BTC USD 63,532.7 Gold USD 2,383.81
Time now: Jun 1, 12:00 AM

15 pengusaha mahu saman Caltex arah tutup stesen minyak tanpa sebab

TT

CG Super Hardcore Club
gemgemgemgem
Messages
166,550
Joined
Jan 13, 2009
Messages
166,550
Reaction score
22,869
Points
1,831
Awards
1
Fauziah-Ahmad-Fadzil.jpg

Sebahagian pengusaha stesen minyak Caltex terjejas bersama wakil PPIM menunjukkan notis tamat operasi.

Fauziah-Ahmad-Fadzil34.jpg

Seorang daripada pengusaha terjejas, Fauziah Ahmad Fadzil bersama wakil PPIM pada sidang media di stesen minyak Caltex miliknya di Jalan Subang, Shah Alam.
SHAH ALAM: Caltex Malaysia memberi tempoh 30 hari kepada 15 pengusaha stesen minyaknya untuk menamatkan operasi mereka tanpa sebarang alasan munasabah.

Seorang pengusaha stesen minyak itu, Fauziah Ahmad Fadzil berkata, beliau bersama 14 pengusaha lain dari Johor, Negeri Sembilan, Selangor dan Perak berang dengan tindakan Caltex itu yang bakal membawa kerugian kepada mereka dan menyebabkan 200 pekerja hilang pekerjaan.

“Kami ingin menegaskan kami menjalankan perniagaan dengan bersungguh-sungguh dan kami tidak melakukan sebarang keingkaran untuk mendapat notis penamatan ini dari Caltex.

“Kami cuba berunding dengan Caltex, tetapi mereka tidak mahu berjumpa kami, walaupun beberapa kali kami cuba berjumpa dengannya,” katanya pada sidang media di stesen minyak Caltex miliknya di Jalan Subang, Shah Alam.

Turut hadir pada sidang media tersebut ialah Setiausaha Agung Persatuan Peniaga Petroleum Malaysia, Rofaie Mohd Hamdan dan Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan.

Fauziah berkata, Caltex menyerahkan notis penamatan pada 15 Mei lalu dan memberi tempoh sehingga hujung bulan ini untuk mereka menamatkan operasi stesen minyak masing-masing, iaitu 6 hari selepas sambutan Aidilfitri.

Susulan itu, katanya, beliau bersama 14 pengusaha lain akan mengambil tindakan mahkamah terhadap Caltex kerana tidak berpuas hati dengan tindakan syarikat minyak itu.

Beliau turut mendakwa Caltex melanggar arahan kerajaan berkaitan pelaksanaan perkhidmatan layan diri di stesen minyak Caltex.

“Sepatutnya kos melaksanakan perkhidmatan layan diri, termasuk pemasangan alat-alat automasi dan penyelenggaraan alat tersebut ditanggung sepenuhnya syarikat minyak (Caltex) dan tidak dikenakan sebarang caj sama ada langsung atau tidak langsung kepada pengusaha stesen minyak.

“Kami mematuhi arahan kerajaan yang dikeluarkan kepada Caltex, malangnya Caltex tetap minta kami menanggung kos itu sendiri sehinggalah mereka menang kes di Mahkamah Persekutuan yang menyebabkan kami perlu membayar ganti rugi RM300,000 setiap pengusaha,” katanya.

Fauziah berkata, disebabkan kes itu, ada di kalangan mereka yang terpaksa membuat pinjaman atau mengadaikan rumah bagi membayar ganti rugi itu kepada Caltex.

Bagaimanapun, mereka terkejut 2 bulan selepas pembayaran itu, Caltex mengeluarkan notis penamatan operasi.

“Apakah ini bukan zalim namanya, terutama bila kami sibuk dengan musim perayaan? Kami membantah tindakan Caltex ini kerana kami pengusaha tua dan lama dalam perniagaan stesen minyak ini.

“Kalau diberhentikan tanpa sebab dalam masa terdekat ini, kami tidak lagi berpeluang menjalankan perniagaan disebabkan usia sudah lanjut,” katanya.

Seorang lagi pengusaha stesen minyak Caltex terjejas, Yong Sing Fatt, 56, hanya mampu menitiskan air mata mengenang nasibnya kerana stesen minyak itu diwarisi daripada bapanya.

“Tindakan Caltex ini terlalu keras, membebankan dan menekan kami.

“Notis penamatan ini juga tidak munasabah dan tidak boleh diterima serta tidak sah, memandangkan kami sudah lama jalankan perniagaan,” katanya yang sudah 15 tahun mengendalikan stesen minyak itu.

Dalam pada itu, PPIM mendesak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) mengambil tindakan tegas terhadap Caltex.

Nadzim menyifatkan ia tindakan “buli” yang perlu dihentikan segera.
“Ini buli, wajarkah setelah mereka (Caltex) dapat ganti rugi mereka hantar notis penamatan.

“Caltex ingkar arahan kerajaan dan kalau tak dapat selesai cara baik, saya seru kita semua bersatu menentang penindasan ini. Kita mohon KPDNKK ambil tindakan.”

Sementara itu, Caltex ketika dihubungi FMT hari ini berkata, syarikat itu akan mengeluarkan kenyataan kemudian, tetapi tidak dinyatakan bila.


http://www.freemalaysiatoday.com/ca...altex-arah-tutup-stesen-minyak-tanpa-sebab-2/
 
Polis datang potong rantai, minta Fadzilah beredar

hj.ashx


SHAH ALAM: Susulan protes merantai kaki dan plaster mulut di lobi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) oleh pengusaha stesen minyak, Fadzilah Abdul Hamid, 57, polis mengambil pendekatan memotong rantai dan meminta lelaki itu meninggalkan bangunan kerajaan tersebut.


Menerusi video dimuat naik Biro Undang-Undang Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) malam Jumaat, seorang anggota polis memperkenalkan dirinya dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya meminta Fadzilah meninggalkan lobi bangunan.

Tiada sebarang respons daripada Fadzilah, malah dia juga enggan berkomunikasi menyebabkan pihak polis memaklumkan pihaknya terpaksa menahannya jika terus berdegil tidak mahu meninggalkan bangunan KPDNKK.

"Kita akan potong mangga ini dan minta kerjasama haji (Fadzilah). Saya tak mahu guna kekerasan dan berlaku kekerasan.

"Saya minta maaf terlebih dahulu sebelum potong mangga pada rantai haji. Kalau haji beredar dari sini, kita tidak akan buat tangkapan. Minta haji beredar dari sini. Kita betul-betul minta haji untuk beredar dari sini.

"Kalau haji berkeras kita buat tangkapan atas sebab menghalang atau ingkar arahan untuk beredar dari sini,” katanya.

Sebelum itu, pada sebelah petang, Fadzilah tiba bersama rombongan PPIM di lobi bangunan KPDNKK Putrajaya, bertindak menutup mulut dan merantai kakinya dengan rantai besi sepanjang 40 meter sebelum duduk di tangga lobi sebagai tanda protes.

Bagaimanapun, selepas dipujuk oleh Pengarah Unit Tindakan Khas PPIM, Yusuf Azmi, Fadzilah akur dan diusung keluar meninggalkan lobi bangunan KPDNKK dengan menaiki sebuah kenderaan pelbagai guna MPV berwarna putih, kira-kira jam 9 malam.

Pada Selasa, Fadzilah bertindak melekatkan tangannya dengan gam di lantai pejabat Chevron Malaysia Limited (Caltex).

Mei lalu, Fadzilah menerima notis memintanya mengosongkan dua stesen minyak di Kelana Jaya dan Kampung Subang, didakwa tanpa alasan munasabah.

Tuntutan penamatan bagi kedua-dua stesen itu dianggar melebihi RM700,000.


http://www.mstar.com.my/berita/berita-semasa/2017/11/26/haji-tinggalkan-kpdnkk/#v3YHix41WXzbirLp.99

Lepas gam tangan, bekas pengusaha stesen Caltex rantai kaki pula

xMGF24112017_BoikotCaltex001-681x454.jpg.pagespeed.ic.jMQv3EE1rI.webp

Reaksi Bekas Pengusaha Stesen Minyak Caltex, Fadzilah Abdul Hamid yang merantai kaki serta menutup mulutnya tanda protes isu penganiayaan pengusaha stesen minyak caltex di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan ( KPDNKK), Putrajaya. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 24 NOVEMBER 2017

xMGF24112017_BoikotCaltex005-640x427.jpg.pagespeed.ic.FZxDg2xbRW.webp


PUTRAJAYA – Selepas gam tangan di lantai, seorang bekas pengusaha stesen minyak Caltex, Fadzilah Abdul Hamid hari ini mengikat kakinya dengan rantai besi sepanjang 40 meter di pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

Beliau juga menutup mulutnya dengan pita pelekat sebagai protes.

Fadzilah yang berjubah dan memakai serban dilihat membawa beg baju sebagai tanda protes malah enggan berganjak dari bangunan KPDNKK sehingga dia dibenarkan bertemu dengan menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Fadzilah atau lebih dikenali Haji Boikot Caltex berkhidmat lebih 17 tahun dengan Chevron Malaysia Limited (Caltex) itu didakwa hanya menuntut jawapan daripada KPDNKK disebalik penamatan perkhidmatannya yang didakwa dilakukan secara mengejut dan tidak adil.

Menurut Pengerusi Biro Undang-Undang Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Hishamuddin Hashim, beliau bersama beberapa NGO Islam lain hari ini ke kementerian terbabit mewakili Fadzilah untuk mengadakan perbincangan.

Katanya, dalam pertemuan empat mata bersama Timbalan Pengarah Penguatkuasa (Cawangan Operasi Khas) KPDNKK, Datuk Iskandar Halim Sulaiman, pihaknya hanya dimaklumkan yang perkara itu akan disampaikan kepada pengetahuan ketua setiausaha kementerian.

“Beliau hanya akan menyampaikan kehendak kita kepada Ketua Setiausaha KPDNKK. Kehendak kita adalah satu perjumpaan tertutup di antara KPDNKK dengan kami.

“Kami anggap KPDNKK sebagai badan penyelesai atau pun mediator kerana timbul pertikaian di antara satu syarikat operator dengan Chevron Malaysia Limited (Caltex),” katanya kepada pemberita di lobi KPDNKK di sini hari ini.

Hadir sama pada pertemuan dengan pihak KPDNKK ialah Pengarah Unit Tindakan Khas (UTK) PPIM, Muhamad Yusof Azmi dan Ketua Operasi unit itu, Ali Salimin.

Pada Mei 2017, Fadzilah dan beberapa pengusaha lain menerima notis mengosongkan premis dalam masa 30 hari gara-gara keengganan mereka membayar caj yang tidak sepatutnya dibayar dalam Perlaksanaan Perkhidmatan Layan Diri Di Stesen-Stesen Minyak.

Setelah membuat pembayaran tuntutan yang diputuskan Mahkamah Persekutuan sebanyak RM300,000.00 kepada pihak Caltex, perkhidmatan beliau pula ditamatkan secara tidak adil dan mengejut.

Hishamuddin juga berkata, pihaknya tidak terlibat dengan apa juga tindakan terbaru yang dilakukan oleh Fadzilah dengan mengunci pergelangan kakinya dengan rantai setebal seinci di kaki besi tangga di bangunan kementerian itu.

“Kita PPIM tidak mempunyai kuasa untuk melarang atau kami tidak terlibat dengan ikat kaki ini kerana kami mempunyai keterbatasan.

“Tapi kami akan bersama-sama beliau sebagai solidariti, sokongan dan pemerhati kerana kami tak sanggup nak balik,” katanya lagi.


http://malaysiagazette.com/v2/blog/...ex-fadzilah-rantai-kaki-ppim-belum-puas-hati/

Kronologi kes penindasan pengusaha Caltex

image.jpg

Fadzilah bertindak melekatkan tangannya di lantai menggunakan ‘super Glue’ sebagai tanda mogok.

HAJI Fadzilah Abdul Hamid merupakan seorang bekas pengusaha stesen minyak yang telah berkhidmat selama 17 tahun sebagai pengusaha stesen minyak Caltex.

Pada Mei 2017 beliau dan beberapa pengusaha lain menerima notis mengosongkan premis dalam masa 30 hari (tarikh) gara-gara keengganan mereka membayar caj yang tidak sepatutnya dibayar dalam Perlaksanaan Perkhidmatan Layan Diri Di Stesen-Stesen Minyak.

Setelah membuat pembayaran tuntutan yang diputuskan mahkamah persekutuan sebanyak RM300,000.00 kepada pihak Caltex, perkhidmatan beliau pula ditamatkan secara tidak adil dan mengejut.

Perlu diingatkan bahawa, Surat bertajuk Perlaksanaan Perkhidmatan Layan Diri Di Stesen-Stesen Minyak bertarikh 11 April 2000 yang telah dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Malaysia telah menyebut dengan jelas bahawa:-

‘segala kos bagi melaksanakan perkhidmatan layan diri termasuk pemasangan alat-alat otomasi dan senggaraan pembiayaan alat-alat tersebut adalah ditanggung sepenuhnya oleh syarikat minyak dan tidak dikenakan sebarang caj sama ada secara langsung atau tidak langsung kepada pengusaha-pengusaha stesen minyak’

Beliau yang merasa tertindas dengan tindakan Caltex telah hadir ke PPIM bagi membuat aduan dan memohon bantuan bagi menegakkan kebenaran serta menuntut semula bayaran deposit yang telah dibayar kepada Caltex.

Sekitar bulan Julai lalu, PPIM melalui Unit Tindakan Khas PPIM yang diketuai oleh Pengarah UTK, Yusuf Azmi telah mengadakan satu perjumpaan bersama Pengarah Chevron di Menara Mellinium bagi memohon tarikh perjumpaan secara rasmi untuk berbincang mengenai isu ini.

Pihak-pihak berwajib seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) masih lagi mengambil sikap untuk berdiam diri walaupun setelah pertemuan diadakan di antara pengusaha minyak yang tertindas dengan pihak tersebut.

Setelah berkali-kali permohonan untuk bertemu dengan pihak Caltex tiada maklum balas, hari ini Haji Fadzilah mengambil keputusan untuk melekatkan tangan beliau dilantai pejabat syarikat menggunakan Gam Gajah tetapi malangnya beliau tidak diendahkan sama sekali oleh syarikat tersebut sehingga kini.

Justeru itu, pihak KSU digesa untuk campur tangan berhubung isu terbabit memandangkan isu ini dibawah pengurusan KSU. Malahan, kami juga berharap supaya kes ini dapat membuka mata pihak berkaitan agar perkara ini tidak terjadi lagi terutamanya apabila ia melibatkan pengusaha Bumiputera yang berpengalaman.

Haruskah bekas pengusaha Caltex dilayan seperti ini meskipun beliau telah berkhidmat dengan Caltex selama 17 tahun?.

***Kenyataan Unit Media Semboyan1Malaysia ini dipetik dari Facebook Yusuf Azmi PPIM


http://www.sinarharian.com.my/karya/pendapat/kronologi-kes-isu-penindasan-pengusaha-caltex-1.761064

Guna super glue, 9 jam tangan melekat di lantai


lkt_cropped_1511276979.jpg

Fazilah melekatkan tapak tangannya pada lantai lobi syarikat minyak lebih sembilan jam sebagai tanda protes.

BERASA ditindas dan kecewa dengan cara penamatan operasi stesen minyak yang diusahakannya, seorang lelaki melakukan protes dengan melekatkan tapak tangannya menggunakan 'super glue' di lantai lobi pejabat syarikat minyak berkenaan di Damansara, Selangor.

Lelaki yang dikenali dengan nama Fazilah, 60-an, melakukan protes dalam keadaan duduk di lantai dan kekal dengan kedudukan itu sambil tangannya terlekat selama lebih 9 jam bermula 12 tengah hari sehingga 9.22 malam, hari ini.

Usaha melepaskan tangannya daripada lekatan gam itu berdepan kesukaran kerana terlalu kuat dan memerlukan bantuan beberapa individu termasuk Pengarah Unit Tindakan Khas (UTK) Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Yusuf Azmi.

Fazilah berkata, dia memohon maaf kepada semua pihak yang terbabit kerana kemungkinan tindakan terdesaknya untuk mempertahankan hak itu menyusahkan mereka.

"Saya tidak berniat untuk menyusahkan sesiapa kerana apa yang saya lakukan ini adalah untuk mempertahankan maruah saya dan pengusaha lain yang ditindas oleh syarikat antarabangsa ini.

"Saya mohon kerajaan ambil peduli dengan masalah saya ini kerana sampai bila saya perlu bertindak macam ini? Saya sudah lakukan melalui saluran yang betul, tetapi tidak mendapat perhatian. Saya buat macam ini (gam tangan) kerana berada dalam tekanan," katanya menerusi siaran langsung di akaun Facebook (FB) Yusuf Azmi.

Sebaik tangannya terlepas daripada lekatan itu, Fazilah dibawa ke Balai Polis Travers untuk diambil keterangan.

Sementara itu, Yusuf berkata, apa yang dilakukan Fazilah bukannya cubaan melakukan huru-hara dan pihak yang berkenaan perlu mengambil perhatian atas masalah yang dihadapi ini.

"Sekiranya permohonan kami untuk bertemu dengan menteri yang berkaitan tidak berlaku, saya akan melakukan demonstrasi aman bersama aktivis yang lain dan peguam di Putrajaya, Jumaat ini.

"Saya beri masa sehingga Khamis ini dan saya nak tengok sampai tahap mana rakyat terpaksa bertindak untuk menuntut hak mereka, barulah pemimpin ini mahu membantu," katanya menerusi siaran langsung itu.

Pada 15 Mei lalu, Fazilah bersama 14 pengusaha stesen minyak dari Johor, Negeri Sembilan, Selangor dan Perak menerima notis penamatan operasi stesen mereka dan diberikan tempoh 30 hari untuk menyerahkan stesen minyak masing-masing.

Bagaimanapun, pengusaha tidak bersetuju dengan cara penamatan Perjanjian Pengedar antara syarikat itu dengan mereka serta syarikat berkenaan enggan bertemu mereka untuk menyelesaikan perkara itu sehingga memaksa Fazilah bertindak demikian.


https://www.hmetro.com.my/utama/2017/11/286094/luahan-kecewa-metrotv

Bekas pengusaha stesen minyak Caltex gam tangan di lantai

xMGF21112017_PPIM_02-681x454.jpg.pagespeed.ic.9fS5CSV6wC.webp

Pengusaha Stesen Minyak Caltex, Fadzilah Abdul Hamid melekatkan tangannya menggunakan gam pada lantai ketika melakukan protes mengenai isu penganiyaan pengusaha stesen minyak caltex di Menara Millenium, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 21 NOVEMBER 2017

xMGF21112017_PPIM_031-1024x683.jpg.pagespeed.ic.o8DcauybaN.webp

Pengusaha Stesen Minyak Caltex, Fadzilah Abdul Hamid melekatkan tangannya menggunakan gam pada lantai ketika melakukan protes mengenai isu penganiyaan pengusaha stesen minyak caltex di Menara Millenium, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 21 NOVEMBER 2017

xMGF21112017_PPIM_06-1024x683.jpg.pagespeed.ic.Aus7YyIn08.webp

Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Yusof Azmi (empat kiri) bergambar sambil memegang kain rentang boikot ketika melakukan protes mengenai isu penganiyaan pengusaha stesen minyak caltex di Menara Millenium, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 21 NOVEMBER 2017

KUALA LUMPUR – Seorang bekas pengusaha stesen minyak merayu kepada pentadbiran tertinggi Chevron supaya menyelesaikan beberapa tuntutan yang dibuat olehnya di luar mahkamah.

Fazillah Abdul Hamid, 57, ketika ditemui MalaysiaGazette mendakwa, ketika ini pihak pentadbiran stesen minyak Caltex, di Malaysia itu enggan bertemu dengannya untuk berbincang mengenai perkara tersebut.

Katanya, beliau telah menerima satu notis saman yang dihantar oleh syarikat berkenaan meskipun syarikat itu sebelum ini memberi tempoh 30 hari untuk kedua-dua belah pihak menyelesaikan tuntutan masing-masing.

“Saya cuma nak mereka turun dan datang bincang berkenaan perkara ini. Tak perlulah pergi ke mahkamah. Ini mereka nak tarik saya pergi mahkamah pasal apa.

“Mereka tau saya tak boleh lawan sebab itu mereka bawa perkara ini ke mahkamah. Ada tuntutan yang harus mereka bayar kepada saya,” katanya.

Terdahulu, Fazillah bersama bersama anggota Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) pergi ke pejabat syarikat berkenaan di Menara Millenium di sini.

Geram kerana tidak mendapat layanan, Fazillah membuat keputusan melekatkan tangannya ke lantai lobi bangunan pejabat syarikat berkenaan menggunakan gam Super Glue.

Kemelut antara kedua-dua pihak ini bermula apabila kesemua 15 pengusaha stesen minyak Caltex berkenaan menerima notis 30 hari untuk menutup stesen minyak masing-masing, iaitu enam hari selepas sambutan Aidilfitri.

Menurut mereka, tindakan tanpa alasan yang diberikan itu menyebabkan kira-kira 200 kakitangan hilang pekerjaan.

Dalam pada itu Fadzillah turut mendakwa, pengurusan Chevron mengenakan bermacam-macam syarat jika mahu perbincangan diadakan diantara mereka.

Katanya, antara syarat yang dikenakan oleh Chevron iaitu tidak perlu membincangkan mengenai penamatan yang telah dibuat.

Sementara itu, Pengarah Unit Tindakan Khas PPIM, Yusuf Azmi berkata, pihaknya kesal dengan apa yang dilakukan oleh Chevron terhadap pengusaha-pengusaha stesen minyak berkenaan.

Katanya, apa yang dilakukan oleh pengurusan syarikat berkenaan seolah-olah ‘tidak berhati perut’ kerana mereka yang terlibat sudah tertindas dengan apa yang dialami.

“Manalah mereka nak cari duit untuk nak bawa perkara ini ke mahkamah. Kita nak perkara ini diselesaikan dengan cara baik.

“Perkara ini mudah sahaja, mereka bayar balik apa yang telah mereka ambil daripada pengusaha-pengusaha ini. Tidak ada perkara lain pun yang diminta.

“Tak perlulah bawa perkara ini ke mahkamah. Mereka itu syarikat jutawan takkan nak buat orang macam ini,” ujarnya.


http://malaysiagazette.com/v2/blog/2017/11/21/bekas-pengusaha-stesen-minyak-gam-tangan-di-lantai/

PPIM mahu jumpa KPDNKK isu pengusaha stesen Caltex

MGF14092017_PPIM_03-681x454.jpg

Pengarah Unit Tindakan Khas Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Yusuf Azmi (kanan) bercakap pada sidang media di Ibu Pejabat PPIM, Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR, 14 SEPTEMBER 2017

KUALA LUMPUR – Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Yusuf Azmi keliru dengan tindakan sebuan kementerian yang didakwa tidak mahu berbincang dalam isu berkaitan kes Chevron Malaysia Limited (CML).

Menurut Yusuf dia telah dipertanggungjawabkan oleh beberapa pengusaha stesen minyak Caltex untuk mewakili mereka berbincang dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Kepenggunaan dan Koperasi (KPDNKK).

Dalam mesyuarat bersama KPDNKK dan CML pada 24 Ogos lalu, pihaknya dan pengusaha stesen minyak telah dihalang untuk menyertainya.

Yusuf menjelaskan, terdahulu Mahkamah Persekutuan telah mengarahkan pengusaha stesen minyak Caltex membayar kos Sistem Khidmat Layan Diri (SKLD) kepada CML.

Namun Yusuf merujuk kepada surat pekeliling yang dikeluarkan KPDNKK pada 26 Disember 1996 yang menyatakan kos berkenaan hendaklah ditanggung oleh pihak syarikat minyak.

“Kes ini sepatutnya KPDNKK yang mempertahankan surat mereka. Sebab itu kita di PPIM hadir nak bertanya, nak terangkan mungkin mereka tidak jelas. Sebab ini kes yang lama.

“Tujuan kita bukan untuk mengkritik KPDNKK tapi adalah untuk duduk dengan mereka dan penasihat undang-undang untuk melihat semula bagaimana surat ini telah dicabar peringkat mahkamah dan melihat keperluan adakah perlu KPDNKK untuk menyemak surat penghakiman yang bakal keluar,” jelas Yusuf.

Yusuf berharap pihak KPDNKK agar dapat memberi ruang kepada pihaknya dan pengusaha untuk berbincang isu berkenaan.

Namun jika kes berkenaan menemui jalan buntu pihaknya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang.


http://malaysiagazette.com/v2/blog/2017/09/14/ppim-mahu-jumpa-kpdnkk-isu-pengusaha-stesen-caltex/


PPIM, 15 pengusaha Caltex adakan perhimpunan

image.jpg

KUMPULAN aktivis PPIM dan pengusaha stesen minyal Caltex yang ditamatkan kontrak oleh Chevron Malaysia yang terlibat dalam perarakan bantahan terhadap syarikat minyak berkenaan di Kuala Lumpur hari ini. - UTUSAN ONLINE/ANUAR MANSOR

KUALA LUMPUR 28 Julai - Pertikaian antara syarikat pemilik stesen minyak Caltex di Malaysia, Chevron Malaysia dengan 15 bekas pengusaha stesennya semakin hangat apabila wakil mereka bersama dengan aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mengadakan satu perhimpunan bantahan di hadapan pejabat syarikat minyak gergasi antarabangsa tersebut.


Aktivis PPIM, Yusuf Azmi yang mengetuai perarakan berkenaan memberitahu pemberita, tindakan berkenaan diambil untuk menggesa pihak pentadbiran tertinggi Chevron mengadakan perbincangan dengan kesemua pengusaha stesen minyak terlibat bagi menyelesaikan kemelut yang berlaku antara mereka.


Jelas Yusuf, mereka terpaksa melakukannya kerana sebelum ini pelbagai usaha para pengusaha terbabit untuk mengajak pentadbiran tertinggi syarikat tersebut ke meja rundingan seringkali ditolak tanpa alasan kukuh oleh pihak ataupun dengan pelbagai alasan.


Tegas beliau, pihaknya hanya mahukan jawapan Chevron mengenai sebab serta alasan penamatan kontrak kesemua para pengusaha diberikan kepada pihak yang terbabit.


“Bukan sahaja kami tetapi juga para pengguna lain di Malaysia juga mahukan jawapan kepada perkara ini.


“Jika ini tidak dilakukan masyarakat mungkin akan membuat persepsi negatif terhadap syarikat berkenaan,” katanya selepas bertemu dengan wakil Chevron di ibu pejabat syarikat berkenaan di sini petang ini.


Yusuf dalam masa sama memberitahu wakil Chevron yang bertemu dengan pihaknya telah bersetuju untuk mengadakan satu pertemuan dengan kesemua 15 pengusaha stesen minyak berkenaan dalam masa terdekat.


Kemelut antara kedua-dua pihak ini bermula apabila kesemua 15 pengusaha stesen minyak Caltex berkenaan menerima notis 30 hari untuk menutup stesen minyak masing-masing, iaitu 6 hari selepas sambutan Aidilfitri.


Menurut mereka, tindakan tanpa alasan yang diberikan itu menyebabkan kira-kira 200 kakitangan hilang pekerjaan.

Dalam pada itu, wakil Chevron Malaysia yang bertemu dengan Yusuf menafikan pihaknya enggan berjumpa dengan para pengusaha stesen yang terlibat.


Beliau berkata, pertemuan berkenaan masih belum boleh dilakukan kerana kepimpinan tertinggi syarikat berkenaan pada ketika ini tidak dapat meluangkan masa untuk mengadakan pertemuan berkenaan.


Beliau turut menambah, apa sahaja tindakan yang oleh pihaknya dalam isu ini dilakukan menurut peruntukan undang-undang yang terdapat dalam kontrak yang dipersetujui oleh para pengusaha stesen minyak Caltex yang terlibat.


http://www.utusan.com.my/berita/nas...ha-minyak-masih-hangat-1.508461#ixzz4o81Kl0Hf

Cuba mohon temujanji tapi Caltex tak layan

caltex_0914_123.jpg


PETALING JAYA: Seorang bekas pengusaha stesen minyak yang ditamatkan kontrak operasi mengakui mereka tidak membuat temujanji dengan pihak pengurusan syarikat minyak gergasi Chevron Malaysia, lebih dikenali sebagai Caltex, kerana permohonan sebelum ini tidak dilayan.


“Kalau nak buat temujanji pun tak bagi macam mana? Berapa banyak surat sudah saya buat kepada Caltex untuk buat temujanji dengan mereka,” katanya kepada FMT hari ini.

Malam tadi dalam emel kepada FMT, Caltex menjelaskan mana-mana pengunjung perlu membuat temujanji terlebih dahulu sebelum tarikh mesyuarat.

Caltex berkata demikian selepas Fadzilah bersama sekumpulan 19 orang bekas pengusaha stesen minyak Caltex dan kakitangan mereka tampil ke ibu pejabat Caltex di Pusat Bandar Damansara hari ini untuk mendapatkan penjelasan mengenai penamatan kontrak operasi mereka tetapi diminta pergi dari situ.

Menurut Caltex, Fadzilah tidak dapat bertemu pihak pengurusan kerana beliau tidak membuat sebarang temujanji.

“Itu temberang dia orang. Bila kita tulis surat untuk buat temujanji, dia orang senyap sahaja. Takkan nak hantar memorandum pun nak kena buat temujanji?” katanya.

Petang tadi, Fadzilah sempat menyerahkan memorandum kepada wakil syarikat itu dan memorandum itu meminta syarikat menjelaskan sebab utama mereka menamatkan operasi 15 pengusaha stesen minyak mereka dan meminta syarikat menjawab mengapa pihak atasan tidak mahu bertemu mereka.

Turut serta Presiden Persatuan Pengusaha-Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM) Datuk Khairul Annuar Abdul Aziz dan Pengarah Unit Tindakan Khas Pertubuhan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Yusuf Azmi.

Caltex dalam dalam emel menegaskan, mulai 17 Julai 2017 syarikat tidak lagi mempunyai urusan perniagaan selanjutnya dengan bekas peruncit Caltex tersebut.

“Syarikat berhak untuk membenarkan pelawat yang dibenarkan untuk mengakses premis pejabat, dan terdapat protokol keselamatan yang harus diikuti.

“Sebagai sebahagian daripada operasi perniagaan biasa, syarikat akan, secara berterusan, membuat keputusan sama ada untuk melanjutkan atau menamatkan kontrak peruncit. Di mana ini berlaku, sebagaimana baru-baru ini dengan beberapa peruncit, ia akan dijalankan mengikut kontrak perjanjian antara kedua pihak.”

Fadzilah bagaimanapun berkata kenyataan Caltex itu tidak membantu kepada usaha mencari penyelesaian antara mereka.

“Semakin jauh mereka menolak kami. Tindakan Caltex ini menyekat untuk mencari jalan penyelesaian. Tak apalah, kita lihat Rabu ini sama ada Caltex nak jawab atau tidak memorandum kita.”


http://www.freemalaysiatoday.com/ca...i-tapi-caltex-tak-layan-kata-bekas-pengusaha/

Gagal jumpa pengurusan Caltex, pengusaha stesen kecewa diminta pergi

caltex_0914_12.jpg

caltex_0914_1.jpg

caltex_0914_123.jpg


KUALA LUMPUR: Sekumpulan bekas pengusaha stesen minyak pergi ke Chevron Malaysia, lebih dikenali sebagai Caltex, untuk mendapatkan penjelasan mengenai penamatan kontrak mereka tidak berpeluang menemui pegawai pengurusan syarikat minyak gergasi itu.


Kira-kira 20 bekas pengusaha dan kakitangan mereka tampil di ibu pejabat Caltex di Menara Milenium, Pusat Bandar Damansara pada 4.30 petang tadi tetapi diminta pergi dari situ.

Salah seorang bekas pengusaha, Fadzilah Abdul Hamid berkata para pegawai yang mereka mahu temui tidak berada di pejabat mereka atau di luar negara.

Malangnya, ini bukan kali pertama beliau diminta pergi dari situ.

“Dua hari lalu saya tidak dibenarkan naik ke tingkat 3 (pejabat Caltex). Kemudian, saya hanya boleh berurusan di kaunter. Hari ini, saya tidak dibenarkan masuk ke dalam bangunan,” katanya kepada pemberita.

“Apa yang mereka takutkan? Sepatutnya Caltex mempunyai hubungan perniagaan dengan kita.”

Menurutnya, mereka cuba berunding dengan syarikat antarabangsa itu sejak 7 bulan lalu tetapi gagal.

Tadi mereka bagaimanapun sempat menyerahkan memorandum kepada wakil syarikat.

Memorandum itu meminta syarikat menjelaskan sebab utama mereka menamatkan operasi 15 pengusaha stesen minyak mereka dan meminta syarikat menjawab mengapa pihak atasan tidak mahu bertemu mereka.

Turut serta Presiden Persatuan Pengusaha-Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM) Datuk Khairul Annuar Abdul Aziz dan Pengarah Unit Tindakan Khas Pertubuhan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Yusuf Azmi.

Khairul berkata pengusaha yang ditamatkan kontrak ini dilayan dengan buruk sekali. Beliau juga mendakwa cara penamatan kontrak 15 pengusaha itu dilakukan secara berat sebelah.

“Kita adalah peruncit dan beli daripada syarikat minyak. Jadi dia kena ingat, kami penting sepertimana pelanggan penting kepada kami,” katanya.

Bulan lalu, Caltex menamatkan kontrak 6 pengusaha stesen minyak atas alasan “keputusan perniagaan”.

Caltex bagaimanapun tidak memaklumkan butiran mengenai penamatan itu, kerana mereka “tidak wajib memberi apa-apa sebab bagi penamatan itu”.

“Pendirian kami ialah kedua-dua pihak perlu mematuhi peruntukan kontrak,” katanya dalam kenyataan sebelum ini.

Fadzilah bersama 14 pengusaha dari Johor, Negeri Sembilan, Selangor dan Perak dilaporkan menerima notis penamatan operasi stesen mereka melalui notis 15 Mei lalu.

Caltex memberikan tempoh 30 hari kepada mereka untuk menyerahkan stesen masing-masing.

Penamatan kontrak itu menjadi kontroversi selepas pengusaha terbabit mendakwa ia dilakukan “tanpa alasan munasabah”, dan juga kerana ia berlaku beberapa hari selepas Aidilfitri.

Dalam emel kepada FMT malam tadi, Caltex menjelaskan mana-mana pengunjung perlu membuat temujanji terlebih dahulu sebelum tarikh mesyuarat.

Menurut Caltex, Fadzilah tidak dapat bertemu dengan pihak pengurusan kerana beliau tidak membuat sebarang temujanji.


http://www.freemalaysiatoday.com/ca...caltex-pengusaha-stesen-kecewa-diminta-pergi/

PPIM halang Caltex rampas stesen minyak

Yusof-Azmi.jpg


SHAH ALAM: Selepas menyerbu sebuah syarikat pajakan kenderaan minggu lalu, Pertubuhan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) sekali lagi menjadi orang tengah dalam tuntutan klien mereka.


Kali ini kumpulan itu menghalang Caltex menutup sebuah stesen minyak di bawah jenamanya apabila notis sebulan yang diberikan 15 Mei lalu tamat.

Pengusaha stesen minyak itu tidak dibenarkan menyerahkan kunci kepada wakil Caltex, dan menghalang syarikat minyak itu menyedut keluar minyak di stesen tersebut.

“Caltex Malaysia tidak memberi sebab kenapa premis ini diarahkan tutup,” kata Pengarah Unit Tindakan Khas PPIM Yusuf Azmi kepada FMT.

“Kita tetap dengan pendirian kita tidak akan serah kunci dan tidak benarkan mereka sedut minyak selagi tiada perbincangan,” tambanya, dan menambah PPIM tidak berhasrat melanggar sebarang peraturan atau mencari gaduh dengan syarikat minyak itu.

“Cuma apa yang kita minta pihak Caltex Malaysia datang berbincang dengan cara baik. Hari ini mereka hantar wakil tapi wakil mereka tidak boleh jawab soalan kita sebab premis ini ditamatkan operasi.”

Terdahulu, pegawai dan kakitangan Caltex datang bersama lori tangki ke stesen minyak jenama itu yang diusahakan Fauziah Ahmad Fadzil di Shah Alam dan meminta premis itu diserahkan kembali kepada mereka.

Ketika ditanya FMT dan PPIM alasan premis itu ditamatkan operasi, wakil syarikat minyak itu menjawab “atas arahan pihak atasan mingikut terma kontrak yang ditetapkan” tanpa menggulas lanjut.

“Tindakan mereka ini seolah mahu membuli,” tegas Yusuf.

“Caltex Malaysia masih belum ada kuasa lagi untuk masuk ke kawasan ini sebab ini bukan ‘rumah dia’. Kawasan ini masih milik pengusaha lagi.”

Pada 20 Jun lalu, Fauziah bersama 14 pengusaha dari Johor, Negeri Sembilan, Selangor dan Perak mengadakan sidang media membidas penamatan operasi stesen mereka yang diterima melalui notis 15 Mei lalu. Caltex memberikan tempoh 30 hari untuk menyerahkan stesen masing-masing.

Susulan itu, Fauziah berkata mereka akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Caltex kerana menamatkan operasi mereka “tanpa alasan munasabah”, selain menyebabkan 200 pekerja mereka hilang pekerjaan.

“Saya sudah kira kalau ditutup sekarang ini kerugian kami hampir RM20 juta untuk 1 stesen. Kami juga telah adukan perkara ini kepada pihak KPDNKK dan kami juga jumpa menteri, beliau terkejut benda ini berlaku, malah menteri juga sudah bersetuju dengan mengarahkan Caltex supaya tidak membatalkan permit tapi perkara ini masih berlaku,” katanya.

Sementara itu, wakil peguam PPIM Datuk Hishamuddin Hashim berkata tindakan Caltex dilakukan secara tidak adil dan bertentangan dengan undang-undang.

“Apabila kita semak bentuk perjanjian kita dapati bahawa sekiranya penamatan ini berlaku ia mestilah bersifat tidak menganiayai atau kena berlaku adil kepada pengusaha, malah setakat ini tidak ada perintah mahkamah yang dikeluarkan kepada pihak Caltex Malaysia untuk halau pengusaha,” katanya

Hishamuddin pada masa sama tidak menolak kemungkinan tindakan Caltex ini mempunyai kaitan dengan tindakan undang-undang yang dibawa 15 pengusaha stesen minyak itu terhadap syarikat minyak itu sebelum ini.

Caltex sebelum ini didakwa melanggar arahan kerajaan berkaitan pelaksanaan perkhidmatan layan diri di stesen minyak, yang menurut mereka syarikat minyak itu perlu menanggung kos melaksanakan perkhidmatan layan diri, termasuk alat automasi dan penyelenggaraan alat tersebut, tanpa sebarang caj langsung atau tidak langsung dikenakan ke atas pengusaha stesen minyak.

Menurut Fauziah, keputusan Mahkamah Persekutuan bagaimanapun menyebelahi Caltex dan meereka perlu membayar ganti rugi RM300,000 setiap seorang.

“Kami tidak menolak kemungkinan disebabkan kes di mahkamah sebelum ini, mereka semua ditamatkan kontrak. Semua yang lawan Caltex di mahkamah sebelum ini berhubung isu dibatalkan permit, bagaimanapun kenyataan rasmi daripada Caltex Malaysia mereka tidak kata itu sebabnya,” kata Hishamuddin.


http://www.freemalaysiatoday.com/ca...raan-ppim-halang-caltex-rampas-stesen-minyak/

Alasan Caltex tidak munasabah, kata persatuan stesen minyak

caltex-pdam.jpg


PETALING JAYA: Persatuan Peniaga Petroleum Malaysia (PDAM) menolak penjelasan Chevron Malaysia Limited, atau lebih dikenali di sini sebagai Caltex, mengenai penamatan kontrak 15 pengusaha stesen minyak, menyifatkan ia “tidak boleh diterima”.


Ini kerana alasan penamatan kontrak itu masih samar, kata presiden persatuan Datuk Khairul Annuar Abdul Aziz.

Khairul bagaimanapun berkata Caltex mempunyai hak untuk melanjutkan atau menamatkan kontrak peruncitannya.

“Tetapi mereka pastinya tidak berhak untuk menamatkan kontrak tanpa alasan kukuh. Itu tidak boleh diterima,” katanya kepada FMT.

Semalam, Chevron mengesahkan mereka menamatkan kontrak “peruncit tertentu” dan menjelaskan ia adalah “keputusan perniagaan” yang dibuat berdasarkan kontrak perjanjian dengan pihak terbabit.

Chevron mengeluarkan kenyataan itu selepas 15 pengusaha stesen Caltex mendakwa menerima notis untuk menutup operasi masing-masing pada 30 Jun.

Pengusaha terbabit tidak faham mengapa stesen mereka terpaksa ditutup. Mereka berkata kira-kira 200 orang akan hilang pekerjaan.

Seorang pengusaha stesen, Fauziah Ahmad Fadzil juga tidak berpuas hati dengan penjelasan Chevron yang disifatkan samar.

Beliau berkata penjelasan itu membayangkan pengusaha tiada suara dalam keputusan perniagaan syarikat itu, terutamanya yang memberi impak langsung kepada mereka.

“Caltex mengecewakan kita semua,” katanya.

Fauziah juga menafikan dakwaan Chevron berusaha sedaya upaya menyelesaikan masalah ini dengan baik dan dengan niat baik. Beliau mendakwa syarikat itu enggan melayan pertanyaan atau permintaan mereka untuk bertemu.


http://www.freemalaysiatoday.com/ca...tidak-munasabah-kata-persatuan-stesen-minyak/

Hak syarikat tamatkan kontrak, tegas Caltex

Fauziah-Ahmad-Fadzil_caltex_600.jpg


PETALING JAYA: Chevron Malaysia yang memiliki stesen minyak Caltex seluruh negara hari ini mengesahkan ia menamatkan kontrak beberapa pengusaha stesen minyak, tetapi menjelaskan ia adalah hak syarikat itu.


“Isu penamatan adalah keputusan syarikat yang mempunyai hak untuk melanjutkan atau menamatkan kontrak runcit pada bila-bila masa,” kata Chevron dalam kenyataan kepada FMT.

Syarikat itu mengakui langkah berkenaan tidak disenangi beberapa pihak, tetapi berkata banyak komen mengenainya “mengelirukan dan mengandungi salah maklumat”.

Semalam, FMT melaporkan 15 pengusaha stesen minyak Caltex menerima notis 30 hari untuk menutup stesen minyak masing-masing, iaitu 6 hari selepas sambutan Aidilfitri.

Dalam sidang media dianjurkan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), mereka mendakwa tindakan itu bakal menyebabkan 200 pekerja hilang pekerjaan.

Pengusaha terbabit mahu mengambil tindakan mahkamah terhadap Caltex, atas dakwaan ia melanggar arahan kerajaan berkaitan pelaksanaan perkhidmatan layan diri di stesen minyak Caltex.

Chevron berkata pihaknya akan mematuhi syarat kontrak dalam proses penamatan.

Menurutnya, keputusan itu diambil selepas mereka berusaha menyelesaikan masalah yang timbul dengan peruncit dengan cara baik.

“Namun kami ingin memberitahu orang ramai yang perniagaan seperti biasa akan diteruskan di semua stesen Caltex,” katanya.

Caltex mempunyai sebanyak 420 stesen minyak di seluruh negara, 90% daripadanya milik peruncit persendirian.


http://www.freemalaysiatoday.com/ca...san-tamatkan-kontrak-pengusaha-stesen-minyak/

Sponsored Post

Sponsored Post

Back
Top
Log in Register