SEORANG tukang rumah warga Indonesia yang disyaki perancang serta suspek utama kes culik surirumah diiringi polis ketika dihadapkan ke mahkamah bagi mendapatkan reman kerana memiliki pistol dan 23 butir peluru di Mahkamah Majistret Batu Pahat. - Foto Hairul Anuar Rahim
BATU PAHAT: Seorang tukang rumah warga Indonesia yang disyaki perancang serta suspek utama kes suri rumah yang diculik di Johor Bahru dan dikurung di Pulau Batam direman tujuh hari bermula hari ini kerana memiliki pistol dan 23 peluru.
Lelaki berusia 39 tahun itu ditahan polis di Plaza Tol Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) Yong Peng Selatan jam 5.15 petang semalam, disyaki mahu melarikan diri ke utara tanah air selepas berita penangkapan 12 suspek yang lain disiarkan media pagi semalam.
Perintah reman dikeluarkan Majistret Mohd Syafiq Mustaza di Mahkamah Majistret Batu Pahat di sini, jam 9.50 pagi tadi.
Bagi kesalahan memiliki pistol, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api Penalti Lebih Berat 1971 yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dan sebatan sekurang-kurangnya enam kali, jika sabit kesalahan.
Bagi kesalahan memiliki peluru pula, suspek disiasat mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960 yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, suspek yang memakai pakaian lokap ungu itu tiba di mahkamah jam 8.30 pagi tadi dengan kawalan ketat polis.
Malam tadi, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat dalam sidang media di Balai Polis Yong Peng, mengumumkan penahanan suspek oleh sepasukan anggota Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (STAFOC) hasil makluman awam.
Katanya, polis menemui sepucuk pistol separuh automatik yang diselitkan di pinggangnya serta sebungkus plastik lutsinar mengandungi 23 peluru.
Pagi semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, mengumumkan penahanan 12 suspek di Malaysia dan enam lagi di Batam sekali gus berjaya menyelamatkan mangsa yang diculik dari rumahnya di Johor Bahru sejak 21 Februari lalu.
Khalid dilaporkan berkata mangsa berjaya diselamatkan di sebuah rumah ladang di pulau itu dibawa pulang dengan selamat, kelmarin.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor, SAC Datuk Kamarul Zaman Mamat (tengah) menunjukkan barang rampasan, yang terdiri daripada sepucuk pistol semi auto warna hitam kaliber 380 dan 23 butir peluru kaliber 380 dan juga sebuah telefon bimbit, dalam kes culik suri rumah di Johor Bahru pada sidang akhbar di Balai Polis Yong Peng baru-baru ini. -fotoBERNAMA
JOHOR BARU: Siasatan terhadap 13 individu yang ditahan berhubung kes penculikan seorang suri rumah di sini baru-baru ini hampir lengkap, kata Timbalan Ketua Polis Johor Datuk Mohd Zakaria Ahmad.
Beliau berkata kertas siasatan itu dijangka diserahkan kepada pejabat timbalan pendakwa raya untuk tindakan lanjut sebaik tempoh tahanan reman ke atas suspek tamat pada 27 Mac ini.
"Berkenaan enam lagi suspek yang ditahan di Batam, Indonesia... Bukit Aman sedang uruskan hal ini.
"Disebabkan mereka warga Indonesia dan ditangkap di sana, kita tidak boleh bawa balik dahulu, kita mesti mengikut proses undang-undang negara tersebut dahulu sebelum boleh mengambil tindakan di sini," katanya.
Mohd Zakaria berkata demikian kepada pemberita selepas upacara perbarisan Hari Polis ke-210 peringkat Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di sini, Sabtu.
Pada 21 Februari lepas, seorang wanita berusia 40-an diculik dari rumahnya di sini dan dibawa lari ke Batam.
Mangsa berjaya diselamatkan dari sebuah rumah ladang di Batam dengan kerjasama polis Indonesia selepas 27 hari diculik.
Susulan itu, polis menangkap 19 suspek dengan 12 daripadanya ditahan di Johor Bahru, seorang di Plaza Tol Yong Peng dekat Batu Pahat dan enam di Batam.