Johor, setiap hari.

Majoriti penunggang dan pembonceng motosikal itu merupakan warganegara Malaysia berstatus pengembara harian yang bekerja di Singapura.
 
Sponsored Post

Sponsored Post

Back
Top
Log in Register