Surah An-Nuur
[1]
Ini ialah satu "surah" yang Kami turunkan, dan Kami wajibkan hukum-hukumnya, serta
Kami turunkan padanya ayat-ayat keterangan yang nyata supaya kamu beringat
(mengamalkannya).
[2]
Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang dari
keduanya seratus kali sebat; dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan
terhadap keduanya dalam menjalankan hukum ugama Allah, jika benar kamu beriman kepada
Allah dan hari akhirat; dan hendaklah disaksikan hukuman seksa yang dikenakan kepada
mereka itu oleh sekumpulan dari orang-orang yang beriman.
[3]
Lelaki yang berzina (lazimnya) tidak ingin berkahwin melainkan dengan perempuan yang
berzina atau perempuan musyrik; dan perempuan yang berzina itu pula (lazimnya) tidak ingin
berkahwin dengannya melainkan oleh lelaki yang berzina atau lelaki musyrik. Dan
perkahwinan yang demikian itu terlarang kepada orang-orang yang beriman.
[4]
Dan orang-orang yang melemparkan tuduhan (zina) kepada perempuan yang terpelihara
kehormatannya, kemudian mereka tidak membawakan empat orang saksi, maka sebatlah
mereka delapan puluh kali sebat; dan janganlah kamu menerima persaksian mereka itu
selama-lamanya; kerana mereka adalah orang-orang yang fasik; -
[5]
Kecuali orang-orang yang bertaubat sesudah itu (dari kesalahannya yang tersebut) serta
memperbaiki amalannya, maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha
Mengasihani.
[6]
Dan orang-orang yang menuduh isterinya berzina, sedang mereka tidak ada saksi-saksi (yang
mengesahkan tuduhannya itu) hanya dirinya sendiri, maka persaksian (sah pada syarak) bagi
seseorang yang menuduh itu hendaklah ia bersumpah dengan nama Allah, empat kali,
bahawa sesungguhnya ia dari orang-orang yang benar; -
[7]
Dan sumpah yang kelima (hendaklah ia berkata): Bahawa laknat Allah akan menimpa dirinya
jika ia dari orang-orang yang dusta.
[8]
Dan bagi menghindarkan hukuman seksa dari isteri (yang kena tuduh) itu hendaklah ia
bersumpah dengan nama Allah, empat kali, bahawa suaminya (yang menuduh) itu
sesungguhnya adalah dari orang-orang yang berdusta; -
[9]
Dan sumpah yang kelima (hendaklah ia berkata); Bahawa kemurkaan Allah akan menimpa
dirinya jika suaminya dari orang-orang yang benar.
[10]
Dan kalaulah tidak kerana adanya limpah kurnia Allah dan rahmatNya kepada kamu, dan
juga (kalaulah tidak kerana) bahawa Allah Maha Penerima taubat, lagi Maha Bijaksana,
(tentulah kamu akan) akan mengalami kesusahan yang sukar diatasi).
[11]
Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita yang amat dusta itu ialah segolongan dari
kalangan kamu; janganlah kamu menyangka (berita yang dusta) itu buruk bagi kamu, bahkan
ia baik bagi kamu. Tiap-tiap seorang di antara mereka akan beroleh hukuman sepadan dengan
kesalahan yang dilakukannya itu, dan orang yang mengambil bahagian besar dalam
menyiarkannya di antara mereka, akan beroleh seksa yang besar (di dunia dan di akhirat).
[12]
Sepatutnya semasa kamu mendengar tuduhan itu, orang-orang yang beriman - lelaki dan
perempuan, menaruh baik sangka kepada diri (orang-orang) mereka sendiri. dan berkata: "Ini
ialah tuduhan dusta yang nyata".
[13]
Sepatutnya mereka (yang menuduh) membawa empat orang saksi membuktikan tuduhan itu.
Oleh kerana mereka tidak mendatangkan empat orang saksi, maka mereka itu pada sisi
hukum Allah, adalah orang-orang yang dusta.
[14]
Dan kalaulah tidak kerana adanya limpah kurnia Allah dan rahmatNya kepada kamu di dunia
dan di akhirat, tentulah kamu dikenakan azab seksa yang besar disebabkan kamu turut
campur dalam berita palsu itu; -
[15]
Iaitu semasa kamu bertanya atau menceritakan berita dusta itu dengan lidah kamu, dan
memperkatakan dengan mulut kamu akan sesuatu yang kamu tidak mempunyai pengetahuan
yang sah mengenainya; dan kamu pula menyangkanya perkara kecil, pada hal ia pada sisi
hukum Allah adalah perkara yang besar dosanya.
[16]
Dan sepatutnya semasa kamu mendengarnya, kamu segera berkata: "Tidaklah layak bagi
kami memperkatakan hal ini! Maha Suci Engkau (ya Allah dari mencemarkan nama baik ahli
rumah Rasulullah)! Ini adalah satu dusta besar yang mengejutkan".
[17]
Allah memberi pengajaran kepada kamu, supaya kamu tidak mengulangi perbuatan yang
sedemikian ini selama-lamanya, jika betul kamu orang-orang yang beriman.
[18]
Dan Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keterangan (hukum-hukumNya); kerana
Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.