BTC USD 63,695.2 Gold USD 2,383.57
Time now: Jun 1, 12:00 AM

Sambut Ramadhan Secara Cermerlang

dakwah

Banned
Messages
1,120
Joined
Jul 5, 2006
Messages
1,120
Reaction score
7
Points
25
Assalamu'alaykum Wbt

Oleh NAZMI AIDARUS
Utusan Malaysia

RAMADAN menjelang lagi. Setiap mereka yang beriman pasti menanti
bulan Ramadan dengan penuh rasa keikhlasan, kegembiraan dan
keimanan. Bulan Ramadan ialah bulan pendidikan diri, kecergasan
mental dan fizikal, bulan merapatkan silaturahim dan berbaik sangka
sesama insan.

Ia bulan kemenangan setiap muslim yang berjaya dalam menentang
keinginan nafsu syahwat, kejayaannya dalam menewaskan bisikan
syaitan yang telah lama menapak dalam sanubarinya, kemenangannya
dalam mengatasi keinginan hatinya berbuat dosa dan maksiat.

Ramadan adalah peluang keemasan meningkatkan nilai peribadi ke
peringkat yang lebih tinggi, mengubahnya kepada jiwa yang lebih baik
dan dedikasi, kemasyarakatan, lebih nilai keagamaan, cepat mesra dan
lebih bertanggungjawab dalam mengeratkan hubungan kekeluargaan dan
umat Islam.

Ia adalah bulan kemurahan, berpendirian baik, ia bukannya bulan
kemalasan, tidak berdaya, lemah, memberontak, penuh dengan perasaan
marah dan jemu terhadap pengabdian diri kepada Allah s.w.t..

Justeru, jadikanlah Ramadan tahun ini bulan yang dirancang
pembangunan dan pengabdian diri kepada Allah agar dengan terdapatnya
perubahan cara daripada rutin tahunan yang tidak strategik kepada
rencana yang berdaya maju, Ramadan tahun ini mencatatkan sejarah
tersendiri bagi melayakkan diri kita menempah rahmat dan inayah
Ilahi di dunia dan akhirat.

Di sini diperturunkan beberapa saranan dan panduan dalam mengubah
gaya sambutan Ramadan sedia ada kepada pembangunan rohani dan
jasmani yang diharapkan dapat mencalonkan setiap peribadi muslim
menjadi mereka yang bertaqwa kepada Allah s.w.t..

* Perjumpaan kekeluargaan dalam semangat kemesraan dan silaturahim
untuk menerangkan tentang bulan Ramadan serta kelebihan yang
dinyatakan dalam al-Quran dan hadis.

* Menghantar kad ucapan kepada keluarga terdekat dan sahabat handai
sempena kedatangan bulan yang mulia ini sama ada menerusi pos, e-mel
dan seumpamanya.

* Menghadiahkan buku atau karangan berkenaan Ramadan kepada rakan
taulan dan adik-beradik bagi merebut kelebihan yang disediakan pada
bulan mulia ini.

* Letakkan atau gantungkan potongan ayat al-Quran dan hadis mengenai
fadilat Ramadan seperti, "Sesiapa yang berpuasa Ramadan dengan penuh
keimanan dan mengharap keredaan Allah akan diampuni dosa-dosanya
yang lalu."

Ia juga dapat dibuat sendiri melalui lakaran komputer yang
menyerlahkan bakat terpendam dan kreativiti.

* Meminta khidmat ulama, ustaz atau imam memberi ceramah ringkas
berkenaan ibadah puasa kepada keluarga, adik-beradik dan jiran
tetangga di rumah kita sendiri. Kegiatan sebegini dapat mendidik
generasi muda dalam memuliakan ilmu dan pendokongnya serta
mempertingkatkan konsep zikrullah dalam rumah tangga.

* Pembacaan al-Quran secara tadarus (seorang membaca didengari oleh
yang lain mengikut pusingan) beberapa minit sama ada di rumah,
masjid atau tempat kerja (semasa rehat).

* Membelikan hadiah seperti sejadah, mushaf, baju sembahyang,
telekung dan seumpamanya untuk keluarga terdekat dan kenalan.

* Hadiahkan kurma untuk berbuka puasa kepada keluarga, majikan,
tetangga, sahabat, kakitangan dan lain-lain mengikut kemampuan.

* Adakan solat tarawih sekali-sekala di rumah dengan mengajak
keluarga menyertainya dan mengimarahkannya.

* Jadikan diri contoh terbaik dalam menggarap fadilat Ramadan dengan
ibadat yang ikhlas, berzikir, tadarus al-Quran, memanfaatkan diri
dengan pembacaan kitab, buku dan sebagainya.

* Pembacaan tafsir al-Quran yang ringkas selepas membaca dan
bertadarus al-Quran supaya apa yang dibaca difahami.

* Adakan majlis ilmu seminggu sekali mengikut kesesuaian untuk
menambah potensi diri dengan membaca sirah Nabi s.a.w., sejarah
Islam, cerita para sahabat Nabi, penerangan mengenai syurga dan
neraka serta sesi soal-jawab.

* Mendengar ceramah agama yang ringan dan menarik di rumah atau di
dalam kenderaan melalui radio-kaset, cakera padat atau cakera padat
video bagi menambahkan ilmu pengetahuan.

* Memperbanyakkan sedekah sama ada menerusi pemberian wang, pakaian,
makanan, mengadakan majlis berbuka puasa dan sebagainya.

* Bersama keluarga dalam menyediakan makanan dan hidangan berbuka
puasa serta menghadiahkan sebahagian daripadanya kepada keluarga dan
jiran terdekat.

* Agihkan risalah dan brosur keagamaan dalam mendapatkan ganjaran
dan kelebihan bulan Ramadan yang mulia ini.

* Mengadakan program bermanfaat di masjid, surau, pejabat, taman
perumahan, pasar, kompleks perniagaan dengan kehadiran mereka yang
dihormati dalam masyarakat.

* Kurangkan menonton atau mendengar program yang kurang berfaedah
dan memenuhkan masa dengan aktiviti yang mendatangkan natijah yang
baik dan berkesan kepada peribadi dan masyarakat.

* Beri galakan berterusan kepada anak-anak kecil dan generasi muda
dengan menyediakan hadiah atau cenderamata kepada mereka yang
berjaya dalam meneruskan kelangsungan puasa dan ibadah lain pada
bulan Ramadan.

* Menziarahi mereka yang kurang berkemampuan dan menyediakan hadiah
atau buah tangan termasuk kewangan untuk mereka supaya sama-sama
menghayati bulan Ramadan seperti mana orang lain.

Sebenarnya banyak lagi panduan dan saranan untuk memenuhi kehidupan
bulan Ramadan pada tahun ini dengan penuh rasa keinsafan diri dan
meningkatkan tahap ibadah yang boleh diperoleh menerusi pembacaan
kitab, buku, Internet dan media massa.

Mudah-mudahan kebaktian kita di atas dunia ini dimakbul oleh Allah
s.w.t.. Doa kita semua: "Semoga Allah s.w.t. menerima ibadah puasa
dan ibadat kita serta kita dijadikan-Nya orang yang dipelihara
daripada neraka-Nya." Amin, ya Rabba Al-Alamin. Selamat Menyambut
Bulan Ramadan kepada seluruh umat Islam.
 
Sponsored Post

Sponsored Post

Back
Top
Log in Register